Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas ra katanya: Rombongan Abdul Qais telah datang berjumpa RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM lalu berkata: Wahai RASULULLAH! Kami berasal dari perkampungan Rabi'ah. Hubungan kami dan engkau terhalang oleh orang-orang kafir Bani Mudhar. Oleh itu kami tidak dapat datang menemuimu kecuali pada bulan Haram iaitu bulan Zulkaedah, Zulhijah, Muharam dan Rejab.
Oleh yang demikian, perintahkanlah kami dengan sesuatu yang mampu kami lakukan dan kami sampaikan kepada orang lain. Lalu RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM bersabda: Aku memerintahkan kamu empat perkara dan melarang kamu empat perkara. Iaitu beriman kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA. Kemudian baginda menjelaskannya kepada mereka. RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM bersabda lagi: Mengucap Dua Kalimah Syahadah iaitu: لا إله إلا الله وأن محمدا رسول الله mendirikan solat, mengeluarkan zakat dan mengeluarkan satu perlima dari harta rampasan perang. Manakala aku melarang kamu dari arak Dubba' (arak yang disimpan di dalam bekas yang diperbuat dari labu), arak Hantam (arak yang disimpan di dalam bekas yang diperbuat dari tanah, rambut dan darah), arak Naqier (arak yang disimpan di dalam bekas yang diperbuat dari batang pokok selepas memahatnya) dan arak Muqayyar (arak yang disimpan di dalam bekas yang diperbuat dari bekas yang dilumur dengan tar).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan