Tempat roh manusia, roh kehidupan, di
dalam badan ialah dada. Tempat ini berhubung dengan pancaindera dan
deria-deria. Urusan atau bidangnya ialah agama. Pekerjaannya ialah mentaati
perintah Allah swt.
Dengan peraturan-peraturan yang
ditentukan-Nya, Allah swt memelihara dunia nyata ini dengan teratur dan
harmoni. Roh itu bertindak menurut kewajipan yang ditentukan oleh Allah, tidak
menganggap perbuatannya sebagai perbuatannya sendiri kerana dia tidak berpisah
dengan Allah swt. Perbuatannya daripada Allah; tidak ada perpisahan di antara
‘aku’ dengan Allah swt di dalam tindakan dan ketaatannya.
“Barangsiapa percaya akan pertemuan
Tuhannya hendaklah mengerjakan amal soleh dan janganlah ia sekutukan sesuatu
dalam ibadat kepada Tuhannya.”
(Surah Kahfi, ayat 110).
Allah swt adalah esa dan Dia mencintai
yang bersatu dan satu. Dia mahu semua penyembahan dan semua amal kebaikan, yang
Dia anggap sebagai pengabdian kepada-Nya, menjadi milik-Nya semata-mata, tidak
dikongsikan dengan apa sahaja. Jadi, seseorang tidak memerlukan kelulusan
atau halangan daripada sesiapapun di dalam pengabdiannya kepada Tuhannya, juga
amalannya bukan untuk kepentingan duniawi. Semuanya semata-mata kerana Allah
swt. Suasana yang dihasilkan oleh petunjuk Ilahi seperti menyaksikan
bukit-bukti kewujudan Allah swt di dalam alam nyata ini; kenyataan
sifat-sifat-Nya, kesatuan di dalam yang banyak, hakikat di sebalik yang nyata,
kehampiran dengan Pencipta, semuanya adalah ganjaran bagi amalan kebaikan yang
benar dan ketaatan tanpa mementingkan diri sendiri.
Namun, semuanya itu di dalam taklukan
alam benda, daripada bumi yang di bawah tapak kaki kita sehinggalah kepada
langit-langit. Termasuk juga di dalam taklukan alam dunia ialah kekeramatan
yang muncul melalui seseorang, misalnya berjalan di atas air, terbang di udara,
berjalan dengan pantas, mendengar suara dan melihat gambaran dari tempat yang
jauh atau boleh membaca fikiran yang tersembunyi. Sebagai ganjaran terhadap
amalan yang baik manusia juga diberikan nikmati di akhirat seperti syurga,
khadam-khadam, bidadari, susu, madu, arak dan lain-lain. Semuanya itu merupakan
nikmati syurga tingkat pertama, syurga dunia.
Tempat ‘roh perpindahan atau roh
peralihan’ ialah di dalam hati. Urusannya ialah pengetahuan tentang
jalan kerohanian. Kerjanya berkait dengan empat nama-nama pertama bagi
nama-nama Allah yang indah. Sebagaimana dua belas nama-nama yang lain empat
nama tersebut tidak termasuk di dalam sempadan suara dan huruf. Jadi, ia tidak
boleh disebut. Allah Yang Maha Tinggi berfirman:
“Dan bagi Allah jualah nama-nama yang
baik, jadi serulah Dia dengan nama-nama tersebut.”
(Surah A’raaf, ayat 180).
Firman Allah di atas menunjukkan tugas
utama manusia adalah mengetahui nama-nama Tuhan. Ini adalah pengetahuan batin
seseorang. Jika mampu memperolehi pengetahuan yang demikian dia akan sampai
kepada makam makrifat. Di samalah pengetahuan tentang nama keesaan sempurna.
Nabi s.a.w bersabda,
“Allah Yang Maha Tinggi mempunyai
sembilan puluh sembilan nama, siapa mempelajarinya akan masuk syurga.”
Baginda s.a.w juga bersabda, “Pengetahuan adalah satu. Kemudian orang
arif jadikannya seribu” .
Ini bermakna nama kepunyaan Zat hanyalah
satu. Ia memancar sebagai seribu sifat kepada orang yang menerimanya.
Dua belas nama-nama Ilahi berada di
dalam lengkungan sumber pengakuan tauhid “La ilaha illa Llah” . Tiap satunya
adalah satu daripada dua belas huruf dalam kalimah tersebut. Allah Yang Maha
Tinggi mengurniakan nama masing-masing bagi setiap huruf di dalam perkembangan
hati. Setiap satu daripada empat alam yang dilalui oleh roh terdapat tiga nama
yang berlainan. Allah Yang Maha Tinggi dengan cara ini memegang erat hati para
pencinta-Nya, dalam kasih sayang-Nya. Firman-Nya:
“Allah tetapkan orang-orang yang beriman
dengan perkataan yang tetap di Penghidupan dunia dan akhirat.”
(Surah Ibrahim, ayat 27).
Kemudian dikurniakan kepada mereka
kehampiran-Nya. Dia sediakan pokok keesaan di dalam hati mereka, pokok yang
akarnya turun kepada tujuh lapis bumi dan Dahannya meninggi kepada tujuh lapis
langit, bahkan meninggi lagi hingga ke arasy dan mungkin lebih tinggi lagi.
Allah berfirman:
“Tidakkah engkau perhatikan bagaimana
Allah adakan misal, satu kalimah yang baik seperti pohon yang baik, pangkalnya
tetap dan cabangnya ke langit."
(Surah Ibrahim, ayat 24).
Tempat ‘roh perpindahan atau roh
peralihan’ adalah di dalam nyawa kepada hati. Alam malaikat berterusan di dalam
penyaksiannya. Ia boleh melihat syurga alam tersebut, penghuninya, cahayanya
dan semua malaikat di dalamnya. Kalam ‘roh peralihan’ adalah bahasa alam batin,
tanpa huruf tanpa suara. Perhatiannya berterusan menyentuh soal-soal rahsia-rahsia
maksud yang tersembunyi. Tempatnya di akhirat apabila kembali ialah syurga
Na’im, taman kegembiraan kurniaan Allah.
Tempat ‘roh sultan’ di mana ia
memerintah, adalah di tengah-tengah hati, jantung kepada hati. Urusan roh ini
ialah makrifat. Kerjanya ialah mengetahui semua pengetahuan ketuhanan yang
menjadi perantaraan bagi semua ibadat yang sebenar-benarnya diucapkan dalam
bahasa hati. Nabi s.a.w bersabda,
“Ilmu ada dua bahagian. Satu pada lidah,
yang membuktikan kewujudan Allah. Satu lagi di dalam hati. Inilah yang perlu
bagi menyedarkan tujuan seseorang.”
Ilmu yang sebenar-benarnya bermanfaat
berada di dalam sempadan kegiatan hati. Nabi s.a.w bersabda,
“Al Quran yang mulia mempunyai makna
zahir dan makna batin.”
Allah Yang Maha Tinggi membukakan Al
Quran kepada sepuluh lapis makna yang tersembunyi. Setiap makna yang berikutnya
lebih bermanfaat daripada yang sebelumnya kerana ia semakin hampir dengan sumber
yang sebenarnya. Dua belas nama kepunyaan Zat Allah adalah umpama dua belas
mata air yang memancar dari batu apabila Nabi Musa a.s menghentamkan batu itu
dengan tongkatnya.
“Dan (ingatlah) tatkala Musa mintakan
air bagi kaumnya, maka Kami berkata, ‘Pukullah batu itu dengan tongkat kamu’.
Lantas terpancar daripadanya dua belas mata air yang sesungguhnya setiap
golongan itu mengetahui tempat minumnya.”
(Surah Baqarah, ayat 60).
Pengetahuan zahir adalah umpama air
hujan yang datang dan pergi sementara pengetahuan batin umpama mata air yang
tidak pernah kering.
“Dan satu tanda untuk mereka, ialah bumi
yang mati (lalu) Kami hidupkannya dan Kami keluarkan daripadanya biji-bijian,
lalu mereka memakannya.”
(Surah Yaa Sin, ayat 33).
Allah jadikan satu bijian, sebiji benih
di langit. Benih itu menjadi kekuatan kepada kehaiwanan di dalam diri manusia.
Dijadikan-Nya juga sebiji benih di dalam alam roh-roh (alam al-anfus); menjadi
sumber kekuatan, makanan roh. Bijian itu dijiruskan dengan air dari sumber hikmah.
Nabi s.a.w bersabda,
“Jika seseorang menghabiskan empat puluh
hari dalam keikhlasan dan kesucian sumber hikmah akan memancar dari hatinya
kepada lidahnya.”
Nikmat bagi ‘roh sultan ialah kelazatan
dan kecintaan yang dinikmatinya dengan menyaksikan kenyataan keelokan,
kesempurnaan dan kemurahan Allah Yang Maha Tinggi. Firman Allah swt:
“Dia telah diajar oleh yang bersangatan
kekuatannya, yang berupa bagus, lalu ia menjelma dengan sempurnanya padahal ia
di pihak atas yang paling tinggi. Kemudian ia mendekati rapat (kepadanya), maka
adalah (rapatnya) itu kadar dua busur panah atau lebih dekat (lagi). Lalu Ia
wahyukan kepada hamba-Nya apa yang Ia mahu wahyukan. Hatinya tidak mendusta apa
yang dia lihat.”
(Surah Najmi, ayat 5 – 11).
Nabi s.a.w menggambarkan suasana
demikian dengan cara lain,
“Yang beriman (yang sejahtera) adalah
cermin kepada yang beriman (yang sejahtera)”. Dalam ayat ini yang sejahtera yang pertama
ialah hati orang yang beriman yang sempurna, sementara yang sejahtera kedua itu
ialah yang memancar kepada hati orang yang beriman itu, tidak lain daripada
Allah Yang Maha Tinggi sendiri. Allah menamakan Diri-Nya di dalam Al Quran
sebagai Yang Mensejahterakan.
“Dia jualah Allah yang tiada Tuhan
melainkan Dia…Yang Mensejahterakan (Pemelihara iman), Pemelihara
segala-galanya.”
(Surah Hasyr, ayat 23).
Kediaman ‘roh sultan’ di akhirat ialah
syurga Firdaus, syurga yang tinggi.
Stesen di mana roh-roh berhenti adalah
tempat rahsia yang Allah buatkan untuk Diri-Nya di tengah-tengah hati, di mana
Dia simpankan rahsia-Nya (Sirr) untuk disimpan dengan selamat. Keadaan roh ini
diceritakan oleh Allah melalui pesuruh-Nya:
“Insan adalah rahsia-Ku dan Aku rahsianya”.
“Insan adalah rahsia-Ku dan Aku rahsianya”.
Urusannya ialah kebenaran (hakikat) yang
diperolehi dengan mencapai keesaan; mencapai keesaan itulah tugasnya. Ia
membawa yang banyak kepada kesatuan dengan cara terus menerus menyebut
nama-nama keesaan di dalam bahasa rahsia yang suci. Ia bukan bahasa yang
berbunyi di luar.
“Dan jika engkau nyaringkan perkataan, maka Sesungguhnya Dia mengetahui rahsia dan yang lebih tersembunyi.”
(Surah Ta Ha, ayat 7)
Hanya Allah mendengar bahasa roh suci
dan hanya Allah mengetahui keadaannya.
Nikmat bagi roh ini ialah penyaksian
terhadap ciptaan Allah yang pertama. Apa yang dilihatnya ialah keindahan Allah.
Padanya terdapat penyaksian rahsia. Pandangan dan pendengaran menjadi satu.
Tidak ada perbandingan dan tidak ada persamaan tentang apa yang disaksikanya.
Dia menyaksikan sifat Allah, keperkasaan dan kekerasan-Nya sebagai esa dengan
keindahan, kelembutan dan kemurahan-Nya.
Bila manusia temui matlamatnya, tempat
kediamannya, bila dia temui akal asbab, pertimbangan keduniaannya yang memandunya
selama ini akan tunduk kepada Perintahnya; hatinya akan rasa gentar bercampur
hormat, lidahnya terkunci. Dia tidak berupaya menceritakan keadaan tersebut
kerana Allah tidak menyerupai sesuatu.
Bila apa yang diperkatakan di sini
sampai ke telinga orang yang berilmu, mula-mula cubalah memahami tahap
pengetahuan sendiri. Tumpukan perhatian kepada kebenaran (hakikat) mengenai
perkara-perkara yang sudah diketahui sebelum mendongak ke ufuk yang lebih
tinggi, sebelum mencari peringkat baharu, semoga mereka memperolehi pengetahuan
tentang kehalusan perlaksanaan Ilahi. Semoga mereka tidak menafikan apa yang
sudah diperkatakan, tetapi sebaliknya mereka mencari makrifat, kebijaksanaan
untuk mencapai keesaan. Itulah yang sangat diperlukan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan