Nik Mustapha Bin Nik Hassan
Timbalan Ketua Pengarah
Ketika menghadiri Dialog Antara Agama, ASEM Ke-5 (The 5th ASEM Interfaith Dialogue) pada minggu lepas yang berlangsung di Seoul, Korea Selatan, menarik sekali penulis dapati rata-rata ahli-ahli peserta Dialog tersebut pada keseluruhannya berpendapat bahawa pendekatan semasa dalam menyusun dan membangun ekonomi negara yang ditunjangi oleh sistem liberal kapitalisme adalah punca kepada kemelut ekonomi dunia semasa yang seterusnya menjejas kesejahteraan hidup masyarakat manusia. Mereka merasakan masa hadapan keadaan ekonomi tidak akan menentu. Tekanan ekonomi terhadap masyarakat dunia khususnya masalah kemiskinan tidak mengambar ada penyelesaian. Bahkan dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu, kini didapati jumlah pengangguran meningkat, kos sara hidup turut meningkat dan hutang diperingkat individu dan negara terus meningkat. Akibatnya mereka menuntut semoga panduan agama perlu diberi perhatian.
Dalam mencari alternatif pilihan untuk mengemukakan pandangan baru kepada pendekatan untuk menyelesai masalah ekonomi semasa, penulis diberi peluang untuk membentangkan makalah yang bertajuk “An Islamic Approach to Economic System” (Satu Pendekatan Islam kepada Penyusunan Sistem Ekonomi). Makalah ini dengan panjang lebar membicarakan tentang garis panduan kepada pendekatan Islam kepada penyusunan sesebuah ekonomi.
Islam memiliki cara pendekatannya yang tersendiri. Permulaan kepada pendekatan menyusun sesebuah ekonomi, sifat dan keperluan manusia secara tepat perlu difahami. Manusia pada tabii memiliki sifat malakiah (kemalaikatan) dan bahimiah (kebinatangan). Mengikut Islam, sifat-sifat tersebut yang tersedia pada diri manusia perlu dipenuhi keperluannya. Disamping itu, usaha membina pandangan dan matlamat hidup individu manusia perlu disandarkan kepada ajaran agama. Tanpa memahami sifat manusia dengan tepat ini, masyarakat akan berterusan menempuhi segala bentuk permasalahan dalam kehidupan mereka termasuk bidang ekonomi.
Islam berpandangan bahawa keperluan malakiah dan bahimiah manusia perlu di penuhi secara sepadu. Kemampuan Negara merancang dan melaksana dasar ekonomi dengan dipandu oleh kekuatan malakiah manusia, akan membangun akhlak individu dalam melaksana aktiviti ekonomi dan akan melahirkan suasana dimana keadilan dalam penyusunan dan pelaksanaan aktiviti ekonomi akan tercapai. Jika kekuatan sifat malakiah manusia mampu mempengaruhi sifat bahimiahnya, kesemua urusan aktiviti ekonomi yang dilaksanakan akan menghayati nilai-nilai luhur. Keluhuran dalam mengendali aktiviti ekonomi akan membina budaya muafakat dikalangan individu masyarakat.
Hasil dari terlaksanaanya semangat muafakat dalam menyusun dan menjalankan aktiviti ekonomi, usaha untuk membenteras kemiskinan dikalangan ahli masyarakat akan dapat di beri tumpuan dengan berkesan. Setiap individu dalam masyarakat perlu berperanan secara berkesan semoga kesemua berada di atas paras kemiskinan. Kejayaan ini membolehkan kesemua individu dalam negara dapat digembeling dan berperanan diperingkat yang terbaik.
Semangat keadilan dalam menyusun sesebuah negara turut memberi penekanan kepada pentingnya pengaliran harta dalam negara dapat disalurkan sehingga tercetus lebih banyak peluang ekonomi. Justeru itu dalam mengubal dasar fiskal dan kewangan, kerajaan perlu memberi tumpuan yang sewajarnya kepada pencapaian matlamat tersebut pada setiap masa dalam ekonomi. Begitu juga dengan segala bentuk mekanisma kedua-dua dasar ekonomi negara sepatutnya mampu berperanan mencetus lebih banyak kegiatan ekonomi.
Peranan sektor swasta dalam mengguna dananya juga perlu menuju ke arah pencapaian matlamat tersebut. Kebolehan dan kemampuan mengembeling dana-dana yang terkumpul untuk mencetus lebih banyak lagi aktiviti ekonomi untuk membolehkan keseluruhan ahli masyarakat menyertai peluang ekonomi.
Kejayaan usaha tersebut merupakan peranan penting sektor swasta kepada kebajikan masyarakat dalam negara. Sektor swasta merupa nadi penting kepada kemajuan ekonomi negara. Tanpa keberkesanan sektor tersebut, ekonomi tidak mungkin akan memperoleh kemajuan dan pertumbuhan yang positif.
Turut patut diberi perhatian kepada wujudnya semangat muafakat dalam menyusun sesebuah ekonomi ialah dengan memberi ruang yang seluasnya kepada setiap individu untuk meningkat prestasi usaha yang membolehkan setiap individu mampu menyumbang kepada kemajuan ekonomi Negara. Justeru itu sistem pendidikan negara perlu berperanan menghasilkan individu yang memiliki pandangan hidup yang sempurna, akhlak yang mulia dan menguasai kemahiran dan kepakaran dalam melaksana setiap tugas. Ketiga-tiga asas ini adalah penentu yang penting kepada kemajuan prestasi ekonomi sesebuah negara
Keadilan dalam penyusunan ekonomi turut memberi perhatian kepada peningkatan mutu dalam penggunaan sumber negara. Sumber-sumber ekonomi yang terdapat dalam sesebuah negara perlu diurus dengan penuh amanah, cekap dan bermutu. Penyalahgunaan dan ketidakcekapan dalam mengurus dan mengguna sumber kekayaan negara akan menyumbang kepada kezaliman terhadap masyarakat dalam negara.
Berpandukan kepada prinsip-prinsip dan hala tuju yang jelas seperti yang disaran oleh Islam usaha untuk menyusun dan membangun kemajuan ekonomi akan manjadi kenyataan. Melalui pendekatan yang memberi tumpuan kepada tindakan awalan (proaktif) tersebut permasalahan ekonomi akan dapat dikurangkan dan sekaligus kemantapan ekonomi akan mampu diperolehi. Kejayaan tersebut akan mengurangkan kerenah ekonomi menimpa masyarakat manusia. Walau pun demikian, kemelut ekonomi yang dihadapi semasa berpunca daripada pandangan hidup, kelakuan dan cara pelaksanaan sistem, penyelesaian yang hakiki perlu kepada perubahan kepada perkara tersebut. Usaha untuk merombak pandangan hidup, kelakuan dan pelaksanaan sistem kepada yang menepati semangat Islam bukan sesuatu usaha yang mudah. Tetapi jika pendekatan semasa diteruskan gejala yang akan menimpa masyarakat manusia bukan akan bersifat ekonomi lagi, bahkan akan berupa permasaalahan kepada peradaban manusia.
Rujukan:
http://www.ikim.gov.my/v5/index.php?lg=1&opt=com_article&grp=7&sec=&key=1907&cmd=resetall
Tiada ulasan:
Catat Ulasan