Apa itu wang? Satu
soalan yang si bertanya akan dipandang sinis oleh yang ditanya. Walaupun
manusia tahu apa itu wang tetapi boleh dikatakan majoriti tidak mengetahui
apakah sebenarnya fungsi wang itu dan apakah cirri-ciri yang wajib ada pada
wang tersebut untuk membolehkan ianya diterimapakai dengan tidak bercanggah
baik dari segi moral mahupun dari segi keagamaan. Konsep wang itu sendiri
disalah erti dan tidak diendahkan menyebabkan ianya menjadi "senjata"
oleh mereka yang memahami dan mengawalnya untuk dimanipulasi lantas
menghambakan manusia secara tanpa sedar, sama ada dengan cara membuatkan
manusia itu cintakan wang (bertuankan wang) mahupun dengan menindas melalui
aplikasi bunga/riba.
Manusia dahulu kala tidak tahu apa itu
wang. Ekonomi manusia dahulu kala berdasarkan konsep gotong-royong yang mana
mereka bekerjasama bertani atau memburu untuk mendapatkan makanan. Semuanya
berjalan dengan konsep muhibah dan tolong menolong. "Stress"
memikirkan wang atau duit tidak pada mereka seperti yang dialami oleh manusia
zaman moden, mungkin sebab itu juga manusia dahulu boleh hidup berates-ratus
tahun lamanya seperti cerita di dalam al Quran (Al-Ankabut 29:14).
Apabila manusia semakin bertamadun,
keperluan terhadap kepelbagaian keperluan dan kehendak, manusia berubah kepada
sistem bertukar-tukar barang atau apa yang dipanggil sistem "barter,"
akan tetapi disebabkan terhad serta rumit untuk diaplikasikan di dalam hidup
yang semakin kompleks maka terciptalah wang atau duit yang mana ia digunakan
untuk memudahkan pertukaran barang atau perkhidmatan. Pelbagai benda digunakan
sebagai "medium of exchange" ini dari kulit siput, tamar, gandum dan
beras hinggalah kepada logam bernilai seperti perak dan emas.
Fungsi Pertama Wang : Sebagai bahan
perantaraan untuk pertukaran barangan atau perkhidmatan.
Apabila wang dicipta sebagai bahan
perantaraan untuk pertukaran barangan atau perkhidmatan, jika anda tidak punyai
barangan atau perkhidmatan untuk diberikan kepada manusia lain, wajarkah wang
boleh sampai ke tangan anda? Ini satu hujah yang amat penting, saya akan
kaitkan ianya selepas ini.
Apabila anda memohon pekerjaan, anda
bertanya berapa gaji yang akan diberikan, apabila anda mahu membeli sesuatu
barangan, anda bertanya berapa jumlah wang yang perlu dibayar untuk barangan
tersebut. Jadi wang juga adalah unit ukuran untuk menilai sesuatu perkhidmatan
atau barangan baik yang ingin diberikan atau diterima.
Fungsi Kedua Wang : Sebagai pengukur
nilai barangan atau perkhidmatan.
Anda bekerja penat lelah selama sebulan
dan pada akhir bulan anda menerima gaji mengikut apa yang dijanjikan oleh
majikan anda. Selepas tolak perbelanjaan hidup anda mempunyai lebihan wang
untuk disimpan supaya wang tersebut boleh digunakan dikemudian hari. Jadi
fungsi ketiga wang pula adalah sebagai penyimpan nilai. Bermakna penat lelah
anda yang dibayar di dalam bentuk wang kertas itu sepatutnya boleh menyimpan
nilai penat lelah anda bekerja.
Fungsi Ketiga Wang : Sebagai penyimpan
nilai.
Berdasarkan kepada ketiga-tiga fungsi
wang di atas, adakah wang kertas yang kita gunakan selama ini menepati
cirri-ciri tersebut? Jika kaji wang kertas dan juga sistem kewangan yang kita
gunakan sekarang ini, untuk memenuhi fungsi pertama dan kedua tidak menjadi
masaalah. Akan tetapi adakah fungsi yang ketiga iaitu sebagai penyimpan nilai
dipenuhi oleh sistem wang sekarang?
Persoalan 1: Bolehkah wang kertas
menyimpan nilai? (Zahir)
Wang yang disebut di dalam al Quran
hanyalah dinar dan dirham, iaitu emas dan perak yang mana nilai wang itu
sendiri ada pada wang itu sendiri. Ini menjamin akan kestabilan wang itu
sendiri. Mengapa kita sering diwar-warkan agar menyimpan wang di institusi yang
menjamin pulangan lebih dari kadar inflasi? Jika tidak berbuat demikian wang
kita akan lenyap dimakan oleh inflasi itu. Nampaknya wang pada zaman ini tidak
lagi boleh menyimpan nilai. Adakah ini dibenarkan oleh Islam? Malah dari segi
moral kemanusiaan itu sendiri ini adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.
“Dan janganlah kamu
mengurangi hak-hak orang ramai dan janganlah kamu bermaharajalela melakukan
kerosakan di bumi.”
Surah Ash-Shuara 26:183
Punca sebenar meningkatnya inflasi
adalah sistem perbankan yang menggalakkan pemberian kredit dan pinjaman baik
dari pinjaman rumah, kereta mahupun kad kredit, yang mana ia mencairkan nilai
wang itu sendiri. Malah ciptaan bank itu sendiri adalah permulaan sistem
perhambaan baru. Jika wang ringgit disandarkan kepada emas sekali pun, kita
sebagai rakyat tidak boleh mengunjungi bank negara dan meminta diberi emas yang
dikatakan sandaran kepada wang kertas tersebut.
Sebelum 1933, wang kertas Amerika masih
boleh ditukarkan dengan emas seperti yang tertera pada muka depan wang
tersebut, selepas dari itu wang kertas Amerika hanyalah dilabelkan sebagai
“legal tender” yang mana jika dilihat pada wang ringgit tertera “sah
diperlakukan.” Sistem kewangan kita ciptaan barat juga mengikut konsep wang
kertas barat yang mana sebenarnya tidak mempunyai nilai tersimpan di dalamnya.
Inilah yang dikatakan oleh Nabi di dalam hadisnya;
Abu Sa'id Al Khudri melapurkan Pesuruh Allah bersabda:
“Kamu akan melangkah
mengikut laluan yang sama seperti mereka yang terdahulu sebelum kamu inci demi
inci dan langkah demi langkah hinggakan jika mereka masuk ke lubang cicak
sekalipun, kamu akan tetap mengikut mereka. Kami bertanya: Pesuruh Allah,
adakah kamu bermaksud Yahudi dan Kristian bagi "mereka yang
terdahulu" itu? Baginda bersabda: Siapa lagi selain dari mereka?”
Sahih Muslim
Sistem kewangan moden ciptaan barat
menggunakan wang kertas ini sebenarnya adalah satu bentuk ‘riba” halus yang
terselindung dan tidak boleh dilihat baik oleh kebanyakan pemimpin apatah lagi
rakyat, ia sudah menjadi suatu norma kehidupan bagi semua golongan manusia bak
sabda Nabi
Diceritakan oleh Abu Hurairah: Nabi
(SAW) bersabda:
“Akan datang suatu
ketika kepada umat manusia bila mana hanya penerima riba sahaja yang tinggal,
dan jika manusia itu berkata dia tidak menerimanya, debu riba tetap akan
mencapainya.”
Sunan Abu Daud
Dan jika saban hari kita menggunakan
sistem yang berlandaskan riba ini, maka ketahuilah akan adanya peperangan dari Allah SW dan rasul terhadap kita semua, akan tetapi
amaran-amaran sebegini tidak lagi memberi kesan apa-apa terhadap hati
kebanyakan umat Islam sekarang ini. Hanya yang mendapat “nur” dari Allah dan
yang berusaha mencari ilmu-ilmu untuk membuka minda, dengan tangisan di mata
mahupun di hati akan berusaha sedaya upaya lari dari riba walau apa jua harga
yang terpaksa dibayar.
Apa yang boleh kita lakukan untuk lari
dari riba ini?
Di dalam institusi kekeluargaan, jika
ada masalah di dalam rumah seperti kehabisan barang makanan, dengan siapa akan
si ibu mahupun si anak-anak mengadu? Sudah tentu dengan ayah sebagai ketua
keluarga. Jika di dalam institusi negara, kepada siapa lagi jika bukan kepada
pemimpin-pemimpin yang kita pilih. Di dalam institusi keluarga jika ayah tidak
mampu memperbetulkan keadaan, ahli keluarga yang lain terpaksa akur dan
bersabar kerana ayah tidak boleh dipecat atau dibuang, akan tetapi di dalam
sistem negara, kita boleh pilih pemimpin yang berada pada landasan yang betul,
landasan yang berlandaskan al Quran dan sunnah.
Kita harus ajukan kepada pemimpin agar
sedar akan dahsyatnya kesan sistem kewangan moden yang mana melalui sistem
inilah kekayaan rakyat secara halus dan senyap beralih kepada golongan tertentu
dan rakyat terutamanya yang miskin akan menjadi semakin miskin kerana terpaksa
membayar lebih untuk membeli barang keperluan. Dan jika pemimpin-pemimpin yang
sedia ada tidak mahu mengubahnya maka adalah menjadi tanggungjawab kita untuk
memilih pemimpin yang mampu berbuat demikian kerana di dalam institusi negara,
pemimpin boleh diubah bukan seperti institusi keluarga.
Adakah kita juga harus berduyun-duyun
membeli emas kerana khuatirkan wang kertas akan lenyap atau kerana ingin
mengikut sunah? Malah ada juga syarikat yang menjual dinar emas membolehkan
pembeli membeli dinar tersebut dengan kad kredit. Bagi saya niat untuk menjual
dinar itu bukan untuk menggalakkan sunah, tetapi semata-mata ingin mengaut keuntungan
tanpa memahami konsep wang dinar itu sendiri. Apa yang harus umat islam lakukan
adalah berusaha melangsaikan segala hutang-hutang yang ada dan berhenti
mengambil hutang yang baru. Kumpul wang baru beli, kerana jika kita
berhutang baik secara Islam atau konvensional sekalipun, kita bersubahat
mencairkan nilai wang itu sendiri. Selepas habis membayar hutang, barulah beli
emas untuk simpanan masa depan. Tidak perlu risau perlu menyimpan sekarang
untuk masa depan walau hutang rumah dan kereta masih ada kerana kita juga
bersubahat membiarkan bank memberi pinjaman kepada manusia lain dengan wang
simpanan kita tadi. Ingatlah, jika kita bertindak untuk mendapatkan keredhaan
Allah, Allah akan mempermudahkan ianya untuk kita, inilah ujian keimanan.
Moga satu hari nanti kita dapat beralih
semula kepada sistem kewangan apa yang dipanggil wang sunnah iaitu wang yang
mempunyai nilai sebenar di dalamnya dan bukanlah hanya kertas yang sah
diperlakukan sahaja.
Persoalan 2: Adakah wang di tangan anda
itu benar-benar milik anda? (Batin)
Jika kita rujuk pada fungsi pertama
wang, untuk menjadi bahan perantaraan bagi barangan atau perkhidmatan yang
diberikan, maknanya wang hanya wujud jika ada barang atau perkhidmatan jadi
jika kita tidak punyai barang atau khidmat untuk diberikan, layakkah wang itu
berada di tangan kita?
Katalah tiba suatu masa Allah
mem”fizikal” pahala yang mana pahala boleh kelihatan dan wujud nyata. Bolehkah
kita mengambil pahala orang lain? Bolehkah kita mengambil hasil usaha orang
lain? Inilah sebenarnya rahsia di sebalik larangan riba kerana jika kita
mengambil wang orang lain dengan cara yang tidak adil, itu adalah penindasan
dan wang (pahala melakukan sesuatu) itu bukan milik kita. Pengasihnya Allah itu
melarang kita mengambil riba kerana kita akan menderita kerananya dan adilnya
Allah itu akan mengembalikan wang itu semula kepada yang hak.
Jika kita memberi pinjaman atau
menyimpan wang di dalam bank, faedah yang kita terima itu sebenarnya adalah
pahala orang lain yang kita ambil, umpama lintah menghisap darah manusia. Wang
datang dari usaha, dan usaha adalah tenaga, maka wang itu adalah tenaga dan
tenaga boleh berubah dari satu bentuk kepada bentuk yang lain, disebabkan Maha
Adilnya Allah itu maka wang (tenaga) yang kita dapat secara haram itu akan
mengalir keluar dari diri kita tetapi tidak semestinya dalam bentuk wang itu
sendiri, mungkin dalam bentuk lain seperti kesihatan, terpaksa berhadapan
dengan masalah keluarga, masalah kerja yang mana ianya juga memerlukan tenaga
kita untuk menghadapinya.
Wang yang kita dapati dengan cara yang
tidak wajar contohnya bekerja tidak ikhlas, ponteng, menaikkan harga barang,
rasuah, mencuri dan sebagainya, wang itu akan “lari” dari kita, satu konsep
yang agak sukar untuk diterima akan tetapi itulah hakikatnya kerana kita semua
adalah tenaga, jika tak masakan formula Einstein diterima pakai oleh seluruh
masyarakat sains. (E=mc2 E= tenaga, m=jisim). Begitu jugalah wang yang didapati
seperti hasil dari perniagaan internet yang mana melabur sekian banyak dan
kemudiannya cari orang bawah, malah MLM, saham dan forex juga termasuk di dalam
golongan yang sama. Wang yang didapati itu bukan milik anda kan ianya akan
lari, jadi pilih antara dua, wang mudah atau kesusahan pun mudah.
Mungkin ada yang berkata, ”aku tengak si
mamat tu kaya dengan main saham, main forex tapi hidup happy je,” jawapan saya;
mungkin kita boleh mengelak dari tenaga (wang) itu untuk lari dari kita semasa
hidup, akan tetapi apabila mati, tenaga negatif ini lah yang akan menjadi
siksaan di kubur mahupun di neraka. Dan ingatlah Allah itu maha adil. Perasan
tak mengapa apabila negara bertambah moden, semua rumah terpaksa bergrill,
dengan sistem penggera malah akhir-akhir ini satu taman sudah berpagar dan
mempunyai sekuriti? Ramai yang berkata manusia semakin jahat, perompak semakin
banyak, pernahkah terfikir siapa yang mencipta perompak tersebut? Tidak lain
dari sistem kewangan riba itu sendiri, baik dari anak-anak yang semakin liar
kerana tidak mendapat perhatian dari ibubapa yang terpaksa keluar bekerja untuk
membayar hutang rumah selama 20-30 tahun ataupun mereka yang bermain forex
bersubahat menjatuhkan matawang negara lain yang menyebabkan rakyat negara
tersebut hidup di dalam kemiskinan dan datang ke negara kita menjadi perompak.
Kita semua berkait dengan satu jaringan
tenaga yang kita tidak sedar dan nampak, ini yang dibuktikan oleh quantum fizik
(nonlocality), apa yang kita lakukan mempengaruhi semua insane-insan lain di
dunia ini, tekanan hidup menyebabkan manusia hidup di dalam situasi “fight
or flight” yang mana kepentingan diri sendiri lebih utama berbanding
kepentingan sejagat. Hanya dengan solat yang ikhlas dan khusyuk sahajalah yang boleh mengurangkan kesan tekanan
tersebut dan mengembalikan darah ke frontal
lobe iaitu otak yang berfikir.
Larangan riba itu sendiri untuk kebaikan
manusia itu sendiri, dengan hidup yang diperangi oleh Allah saban hari (akibat hidup dengan riba), tidak
hairanlah mengapa hidup kita semakin hari semakin tersiksa, mungkin bagi
individu tidak terasa akan tetapi dari segi masyarakat, surat khabar harian
sudah jelas menceritakan pelbagai masalah yang dihadapi oleh umat manusia.
Berusahalah kita agar dapat melihat pembohongan-pembohongan di dunia ini baik
dari sistem kewangan olahan barat ini mahupun juga keadaan dunia yang penuh
tipu daya, tipu daya hasil inspirasi dari Dajjal bak sabda Nabi;
Diceritakan oleh Hudaifa: Nabi bersabda mengenai
Dajjal yang mana dia akan mempunyai air dan api dengannya: apa yang kelihatan
seperti api, adalah air yang sejuk dan apa yang kelihatan seperti air pula
adalah api.
Sahih Bukhari
Jadi berhati-hatilah dalam membuat
keputusan di dalam hidup kerana apa yang kita nampak itu baik (air) mungkin
suatu yang akan membakar diri kita di kemudian hari. Nauzubillah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan