Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Selasa, 10 Disember 2013

N 39 : KEISTIMEWAAN AL QURAN

Kitab suci al Quran memiliki keistimewaan-keistimewaan yang dapat dibezakan dari kitab-kitab suci yang diturunkan sebelumnya, di antaranya ialah: 

1. Al Quran memuat ringkasan dari ajaran-ajaran ketuhanan yang pernah dimuat kitab-kitab suci sebelumnya seperti Taurat, Zabur, Injil dan lain-lain. Juga ajaran-ajaran dari Tuhan yang berupa wasiat.

Al Quran juga mengukuhkan perihal kebenaran yang pernah terkandung dalam kitab-kitab suci terdahulu yang berhubungan dengan peribadatan kepada ALLAH Yang Maha Esa, beriman kepada para rasul, membenarkan adanya balasan pada hari akhir, keharusan menegakkan hak dan keadilan, berakhlak luhur serta berbudi mulia dan lain-lain. 

ALLAH SUBHANAHU WA TAALA berfirman,

“Kami menurunkan kitab al Quran kepadamu (MUHAMMAD) dengan sebenarnya, untuk membenarkan dan menjaga kitab yang terdahulu sebelumnya. Maka dari itu, putuskanlah hukum di antara sesama mereka menurut apa yang diturunkan oleh ALLAH. Jangan engkau ikuti nafsu mereka yang membelokkan engkau dari kebenaran yang sudah datang padamu. Untuk masing-masing dari kamu semua Kami tetapkan aturan dan jalan.” 
(Surah 5  AL MAA'IDAH : 48) 

Jelas bahawa ALLAH SUBHANAHU WA TAALA sudah menurunkan kitab suci al Quran kepada NABI MUHAMMAD  SHALLALLAHU ’ALAIHI WASSALLAM dengan disertai kebenaran mengenai apa saja yang terkandung di dalamnya, juga membenarkan isi kitab-kitab suci yang diturunkan oleh ALLAH SUBHANAHU WA TAALA sebelum al Quran sendiri yakni kitab-kitab ALLAH yang diberikan kepada para nabi sebelum RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM. Bahkan sebagai pemeriksa, peneliti, penyelidik dari semuanya. Oleh sebab itu al Quran dengan terus terang dan tanpa ragu-ragu menetapkan mana yang benar, tetapi juga menjelaskan mana yang merupakan pengubahan, pergantian, penyimpangan dan pertukaran dari yang murni dan asli. 

Selanjutnya dalam ayat di atas disebutkan pula bahawa ALLAH SUBHANAHU WA TAALA memerintahkan kepada nabi supaya dalam memutuskan segala persoalan yang timbul di antara seluruh umat manusia ini dengan menggunakan hukum dari al Quran, baik orang-orang yang beragama Islam ataupun golongan ahlul kitab (kaum Nasrani dan Yahudi) dan jangan sampai mengikuti hawa nafsu mereka sendiri saja. 

Dijelaskan pula bahawa setiap umat oleh ALLAH SUBHANAHU WA TAALA diberikan syariat dan jalan dalam hukum-hukum amaliah yang sesuai dengan persiapan serta kemampuan mereka. 

Adapun yang berhubungan dengan persoalan akidah, ibadah, adab, sopan santun serta halal dan haram, juga yang ada hubungannya dengan sesuatu yang tidak akan berbeza kerana perubahan masa dan tempat, maka semuanya dijadikan seragam dan hanya satu macam, sebagaimana yang tertera dalam agama-agama lain yang bersumber dari wahyu ALLAH SUBHANAHU WA TAALA

ALLAH SUBHANAHU WA TAALA berfirman,

“ALLAH telah menetapkan agama untukmu semua yang telah diwasiatkan olehNya kepada Nuh dan apa yang telah Kami wahyukan kepada Ibrahim, Musa dan Isa, (yang semua serupa saja) yakni hendaklah kamu semua menegakkan agama yang benar dan janganlah kamu sekalian berpecah-belah.”
(Surah 42  ASY SYUURA : 13) 

Seterusnya lalu dibuang beberapa hukum yang berhubungan dengan amaliah yang dahulu dan diganti dengan syariat Islam yang merupakan syariat terakhir yang kekal serta sesuai untuk diterapkan dalam segala waktu dan tempat. 
Oleh sebab itu, maka akidahpun menjadi satu macam, sedangkan syariat berbeza disesuaikan dengan kondisi zaman masing-masing umat.

2. Ajaran-ajaran yang termuat dalam al Quran adalah kalam ALLAH yang terakhir untuk memberikan petunjuk dan bimbingan yang benar kepada umat manusia, inilah yang dikehendaki oleh ALLAH SUBHANAHU WA TAALA supaya tetap sepanjang masa, kekal untuk selama-lamanya.

Maka dari itu jagalah kitab al Quran agar tidak dikotori oleh tangan-tangan yang hendak mengotori kesuciannya, hendak mengubah kemurniannya, hendak mengganti isi yang sebenarnya ataupun hendak menyusupkan sesuatu dari luar atau mengurangi kelengkapannya. 

ALLAH SUBHANAHU WA TAALA berfirman,

“Sesungguhnya al Quran adalah kitab yang mulia. Tidak akan dihinggapi oleh kebatilan (kepalsuan), baik dari hadapan ataupun dari belakangnya. Itulah wahyu yang turun dari Tuhan yang Maha Bijaksana lagi Terpuji.” 
(Surah 41  FUSHSHILAT : 41-42)

ALLAH SUBHANAHU WA TAALA berfirman pula, 

“Sesungguhnya Kami (ALLAH) menurunkan peringatan (al Quran) dan sesungguhnya Kami pasti melindunginya (dari kepalsuan).” 
(Surah 15  AL HIJR : 9) 

Adapun tujuan menjaga dan melindungi al Quran dari kebatilan, kepalsuan dan pengubahan tidak lain hanya agar supaya hujah ALLAH SUBHANAHU WA TAALA akan tetap tegak di hadapan seluruh manusia, sehingga ALLAH SUBHANAHU WA TAALA dapat mewarisi bumi ini dan siapa yang ada di atas permukaannya. 

3. Kitab Suci al Quran yang dikehendaki oleh ALLAH SUBHANAHU WA TAALA akan kekekalannya, tidak mungkin pada suatu hari nanti akan terjadi bahawa suatu ilmu pengetahuan akan mencapai titik hakikat yang bertentangan dengan hakikat yang tercantum di dalam ayat al Quran.

Sebabnya tidak lain kerana al Quran adalah firman ALLAH SUBHANAHU WA TAALA, sedang keadaan yang terjadi di dalam alam semesta ini semuanya merupakan karya ALLAH SUBHANAHU WA TAALA pula.

Dapat dipastikan bahawa firman dan amal perbuatan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA tidak mungkin bertentangan antara yang satu dengan yang lain.

Bahkan yang dapat terjadi ialah bahawa yang satu akan membenarkan yang lain. Dari sudut inilah, maka kita menyaksikan sendiri betapa banyaknya kebenaran yang ditemukan oleh ilmu pengetahuan moden ternyata bersesuaian dengan apa yang terkandung dalam al Quran.

Jadi apa yang ditemukan adalah memperkukuh dan merealisir kebenaran dari apa yang sudah difirmankan oleh ALLAH SUBHANAHU WA TAALA sendiri. 

Dalam hal ini baiklah kita ambil firmanNya, 

“Akan Kami (ALLAH) perlihatkan kepada mereka kelak bukti-bukti kekuasaan Kami disegenap penjuru dunia ini dan bahkan pada diri mereka sendiri, sampai jelas kepada mereka bahawa al Quran adalah benar. Belum cukupkah bahawa Tuhanmu Maha Menyaksikan segala sesuatu?” 
(Surah 41  FUSHSHILAT : 53) 

4. ALLAH SUBHANAHU WA TAALA berkehendak supaya kalimatNya disiarkan dan disampaikan kepada semua akal fikiran dan pendengaran, sehingga menjadi suatu kenyataan dan perbuatan. 

Kehendak semacam ini tidak mungkin berhasil, kecuali jika kalimat-kalimat itu sendiri benar-benar mudah diingat, dihafal serta difahami. Oleh kerana itu al Quran sengaja diturunkan oleh ALLAH SUBHANAHU WA TAALA dengan suatu gaya bahasa yang istimewa, mudah, tidak sukar bagi siapapun untuk memahaminya dan tidak sukar pula mengamalkannya, asal disertai dengan keikhlasan hati dan kemahuan yang kuat. 

ALLAH SUBHANAHU WA TAALA berfirman,

“Sungguh Kami (ALLAH) telah membuat mudah pada al Quran untuk diingat dan difahami. Tetapi adakah orang yang mengambil pelajaran?” 
(Surah 54  AL QAMAR : 17) 

Di antara bukti kemudahan bahasa yang digunakan oleh al Quran ialah banyak sekali orang-orang yang hafal di luar kepala, baik dari kaum lelaki, wanita, anak-anak, orang-orang tua, orang kaya atau miskin dan lain-lain sebagainya. Mereka mengulang-ulangi bacaannya di rumah atau masjid. Tidak henti-hentinya suara orang-orang yang mencintai al Quran berkumandang di seluruh penjuru bumi. 

Sudah barang tentu tidak ada satu kitabpun yang mendapatkan keistimewaan melebihi al Quran.

Bahkan dengan berbagai keistimewaan di atas, jelas al Quran tidak ada bandingannya dalam hal pengaruhnya terhadap hati atau kehebatan pimpinan dan cara memberikan petunjuknya, juga tidak dapat dicarikan persamaan dalam hal kandungan serta kemuliaan tujuannya. Oleh sebab itu dapat diyakini bahawa al Quran adalah mutlak sebaik-baik kitab yang ada..







Tiada ulasan:

Catat Ulasan