Empat objektif utama syaitan ke
atas manusia, iaitu:
1. Menyesatkan
manusia.
2. Mengkafirkan
manusia.
3. Memusyrikkan
manusia.
4. Menjadikan
manusia penghuni neraka.
Untuk
mencapai objektif ini, syaitan memiliki pelbagai ciri dan kemampuan sebagaimana
yang telah kita pelajari dalam Bab Ketiga. Dalam bab ini pula kita
akan mempelajari bagaimana syaitan menggunakan ciri-ciri dan kemampuan tersebut
ke atas umat Islam untuk mencapai objektifnya.
Terdapat
dua kaedah yang digunakan oleh syaitan untuk mencapai salah satu atau lebih
dari empat objektifnya, iaitu:
Kaedah
Pertama: Gangguan Secara Terus.
Kaedah
ini lazimnya digunakan terhadap orang yang lemah penghayatan agamanya atau yang
mengabaikan agamanya. Syaitan secara terus akan mengajaknya kepada kemungkaran
yang jelas lagi diketahui ramai seperti minum arak, berzina, berjudi dan
sebagainya. Allah Subhanahu wa Taala menerangkan kaedah
syaitan yang pertama ini:
“Dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan; kerana sesungguhnya
syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu. Ia hanya menyuruh kamu
melakukan kejahatan dan
perkara-perkara yang keji, dan (menyuruh) supaya kamu berkata
(dusta) terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui.”
[al-Baqarah
2:168-169]
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menurut jejak langkah
syaitan; dan sesiapa yang menurut jejak langkah syaitan, maka sesungguhnya
syaitan itu sentiasa menyuruh (pengikut-pengikutnya) melakukan perkara yang keji dan
perbuatan yang mungkar.”
[al-Nur
24:21]
Kaedah
Kedua: Gangguan Secara Tipu Daya.
Kaedah
ini lazim ditujukan kepada orang yang memiliki penghayatan agama atau berminat
untuk meningkatkan penghayatan agamanya. Bagi orang seperti ini, kaedah
gangguan secara terus jarang digunakan kerana mereka sudah mengetahui keharaman
arak, judi dan zina. Maka syaitan menggunakan kaedah tipu daya, iaitu
menggunakan pelbagai helah dan muslihat untuk menipu manusia sehingga akhirnya
tercapai objektifnya. Tipu daya ini sukar untuk dikesan, bahkan orang yang
mengalaminya merasai bahawa dia sedang berada di atas hidayah dan kebenaran.
Insya-Allah dalam Bab Keempat ini
saya akan menyenaraikan tipu daya-tipu daya yang dimaksudkan, diikuti dengan
beberapa contoh bagaimana syaitan menjalankan setiap dari tipu daya tersebut.
Perkara penting yang perlu diingatkan di sini ialah cara syaitan menjalankan
tipu dayanya tidak terhad kepada contoh yang saya beri. Para pembaca sekalian
hendaklah bijak mengkaji dan menganalisa untuk mengetahui cara-cara lain
syaitan menggunakan sesuatu tipu dayanya.
Tipu Daya
# 1: Menakutkan Umat Islam.
Tipu daya
yang pertama ini dapat kita pelajari dari ayat berikut:
“Sesungguhnya yang demikian itu ialah syaitan yang menakut-nakutkan (kamu
terhadap) penolong-penolong nya. Oleh itu, janganlah kamu takut kepada mereka,
tetapi takutlah kepada-Ku (Allah) jika betul kamu orang-orang yang beriman.”
[‘Ali
Imran 3:175]
Dalam
ayat di atas, Allah Subhanahu wa Taala menerangkan tipu daya
syaitan yang menakut-nakutkan umat Islam daripada berhadapan dengan musuh dalam
Perang Uhud. Lalu Allah swt mengingatkan umat Islam agar tidak takut kepada
musuh, sebaliknya takutlah kepada-Nya.
Pengajaran
penting dari ayat ini ialah tipu daya syaitan untuk meresapkan perasaan takut
ke dalam hati dan fikiran manusia. Perasaan takut ini tidak terhad kepada menghadapi
musuh dalam peperangan, tetapi meluas kepada pelbagai urusan lain. Antaranya
ialah menuntut ilmu.
Syaitan
mengetahui bahawa untuk mencapai salah satu atau lebih dari empat objektifnya,
ia perlu terlebih dahulu menjauhkan umat Islam dari ilmu berkenaan agama
mereka. Syaitan mengetahui bahawa jika umat Islam menguasai ilmu agama,
khususnya Al-Quran dan Al-Sunnah, amatlah sukar baginya untuk menyesat,
mengkafir, memusyrik dan menjadikan umat Islam penghuni neraka. Oleh kerana
syaitan tidak dapat menghapuskan Al-Quran dan Al-Sunnah, ia beralih kepada
menjauhkan umat Islam dari Al-Quran dan Al-Sunnah.
Caranya?
Lakukan tipu daya untuk menakutkan umat Islam dari menghampiri Al-Quran dan
Al-Sunnah. Takutkan mereka dari menelaah Al-Quran dan Al-Sunnah. Takutkan
mereka dari mendengar atau membaca sesuatu sumber ilmu yang dipenuhi dengan
dalil-dalil Al-Quran dan Al-Sunnah. Untuk menakutkan umat Islam dari ilmu
agama, syaitan memiliki 3 bisikan yang amat masyhur:
Bisikan
Pertama:
“Siapa menuntut ilmu tanpa guru maka dia menuntut ilmu dengan syaitan.”
Bisikan
ini amat masyhur sehingga ia berjaya menakutkan ramai umat Islam dari menuntut
ilmu tentang agama mereka. Bahkan ada yang menganggapnya sebagai sebuah hadis.
Sebenarnya
berguru memang penting dalam Islam. Maksud berguru ialah seorang yang rendah
ilmunya menuntut daripada seorang yang lebih tinggi ilmunya. Cara atau sarana
berguru boleh berbeza-beza seperti pembacaan, menonton program di TV, mendengar
rakaman, berdialog di internet dan duduk berhadapan (face to face). Oleh itu,
sebagai contoh, jika seseorang sedang membaca buku Imam al-Nawawi rahimahullah,
bererti dia sedang berguru dengan beliau.
Akan
tetapi syaitan telah masuk campur merosakkan maksud berguru. Ia membataskannya
kepada berguru secara berhadapan sahaja (face to face). Syaitan mengetahui
bahawa dengan pembatasan ini, ramai umat Islam tidak akan dapat menuntut ilmu.
Ini kerana masing-masing sibuk dengan kuliah, kerja dan keluarga sehingga sukar
untuk duduk berhadapan dengan guru kecuali untuk beberapa ketika. Selain itu
sukar pula untuk mencari guru yang berilmu, amanah dan jujur untuk berguru
secara face to face dengannya. Maka setelah melakukan pembatasan tersebut,
syaitan menakutkan orang ramai bahawa jika mereka menuntut ilmu tanpa guru,
yakni tanpa face to face dengan seorang guru, maka orang itu sedang menuntut
ilmu dengannya.
Bisikan
syaitan ini dapat dilawan dengan penjelasan bahawa sesiapa yang menuntut ilmu
dengan apa jua cara, asalkan ikhlas demi memperbaiki agamanya, maka yang akan
menjadi gurunya bukan syaitan tetapi Allah Subhanahu wa Taala. Allah swt
berjanji di dalam al-Quran:
"Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana
memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke
jalan-jalan Kami; dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah
berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya."
[al-Ankabut
29:69]
Bisikan
Kedua:
“Anda perlu menguasai Bahasa Arab terlebih dahulu. Tidak boleh belajar
agama tanpa Bahasa Arab.”
Melalui
bisikan ini syaitan sekali lagi dapat menakutkan orang ramai dari menuntut ilmu
agama. Melalui bisikan ini ramai yang menggunakan masa dan tenaga yang dia
miliki untuk belajar bahasa Arab. Bertahun-tahun belajar tetapi yang diketahui
hanya sekadar “Aina anta?”
Sebenarnya
pada masa kini, penguasaan bahasa Arab tidak perlu menjadi prioriti untuk
menuntut ilmu agama. Ini kerana sudah terdapat banyak buku-buku bahasa Arab
yang sudah diterjemah ke Bahasa Malaysia, Indonesia dan Inggeris. Selain itu
terdapat juga buku-buku dalam Bahasa Malaysia, Indonesia dan Inggeris yang
dikarang oleh penulis yang menguasai bahasa Arab dengan baik. Buku ini mewakili
pelbagai subjek seperti akidah, tafsir, hadis, fiqh, akhlak dan lain-lain.
Semua ini memudahkan kita menuntut ilmu agama tanpa perlu menguasai bahasa
Arab.
Dalam
konteks ini, orang-orang yang ingin menuntut ilmu agama boleh dibahagikan
kepada dua kumpulan:
1. Mereka
yang memberi tumpuan kepada mempelajari Bahasa Arab. Kumpulan ini lazimnya
mengambil masa beberapa tahun belajar Bahasa Arab dengan hajat ingin dapat
membaca kitab-kitab klasik[1] seperti Tafsir al-Qurtubi dan
Syarh Shahih Muslim bi al-Nawawi. Setelah beberapa tahun, segelintir di antara
mereka ada yang berjaya. Namun kebanyakan yang lain gagal. Dalam masa beberapa
tahun tersebut, mereka masih jahil tentang agama dan jahil juga tentang Bahasa
Arab. Akhirnya mereka kecewa dan putus asa dari ingin menuntut ilmu agama.
2. Mereka
yang memberi tumpuan kepada mempelajari ilmu-ilmu agama dari sumber bahasa yang
mereka fahami. Dalam masa beberapa tahun, kumpulan ini sudah menguasai akidah
yang tulen, fiqh perbandingan antara empat mazhab dan akhlak yang selari dengan
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Mereka juga menguasai ilmu tafsir,
hadis, fiqh dan lain-lain. Setelah itu mereka mula memberi tumpuan kepada
mempelajari bahasa Arab.
Ini
kerana pada tahap awal proses menuntut ilmu, bahasa Arab tidak penting. Akan
tetapi pada tahap seterusnya, bahasa Arab menjadi penting untuk mereka
melanjutkan kajian kepada sumber-sumber yang belum diterjemahkan. Bahasa Arab
juga menjadi penting dalam rangka menjawab orang-orang yang kononnya ahli dalam
bahasa Arab tetapi sengaja mengubah terjemahan ayat al-Quran, hadis atau
perkataan ulama’ silam dalam kuliah atau tulisan mereka demi membenarkan
pandangan mereka yang menyesatkan.
Oleh
kerana kumpulan ini sudah memiliki penguasaan dalam sesuatu subjek, mudah untuk
mereka menelaah subjek tersebut dari sebuah kitab berbahasa Arab. Sebagai
contoh, sebuah kitab fiqh klasik dalam Bahasa Arab akan mudah ditelaah oleh
orang yang mahir dalam subjek fiqh sekalipun dia belum mahir dalam bahasa Arab.
Berbeza dengan orang yang mahir dalam bahasa Arab tetapi lemah dalam subjek
fiqh, dia akan mengalami kesukaran untuk menelaahnya.
Ringkasnya,
menguasai Bahasa Arab tidak menjanjikan penguasaan dalam ilmu-ilmu agama,
apatah lagi penghayatannya. Syaitan telah berjaya menakut-nakutkan umat Islam
dari menuntut ilmu-ilmu agama dengan meletakkan syarat penguasaan Bahasa Arab
terlebih dahulu. Lawanlah tipu daya syaitan ini dengan menuntut ilmu-ilmu agama
dalam apa jua bahasa. Prioriti anda ialah akidah dan asas-asas agama seperti
ilmu berkenaan al-Qur’an dan al-Sunnah. Seterusnya ia diikuti dengan ibadah dan
akhlak. Kemudian apabila anda memiliki masa dan tenaga yang lebih, berilah
tumpuan kepada bahasa Arab.
Bisikan
Ketiga:
“Saya takut hendak membaca dari sumber terjemahan kerana mungkin
terdapat kesilapan terjemahan.”
Tidak ada
buku yang sempurna dari kesilapan melainkan Al-Quran. Selain Al-Quran,
kemungkinan wujudnya kesilapan memang ada. Demikian juga bagi buku-buku yang
diterjemah dari bahasa Arab ke Bahasa Malaysia, Indonesia dan Inggeris.
Kemungkinan kesilapan memang ada. Akan tetapi kemungkinan tersebut amatlah
kecil. Berdasarkan pengalaman saya membaca kitab terjemahan dan
membandingkannya dengan kitab asal berbahasa Arab, berani saya katakan bahawa
kemungkinan tersebut hanya sekadar 2 hingga 3 peratus. Hanya syaitan yang
membesar-besarkannya kepada 20 hingga 30 peratus.
Lebih
dari itu, kesilapan yang berlaku di sisi penterjemah boleh juga berlaku di sisi
penterjemah yang lain. Jika anda menguasai bahasa Arab, anda juga akan membuat
kesilapan ketika membaca sesebuah kitab, khasnya kitab klasik yang ditulis pada
zaman awal dan pertengahan Islam.
Oleh itu
lawanlah bisikan syaitan ini dengan cara menelaah sesebuah buku terjemahan
dengan teliti. Jika menemui sebuah kenyataan yang memusykilkan, bertanyalah
kepada orang yang mahir dalam subjek tersebut. Insya-Allah dia
akan dapat menerangkan sama ada itu satu kesilapan terjemahan atau kemusykilan
yang sebenarnya satu kebenaran.
Demikian
tiga contoh bisikan syaitan yang masyhur dalam rangka menakutkan umat Islam
dari menuntut ilmu agama. Sungguh, apabila iblis berjanji di hadapan Allah swt:
“Jika Engkau beri tempoh kepadaku hingga Hari Kiamat, tentulah aku akan
menyesatkan zuriat
keturunannya (manusia), kecuali sedikit (di antaranya).”
[al-Isra’
17:62],
Ia tidak
sangka bahawa amatlah mudah untuk melaksanakan janjinya itu. Buktinya dapat
dilihat pada masa kini di mana majoriti dari umat Islam amat takut untuk
belajar berkenaan agama mereka. Sekalipun sebahagian dari mereka memiliki
kelulusan pendidikan yang amat tinggi, mereka amat takut untuk belajar tentang
Islam. Mereka mencukupkan diri dengan apa yang dipelajari di bangku sekolah.
Apabila
umat Islam tetap berada dalam keadaan jahil, mudah bagi syaitan untuk mencapai
objektifnya menyesat, mengkafir, memusyrik dan menjadikan umat Islam penghuni
neraka. Atas tipu daya syaitan ini, kita akan temui kebanyakan orang yang
memiliki penghayatan agama melaksanakan penghayatan tersebut hanya dengan
mengikuti orang-orang sebelum mereka atau kumpulan tertentu. Amat sedikit yang
menghayati agama berdasarkan kefahaman yang jitu berkenaan Al-Quran dan
Al-Sunnah yang sahih serta teladan generasi al-Salaf al-Shalih.
Bahkan
tanpa ilmu agama yang sahih, iaitu ilmu yang berdasarkan Al-Quran dan
Al-Sunnah, mudah untuk syaitan mencapai objektifnya itu dengan melakukan tipu
daya memperindahkan sesuatu yang sebenarnya mungkar. Tipu helah ini akan kita
kaji seterusnya insya-Allah.
Maka
kepada para pembaca sekalian, jika terlintas di hati anda perasaan takut untuk
menuntut ilmu, ketahui bahawa itu adalah lintasan dari syaitan. Ucaplah “A’uzubillahi
minas syaitan nirrajim” dan terus memberanikan diri anda untuk
menuntut ilmu.[2]
Selain
menakutkan umat Islam dari menuntut ilmu, syaitan juga menakutkan umat Islam
dengan cara-cara berikut:
Ø
Menakutkan dari menyampaikan ilmu yang hak. Bagi orang yang berilmu, syaitan
menakutkan mereka dari menyampaikan kebenaran. Konon, jika dia menyampaikan
kebenaran, dia akan kehilangan kerja atau akan disisih oleh masyarakat.
Ø
Menakutkan dari bersedekah. Bagi yang ingin bersedekah, syaitan berbisik bahawa
sedekah itu hanya akan merugikan dia atau orang yang dia sedekahkan itu akan
mensia-siakan sedekah tersebut.
Ø
Menakutkan dari bersikap jujur. Syaitan banyak mengganggu dengan ketakutan ini.
Syaitan menghasut, konon martabat dan harga diri seseorang akan jatuh jika dia
bersikap jujur untuk meminta maaf atas sesuatu kesilapannya atau berkata “Saya
tidak boleh melakukannya” untuk sesuatu permintaan.
Oleh
kerana itu dua frasa yang paling sukar untuk disebut ialah “Maaf, saya silap”
dan “Saya tidak boleh”. Semakin tinggi kedudukan atau kemasyhuran seseorang,
semakin sukar untuk dia menyebut dua frasa tersebut. Ramai memilih untuk
bersikap diam atau membuat alasan-alasan yang lain, padahal sikap seperti
itulah yang sebenarnya menjatuhkan martabatnya dan memurahkan harga dirinya.
Tipu Daya
# 2: Memperindahkan Perkara Mungkar.
Apabila
syaitan diusir dari langit, ia berjanji:
Iblis berkata: “Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku
sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperindahkan (segala
jenis kemungkaran) kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan
menyesatkan mereka semuanya.”
[al-Hijr
15:39]
Tipu daya
ini telah dilaksanakan oleh syaitan kepada setiap generasi umat manusia dari
awal:
“Demi Allah! Sesungguhnya kami juga telah mengutus Rasul-rasul kepada
umat-umat yang terdahulu daripadamu (wahai Muhammad), lalu syaitan
memperindahkan pada (pandangan) mereka akan amal-amal mereka (yang sebenarnya
mungkar); maka Dia-lah menjadi pemimpin mereka pada hari ini (Hari Kiamat) dan
mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”
[al-Nahl
16:63]
Maksud
memper-indahkan perkara mungkar ialah memberi pengaruh palsu kepada umat Islam
bahawa apa yang sedang mereka lakukan adalah amal soleh yang baik lagi sesuai
dengan Islam. Akan tetapi yang benar apa yang sedang dilakukan itu adalah amal
mungkar yang buruk lagi bertentangan dengan Islam. Amatlah mudah bagi syaitan
untuk memperindahkan sesuatu yang sebenarnya mungkar kerana sejak awal ia telah
berjaya menakutkan umat Islam dari menuntut ilmu (Tipu Daya # 1). Tanpa ilmu,
umat Islam tidak dapat mengukur baik atau buruk sesuatu perkara berdasarkan
ukuran Al-Quran dan Al-Sunnah yang sahih.
Terdapat
beberapa cara syaitan memperindahkan perkara mungkar. Antaranya ialah dengan
memberi nama-nama yang indah kepada sesuatu yang sebenarnya haram. Ini dapat
kita pelajari dari pengalaman Nabi Adam ‘alaihi salam. Ketika
Adam berada dalam syurga, Allah Subhanahu wa Taala berpesan
kepadanya, bahawa dia boleh memakan apa jua yang dia sukai kecuali satu jenis
pohon (pokok):
“Dan kami berfirman: “Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu dalam
syurga, dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua
sukai, dan janganlah kamu hampiri pohon ini; (jika kamu menghampirinya) maka
akan menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang zalim.”
[al-Baqarah
2:35]
Syaitan
ingin mengeluarkan Adam dari syurga. Bagaimana caranya? Ahaa! Tukar nama pohon
yang “dilarang” kepada nama yang lebih indah, seperti pohon yang “memberi
kehidupan dan kekuasaan yang kekal abadi”. Allah Subhanahu wa Taala menerangkan
tipu daya syaitan ini:
“Setelah itu maka syaitan membisikkan kepadanya dengan berkata: “Wahai
Adam, mahukah, aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan hidup
selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap?”
[Ta-Ha
20:120]
Tipu daya
syaitan dalam memperindahkan perkara mungkar tidak terhad kepada menukar nama.
Pada kesempatan ini saya ingin berikan dua contoh amalan yang lazim dilakukan
oleh masyarakat yang telah diperindahkan oleh syaitan.
Contoh
Pertama: Zikir Berirama.
Pada masa
kini terdapat satu amalan yang semakin meningkat kemasyhurannya, iaitu zikir
dengan suara yang kuat (jahr) secara beramai-ramai dengan mengikuti
irama atau rentak tertentu. Zikir berirama sebenarnya sudah wujud pada zaman
pertengahan Islam. Akan tetapi pada masa kini dengan adanya teknologi moden
seperti mikrofon, alat pembesar suara, kaset, cakera padat dan sebagainya,
zikir berirama pantas mendapat tempat di hati orang ramai.
Apabila
ditanya, kenapa kalian suka kepada zikir berirama? Mereka menjawab bahawa zikir
berirama menghasilkan banyak kebaikan seperti hati yang khusyuk dan jiwa yang
terasa seolah-olah diberi suntikan hidup yang baru (revitalized and
recharged). Sebahagian lain menjawab, keindahannya tidak dapat digambarkan
dengan perkataan. Kemudian mereka mengemukakan ayat berikut sebagai hujah:
"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka
dengan zikrullah. Ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati
manusia."
[al-Ra’d
13:28]
Sebenarnya
yang mengindahkan zikir berirama ialah syaitan. Syaitan mengindahkannya agar
dengan itu umat Islam terhindar dari zikir yang sebenarnya disyari‘atkan oleh
Allah Subhanahu wa Ta’ala, iaitu:
“Dan sebutlah serta ingatlah (zikir) akan Tuhanmu dalam hatimu dengan
merendah diri serta dengan perasaan takut, dan dengan tidak pula menguatkan
suara (jahr) pada waktu pagi dan petang, dan janganlah engkau menjadi dari
orang-orang yang lalai”.
[al-A’raaf
7:205]
Berdasarkan
ayat di atas, dapat diketahui bahawa zikir yang dihendaki oleh Yang kita
tujukan zikir (Allah) ialah:[3]
1. Ingatan
dalam hati.
2. Sikap
merendahkan diri kerana mengingati kebesaran Yang sedang ditujukan zikir.
3. Sikap takut
kepada Yang sedang ditujukan zikir.
4. Secara sirr dan
bukan jahr. Sirr ialah menyebut bacaan zikir
dengan lidah dan bibir sehingga bacaan dapat didengar oleh orang yang sedang
berzikir dan orang di sebelahnya. Jahr ialah menyebut bacaan
zikir dengan getaran kotak suara di kerongkong sehingga suaranya dapat didengar
oleh orang ramai di sekeliling.
Apabila
seseorang itu berzikir dengan cara, kalimah dan jumlah yang dikehendaki oleh
Allah swt, maka Allah swt akan mengurniakan ketenteram hati seperti yang
dijanjikan-Nya dalam ayat 28 surah al-Ra’d. Adapun bagi cara, kalimah dan jumlah
yang berbeza dari yang dikehendaki oleh Allah swt, maka yang mengurniakan
ketenteraman hati bukanlah Allah tetapi syaitan.
Contoh
Kedua: Memagar Rumah.
Zulkifli
beberapa kali menjengok keluar dari pintu rumahnya. Sudah hampir 15 minit dia
duduk di kerusi malas yang diletakkannya di hadapan pintu. “Bila jamaah masjid
nak sampai? Harap tuk imam tidak ada urusan lain. Harap dia dapat datang
seperti yang dijanjikan” Demikian bisik hati Zulkifli dengan penuh debaran.
Jam di
dinding menunjukkan waktu 7.22 malam. Pada malam itu, selepas solat Maghrib,
Zulkifli merancang membuat kenduri doa selamat dan majlis memagarkan rumah.
Sejak beberapa minggu yang lepas, terasa seolah-olah ada sesuatu yang asing di
rumah. Pintu dan tingkap bergerak sendiri padahal tiada angin yang bertiup.
Sekali sekala di tepi anak mata ternampak seolah-olah ada bayangan yang
bergerak. Namun apabila ditoleh, ternyata tiada apa-apa.
Jiran-jiran
dan rakan-rakan di pejabat mencadangkan agar Zulkifli memagar rumahnya. Kata
mereka, ada makhluk ghaib yang keluar masuk dan turut menumpang di rumahnya.
Atas cadangan itu, Zulkifli menjemput imam masjid dan para jamaahnya untuk
membuat kenduri doa selamat dan majlis memagar rumah.
Nasi
minyak, ayam masak merah, kuah dalca dan acar buah telah siap disediakan. Akan
tetapi di antara semua persediaan tersebut yang terpenting ialah 2 botol air
mineral yang disediakan atas permintaan imam. Air-air tersebut akan dijampi,
kemudian dituang di sekeliling rumah. Kata imam, air tersebut akan bertindak
sebagai pagar ghaib yang memagar rumah dari makhluk ghaib. Zulkifli tidak tahu
bacaan apa yang bakal dijampikan. Akan tetapi dia yakin, tuk imam tahu apa yang
patut dibacakan.
“Samaikuuum!”
Kedengaran bunyi salam di pintu pagar. “Waikumsalaaam” jawab Zulkifli, penuh
kelegaan. “Jemputlah masuk” sambung Zulkifli setelah melihat tuk imam dan
beberapa orang jamaah masjid sedang berdiri di pintu pagarnya.
Amalan
memagar rumah adalah sesuatu yang masyhur di Malaysia. Orang memagar rumah
kerana ingin melindunginya dari gangguan makhluk ghaib atau kerana menyangka
makhluk sedang mengganggu rumahnya. Di sebalik semua itu, yang sebenarnya
mengganggu ialah syaitan. Untuk sebahagian orang, ia mengganggu dengan
membisikkan perasaan takut kepada makhluk ghaib (Tipu Daya # 1) agar dengan itu
orang tersebut akan berusaha memagar rumahnya. Untuk sebahagian yang lain, ia
mengganggu dengan mengerak-gerakkan pintu dan tingkap, membuat suara aneh,
memberi mimpi buruk, merasuk dan pelbagai lagi. Semua ini dengan tujuan agar
penghuni rumah berusaha untuk memagar rumah.
Kenapa
amalan memagar rumah menjadi penting kepada syaitan? Kepentingannya dapat
dijelaskan dengan langkah-langkah berikut:
1. Syaitan
tahu dengan memagar rumah, penghuninya akan meletakkan keyakinan kepada alat
yang dianggap sebagai pagar. Alat itu mungkin air jampi, tongkat, penyapu lidi
dan sebagainya. Maka untuk menghasut penghuni rumah memagar rumahnya, syaitan
mengganggu mereka dengan bisikan ketakutan atau perbuatan yang aneh di rumah.
2. Setelah
alat tersebut dijampi dan penghuni rumah meletakkannya pada tempat yang
sepatutnya, syaitan serta merta menghentikan gangguannya.
3. Dengan
terhentinya gangguan, penghuni rumah akan segera berkeyakinan bahawa “pagar”nya
telah berjaya menghalau makhluk ghaib.
4. Dengan
keyakinan kepada sesuatu selain Allah swt untuk memelihara rumahnya dari
mudarat, penghuni rumah telah syirik kepada Allah swt.
5. Akhirnya
tercapailah hajat syaitan untuk memusyrikkan umat Islam. Syaitan mengindahkan
amalan memagar rumah padahal amalan tersebut sebenarnya adalah satu
kemungkaran.[4]
Sebenarnya
Islam telahpun mengajar amalan memagar rumah yang bersih dari unsur syirik. Ia
amat mudah dan boleh dilakukan dengan sendiri. Caranya, ucaplah Basmalah (Bismillah) setiap
kali hendak memasuki rumah. Tutuplah pintu dan tingkap dengan membaca Basmalah juga.
Hadis-hadisnya boleh dirujuk dalam Bab Ketiga, ketika mengupas ciri
syaitan # 12.
Kemudian
hendaklah para penghuni rumah beristiqamah dengan perintah larangan agama.
Kaedah yang mudah dalam persoalan ini ialah: “Jika kita takut kepada Allah Subhanahu
wa Taala, maka syaitan akan takut dari mengganggu kita. Sebaliknya jika
kita tidak takut kepada Allah swt, maka syaitan juga tidak akan takut dari
mengganggu kita.” Oleh itu jika penghuni rumah tidak takut kepada Allah swt
sehingga berani mengabaikan perintah larangan Allah swt, syaitan juga akan
berani mengganggunya. Sebagai contoh, bagi kes Zulkifli di atas, hendaklah dia
tidak duduk di rumah menunggu jamaah masjid sampai. Sebaliknya hendaklah dia ke
masjid untuk menunaikan solat Maghrib berjamaah.
Tipu Daya
# 3: Mempelbagai Jalan Kebenaran.
Di
samping berjanji untuk memperindahkan perkara mungkar, syaitan juga berjanji
untuk menghalang umat Islam dari jalan Allah swt (Shirat al-Mustaqim).
Seterusnya ia akan membuat banyak jalan yang lain dan memperindahkannya
sehingga umat Islam menganggap jalan-jalan tersebut adalah Shirat
al-Mustaqim padahal ia bukan. AllahSubhanahu wa Taala merakam
perjanjian syaitan ini:
Iblis berkata: “Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menjadikan daku sesat
(maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari
menjalani) jalan-Mu yang lurus (Shirat al-Mustaqim). Kemudian aku datangi
mereka dari hadapan mereka, dari belakang mereka, dari kanan mereka serta dari
kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur.”
[al-A’raaf
7:16-17]
Perjanjian,
atau lebih tepat, tipu daya syaitan ini benar-benar telah dilaksanakannya sejak
dari zaman awal Islam sehinggalah pada masa kini. Syaitan menghalang umat Islam
dari jalan Allah swt yang tulen lagi benar. Kemudian ia membuat banyak
jalan-jalan yang baru. Dalam ayat di atas, syaitan menyebut bahawa ia akan
datang dari hadapan, belakang, kanan dan kiri. Empat arah ini bukan bererti
empat jalan, tetapi bererti kepelbagaian jalan yang dibukakannya. Ini umpama
seorang yang berkata: “Musuh datang menyerangku dari hadapan, belakang, kanan
dan kiri.” Kenyataan ini tidak bererti ada empat orang musuh, tetapi bererti
ada banyak musuh yang datang dari semua sudut.
Tipu daya
# 3 ini dilaksanakan syaitan bersama tipu daya # 1 dan 2. Pertama sekali,
syaitan menakutkan umat Islam dari menuntut ilmu. Tanpa ilmu, umat Islam tidak
tahu yang benar Shirat al-Mustaqim dan yang mana tidak.
Kemudian syaitan membuka beberapa jalan yang baru. Walau bagaimanapun syaitan
tahu bahawa jalan yang baru tidak cukup untuk menarik umat Islam kepadanya.
Perlu diletak sesuatu umpan di atasnya. Maka syaitan mengambil satu atau dua
ajaran yang berasal dari Shirat al-Mustaqim dan meletakkannya di
atas jalan baru tersebut sebagai umpan.
Bagi
setiap jalan, syaitan meletakkan umpan yang berbeza-beza. Kemudian syaitan
memperindahkan umpan tersebut, konon ia adalah ajaran yang paling penting dalam
Islam. “Memadai memberi tumpuan kepada ajaran tersebut, nescaya lengkaplah
Islam anda!” demikian bisik syaitan di depan pintu masuk bagi setiap jalan.
Kemudian bagi setiap jalan ada syaitan dipertengahannya yang berbisik:
“Hendaklah kalian bersungguh-sungguh melaksanakan ajaran tersebut!” Maka orang
yang berada di atas jalan-jalan tersebut menokok tambah ajaran itu sehingga ia
akhirnya jauh berbeza dari apa yang asalnya diambil dari Shirat
al-Mustaqim.
Kini
setiap jalan sudah memiliki ajaran yang membentuk dasarnya yang tersendiri.
Akhir sekali, syaitan memberikan nama-nama indah bagi setiap jalan untuk
menarik lebih ramai orang ke atasnya. Nama-nama itu ialah apa yang biasa kita
temui pada aliran-aliran yang wujud pada masa kini di dunia Islam. Berikut
dikemukakan beberapa aliran yang masyhur diikuti dengan umpannya:
1. Aliran Tareqat. Umpannya
ialah zikir dan kebersihan hati.
2. Aliran Dakwah. Umpannya
ialah keluar sekian-sekian hari untuk berdakwah.
3. Aliran Kepartian. Umpannya
ialah menegakkan politik Islam dan kepimpinan negara.
4. Aliran Liberal. Umpannya
ialah membuka ajaran Islam agar sesuai dengan zaman.
5. Aliran Khalifah. Umpannya
ialah menegakkan khalifah umat Islam.
6. Aliran Syi‘ah. Umpannya
ialah mengangkat Ahl al-Bait menjadi khalifah umat Islam.
7. Aliran Falsafah. Umpannya
ialah ayat-ayat Al-Quran yang menyuruh umat Islam berfikir.
Demikian
beberapa contoh jalan-jalan yang dibuka oleh syaitan sehingga akhirnya
muncullah di atas jalan-jalan tersebut aliran-aliran yang memiliki ajaran
dasarnya yang tersendiri. Setiap orang akan menganggap jalan merekalah yang
paling benar, paling baik hingga akhirnya berlakulah permusuhan, tuduh-menuduh
dan sangkaan buruk antara satu sama lain. Padahal mereka semuanya adalah umat
Islam. Semua ini adalah hasil tipu daya syaitan jua:
“Dan katakanlah kepada hamba-hamba-Ku (yang beriman), supaya mereka
berkata dengan ucapan-ucapan yang amat baik; sesungguhnya syaitan itu sentiasa
menghasut di antara mereka; sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang
amat nyata bagi manusia.”
[al-Isra’
17:53]
Orang-orang
yang berada di atas jalan-jalan tersebut benar-benar menganggap mereka sedang
mendapat hidayah dan berada di atas Shirat al-Mustaqim padahal
mereka berada di atas jalan dan hidayah syaitan:
“Dan sesungguhnya syaitan-syaitan itu tetap menghalangi mereka dari
jalan yang benar, sedang mereka menyangka bahawa mereka orang-orang yang
mendapat hidayah.”
[al-Zukhruf
43:37]
Hanya
satu jalan yang betul, iaitu jalan Shirat al-Mustaqim yang
dibuka oleh Allah Subhanahu wa Taala kepada Rasul-Nya
Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam. Orang-orang yang berada
di atas jalan ini dikenali sebagai Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah.[5] Inilah satu-satunya jalan yang
benar yang Allah swt perintah kita untuk berada di atasnya:
"Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku yang betul lurus, maka
hendaklah kamu menurutnya dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain)
kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang
demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertakwa."
[al-An’aam
6:153]
Inilah
juga jalan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, sesiapa
yang memilih jalan lain sehingga berpecah menjadi puak-puak atau jamaah-jamaah,
masing-masing puak atau jamaah dengan jalan yang tersendiri, maka Rasulullah
berlepas diri dari mereka. Allah Subhanahu wa Taala berfirman:
“Bahawasanya orang-orang yang mencerai-beraikan agama mereka dan mereka
menjadi berpuak-puak, tiadalah engkau (Wahai Muhammad) terkait sedikitpun dalam
(perbuatan) mereka. Sesungguhnya perkara mereka hanya terserah kepada Allah.
Kemudian Dia akan menerangkan kepada mereka (pada Hari Kiamat kelak), apa yang
telah mereka lakukan.”
[al-An’aam
6:159]
Sebelum
beralih ke tipu daya seterusnya, ingin saya tegaskan semula apa yang telah saya
sebut di bahagian Kata Pembuka, bahawa tujuan saya menyebut aliran-aliran di
atas bukanlah untuk mencela para pengikutnya, tetapi untuk menyedarkan bahawa
apa yang dipegang selama ini perlu dianalisa semula.
Jika di
kalangan pembaca ada yang mengikuti salah satu dari tujuh aliran yang saya
sentuh di atas, saya harap anda dapat bersikap adil dalam menganalisa aliran
yang anda ikuti. Hayatilah ayat 153 serta 159 surah al-An’aam dan bandingkanlah
dengan ayat 16-17 surah al-A’raaf. Kemudian renungilah ayat 37 surah
al-Zukhruf. Cuba tanya diri anda dengan jujur: “Adakah saya akan mengikut
aliran saya sekarang ini jika sejak awal saya telah mengetahui tipu daya syaitan
# 3 ini?”
Tipu Daya
# 4: Janji Dan Angan-Angan Kosong.
Allah Subhanahu
wa Taala membongkar tipu daya syaitan yang keempat ini dalam
firman-Nya:
“Syaitan sentiasa menjanjikan mereka serta memperdayakan mereka dengan
angan-angan kosong; dan apa yang dijanjikan oleh syaitan itu tidak lain
hanyalah tipu daya semata-mata.”
[al-Nisa’
4:120]
Cara
syaitan melaksanakan tipu daya ini berkait rapat dengan tipu daya # 3 yang
telah dipelajari sebelum ini. Seperti yang dijelaskan, setelah membuka
jalan-jalan yang baru, syaitan meletak umpan di setiap pintunya dan menjemput
umat Islam memasuki jalan tersebut kerana umpannya. Kemudian bagi setiap jalan,
ada syaitan di pertengahannya yang berbisik agar umpan tersebut ditokok tambah
sehingga jauh berbeza dari asalnya.
Akhir
sekali, bagi setiap jalan ada syaitan di hujungnya. Syaitan ini kerjanya
menabur janji kejayaan dan angan-angan kemenangan bagi orang-orang yang berada
di atas setiap jalan. Bagi orang yang mengikuti jalan atau aliran tareqat,
syaitan memberi janji dan angan-angan kosong jika mereka berzikir dengan jumlah
sekian-sekian bagi setiap malam, kedudukan mereka akan naik dari awam kepada
khusus. Bagi orang yang mengikut jalan atau aliran kepartian,
syaitan memberi janji dan angan-angan kosong jika mereka terus memberi tumpuan
kepada persoalan politik, status negara Islam akan dapat dicapai. Demikianlah
seterusnya bagi setiap jalan atau aliran, syaitan menabur janji dan angan-angan
kosong agar dengan itu umat Islam tetap setia kepada aliran masing-masing.
Tipu
daya janji dan angan-angan kosong juga ditabur ke atas individu. Antaranya:
1. Bagi
orang yang banyak berbuat maksiat, syaitan menabur angan-angan agar tidak perlu
bertaubat serta merta, sebaliknya tunggulah dulu hingga apabila mencapai umur
persaraan.
2. Bagi
orang yang sedang menuntut ilmu, syaitan menabur angan-angan bahawa apabila dia
mencapai kelulusan PhD. maka dia telah mencapai kemuncak ilmunya.
3. Bagi
orang yang bersolat lima kali sehari, syaitan menabur janji bahawa amalan itu
sudah mencukupi, tidak perlu ditambah dengan amalan-amalan yang lain.
4. Bagi
orang yang ingin membanteras bidaah, syaitan menabur janji bahawa jika dia
bersikap keras, nescaya semua bidaah akan berjaya dihapuskan.
5. Bagi
orang yang ingin menegakkan sunnah, syaitan menabur janji bahawa jika dia
bergerak pantas, sunnah akan dapat ditegakkan dengan sekelip mata.
Tipu Daya
# 5: Mengubah Ciptaan Allah swt.
Tipu daya
kelima ini dinyatakan sendiri oleh syaitan:
“Dan demi sesungguhnya, aku akan menyesatkan mereka (dari kebenaran),
dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong,
dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang
ternak) lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu; dan demi
sesungguhnya aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah.”
[al-Nisa’
4:119]
Dalam
kenyataan di atas, syaitan berjanji akan melakukan beberapa perkara kepada umat
Islam, iaitu:
1. Menyesatkan
umat Islam dari jalan Allah swt. Ini telah kita pelajari dalam Tipu Daya # 3.
2. Menabur
angan-angan kosong. Ini telah kita pelajari dalam Tipu Daya # 4.
3. Membelah
telinga binatang. Ini adalah amalan masyarakat jahiliah di mana mereka membelah
telinga binatang sebagai tanda binatang tersebut adalah istimewa dan dapat
dijadikan sembahan atau korban kepada tuhan berhala mereka.
4. Mengubah
ciptaan Allah swt. Perkara keempat inilah yang menjadi tumpuan kita.
Wujud
perbincangan di kalangan para ilmuan Islam, apakah yang dimaksudkan dengan
“mengubah ciptaan Allah”. Di antara mereka ada yang berkata, ia adalah mengubah
anggota badan seperti mencacatkannya atau menokok tambah kecantikan. Di antara
mereka ada yang berkata, ia adalah mengubah agama Allah swt, iaitu Islam.
Pendapat kedua adalah lebih kuat berdasarkan rujukan kepada ayat berikut:
“Maka hadapkanlah dirimu ke arah agama yang jauh dari kesesatan: agama
Allah, iaitu agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari
semulajadi – fitrah) untuk menerimanya. Tidaklah patut ada sebarang perubahan
pada ciptaan Allah itu; itulah agama yang betul lurus tetapi kebanyakan manusia
tidak mengetahui.”
[al-Rum
30:30]
Maksud
mengubah ciptaan Allah swt ialah mengubah agama Islam. Mengubah agama Islam
bererti menambah, mengurang dan mengusuai dari yang tulen. Inilah juga yang
disebut sebagai bidaah.
Satu
contoh mudah, agama Islam yang tulen mengajar bahawa doa sebelum makan hanya
dengan membaca Basmalah (Bismillahi Rahmani Rahim). Ini
sebagaimana sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang
telah dikemukakan sebelum ini:
“Apabila seorang itu memasuki rumahnya dan mengingati Allah (dengan
membaca Bismillah)
ketika memasukinya dan ketika ingin makan, berkatalah syaitan
(kepada golongannya): “Kalian tidak memiliki tempat untuk bermalam dan tidak
juga makanan malam.” [6]
Akan
tetapi syaitan telah mengubah amalan ini kepada membaca doa yang berbeza.
Sekalipun seseorang itu membaca Basmalah, syaitan menghasutnya
untuk menambah dengan doa-doa yang lain. Ini adalah satu bidaah dan inilah
perubahan agama yang diinginkan oleh syaitan. Mungkin di kalangan pembaca ada
yang tertanya: “Bukankah membaca doa tambahan sebelum makan adalah satu
kebaikan?” Pertanyaan ini dijawab, bahawa kebaikan yang sebenar berasal dari
Allah dan Rasul-Nya. Adapun selain itu yang dianggap kebaikan, ia tidak lain
adalah tipu daya syaitan yang memperindahkan perkara mungkar (Tipu Daya # 2).[7
Sebagai
tambahan, dalam ayat 119 surah al-Nisa’ di atas, syaitan bukan sahaja akan
menyuruh umat Islam membuat bidaah agama tetapi bersumpah bahawa ia benar-benar
akan mengerah dan memastikan umat Islam membuat bidaah. Perhatikan semula
kata-kata syaitan ini yang didahului dengan sumpah: “…dan demi sesungguhnya aku
akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah.”
Atas
sumpah inilah kelihatannya syaitan berjaya menghasut sebegitu ramai umat Islam
untuk membuat bidaah. Tidak sekadar itu, syaitan juga memastikan agar mereka
yang membuat bidaah kekal dengan bidaah tersebut. Oleh kerana itulah apabila
cuba ditegur orang yang membuat bidaah, teguran itu tidak lain hanya akan
menyebabkan orang tersebut lebih bersungguh-sungguh dalam bidaahnya. Kecuali
segelintir yang ikhlas beragama, mereka mengetahui bahawa bidaah adalah tipu
daya syaitan. Maka mereka segera meninggalkan bidaah tersebut dan kembali
kepada Islam yang tulen, yang belum mengalami perubahan.[8]
Tipu Daya
# 6: Menjadi Jurucakap Allah.
Dalam
ayat 169 surah al-Baqarah, Allah Subhanahu wa Taala mengingatkan:
"Ia (syaitan) hanya menyuruh kamu melakukan kejahatan dan
perkara-perkara yang keji, dan (menyuruh) supaya kamu berkata terhadap Allah
apa yang kamu tidak ketahui."
[al-Baqarah
2:169]
Apakah
yang dimaksudkan dengan “…berkata terhadap Allah apa yang kamu tidak
ketahui”? Mudahnya, ia seumpama menjadi jurucakap Allah swt.
Syaitan akan menghasut seseorang itu untuk menjadi jurucakap Allah swt (spokesman
anad spokeswomen for god), iaitu bercakap tentang Allah swt dan Islam tanpa
ilmu pengetahuan. Pada zaman Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, “…berkata
terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui” merujuk kepada orang-orang
jahiliah dan kafir musyrik yang mendakwa Allah swt memiliki anak, malaikat
ialah anak perempuan Allah swt dan berhala-berhala mereka ialah wakil Allah swt
di muka bumi. Maha Suci Allah swt dari semua dakwaan itu.
Adapun
pada masa kini, “…berkata terhadap Allah apa yang kamu tidak
ketahui” berlaku dalam beberapa bentuk. Berikut dikemukakan
tiga contoh:
Contoh
Pertama: Mengulas Sebab Di Sebalik Sesuatu Tragedi.
Apabila
berlaku sesuatu tragedi alam seperti banjir, gempa bumi dan kemarau, akan
ditemui orang-orang yang memberi ulasan: “Tragedi ini berlaku kerana
kilang arak di sana”, atau “Semua ini berlaku kerana
ajaran sesat penduduknya”. Seolah-olah yang mengulas itu mempunyai
hubungan terus (direct line) dengan Allah swt dan seterusnya menjadi
jurucakap Allah swt dalam menerangkan kenapa sesuatu tragedi itu berlaku. Yang
benar dia hanya mempunyai hubungan terus dengan syaitan dan syaitan menipunya
untuk “…berkata terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui.”
Benar
bahawa semua tragedi, atau lebih tepat: bala’ berlaku dengan
kehendak Allah Subhanahu wa Taala. Akan tetapi kita tidak tahu
mengapa Allah swt menurunkan bala’tersebut. Lebih dari itu tidak
semua bala’ Allah swt turunkan kerana dosa yang pernah
dilakukan oleh mangsanya. Ini kerana bala’ juga boleh jadi
satu ujian Allah swt kepada para hamba yang dicintai-Nya. Rasulullah shallallahu
‘alaihi wasallam bersabda:
إِنَّ عِظَمَ الْجَزَاءِ مَعَ
عِظَمِ الْبَلاَءِ وَإِنَّ اللَّهَ إِذَا أَحَبَّ قَوْمًا ابْتَلاَهُمْ فَمَنْ
رَضِيَ
فَلَهُ الرِّضَا وَمَنْ سَخِطَ
فَلَهُ السَّخَطُ.
"Sesungguhnya besarnya ganjaran berkadar terus dengan
besarnya bala’. Sesungguhnya jika Allah mencintai satu kaum, Dia menurunkan
bala’ kepada mereka. Sesiapa yang redha maka Allah redha kepadanya dan sesiapa
yang marah maka Allah murka kepadanya.".[9]
Seandainya
kita hidup bersama Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan
bertanya kepada baginda mengapa sesuatu bala’ berlaku, nescaya
baginda sendiri tidak berani berkata apa-apa melainkan diam sehingga turun
wahyu dari Allah swt untuk menerangkan sebabnya. Oleh itu sikap yang benar
dalam menghadapi sesuatu tragedi atau bala’bukanlah mengulas
mengapa ia berlaku tetapi mengulas apa yang telah kita lakukan untuk membantu
mangsanya.
Contoh
Kedua: Menyampaikan Hadis Tanpa Menyemak Sumber Dan Darjatnya.
Menjadi
satu kebiasaan di Malaysia bahawa hadis-hadis Rasulullah shallallahu
‘alaihi wasallam disampaikan tanpa memerhatikan sumber dan darjatnya.
Apa saja yang dikenali sebagai hadis, maka ia terus dianggap sebagai
benar-benar berasal dari mulut Rasulullah. Padahal apabila disemak hadis-hadis
tersebut, nescaya kebanyakan darinya tidak memiliki asal usulnya atau memiliki
darjat yang tidak menepati disiplin ilmu hadis sehingga tidak dapat disandarkan
kepada Rasulullah saw.
Sama-sama
diketahui bahawa ucapan Rasulullah saw adalah wahyu yang berasal dari Allah
swt. Allah Subhanahu wa Taala berfirman:
“Dan dia (Muhammad) tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan
Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakannya
itu (sama ada al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan
kepadanya.”
[al-Najm
53:3-4]
Apabila
sesuatu hadis disampaikan tanpa menyemak sumber dan darjatnya, orang yang
menyampaikannya telah menjadikan hadis tersebut sebagai wahyu yang berasal dari
Allah swt. Seolah-olah dia mempunyai hubungan terus (direct line) dengan
Allah swt dan seterusnya menjadi jurucakap Allah swt dalam menerangkan hadis
itu dan ini. Yang benar dia hanya mempunyai hubungan terus dengan syaitan dan
syaitan menipunya untuk “…berkata terhadap Allah apa yang kamu tidak
ketahui.”
Benar
bahawa jumhur ilmuan membolehkan hadis yang ringan kelemahannya disampaikan
untuk tujuan keutamaan amal (Fadhail al-Amal) dan menganjurkan yang baik
serta mengancam yang buruk (al-Targhib wa al-Tarhib). Akan tetapi
kebolehan ini hanya khusus untuk ahli hadis kerana hanya mereka yang tahu kadar
kelemahan sesuatu hadis. Para agamawan seperti imam, khatib, ustaz dan ustazah
bukanlah ahli hadis, oleh itu kebolehan di atas tidak meliputi mereka.
Contoh
Ketiga: Membicara Agama Tanpa Ilmu.
Berbincang
tentang Islam memang baik jika ia didasari kepada ilmu yang sahih. Sebaliknya
berbincangan tentang Islam menjadi tercela jika ia dilakukan tanpa ilmu atau
dengan ilmu yang menyeleweng. Mutakhir ini ramai orang yang suka berbincang
tentang Islam. Sama ada ceramah di masjid, kuliah di surau, berbalas pandangan
di internet atau sembang-sembang di kedai kopi, ramai yang suka berbincang
tentang Islam. Tak kira sama ada orang-orang yang berbincang itu duduk dalam
jurusan agama atau selainnya, pelbagai pemikiran, hukum dan petua dikemukakan
tanpa henti. Seolah-olah Islam adalah sebuah cerpen agama, masing-masing boleh
mengarang cerita khayalannya sendiri.
Lebih
tepat, seolah-olah semua orang mempunyai hubungan terus (direct line)
dengan Allah swt dan seterusnya menjadi jurucakap Allah swt untuk menerangkan
sekian-sekian pemikiran, hukum dan petua berkenaan agama-Nya. Padahal dia hanya
mempunyai hubungan terus dengan syaitan dan syaitan menipunya untuk “…berkata
terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui.”
Jika hendak
dibandingkan, 1400 tahun yang lalu terdapat seorang manusia yang terkenal
amanah lagi jujur. Dia adalah seorang yang pendiam, tidak berkata-kata kecuali
sesuatu yang benar dan bermanfaat. Dia adalah manusia yang amat disayangi oleh
Allah Subhanahu wa Taala sehingga Allah swt melantiknya
menjadi pesuruh-Nya bagi menyampai agama yang terakhir kepada manusia. Orang
yang saya maksudkan ialah Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam.
Akan tetapi sekalipun baginda memiliki kedudukan yang amat mulia di sisi Allah
swt, Allah swt tetap memberi amaran kepadanya:
"Dan kalaulah (Muhammad) mengatakan atas nama Kami sebarang
kata-kata rekaan, sudah tentu Kami akan menyentapnya dengan kekuasaan Kami,
kemudian sudah tentu Kami akan memutuskan tali jantungnya!"
[al-Haqqah
69:44-46]
Tipu Daya
# 7: Memberi Nasihat.
Tipu daya
syaitan yang ketujuh adalah sesuatu yang tidak kita sangka-sangkakan. Memang,
enam tipu daya yang pertama juga tidak kita sangkakan. Akan tetapi yang ketujuh
ini melebihi enam yang pertama. Tipu daya syaitan yang ketujuh ialah, ia
berpura-pura memberi nasihat kepada kita. Ia berbisik atau bercakap melalui
lisan orang yang kita percayai sehingga kita yakin itu adalah nasihat yang
jujur dari hati ke hati. Akan tetapi di sebalik nasihat tersebut, syaitan hanya
ingin menyesat, mengkafir, memusyrik dan menjadikan kita ahli neraka.
Tipu daya
ini diakui sendiri oleh syaitan:
Dan ia
(syaitan) bersumpah kepada keduanya (Adam dan Hawa):
“Sesungguhnya aku adalah dari mereka yang memberi nasihat kepada
kamu berdua.”
[al-A’raaf
7:21]
Satu
contoh bagaimana syaitan melaksanakan tipu daya ini ialah seperti berikut:
(Allah
berfirman) “Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu di dalam
syurga serta makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua
sukai dan janganlah kamu hampiri pokok ini, (jika kamu menghampirinya) maka
akan menjadilah kamu dari orang-orang yang zalim.”
Setelah
itu maka syaitan membisikkan (nasihat) kepada mereka berdua supaya (dapatlah)
ia menampakkan kepada mereka akan aurat mereka yang (sekian lama) tertutup dari
(pandangan) mereka, sambil ia berkata:
“Tidaklah Tuhan kamu berdua melarang kamu berdua daripada (menghampiri)
pohon ini melainkan (kerana Dia tidak suka) kamu berdua menjadi malaikat atau
menjadi dari orang-orang yang kekal (selama-lamanya di dalam syurga).”
Dan ia
(syaitan) bersumpah kepada keduanya (Adam dan Hawa):
“Sesungguhnya aku adalah dari mereka yang memberi nasihat kepada
kamu berdua.”
[al-A’raaf
7:19-21]
Dalam
peristiwa di atas, syaitan memberi nasihat kepada Adam dan Hawa: “Tidaklah
Tuhan kamu melarang kamu daripada (menghampiri) pokok ini melainkan (kerana Dia
tidak suka) kamu berdua menjadi malaikat atau menjadi dari orang-orang yang
kekal (selama-lamanya di dalam syurga).” Nasihat ini pada zahirnya
kelihatan baik, tetapi ia sebenarnya bersikap batu api dan provokatif. Dengan
nasihat ini syaitan ingin menimbulkan keraguan, buruk sangka dan permusuhan
kepada Adam dan Hawa terhadap Allah swt. Setelah memberi nasihat itu, syaitan
bersumpah bahawa ia bukan dari kalangan yang menghasut Adam dan Hawa dengan
kemungkaran, tetapi: “Sesungguhnya aku adalah dari mereka yang
memberi nasihat kepada kamu berdua.”
Dalam
rangka melaksanakan tipu daya memberi nasihat, syaitan kadangkala membisikkan
nasihatnya secara terus kepada orang yang ingin diganggunya. Pada ketika yang
lain ia membisikkan nasihatnya kepada orang yang diyakini oleh orang yang ingin
diganggunya. Diingatkan semula bahawa syaitan adakalanya menggunakan umat Islam
sebagai agennya. Strategi ini pernah digunakan oleh syaitan terhadap para Nabi,
maka bukanlah merupakan satu keanehan jika ia menggunakannya terhadap kita
juga:
“Dan
demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari syaitan-syaitan
manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada
setengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah
susunannya untuk memperdaya pendengarnya.”
[al-An’aam
6:112]
Berikut
dikemukakan dua contoh bagaimana syaitan melaksanakan tipu daya # 7 ini dengan
menggunakan agen-agen umat Islamnya:
Contoh
Pertama: Masalah RumahTangga.
Kepada
para pembaca sekalian, umpamakan anda memiliki masalah rumahtangga. Bagi yang
belum, berlakonlah seolah-olah anda baru bernikah dan kini memiliki masalah
rumahtangga. Umpamakan masalah tersebut ialah pasangan anda akhir-akhir ini
menjauhkan diri dari anda. Pasangan anda tidak mengucapkan salam ketika masuk
rumah, tidak duduk semeja untuk makan malam dan tidak lagi meluangkan masa
bersenda gurau bersama anda.
Kemudian
ceritakan masalah ini kepada rakan pejabat, jiran, saudara atau sesiapa lain.
Nescaya akan didapati nasihat yang lebih kurang berbunyi:
· “Dia
sekarang ada hubungan sulit dengan orang lain. Pergi selidik segera!”
· “Dia
sekarang dah hilang citarasa kepada anda. Tengoklah perut anda yang boroi tu!
Malam nanti bila dia tidur, tiupkan di ubun-ubunnya ayat 31 surah ‘Ali
Imran: Qul inkuntum tuhibbuna…”
· “Cuba
semak emel dan sms dia, mungkin ada hubungan dengan kekasih lamanya.”
· “Ada
orang dengki dengan kalian berdua. Pasti dah kena sihir agaknya.”
· “Hmm! Confirm buatan
orang. Aku kenal seorang bomoh ini yang boleh bantu engkau lawan balik!”
Nasihat-nasihat
di atas atau apa-apa lain yang senada berasal dari syaitan. Sekalipun ia terbit
dari mulut orang yang kita kenali, syaitan telah menjadikan orang tersebut
agennya dan membisikkan kepadanya nasihat yang berbentuk batu api dan
provokatif. Dengan nasihat sedemikian syaitan bermaksud untuk membesarkan
jurang masalah antara pasangan sehingga akhirnya mereka bergaduh dan bercerai.
Ingat!
Syaitan yang dapat menceraikan pasangan suami isteri akan mendapat kedudukan
yang istimewa dan pujian dari iblis. Maka dia akan mencuba pelbagai tipu daya
untuk mencapai kejayaan tersebut. Dalam hadis yang telah dikemukakan
dalam Bab Ketiga ketika mengupas ciri-ciri syaitan # 11, kita
telah mempelajari sebuah hadis yang bermaksud:
Kemudian datang seorang tentera (syaitan) yang lain dan berkata:
“Tidaklah saya meninggalkan (orang yang saya ganggu) sehinggalah dia menceraikan isterinya.”
Iblis menghampiri tentera itu dan berkata: “Anda hebat!” [10]
Adapun
rakan yang bukan agen syaitan, kita akan dapat mengenali mereka melalui nasihat
yang membina lagi positif, umpama:
· Mungkin
pasangan anda dimarahi ketua di pejabat sehingga menyebabkan dia merasa rendah
diri. Gembirakanlah dia dengan puji-pujian bahawa dia adalah seorang ayah/ibu
yang amat baik lagi disayangi oleh anak-anak.
· Kalian
sudah sekian lama tidak pergi bercuti. Take a few days off dan
pergilah bercuti ke Langkawi. Pastikan anda yang belanja kos percutian.
· Saya
rasa ada sesuatu difikirannya yang merungsingkan. Cubalah anda menghampirinya
dan bertanya secara lemah lembut. Jadilah pendengar yang setia, nescaya dia
akan meluahkan apa yang menjadikan dia rungsing.
· Bilakah
kali terakhir kalian berdua pergi dating? Tinggalkan anak-anak di
rumah bersama seorang penjaga dan pergilah makan malam di restoran
kegemarannya. Hanya kalian berdua.
· Agaknya
dia menjauhkan diri dari anda kerana anda sendiri menjauhkan diri darinya?
Mungkin anda sedang rungsing memikirkan sesuatu atau ada masalah lain di bahu?
Dekatilah dia, nescaya dia akan mendekati anda. Kemudian berkongsilah cabaran
yang sedang di hadapi.
Adapun
rakan yang telah dijadikan syaitan sebagai agennya, nasihatilah dia dengan
baik. Sekalipun dia telah memberi kepada anda nasihat yang buruk, janganlah
pula dibalas dengan nasihat yang buruk juga. Ingat:
"Dan katakanlah kepada hamba-hamba-Ku (yang beriman), supaya mereka
berkata dengan ucapan-ucapan amat baik; sesungguhnya syaitan itu sentiasa
menghasut di antara mereka; syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi
manusia."
[al-Isra’
17:53]
Contoh
Kedua: Perkhidmatan Menghalau Syaitan.
Sejak
beberapa bulan yang lalu, Zulkifli dan ahli keluarganya tidur lena setiap
malam. Tidak ada yang menjagakan mereka kecuali bunyi deringan jam penggera
pada pukul 7.30 pagi. Sejak rumah mereka dipagar dalam majlis yang dipimpin
oleh imam masjid, Zulkifli tidak lagi mengalami gangguan makhluk ghaib di dalam
rumahnya. Sebagai tanda terima kasih, Zulkifli tidak pernah lupa untuk
mensedekah setandan pisang emas kepada masjid pada Jumaat pertama setiap bulan.
Akan
tetapi pada pagi Ahad ini Zulkifli termenung lama. Sekejap tadi rakan lamanya
datang melawat. Ketika sedang duduk di sofa ruang tamu, dia kelihatan seperti
melihat-lihat sesuatu di siling rumah. Sama ada siling ruang tamu, ruang makan
mahupun dapur, kelihatan seperti dia ada melihat sesuatu.
“Ada apa
Rashid?” Zulkifli akhirnya memberanikan diri bertanya.
“Hmmm!”
“Ehh!
Macam engkau nampak sesuatu je?” tanya Zulkifli lagi. Perasaan ingin tahu
semakin melonjak, lebih-lebih lagi disebabkan rakannya itu orang kuat agama.
Beliau belajar agama di Timur Tengah, dah naik haji enam kali, umrah entah
berapa kali. Poket seluarnya tidak pernah kosong dari biji tasbih. “Orang-orang
agama ini boleh nampak apa yang aku tak nampak!” hati Zulkifli mencelah.
“Ada apa
Rashid?” ulang Zulkifli lagi. Kesabarannya mula menipis.
“Kamu ada
merasai apa-apa gangguan atau perkara aneh di rumah? Rashid akhirnya membuka
mulut.
“Err!
Akhir-akhir ini takde. Tetapi sebelum ini adalah. Aku dah panggil imam masjid
untuk memagar rumah. Hebat juga imam tu, sekarang dah OK.”
“Oh
begitu! Err…aku cerita sikit boleh?”
“Haa!
Cerita apa? Teruskan. My ears are all yours.”
“Bismillah, dengan izin Allah, aku
sebenarnya dapat melihat makhluk-makhluk ghaib. Aku dapat melihat apa yang
engkau dan orang ramai tidak dapat melihat. Allah swt telah membuka hijab ini
kepada aku” jelas Rashid dengan suara yang perlahan lagi penuh rendah diri.
Matanya kini hanya fokus ke lantai.
“OK,
syabas! Teruskan…”
“Bukan
apa, apabila saja aku masuk pintu pagar rumah engkau, aku merasai kehadiran
sesuatu. Apabila sudah masuk, ternyata aku lihat ada syaitan yang tertawan di
siling-siling rumah engkau. Minta maaf…… maafkan aku, aku hanya mengkhabarkan
sesuatu yang benar.”
“Ia ke?
Tetapi aku dah pagar rumah ni beberapa bulan yang lalu.”
“Benar,
itulah yang menyebabkan makhluk-makhluk tu tertawan di siling”. Ulas Rashid
sambil mendongak sebentar ke siling, kemudian merendahkan kembali pandangannya
ke lantai. “Tawadhu’ sungguh sahabat aku ni. Dulu zaman sekolah tak
pula macam ni. Baguslah.” bisik hati Zulkifli. Rashid meneruskan dengan suara
yang rendah:
“Dulu
apabila kamu memagar rumah ini, ia berjaya menahan syaitan dari masuk ke dalam.
Akan tetapi makhluk yang sudah sedia ada di dalam, mereka tidak dapat keluar.
Mereka tertawan di siling.”
‘Ia ke?
Patutlah aku rasa macam ada orang lain dalam rumah ni, tetapi aku buat-buat tak
layan la. So … sekarang macam nak halau yang tertawan di siling tu?”
Rashid
menjeling ke jam tangan Radonya. “Hmmm, aku ada appointment pukul
10 nanti di rumah hujung sana untuk halau syaitan. Aku tersampai awal, sebab
itu aku singgah rumah engkau dulu, nak tengok rakan lama. Khidmat aku lazimnya
setengah jam saja. Apa kata pukul 11 nanti aku singgah semula dan halau yang
tertawan di siling tu?”
“Fuyoo!
Engkau ini macam orang profesional saja?”
“Allah
mengurniakan kepada hamba-Nya yang terpilih kedudukan masing-masing. Ada yang
menjadi doktor, ada yang menjadi jurutera. Aku Allah pilih untuk menghalau
makhluk yang mengganggu para hamba-Nya. Profesional tu taklah, tetapi hari ini
aku ada lima appointment. Jadi bila aku datang pukul 11 nanti, tak
perlu sediakan makanan. Aku kena cepat, pukul 2 petang ada appointment lain.”
“Orait!
Gua tabik sama lu! Hmmm… engkau ada yuran ke?
“Terima
kasih kerana bertanya. Biasanya tiga ratus ringgit. Tetapi kawan punya pasal,
dua ratus cukuplah.”
“Orait
set! Aku tunggu engkau pukul 11 ya!”
Dalam
contoh di atas, Rashid ialah agen syaitan. Bukan sebarangan agen, tetapi agen
yang profesional. Agen-agen seperti ini banyak yang dikader oleh syaitan.
Mereka menziarahi rumah, kedai, pejabat, kilang atau asrama, lalu memberi
nasihat kepada para penghuninya tentang kehadiran syaitan, kemudian menawarkan
khidmat menghalaunya. Apabila para penghuni menaruh keyakinan kepada agen-agen
tersebut untuk menghalau syaitan dengan sekian jampi-jampian dan tangkal,
tercapailah objektif syaitan untuk menyesatkan para penghuni tersebut.
Terdapat
beberapa cara untuk membuktikan bahawa yang menziarah itu ialah agen-agen
syaitan:
1. Dia
akan mendakwa melihat atau mengetahui kehadiran syaitan di rumah anda. Ini
adalah pendustaan kerana syaitan adalah ghaib, ia tidak dapat dikesan oleh
deria manusia.
2. Dia
akan menawarkan khidmatnya untuk menghalau syaitan tersebut. Tawaran ini
memusykilkan. Mengapa minta izin? Teruslah menghalaunya. Tawaran ini tidak lain
seumpama orang yang nampak pencuri yang sedang berusaha memasuki rumah
jirannya. Dia tidak terus menghalau pencuri itu, sebaliknya menalifon jirannya
meminta izin: “Mat, aku nampak ada pencuri sedang cuba buka pintu belakang
rumah engkau. Engkau nak ke khidmat aku untuk menghalaunya?”. Di sini mungkin
ada yang berpendapat, permintaan izin dilakukan terlebih dahulu kerana mungkin
syaitan yang dimaksudkan adalah peliharaan tuan rumah. Pendapat ini dijawab:
Bolehkah anda membeza antara pencuri yang sedang cuba membuka pintu dan anak
jiran yang sedang cuba membuka pintu? Tentu boleh. Maka demikianlah juga, jika
orang itu benar-benar dapat melihat syaitan, dia akan dapat membezakan sama ada
itu adalah peliharaan atau tetamu yang tidak dijemput.
3. Jika
seseorang itu benar-benar dapat menghalau syaitan, maka syaitan akan lari
sebelum dia menghalau mereka. Ini kerana syaitan amat takut kepada orang yang
ikhlas dalam beragama, kuat imannya, teguh ketakwaannya, menjadikan al-Quran
sebagai panduan hidup dan al-Sunnah sebagai jalannya. Hanya orang seperti ini
yang mampu menghalau syaitan. Akan tetapi dia tidak perlu menghalaunya kerana
syaitan itu sendiri akan menjauhkan diri darinya. Maka jika orang seperti ini
masuk ke dalam sebuah rumah yang dihuni syaitan, syaitan-syaitan itu akan serta
merta lari bertempiaran.
4. Dia
akan menampilkan sifat-sifat rendah diri dan beragama. Sifat-sifat ini adalah
solekan semata-mata untuk meraih keyakinan penghuni rumah. Yang menjadi ukuran
ialah tindak tanduknya sama ada menepati Al-Quran dan Al-Sunnah atau tidak.
Adapun sifat mahupun perkataannya, Allah Subhanahu wa Taala telah
mengingatkan kita:
“Dan di antara manusia ada orang yang tutur katanya mengenai hal
kehidupan dunia, menyebabkan engkau tertarik hati (mendengarnya), dan dia
(bersumpah dengan mengatakan bahawa) Allah menjadi saksi atas apa yang ada
dalam hatinya, padahal dia adalah orang yang amat keras permusuhannya
(kepadamu).”
[al-Baqarah
2:204]
5. Seandainya
benar rumah tersebut dihuni syaitan, orang yang mengetahuinya akan mengajar
para penghuni rumah cara-cara menghalaunya. Ini kerana cara-cara untuk menghalau
syaitan hendaklah dilaksanakan sendiri oleh orang yang menghuni rumah tersebut.
Jika dilaksanakan oleh orang lain yang hanya menziarah sekadar setengah jam,
syaitan akan kembali sebaik saja orang itu balik. Ingat! Syaitan tidak jahil
tetapi manusialah yang jahil.
Apa dan
bagaimana cara-cara menghalau syaitan tersebut? Ikutilah bab seterusnya insya-Allah. Sebelum
itu ingin ditarik perhatian para pembaca sekalian bahawa cara syaitan
melaksanakan tipu daya-tipu dayanya bukanlah secara serta-merta, akan tetapi
secara bertahap-tahap. Jika syaitan melakukannya dengan serta-merta, ia tahu
umat Islam akan mudah menangkap tipu daya tersebut. Dalam ayat 64 surah
al-Isra’, Allah Subhanahu wa Taala berfirman berkenaan
syaitan:
Dan bertahap-tahaplah dalam
memujuk sesiapa yang engkau dapat dengan suaramu dan kerahlah
penyokong-penyokongmu…
[al-Isra’
17:64]
[1] Yang saya maksudkan dengan
kitab-kitab klasik (turats) yang dikarang pada zaman awal Islam hingga
ke zaman pertengahan. Kitab-kitab ini dikarang dengan nilai sastera yang tinggi
dan dengan gaya bahasa serta istilah yang perlu difahami mengikut kriteria
pengarang itu sendiri. Ia berbeza dengan kitab-kitab yang dikarang pada zaman
mutakhir di mana bahasanya adalah mudah dan lancar.
[2] Lebih lanjut rujuk dua risalah
saya yang berjudul Adab-Adab Menuntut Ilmu Agama dan Unsur-Unsur
Yang Merosakkan Ilmu Agama yang dimuatkan dalam buku Himpunan
Risalah Dalam Beberapa Persoalan Ummah (Buku 5) terbitan Jahabersa,
Johor Bahru.
[3] Sengaja saya menggunakan ayat
“Yang kita tujukan zikir” kerana kelihatannya banyak orang yang berzikir
menujukan zikirnya kepada sesuatu selain Allah swt. Atas tujuan selain Allah
swt inilah kita dapati pada masa kini ada orang berzikir dengan susunan kalimah
dan jumlah bilangan yang tersendiri atau berdasarkan tunjuk ajar guru
tersendiri. Bahkan ada yang menggunakan zikir sebagai tangga bagi mencapai
kedudukan (maqam) yang lebih tinggi.
Berzikir
ialah ibadah untuk mengingati Allah swt. Sebagai satu bentuk ibadah, hendaklah
kita mengingati Allah swt sebagaimana Allah swt menghendaki diri-Nya diingati.
Allah swt bukanlah rakan sebilik asrama, teman sekerja, pasangan hidup atau
ahli keluarga yang dengan itu kita boleh mengingati-Nya dengan cara yang
direka-reka sendiri. Sebaliknya Allah swt ialah Tuhan yang tidak mampu untuk
kita ukur dan ketahui cara untuk mengingatinya. Atas dasar inilah Allah swt
telah mengajar kalimah-kalimah zikir dan jumlah bilangannya melalui lisan
Rasul-Nya Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam.
[4] Lebih lanjut tentang hukum
menggunakan tangkal dan jampi-jampian, rujuk buku saya 11 Perkara Yang
Mencemari Kemurnian Tauhid, terbitan Jahabersa, Johor Bahru.
[5] Kenapa ia disebut Ahl
al-Sunnah wa al-Jama’ah dan mengapa ia tidak dianggap sebagai salah
satu dari jalan syaitan? Jawapannya boleh ditemui dalam buku saya yang
berjudul Marilah Berkenalan Dengan Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah terbitan
Jahabersa, Johor Bahru.
[6] Sahih: Dikeluarkan
oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2018 (Kitab
al-Asyrabah, Bab adab makan dan minum…).
[7] Dalam bab ini terdapat sebuah
hadis yang mengajar doa sebelum makan:
اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيمَا
رَزَقْتَنَا، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، بِاسْمِ اللَّهِ.
“Ya Allah, berkatilah bagi kami apa yang Engkau rezekikan kepada
kami dan peliharalah kami dari azab neraka. Bismillah.” Hadis ini dikeluarkan oleh
al-Thabarani dan Ibn al-Sunni, sanadnya memiliki kecacatan yang parah dan ia
dinilai dha‘if jiddan oleh Syaikh ‘Amr bin ‘Ali Yasin dalam
semakannya ke atas Kitab al-Adzkar li al-Nawawi (Dar Ibn
Khuzaimah, Riyadh, 2001), hadis no: 674(Zikir-zikir ketika makan dan minum).
[8] Lebih lanjut tentang maksud
bidaah, kriteria membezakan antara sunnah dan bidaah serta bahaya-bahaya bidaah
kepada Islam dan umatnya, sila rujuk buku saya Marilah Berkenalan
Dengan Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah terbitan Jahabersa, Johor Bahru.
[9] Hasan: Dikeluarkan
oleh al-Tirmizi dan dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih Sunan
al-Tirmizi, hadis no: 2396 (Kitab al-Zuhud, Bab berkenaan sabar
terhadap bala’).
[10] Sahih: Dikeluarkan
oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2813-2(Kitab Sifat
al-Qiyamah wa al-Jannah…, Bab gangguan syaitan dan pengutusan tenteranya…).
Rujukan:
http://www.hafizfirdaus.com/ebook/Tipudaya/keempat.htm
RRR
Tiada ulasan:
Catat Ulasan