Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani
Surah Al Bayyinah terdiri atas 8 ayat, termasuk golongan surah-surah Madaniyah, diturunkan sesudah surah Ath Thalaq. Dinamai Al Bayyinah (bukti yang nyata) diambil dari perkataan Al Bayyinah yang terdapat pada ayat pertama surah ini.
Pokok-pokok isinya:
Penyataan dari ahli Kitab dan orang-orang musyrik bahawa mereka akan tetap dalam agamanya masing-masing sampai datang nabi yang telah dijanjikan oleh Tuhan. Setelah Nabi Muhammad s.a.w. datang, mereka terpecah belah, ada yang beriman dan ada yang tidak, padahal Nabi yang datang itu sifat-sifatnya sesuai dengan sifat-sifat yang mereka kenal pada kitab-kitab mereka dan membawa ajaran yang benar iaitu ikhlas dalam beribadah, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat.
AHLI KITAB BERPECAH BELAH MENGHADAPI MUHAMMAD S.A.W. SEDANG AJARAN YANG DIBAWANYA ADALAH WAJAR.
1. Orang-orang kafir yakni ahli Kitab dan orang-orang musyrik (mengatakan bahawa mereka) tidak akan meninggalkan (agamanya) sebelum datang kepada mereka bukti yang nyata,
2. (iaitu) seorang Rasul dari Allah (Muhammad) yang membacakan lembaran-lembaran yang disucikan (al-Quran),
3. di dalamnya terdapat (isi) Kitab-kitab yang lurus[1594].
[1594]. Yang dimaksud dengan isi kitab-kitab yang lurus ialah isi kitab-kitab yang diturunkan kepada nabi-nabi seperti Taurat, Zabur, dan Injil yang murni.
4. Dan tidaklah berpecah belah orang-orang yang didatangkan Al Kitab (kepada mereka) melainkan sesudah datang kepada mereka bukti yang nyata.
5. Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepadaNya dalam (menjalankan) agama yang lurus[1595], dan supaya mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat; dan yang demikian itulah agama yang lurus.
[1595]. Lihat no. [201].
[201]. Lurus bererti jauh dari syirik (mempersekutukan Allah) dan jauh dari kesesatan.
6. Sesungguhnya orang-orang yang kafir yakni ahli Kitab dan orang-orang yang musyrik (akan masuk) ke neraka Jahanam; mereka kekal di dalamnya. Mereka itu adalah seburuk-buruk makhluk.
7. Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, mereka itu adalah sebaik-baik makhluk.
8. Balasan mereka di sisi Tuhan mereka ialah syurga 'Adn yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah redha terhadap mereka dan merekapun redha kepadaNya. Yang demikian itu adalah (balasan) bagi orang yang takut kepada Tuhannya.
Dalam surah ini Allah menerangkan bahawa ajaran Muhammad s.a.w. adalah ajaran yang benar dan agama yang dibawanya adalah agama yang lurus yang mencakup pokok-pokok ajaran yang dibawa nabi-nabi yang dahulu.
HUBUNGAN SURAH AL BAYYINAH DENGAN SURAH AZ ZALZALAH
HUBUNGAN SURAH AL BAYYINAH DENGAN SURAH AZ ZALZALAH
Pada surah Al Bayyinah diterangkan orang yang akan mendapat balasan yang baik dan orang yang akan mendapat siksa, sedang surah Az Zalzalah menerangkan bila datangnya balasan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan