Nik Mustapha Bin Nik Hassan
Timbalan Ketua Pengarah
Untuk membimbing individu dalam urusan bermasyarakat dan bernegara ke semua kumpulan termasuk ahli politik, korporat, dan pentadbir, mereka perlu berusaha menghayati akhlak mulia dalam menjalani tugasan dan kehidupan mereka. Islam mempunyai asas akhlaknya yang tersendiri. Asas akhlak Islam bersumber daripada semangat falsafah tauhid. Akhlak membicara mengenai sistem perilaku yang telah ditentukan oleh ALLAH SUBHANAHU WA TAALA untuk manusia dalam menjalani kehidupannya. Justeru itu ke semua kegiatan individu dalam urusan bermasyarakat mengikut Islam perlu menepati garis akhlak yang telah ditentukan oleh ALLAH SUBHANAHU WA TAALA. Kemampuan individu mengharmonikan segala aspek kelakuannya mengikut panduan akhlak akan membimbing individu tersebut kepada keserasian hidupnya dengan fitrah kejadiannya. Natijah dari keserasian tersebut yang memampukan individu tersebut memperoleh kemuliaan dan kejayaan hidup di dunia dan seterusnya di alam akhirat.
Oleh itu, pembentukan individu dan masyarakat berakhlak sangat dianjur oleh Islam. NABI MUHAMMAD SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM diutuskan untuk menyempurna akhlak manusia. Penyempurnaan akhlak manusia dalam kesemua urusan hidup mengikut Islam adalah syarat awal untuk menjamin masyarakat kepada kecemerlangan dalam ke semua aspek kegiatan, termasuk usaha dalam membangun negara.
“Satu kajian berkaitan kepercayaan agama yang membicarakan tentang kebenaran dan kebatilan berkaitan sesuatu amalan dan ia bukan sekadar sebagai satu bidang ilmu. Matlamat utama akhlak ialah untuk mempengaruhi kelakuan sebenar seseorang individu. Setiap amalan baik individu adalah untuk menyuci jiwa dirinya semoga ia memperoleh pembalasan yang baik di alam akhirat. Kelakuan berakhlak adalah persamaan dengan tuntutan agama. Makin beramal seseorang individu dengan ajaran agama makinlah berakhlak individu tersebut.²Mengikut Imam Al Ghazali akhlak adalah,
(Asy-Syams: 9-10)²Ilmu berkaitan dengan roh, sifat-sifatnya dan ciri kelakuan manusia.
Beliau dengan tegas menyatakan bahawa akhlak adalah suatu ilmu amalan yang terpenting. Bagi beliau seseorang yang gagal membimbing jiwanya tidak akan mampu mentadbir urusan kehidupan orang lain. Beliau menyarankan bahawa kemantapan akhlak mesti bermula dengan kefahaman berkaitan dengan jiwa, kuasanya dan sifat-sifatnya. Menguasai ilmu tersebut merupakan syarat awal untuk menyuci jiwanya sebagaimana yang disarankan oleh al Quran: “Sesungguhnya berjayalah orang yang menyucikan jiwanya; Dan sesungguhnya hampalah orang yang mengotorinya. Seterusnya Al Ghazali menerangkan bahawa akhlak juga adalah Manusia pada fitrahnya mengandungi sifat malakiah dan bahimiah. Kedua-dua sifat yang sedia wujud pada diri manusia adalah penting untuk dibangunkan. Islam tidak menganjur kepada penghapusan sifat bahimiah dalam manusia. Bahkan Islam mahu sifat bahimiah ini terus dibina dengan menuntut sifat malakiah mendidik dan membimbing sifat bahimiah. Sifat bahimiah menyediakan tenaga untuk manusia bergiat dan membuat perubahan dan sifat malakiah menjamin bahawa perubahan tersebut mengikut nilai akhlak yang dapat membawa kepada kemajuan mutlak tercapai.
Shah Waliullah, seorang ulama dalam abad ke lapan belas ada mengutara beberapa pokok asas akhlak yang dapat mengarah manusia bermasyarakat dan bernegara ke mercu kemuliaan, iaitu ke arah kemampuan menterjemah keadilan dalam kesemua urusan kehidupan manusia hingga terbangunnya sebuah peradaban yang tinggi. Empat ciri asas akhlak tersebut adalah berikut:
• Taharah – Penyucian diri manusia dalaman dan luaran. Individu Muslim digalakkan memiliki kesucian hati dan kebersihan luaran. Kesucian hati meliputi nilai akhlak yang murni seperti amanah, jujur, ikhlas, penyayang dan sebagainya. Kebersihan luaran meliputi sikap yang positif seperti, disiplin, pemakaian yang kemas dan bersih, dan pertuturan yang mempamerkan kesahsiah yang tinggi dan sebagainya. Memiliki nilai dalaman dan luaran yang tersebut menjadi seseorang individu dapat menjalani urusan bermasyarakat dengan berkesan dan penuh disiplin. Sifat keperibadian individu yang mulia ini akan dapat memainkan peranan yang positif kepada kegiatan kehidupan yang diceburi.
Asas ini mampu dibina melalui amalan ibadat yang diwajibkan dan amalan sunat tambahan seperti solat tahajud, solat witir, berzikir dan sebagainya, khususnya pada larut malam hingga hampir pagi. Kesucian hati hanya akan dibina setelah hubungan erat dengan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA kerap diamalkan.
• Ikhbat – Menegap kebenaran melalui ketaatan kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA. Patuh dan cinta kepada kebenaran adalah satu daripada akhlak induk. Mereka yang tidak patuh kepada Allah swt menolak kebenaran walaupun ia yakin sesuatu itu benar. Sifat ini meletakkan nilai peribadi manusia supaya sentiasa taat dengan penuh keyakinan bahawa tindakan menegak kebenaran adalah sesuatu yang positif dan produktif kepada kemajuan diri dan segala urusan kehidupannya termasuk menjalani urusan membangun negara. Justeru itu keilmuan dan kefahaman yang benar akan mengawasi pandangan hidup dan segala tindak tanduk individu semoga kesemua tindak tanduk tersebut menepati arahan Illahi.
Kealpaan dalam mendukung kebenaran manghasilkan individu yang munafik. Iaitu individu yang mana tindakannya berbeza dengan apa yang dilafazkan. Jika sifat ini menjadi budaya dalam sesebuah masyarakat, ia adalah petanda awal kepada kemusnahan masyarakat terbabit.
• Samahah – Sifat bertolak ansur, pemurah hati dan pemaaf. Sifat ini sangat perlu dalam hidup bermasyarakat dan bernegara. Keutuhan dan kestabilan dalam sistem bernegara akan dapat dicapai jika sifat ini diamalkan oleh setiap ahli masyarakat. Semangat kerjasama dan muafakat dalam melaksana urusan kehidupan bermasyarakat adalah faktor yang membawa kepada kestabilan yang seterusnya ke arah pencapaian kemajuan masyarakat negara. Masyarakat yang penuh dengan emosi yang di pengaruhi oleh nafsu bahimiah dan tidak memiliki sifat penyayang sukar untuk bekerjasama dalam mengendali urusan kehidupan. Kemajuan sesebuah tamadun adalah usaha bersama oleh setiap individu. Ini menepati sifat tabii kemanusiaan yang memiliki ciri manusia sosial. Justeru itu sifat samahah adalah asas akhlak yang membawa kepada suasana yang harmoni dalam mengendali urusan masyarakat dalam sesebuah negara.
• Adalah – Bersifat insaf dan adil. Menghayati semangat keadilan dalam kesemua aspek kehidupan merupakan kemuncak kepada pembinaan tamadun manusia hasil daripada penghayatan ketiga-tiga asas akhlak terdahulu seperti taharah, ikhbat dan samahah dan yang di miliki oleh seseorang manusia. Keempat-empat asas akhlak ini berhubung rapat dan sifat adil adalah paling di kehendaki oleh syariat.
ALLAH SUBHANAHU WA TAALA berfirman dengan maksud
“Sesungguhnya ALLAH menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan ALLAH melarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran.”
(Surah 16 AN NAHL : 90)
Ciri asas akhlak di atas jika diamal dan disepadukan dalam kesemua amalan kegiatan manusia termasuk kegiatan membangun masyarakat dan negara akan membolehkan kemajuan dan kejayaan iaitu kemampuan melaksanakan keadilan dalam menjalankan tugas. Kecapaian pelaksanaan semangat keadilan dalam penyelenggaraan setiap amalan pembangunan masyarakat merupakan kemuncak keutuhan sistem bermasyarakat dan bernegara, dan merupakan syarat awal kepada pembangunan sesebuah tamadun manusia.
Dalam usaha individu dan masyarakat menghayati nilai keadilan, gulungan yang berilmu dikalangan masyarakat hendak memainkan peranan yang berkesan. ALLAH SUBHANAHU WA TAALA berfirman dengan maksud:
“ALLAH mengakui bahawa sesungguhnya tidak ada Tuhan selain daripadaNya dan malaikat mengakui dan orang-orang berilmu yang tegak dengan keadilan.”
(Surah 3 ALI IMRAN : 18)
Malangnya pada masa kini pada umumnya masyarakat memahami akhlak sebagai kelakuan baik yang menghasilkan kelakuan individu yang boleh diumpamakan seperti individu yang lurus dan betul bendul. Pemahaman yang sedemikian akan gagal memberi pengertian yang tepat tentang pentingnya akhlak dalam membangun masyarakat. Jika asas akhlak difahami secara falsafah seperti yang dihujahkan oleh Shah Waliullah sudah pasti usaha ke arah pemantapan akhlak individu akan menjana ke arah kewujudan tamadun manusia yang mulia dan berdaya maju. Nilai kemanusiaan sejati yang dituntut oleh Islam seperti mendukung keadilan dan memupuk kasih sayang di kalangan umat manusia akan menjadi suatu pendekatan kepada pembangunan masyarakat semasa.
Dari perspektif kemajuan ekonomi dan pembangunan negara pendekatan yang diambil menepati semangat falsafah akhlak Islam akan menjurus kepada pembangunan ekonomi dicapai melalui pendekatan keadilan sosial. Keadilan sosial di sini bererti usaha ke arah pembasmian kemiskinan diberi keutamaan. Ia diikuti dengan penghapusan segala unsur kezaliman dalam perjalanan aktiviti ekonomi. Usaha ini akan mengurang jurang perbezaan di antara yang kaya dan yang kurang bernasib baik. Turut diberi perhatian menepati semangat keadilan ialah kemampuan negara meningkat keberkesanan dalam pengaliran harta kekayaan negara semoga lebih banyak peluang ekonomi dapat dicetus. Ini sekaligus menyelesaikan masalah penggangguran. Pendekatan keadilan sosial dalam membangun ekonomi negara akan menjana kepada pertumbuhan ekonomi dengan disertai kemakmuran dan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan tercapai.
Rujukan:
http://www.ikim.gov.my/v5/index.php?lg=1&opt=com_article&grp=7&sec=&key=1907&cmd=resetall
Tiada ulasan:
Catat Ulasan