Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani
Surah ini terdiri atas 11 ayat, termasuk golongan surah Makkiyah dan diturunkan sesudah surah Al Fajr. Nama Adh Dhuhaa diambil dari kata yang terdapat pada ayat pertama, ertinya : waktu matahari sepenggalahan naik.
Pokok-pokok Isinya:
Allah swt. sekali-kali tidak akan meninggalkan Nabi Muhammad saw. Isyarat dari Allah swt bahawa kehidupan Nabi Muhammad saw dan dakwahnya akan bertambah baik dan berkembang; larangan menghina anak yatim dan mengherdik orang-orang yang minta-minta dan perintah menyebut-nyebut nikmat yang diberikan Allah sebagai tanda bersyukur.
BEBERAPA NIKMAT YANG DIANUGERAHKAN KEPADA NABI MUHAMMAD SAW.
1. Demi waktu matahari sepenggalahan naik,
Dalam suatu riwayat dikemukakan bahawa Rasulullah merasa kurang enak badan sehingga tidak solat malam 1 atau 2 malam. Datanglah seorang wanita yang berkata kepadanya: "Hai Muhammad aku melihat syaitanmu (yang dimaksud syaitan oleh wanita itu ialah Jibril), telah meninggalkan engkau." Maka Allah menurunkan ayat ini (S.93:1-3) yang menegaskan bahawa Allah tidak membiarkan Muhammad saw dan tidak membencinya.
(Diriwayatkan oleh as-Saykhani dan lainnya yang bersumber dari Jundub.)
Dalam riwayat lain dikemukakan bahawa Jibril untuk beberapa lama tidak datang pada Nabi saw. Berkatalah kaum musyrikin: "Muhammad telah ditinggalkan." Maka turunlah ayat ini (S.93:1-3) yang membantah ucapan-ucapan mereka.
(Diriwayatkan oleh Sa'id bin Mansyur dan Al-Faryabi yang bersumber dari Jundub.)
2. dan demi malam apabila telah sunyi (gelap),
3. Tuhanmu tiada meninggalkan kamu dan tiada (pula) benci kepadamu[1581].
4. Dan sesungguhnya hari kemudian itu lebih baik bagimu daripada yang sekarang (permulaan)[1582].
[1582]. Maksudnya ialah bahawa akhir perjuangan Nabi Muhammad s.a.w. itu akan menjumpai kemenangan-kemenangan, sedang permulaannya penuh dengan kesulitan-kesulitan. Ada pula sebahagian ahli tafsir yang mengertikan akhirat dengan kehidupan akhirat beserta segala kesenangannya dan ula dengan erti kehidupan dunia.
5. Dan kelak Tuhanmu pasti memberikan kurniaNya kepadamu , lalu (hati) kamu menjadi puas.
6. Bukankah Dia mendapatimu sebagai seorang yatim, lalu Dia melindungimu?
7. Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang bingung[1583], lalu Dia memberikan petunjuk.
[1583]. Yang dimaksud dengan bingung di sini ialah kebingungan untuk mendapatkan kebenaran yang tidak boleh dicapai oleh akal, lalu Allah menurunkan wahyu kepada Muhammad s.a.w. sebagai jalan untuk memimpin ummat menuju keselamatan dunia dan akhirat.
8. Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang kekurangan, lalu Dia memberikan kecukupan.
9. Sebab itu, terhadap anak yatim janganlah kamu berlaku sewenang-wenang.
10. Dan terhadap orang yang minta-minta, janganlah kamu mengherdiknya.
11. Dan terhadap nikmat Tuhanmu, maka hendaklah kamu siarkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan