Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani
Surah Al Qadr terdiri atas 5 ayat, termasuk golongan surah-surah Makkiyah, diturunkan sesudah surah 'Abasa. Surah ini dinamai Al Qadr (kemuliaan), diambil dari perkataan Al Qadr yang terdapat pada ayat pertama surah ini.
Pokok-pokok isinya:
Al Quran dimulai diturunkan pada malam Lailatul Qadr, yang nilainya lebih dari seribu bulan; para malaikat dan Jibril turun ke dunia pada malam Lailatul Qadr untuk mengatur segala urusan.
KEMULIAAN LAILATUL QADR.
1. Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan[1593].
[1593]. Malam kemuliaan dikenal dalam Bahasa Melayu dengan malam Lailatul Qadr iaitu suatu malam yang penuh kemuliaan, kebesaran, kerana pada malam itu permulaan turunnya al-Quran.
Dalam suatu riwayat dikemukakan bahawa Nabi saw. bermimpi melihat Bani Umaiyah menduduki dan menguasai mimbarnya setelah beliau wafat. Beliau merasa tidak senang kerananya. Maka turunlah S.108:1, dan S.97:1-5) untuk membesarkan hati beliau.
(Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi dan al-Hakim dan Ibnu Jarir yang bersumber dari al-Hasan bin Ali.)
Keterangan:
Al-Qasim al-Hirani menyatakan bahawa kerajaan Bani Umaiyah itu ternyata berlangsung tidak lebih dan tidak kurang dari 1000 bulan. Menurut at-Tirmidzi, riwayat ini Gharib sedang al-Muzani dan Ibnu Katsir menyebutnya sangat munkar.
Dalam suatu riwayat dikemukakan bahawa Rasulullah saw. pernah menyebut-nyebut seorang Bani Israil yang berjuang fisabilillah menggunakan senjatanya selama seribu bulan terus menerus. Kaum muslimin mengagumi perjuangan orang tersebut. Maka Allah menurunkan S.97:1-3, bahawa satu malam lailatul qadr lebih baik daripada perjuangan Bani Israil selama 1000 bulan.
(Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dan al-Wahidi yang bersumber dari Mujahid.)
(Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dan al-Wahidi yang bersumber dari Mujahid.)
Dalam riwayat lain dikemukakan bahawa di zaman Bani Israil terdapat seorang lelaki yang beribadah malam hari hingga pagi dan berjuang memerangi musuh pada siang harinya. Perbuatan itu dilakukan selama seribu bulan. Maka Allah menurunkan S.97:1-3 yang menegaskan bahawa satu malam lailatul qadr lebih baik daripada amal 1000 bulan Bani Isra'il tersebut.
(Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir yang bersumber dari Mujahid.)
2. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu?
3. Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan.
4. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan.
5. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar.
Pada surah al Qadr ini diterangkan bahawa permulaan al Quran diturunkan ialah pada malam lailatul Qadr dan diterangkan juga ketinggian malam lailatul Qadr itu.
HUBUNGAN SURAH AL QADR DENGAN SURAH AL BAYYINAH
Surah al Qadr menerangkan tentang permulaan al Quran diturunkan, sedang surah al Bayyinah menerangkan salah satu sebab Allah menurunkan al Quran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan