Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Sabtu, 15 Disember 2012

K 72 Nikmat dan Bala adalah Jalan kepada mengingati ALLAH SUBHANAHU WA TAALA


Sekiranya ALLAH SUBHANAHU WA TAALAtelah menentukan seseorang hambaNya itu sampai kepadaNya, sudah pasti si hamba itu akan sampai kepadaNya. Hamba tadi akan dibawa menghadap ALLAH SUBHANAHU WA TAALA melalui dua cara.

Pertama adalah secara lemah-lembut. DiberiNya nikmat, dibukakan jalan untuk taat dan dipermudahkan perjalanannya hingga dia sampai kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA. Orang begini sesuai untuk menerima pujukan. Ada pula orang yang tidak endah bila dipujuk.

Cara kedua sesuai untuknya. Cara kedua adalah cara paksaan.
ALLAH SUBHANAHU WA TAALA memutuskan apa sahaja yang mengikat hambaNya tadi. Si hamba itu telah menjadi enggan berjalan menuju kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA kerana dia diikat oleh berbagai-bagai perkara seperti harta, kekuasaan, perniagaan dan sebagainya. Selagi perkara-perkara itu mengikatnya selagi itulah dia tidak dapat berjalan kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA. ALLAH SUBHANAHU WA TAALA yang mengasihani hamba tadi, memutuskan semua ikatan tersebut dengan cara mendatangkan ujian bala kepadanya.

Ujian bala memisahkan si hamba dari apa jua yang menjadi penghalang antaranya dengan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA. Kemudian ujian bala membentuk hati agar dia berputus asa dari apa yang telah terpisah daripadanya. Bila dia tidak berhajat lagi kepada makhluk, baharulah dia dibawa menghadap ALLAH SUBHANAHU WA TAALA. Dia sudah boleh berjalan menuju ALLAH SUBHANAHU WA TAALA kerana beban berat di atas bahunya sudah terbuang. Kakinya berasa ringan untuk melangkah, fikirannya tenang dan jiwanya tenteram. Hatinya dapat bermunajat kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA dengan khusyuk kerana tidak ada lagi gangguan duniawi dan mata benda. Begitulah dua jalan yang disediakan oleh ALLAH SUBHANAHU WA TAALA untuk membawa hamba-hambaNya kepadaNya. ALLAH SUBHANAHU WA TAALA berfirman:

“Dan kepada ALLAH jualah sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi tunduk menurut, sama ada dengan sukarela atau dengan terpaksa; dan (demikian juga) bayang-bayang mereka; pada waktu pagi dan petang.”
(Surah 13  AR RA'D : Ayat 15)

Walau jalan manapun yang ditempuh oleh seseorang hamba itu,
ALLAH SUBHANAHU WA TAALA menantinya dengan keampunan, rahmat dan kasih sayang-Nya. Si hamba dibawa hampir denganNya dan dikurniakan berbagai-bagai nikmat yang menggembirakan sehingga mereka tidak berasa rugi lantaran berpisah daripada kesenangan duniawi.

Ujian menjadi batu pengasah untuk menggilap iman seseorang. Ada orang diuji dengan rezeki, ditaburkan rezeki kepadanya atau disempitkan. Keluasan rezeki membentuk kesyukuran dan kesempitan membentuk kesabaran. Jiwa yang dicanai oleh kesyukuran dan kesabaran akan menimbulkan rasa penyerahan dan pergantungan yang kuat kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA. Keluasan rezeki membuatnya mengenali ALLAH SUBHANAHU WA TAALA Yang Maha Baik, Maha Pemurah. Kesempitan rezeki membuatnya mengenali ALLAH SUBHANAHU WA TAALA Yang Maha Keras, Maha Perkasa. Pada kedua-duanya dia mengenali ALLAH SUBHANAHU WA TAALA yang menghalau takdir demi takdir dengan penuh hikmat kebijaksanaan.

“(Mengapa mereka bersikap demikian?) dan mengapa mereka tidak melihat (dengan hati mereka) bahawa ALLAH memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya (sebagai cubaan adakah orang itu bersyukur atau sebaliknya), dan Ia juga yang menyempitkannya (sebagai ujian sama ada diterima dengan sabar atau tidak)? Sesungguhnya hal yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang membuktikan kekuasaan ALLAH) bagi orang-orang yang beriman.”
(Surah 30  AR RUUM : Ayat 37)

Orang yang beriman dengan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA dan takdirNya akan mendapat pimpinanNya. ALLAH SUBHANAHU WA TAALA berkuasa membalikkan hati-hati. DipimpinNya hati orang yang beriman agar menghadap kepadaNya. Orang yang dipimpinNya akan berasa mudah untuk mengabdikan diri kepadaNya. Kehalusan pimpinanNya itu membuat hamba mengenali kekuasaanNya pada membalikkan hati yang keras menjadi lembut dan yang malas beribadat menjadi rajin.

“Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin ALLAH; dan sesiapa yang beriman kepada ALLAH, ALLAH akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), ALLAH Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”
(Surah 64  AT TAGHAABUN : Ayat 11)

Orang-orang yang beriman akan sentiasa diuji kerana ujian itu membawa berbagai-bagai ganjaran, nikmat dan kurniaan dari ALLAH SUBHANAHU WA TAALA. Kekuatan amal ibadat tidak berdaya mengangkat darjat seseorang hamba, lalu ALLAH SUBHANAHU WA TAALA hantarkan ujian dan melalui ujian itulah hambaNya dipersucikan dan diangkat darjatnya. Dalam melakukan yang demikian, ALLAH SUBHANAHU WA TAALA kenakan ujian kepada hambaNya melalui perkara-perkara yang hampir dengan hamba itu, seperti harta dan keluarga.

“Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian; dan di sisi ALLAH jualah pahala yang besar.”
(Surah 64  AT TAGHAABUN : Ayat 15)

Ujian menjadi pengasing, mengasingkan hati yang beriman dengan hati yang kufur. Dalam medan ujian itu ramai manusia disesatkan oleh iblis kerana hati mereka diselimuti oleh keraguan. Orang yang beriman dapat bertahan menghadapi gelombang ujian itu, malah ujian menambahkan kekuatan iman. Keupayaan mengekalkan iman di dalam mengharungi lautan ujian membuat hamba menginsafi bahawa sebenarnya
ALLAH SUBHANAHU WA TAALA jua yang memelihara imannya itu, bukan kekuatan dirinya.

“Dan sesungguhnya iblis telah dapati sangkaannya tepat terhadap mereka, iaitu mereka menurutnya, kecuali sebahagian dari orang-orang yang beriman (yang tidak terpedaya dengan hasutannya). Dan sememangnya tiadalah bagi iblis sebarang kuasa untuk menyesatkan mereka, melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah yang benar-benar beriman kepada hari akhirat dan siapa pula yang ragu-ragu terhadapnya. Dan (ingatlah) Tuhanmu sentiasa mengawal serta mengawasi tiap-tiap suatu.”
(Surah 34  SABA' : Ayat 20 & 21)

Hamba yang dipelihara oleh ALLAH SUBHANAHU WA TAALA itulah yang akan menemui kejayaan di dunia dan di akhirat.


Drmindailmu

Tiada ulasan:

Catat Ulasan