Dalam surah al-Hujurat (49), ayat 11,
jelas umat Muslim dituntut untuk tidak “mencemuh serta merendah-rendahkan,”
“menyatakan keaiban” serta “panggil-memanggil dengan gelaran yang buruk”
terhadap orang lain.
Mungkin atas dasar ini, RASULULLAH
SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM
memperingatkan umat Muslim supaya menjaga lidah (tuturkata) mereka. Sabda
Baginda yang bermaksud:
“Demi Tuhan yang tidak
ada selainNya, tidak ada sesuatu di atas muka bumi yang lebih wajar
dipenjarakan dalam jangka masa yang lama selain dari lidah.”
(HR al-Tabrani)
Al-Ghazzali dalam buku bertajuk
“Peribadi Muslim” mengingatkan kita bahawa kebolehan bertuturkata merupakan
satu anugerah atau nikmat daripada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA. Dengan nikmat ini,
manusia dapat membezakan dirinya dengan makhlukNya yang lain. Oleh itu,
nikmat yang ada ini seharusnya dipelihara dan digunakan dengan cara yang baik.
Kegagalan kita mengawal apa yang ingin
diperkatakan sebenarnya mengundang banyak masalah. Pertamanya, ia menggambarkan
keperibadian pencela itu sendiri. Si penutur yang gemar menggunakan perkataan
tidak baik sebenarnya secara terang “menelanjangi” diri atau akhlaknya yang
bermasalah. Seperti kata al-Ghazzali, “…perkataan
yang lahir dari seseorang menggambarkan hakikat pemikiran dan tabiat budi
pekertinya.”
Bagaimana pula dengan keperibadian orang
lain? Bukankah cercaan itu akan menjatuhkan air muka orang lain?
Jika pencerca berasa bahagia dan kononnya sedang dalam keadaan “menang” apabila
melihat orang lain ditimpa musibah maka nampaknya pemimpin sebegini tidak layak
memimpin.
Bukan itu sahaja, bagi masyarakat awam,
pemimpin adalah contoh teladan kepada mereka. Jika pemimpin sering
bertuturkata dengan cara yang tidak berhemah, adakah ini bermakna masyarakat
umum harus meneladaninya? Bagi ahli masyarakat dewasa yang sudah faham dan
boleh berfikir, pasti akan menolak untuk mencontohi pemimpin sebegini.
Namun, bagaimana dengan kanak-kanak atau
golongan muda remaja? Golongan ini secara fitrahnya gemar “melakonkan”
semula apa yang lakukan atau diperkatakan oleh golongan dewasa. Jadi,
tidak mustahil kata-kata kesat yang dilontarkan itu menjadi “siulan” anak muda
pula. Dengan itu, ibubapa kini berhadapan dengan saat yang sukar untuk
menerangkan ketidakwajaran penggunaan perkataan kesat itu.
Malah, paling utama, para pemimpin
dilarang mencerca orang lain kerana akhirnya perbuatan itu hanyalah mencela
diri sendiri seperti mana yang disebut Hamka dalam Tafsir al-Azhar (Jilid 9)
bahawa: “… mencela orang
lain itu sama juga dengan mencela diri sendiri.” Dengan itu,
bolehkah kita juga menyatakan bahawa cercaan seorang pemimpin Muslim kepada
pemimpin yang lain sebenarnya adalah satu cercaan kepada umat Islam
keseluruhannya? Jika perkara ini dipersetujui maka tidakkah kita
sebenarnya sedang menghina saudara seagama kita sendiri?
Perbuatan cerca-mencerca ini juga
akhirnya akan membawa kepada permusuhan yang lebih teruk. Mulanya
mencerca, diikuti pula dengan tindakan kekerasan dan akhirnya mungkin boleh
sampai ke tahap mencederakan orang lain. Oleh itu, sebelum seseorang
pemimpin mengeluarkan kata-kata dari mulutnya, dia seharusnya memikirkan apakah
kesan perkataan tersebut bukannya hanya mengikut nafsu amarah.
Seharusnya, para pemimpin mempunyai
kebijaksanaan serta hemah yang tinggi dalam segala tindak-tanduknya.
Golongan bawahan pula pada setiap masa melihat dengan mata yang tajam akan
tindak-tanduk tersebut. Mereka ini tidak berhenti dengan sekadar melihat
tetapi mereka membuat penilaian terhadap tindak-tanduk itu.
Hakikatnya, seperti apa yang disebut
oleh Sayidina Ali bin Abi Talib dalam surat yang diutuskannya kepada Malik bin
a-Haris, sempena pelantikan beliau sebagai Gabenor Mesir pada tahun 655 H, “masyarakat
hanya memuji mereka yang melakukan perkara yang baik.”
Walaupun, ramai yang beranggapan bahawa
dirinya mempunyai hak untuk berkata apa sahaja, namun, bagi penulis hak
individu ini secara automatik gugur apabila individu tersebut mencerca sehingga
membawa musibah kepada dunia ini. Ini kerana hak yang wajar adalah hak
untuk berkata perkara yang baik iaitu berkata sesuatu yang membawa kebaikan-kebaikan
yang lain. Sebaliknya, jika hanya gemar bertutur negatif maka adalah
lebih baik dia diam sahaja. Ingatlah pesan RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI
WASSALLAM bahawa:
“Hendaklah kamu
bersenyap lama kerana ia menjauhkan syaitan dan membantu engkau dalam soal
agama.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan