Katalah salah seorang dari saudara saya Mat datang kepada
saya dan meminta bantuan kewangan iaitu pinjaman wang untuk membeli baju
sekolah anak-anaknya (yang juga sudah semestinnya saudara saya). Jumlah yang
mahu dipinjam adalah sebanyak RM100 dan Mat berjanji akan membayar balik secara
ansuran. Terdetik di dalam hati saya, "ni boleh buat duit ni, kalau
mintak faedah/bunga/riba' haram jadinya, baik aku ubah sikit."
Saya: "Okla Mat, macam ni je lah, sebenarnya dari
aku bagi kat engkau lebih baik aku letak kan tabung haji, bertambah gak duit
aku nanti, tapi sebab engkau saudara aku, jadi aku pinjamkan kepada engkau
tetapi dengan syarat.
Mat: "Syarat macam mana pulak tu?.
Saya: "Aku belikan baju untuk anak-anak engkau
dengan harga RM100 dan aku jual kepada engkau dengan RM120, lepas tu engkau
bayarlah bulan-bulan RM10 selama 12 bulan, bagaimana? setuju tak? Ini cara
islam yang mana aku berjual-beli dengan engkau dan bukan aku kenakan faedah,
kalau ada orang lain bertanya engkau cakaplah aku memberi pembiayaan kepada
engkau, jangan sebut pinjaman sebab itu nampak tak islamik."
Mat: "Baiklah, sebab aku terpaksa dan tak ada cara
lain lagi dah maka aku terima sahajalah syarat engkau tu lagi pun engkau dah
tolong aku maka aku pun kenalah tolong engkau jugak. Tapi eloklah kita berakad
untuk memastikan proses ini dikira pembiayaan dan jual beli."
Apa pendapat anda mengenai sifat saya jika kisah di atas
benar-benar berlaku? Bagaimana jika saya ubah tujuan untuk membeli baju anak
kepada membeli rumah untuk diri Mat dan anak-anak berlindung dengan pinjaman
RM100 ribu, saya jual balik kepada Mat dengan harga RM170 ribu (kadar riba' 6%
mengikut pasaran semasa) tetapi disebabkan Mat akan bayar selama 20 tahun maka
bayaran bulanan menjadi RM700.
Rujuk kepada kes pertama untuk Mat membeli baju anaknya,
letakkan diri anda di tempat saya, sebagai seorang saudara darah daging kepada
Mat, adakah anda sanggup melakukan begitu pada saudara sendiri, sanggup
menangguk di air keruh masih mahu menyedut 20 ringgit "darah" Mat dan
tidak mahu membantu dengan ikhlas? Jika Mat bukan saudara sedarah sedaging
sekalipun bukankah semua orang islam itu bersaudara, sanggupkah anda mengambil
untung dari kesusahan orang lain?
Jika kita rujuk kes kedua untuk membeli rumah pula, tiada
bezanya bagi mereka yang melabel "bank Islam" tetapi mahu memerah
keringat insan lain untuk mendapatkan keuntungan atas sebab terdesaknya manusia
terpaksa meminjam untuk membeli rumah. Yang membezakan adalah di zaman sekarang
ini membeli rumah bukan kerana terdesak, akan tetapi lebih kepada mentaliti
"beli lebih baik dari menyewa," untuk memastikan ada harta iaitu
rumah dengan nama sendiri (sedangkan S&P bank simpan) dan dicanang pulak
dengan iklan-iklan menawan hati oleh pemaju serta dialunkan pula dengan lagu
merdu pujukan dari pihak bank, maka membeli rumah itu adalah lebih kepada
desakan nafsu dan bukan desakan hidup. Di dalam kes kedua (contoh Mat membeli
rumah), 70 ribu "darah" Mat akan disedut hanya dengan goyang kaki
sebagai pelabur menunggu masa sahaja mendapat "keuntungan." Adakah wang
itu bersamaan dengan masa? Adakah risiko wujud di sini? Mat tak bayar, Mat kena
tendang, sanggupkah anda menendang keluar saudara sendiri? Letakkan diri anda
di tempat Mat, Sanggupkah anda diperlakukan sedemikian?
Apa bezanya jika kita sebagai individual dengan bank
memberi pinjaman dan meminta balasan dari pinjaman tersebut. Bank tidak akan
peduli kesusahan peminjam kerana mereka perlu memastikan "kebajikan"
pelabur. Disebabkan bank adalah institusi diiktiraf pemerintah maka pihak
berkuasa akan melakukan kerja menghalau bagi pihak pelabur. Sebab itu apabila
melabur di bank, pelabur tidak rasa bersalah kerana "kerja kotor" ini
dilakukan oleh pihak ketiga secara sah berdasarkan undang-undang sekular. Bagi
saya pula jika saya tidak suka orang lain mengambil kesempatan atas kesusahan
ke atas diri saya maka saya pun tidak mahu melakukan sedemikian kepada orang
lain kerana saya tahu ianya akan berbalik semula kepada diri saya sendiri satu
hari nanti baik di dunia mahupun di akhirat. Inilah salah satu sebab manusia
terpinga-pinga kehairanan mengapa manusia lain jahat atau mengambil kesempatan
ke atas diri mereka sedangkan mereka sendiri melakukannya tanpa sedar ke atas
orang lain.
Jika kita meng"islam"kan sekalipun konsep
memberi pinjaman tersebut dengan pusing sana dan pusing sini, bagi nama lain
"muserakah" atau "mudah rebah," pembiayaan dan bukan
pinjaman, berakadlah dan sebagainya, adakah anda sanggup menjadi lintah
menyedut darah saudara seislam sendiri? Kelintahan anda tidak jelas kelihatan
kerana ia berselindung di sebalik nama Islam itu sendiri.
Ini jika kita lihat diri kita sebagai pelabur, bagaimana
pula jika kita adalah Mat atau peminjam di dalam cerita ini? Ramai yang akan
berkata,
"tak mengapalah, pihak bank Islam kan berjual beli
dengan kita, lagi pun bank mahu membayar gaji pekerja-pekerjanya."
Ramai yang tidak sedar sebenarnya mereka telah
diper"hamba"kan oleh pihak bank untuk kepentingan korporat yang mana
pelabur kaya akan makin kaya dengan menyedut darah mereka yang terpedaya. Anda
boleh melihat betapa agresifnya sebuah bank islam tempatan yang dibeli sahamnya
oleh pelabur dari Timur Tengah, begitu rancaknya mereka bersaing dalam arena
"menyedut darah" masyarakat Islam di negara kita untuk memastikan
keuntungan korporat mereka.
Baik konvensional atau islamik, manusia tetap diperhambakan
oleh golongan bank ini, di sini kita boleh kategorikan dua jenis perhambaan
perhambaan yang berlaku,
1) Perhambaan fizikal yang mana setiap bulan selama 20-30 tahun atau berapa
tahun sekalipun tempoh pinjaman, peminjam akan menjadi pembayar yang setia
kepada bank walaupun rumah yang mereka beli itu terbengkalai ataupun harganya jatuh. Jika bank itu sebuah perniagaan
maka bank juga harus mengambil risiko kehilangan wang apabila projek
terbengkalai atau harga rumah jatuh dengan memulangkan kembali wang lebihan
bayaran selepas mengira harga rumah pada pasaran selepas tamat tempoh pinjaman.
Ini tidak, terbengkalai ke, harga jatuh ke, Islam tak Islam, bayar sampai
habis. Adakah ini suatu yang islamik atau sesuatu yang zalim atau menindas?
2) Perhambaan mental. Katalah anda mengambil pinjaman rumah dan kereta secara
Islamik, setiap bulan anda ada komitmen untuk membayar ansuran kepada bank.
Satu hari anda mendapati bos anda mengambil rasuah. Jika anda lapurkan kepada
pihak atasan, bos kamceng dengan pihak atasan, nak lapur pada BPR, bos anda ini
ahli politik ternama, jadi disebabkan anda takut kehilangan kerja yang mana
bayaran ansuran bulanan rumah dan kereta akan tersangkut, kemungkinan besar
anda hanya akan mendiamkan diri sahaja terhadap kemungkaran yang berlaku di depan
mata. Tindakan anda pasti akan berbeza jika anda tiada apa-apa komitmen untuk
dirisaukan. Ini hanyalah satu contoh kecil yang mana disebabkan hutang baik
islamik atau tidak, ramai antara kita yang sanggup menutup mata dari menghukum
kemungkaran. Bagi yang tidak beriman maka dia pun akan meneladani bosnya, bagi
yang masih ada saki baki iman, maka hiduplah di dalam keadaan tertekan, stress
dan sebagainya.
Sistem perbankan islamik diwujudkan selepas manusia
bertahun-tahun hidup di dalam keadaan stress dan tertekan dengan sistem
konvensional. Disebabkan sistem ekonomi ala barat ini semakin hari harga barang
semakin meningkat (walaupun sebenarnya nilai wang itu sendiri yang menyusut),
manusia terpaksa bersaing untuk mengumpul sebanyak wang yang mungkin untuk
menampung kenaikan harga barang dan semakin hari semakin tertekan.
Apabila hidup di dalam keadaan tertekan, keadaan "fight or flight" mentaliti manusia
menjadi lebih kepada kepentingan atau keselesaan individu (selfish) akan menyerlah berbanding dengan kepentingan kumpulan atau
masyarakat. Contoh yang paling nyata amat jelas sekali didalam kehidupan
seharian kita, lihat bagaimana umat Islam kita solat berjemaah hari ini,
masing-masing suka kepada keselesaan sendiri dan menjarakkan antara satu sama
lain sedangkan Nabi sudah berpesan agar rapat antara satu sama lain ketika
solat jemaah. Ini adalah antara kesan psikologi yang manusia tidak sedari
sedikit demi sedikit telah mempengaruhi kehidupan dari segi tingkah laku dan
perbuatan mereka, termasuklah dalam bab mencari kekayaan. Jadi mereka yang
Islam dan mahu menjadi semakin kaya akan memutarbelitkan sistem perbankan dan
mengislamkannya untuk memastikan duit mereka tidak hilang (kekal selesa),
sedangkan wang itu sendiri bukanlah suatu untuk diniagakan, malah pada pendapat
saya bank itu sendiri tidak perlu wujud sebenarnya. Jika perlu wujud sekalipun
hanyalah sebagai badan untuk mejaga kepentingan seluruh umat manusia dan bukan sebagai alat atau mekanisme untuk memastikan
kekayaan kepada golongan tertentu sahaja.
Hanya selepas 1100 tahun kedatangan Islam barulah wujud
"makhluk" yang dinamakan bank, dan siapa yang mengasaskannya? Tidak
lain adalah Yahudi yang mengawal ekonomi British dengan penubuhan Bank of
England pada abad ke 17. Dan dunia Islam yang telah lama hidup dengan sistem
riba' didikan barat ini hanya memutarbelitkan proses pinjaman dengan terma,
nama, akad dan sebagainya sedangkan prinsip disebaliknya adalah sama. Jangan
terkejut ada "Sheikh" British yang menentang sistem jajaan Yahudi
ini, siapakah "sheikh" tersebut? Tidak lain beliau adalah William
Shakespere menerusi karya klasiknya "Merchant of Venice". Ini antara
bukti kristian pada awal kurun ke 17-18 juga amat menentang riba' akan tetapi
sebab kawalan minda yang berkesan maka sedikit demi sedikit ianya lenyap dari
kamus keagamaan mereka.
Jika kita lihat wang
kertas itu sendiri, adakah nilai wang itu tersimpan di dalamnya? Adakah
nilainya disandarkan kepada emas dan kita sebagai rakyat boleh pergi ke bank
untuk menukarkan dengan emas? Mengapa inflasi tetap di dalam ekonomi? Mengapa
nilai wang semakin hari semakin menurun? Jika wang di dalam sistem kewangan
moden itu sendiri tidak wujud sebagai suatu yang nyata iaitu punyai nilai di dalamnya
maka bagaimana kita boleh me"niaga"kan suatu yang tidak jelas itu?
Seperti yang telah saya ceritakan di dalam artikel Cerita Wang 1, barat menakluk hampir ke semua negara di dunia
ini dan meninggalkan dua virus pemusnah manusia yang utama iaitu kerajaan
sekular dan juga sistem perbankan barat. Kerajaan sekular adalah kerajaan yang
menidakkan hukum Allah, apa yang diharamkan oleh Allah dihalalkan contohnya
riba, judi dan arak. Virus kedua pula adalah sistem kewangan berasaskan riba.
Dan apabila virus ini sudah menyelinap ke dalam salur darah masyarakat maka
mereka hanya perlu memberi arahan jarak jauh "remote control" sahaja
untuk mengawal sesuatu negara itu, tak percaya lihatlah hutang luar negara yang tak habis-habis dibayar dan sudah semestinyalah
beserta dengan ribanya sekali.
Pada pendapat saya bank tidak sepatutnya diwujudkan
sebagai perniagaan kerana wang bukanlah sesuatu yang sepatutnya diniagakan
lebih-lebih lagi apabila nilai wang itu tidak berada di dalam wang itu sendiri.
Nilai wang kita berada di dalam genggaman mereka yang mengawalnya iaitu Yahudi
laknatullah dan amat sedih sekali berapa ramai pemimpin kita yang sedar akan
keadaan ini?
Saya perhatikan di hospital kerajaan dengan hanya
membayar RM1 sahaja kita sudah boleh mendapat rawatan doktor, maka timbul
persoalan difikiran saya mengapa kerajaan tidak boleh memberi pinjaman tanpa
riba atau tanpa faedah kepada rakyat dengan mewujudkan bank yang beroperasi
sedemikian dan sebaliknya mengenakan jumlah sebenar kos perubatan kepada
rakyat? Bukankah tekanan atau stress itu penyebab utama peyakit merbahaya di negara
kita seperti sakit jantung dan darah tinggi yang mana jika dikaji kembali
puncanya adalah dari wang. Dan apabila saya berfikir lagi saya mendapat
jawapannya, kerana jika manusia tidak stress atau tertekan, mereka akan lebih
sihat jadi industri perubatan swasta tidak boleh mengaut darinya. Jika kekal
ikut cara biasa, dari bank boleh buat duit dan begitu juga dengan dari industri
perubatan swasta, maka semakin cepatlah yang kaya akan semakin kaya dan yang
miskin akan semakin miskin.
Seperkara lagi yang boleh difikirkan dalam bab menghalal
atau mengharamkan sistem pinjaman islamik ini, cuba perhatikan apakah faedah
yang akan didapati oleh mereka yang mencanangkan untuk menghalalkannya dan
faedah bagi mereka yang mengharamkannya. Jika sistem perbankan islamik ini
membayar gaji atau memberi pulangan dalam bentuk pelaburan kepada seseorang itu
adakah dia akan membantahnya? Bak kata pepatah barat;
"Kamu tidak akan menggigit tangan yang menyuapkan
makanan kepada kamu."
Cuba perhatikan pula mereka yang mencanangkan ianya haram.
Adakah mereka akan mendapat faedah dari pengharaman tersebut? Sheikh Imran
Hossein adalah antara ulama yang keras menentang cara yang diamalkan oleh
perbankan islam, apakah faedah yang akan beliau dapat dari usaha beliau? Pada
pendapat saya apa yang akan diperolehinya adalah pahala yang teramat banyak
dari Allah kerana beliau boleh "melihat" kemungkaran, kezaliman dan
penindasan yang berlaku di sebalik sistem yang kononnya Islamik itu.
Saya memohon ampun dan maaf kiranya ada rakan-rakan yang
marah atau terasa hati dengan artikel-artikel saya berkenaan riba terutamanya
yang menyentuh berkenaan bank Islam. Saya banyak merantau dan apabila pergi ke negara-negara
miskin terdetik di hati saya mengapa dunia jadi begini. Hasil dari pembacaan
dan berfikir secara mendalam maka jawapan yang nyata kepadanya adalah sistem
riba itu sendiri yang telah menakluk seluruh dunia dan memberi kuasa kepada
pihak tertentu untuk mengawal dunia dari segenap aspek kehidupan termasuklah
hingga ke tahap memastikan siapa pemimpin yang dipilih dalam pilihanraya
sesebuah negara yang kritikal bagi memastikan keuntungan korporat mereka.
Perhambaan fizikal telah lama berlaku akan tetapi perhambaan kewangan sedang
memuncak dengan hebatnya dan sistem perbankan inilah mekanismanya.
Memang idea-idea dan pemikiran baru agak sukar diterima
lebih-lebih lagi jika manusia perlu melakukan banyak perubahan dalam
kehidupannya yang sudah selesa untuk menerima idea baru itu. Lihatlah apa yang
terjadi kepada Galileo Galilei yang menyatakan bumi yang mengelilingi matahari sedangkan
pihak gereja dari rujukan kitab Bible telah mem"fatwa"kan sebaliknya.
Pada tahun 1633 beliau dibicarakan dan dijatuhkan hukuman tahanan rumah atas
tuduhan mendustakan agama. Begitu hebat sekali tentangan yang dihadapinya,
beliau menjadi buta dan mati pada tahun 1642, hanya selepas 370 tahun
kematiannya baru pihak gereja meminta maaf atas layanan yang dikenakan terhadap
Galileo. Begitu jugalah dengan Islam yang ditentang hebat semasa mula
disebarkan oleh Nabi SAW.
Haramnya pinjaman perbankan islam ini adalah untuk saya
dan keluarga. Ini bukan "fatwa" untuk diikuti oleh
rakan-rakan sekalian. Akan tetapi jika artikel-artikel saya ini mampu memberi
ketukan diminda rakan-rakan agar kembali memikirkan betulkah halal seperti apa
yang dicanang-canangkan oleh perbankan islam, itu sahaja sudah cukup bagi saya
untuk bersyukur kepada Allah dan berpuas hati dari usaha yang tidak seberapa
ini. Moga ianya menjadi titik permulaan pemikiran baru di kalangan masyarakat
kita lebih-lebih lagi generasi baru iaitu adik-adik dan anak-anak yang masih
belum merasai "nikmat" meminjam dan memberi pinjaman. Agak sukar
untuk menerima dan berubah bagi mereka yang sudah cukup selesa dengan cara
lama, kecuali jika dibuka hati mereka oleh Allah untuk menyedarinya.
Marilah bersama merenung kembali tujuan sebenar perbankan
itu sendiri, adakah untuk membantu umat islam atau mengambil kesempatan ke atas
kejahilan umat islam itu sendiri.
“Dan (ketahuilah bahawa) sesuatu pemberian
atau tambahan yang kamu berikan, supaya bertambah kembangnya dalam pusingan
harta manusia maka ia tidak sekali-kali akan kembang di sisi Allah (tidak
mendatangkan kebaikan) dan sebaliknya sesuatu pemberian sedekah yang kamu
berikan dengan tujuan mengharapkan keredhaan Allah semata-mata, maka mereka
yang melakukannya itulah orang-orang yang beroleh pahala berganda-ganda.”
(Surah Ar Rum 30:39)
Manusia akhir zaman tidak lagi percaya bahawa rezeki
mereka sebenarnya datang dari Allah, maka mereka menggunakan akal pendek mereka
untuk memastikan harta mereka bertambah dengan pelaburan walaupun ianya
menindas manusia hatta dengan label islamik sekalipun. Apa yang saya coretkan
di sini hanyalah membawa pemikiran baru, terpulang kepada anda untuk
menerimanya, sekurang-kurangnya tanggungjawab saya untuk menyampaikan sudah
selesai, ahamdulillah. Saya hanya ingin membina minda yang bebas dari
perhambaan kewangan baik yang islamik atau tidak. Tepuk dada tanya iman dan
berfikirlah sama ada anda akan diperhambakan atau tidak dengan sistem kewangan
moden ini. Bukan hak saya untuk menghalang, apa yang saya lakukan hanyalah
berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan