Hari ini kalau ada yang berazam untuk
tidak mahu menggunakan wang kertas, orang berkenaan ‘wajib’ berpindah ke dalam
hutan. Begitu sekali sekeping wang kertas bergelar ‘not’ menguasai seluruh
kehidupan manusia.
“Apa itu wang kertas?” wacana tentang
riba dan wang emas tidak mungkin lengkap kalau tidak menyentuh soal wang kertas
kerana kedua-dua matawang ini dan riba ada hubung kaitnya dari segi sejarah.
Sejarah mencatatkan bahawa antara wang
yang paling awal muncul di dunia ini adalah wang emas yang digunakan pada
empayar Rom di Eropah, berkurun lama sebelum kedatangan Islam di bumi Arab.
Wang emas terus digunakan oleh dunia Islam dan bahagian-bahagian dunia yang
lain setelah kedatangan Nabi Muhammad s.a.w. Kerajaan Melayu Melaka pada kurun
ke-14 Masehi juga menggunakan wang emas.
Namun, penggunaannya berakhir pada 1924
berikut runtuhnya kerajaan Khilafah Islamiah terakhir iaitu Khalifah
Uthmaniah yang berpusat di Istanbul, Turki. Selepas itu,
dunia beralih kepada wang kertas yang bersandarkan emas.
Namun, sejarah wang kertas diwarnai
misteri, tipu daya dan pembelitan yang dahsyat. Warga Amerika Syarikat, G
Edward Griffin dalam buku The
Creature From Jekyll Island berkata bahawa titik bermulanya penipuan
wang kertas adalah pada 1910. Mesyuarat misteri di Pulau Jekyll,
Amerika Syarikat pada tahun itu membawa kepada penubuhan the Federal
Reserve Department (FRD) pada tahun 1913 yang keahliannya bukan di
kalangan rakyat atau institusi kerajaan Amerika Syarikat. Sebaliknya dianggotai
oleh syarikat milik persendirian asing. Penggunaan perkataan ‘federal’
(persekutuan) ke atas sesuatu yang berbentuk persendirian adalah pembohongan
yang nyata. Kongres Amerika Syarikat pula terpaksa meluluskannya secara
curi-curi.
Jabatan ini kemudiannya mentadbir segala
urusan kewangan Negara Amerika Syarikat., antaranya mencetak wang kertas Dolar
Amerika dan memperkenalkan Fractional Reserve Bangking (FRB) atau Fractional Reserve Requirement (FRR) yang
menjadi asas perjalanan sesebuah bank. Sehingga hari ini, FRB digunakan
oleh industri perbankan di seluruh dunia termasuk Malaysia untuk mencipta wang
sesuka hati dalam jumlah yang berlipat kali ganda melebihi kekayaan sebenar.
Peristiwa demi peristiwa terus
mengejutkan dunia, antaranya Perang Dunia Pertama dan krisis ekonomi dunia
besar-besaran pada 1929. Pada 1944, muncul pula perjanjian Bretton Woods yang
melibatkan 44 buah Negara dunia yang bersetuju untuk menyandarkan mata wang
kertas masing-masing kepada Dolar Amerika dengan jaminan bahawa USD35
bersamaan dengan satu auns emas.
Negara-negara dunia tidak lagi
menyandarkan mata wang kertas kepada rizab emas masing-masing seperti sebelum
ini. Setahun selepas Dolar Amerika mendapat ‘daulat’ berkenaan, International
Monetory Fund (IMF) pun ditubuhkan. Pada 1948, Negara Israel mendapat
pengiktirafan sebagai sebuah Negara berdaulat di tengah-tengah Negara Palestin
yang sah.
Seterusnya pada 1971, kerajaan Amerika
Syarikat pimpinan Ricard Nixon hampir bankrap gara-gara Perang
Vietnam dan masalah deficit imbangan pembayaran yang berterusan. Tuntutan
rasmi terhadap rizab emas Amerika Syarikat melambung kepada USD32 bilion
sedangkan rizab emas yang ada hanya satu pertiga. Keyakinan terhadap
Dolar Amerika punah. Berduyun-duyun bank pusat negara lain memeras ugut Amerika
Syarikat dengan cara menebus pegangan Dolar Amerika masing-masing. Emas
mengalir keluar dari Amerika Syarikat lalu dengan sendirinya meruntuhkan nilai
Dolar Amerika.
Namun Amerika licik bertindak dengan
memutuskan ikatan antara Dolar Amerika dan emas. Ini bermakna Amerika
Syarikat memungkiri perjanjian Bretton Woods dan bertindak secara unilateral
untuk menguburkan sistem piawaian emas.
Selepas 15 Ogos 1971, dolar tidak lagi
bersandarkan kepada emas. Sejak itu, nilai dolar ditentukan oleh kuasa
permintaan dan penawaran pasaran tukaran wang asing. Kesannya, semua
matawang dunia berubah menjadi matawang fiat iaitu matawang yang bernilai
sifar. Ini bermakna setiap Negara bebas mencetak wang kertas tanpa perlu
bersandarkan kepada apa-apa rizab. Kalau ada pun, ia dalam jumlah yang kecil
seperti yang ditetapkan oleh Special
Drawing Rights IMF. Bayangkan betapa liciknya permainan ini.
Pun begitu apa jua tipu daya tetap ada
kelemahannya seperti mana yang disebut oleh Allah dalam al Quran, Firmannya :
الَّذِينَ آمَنُوا يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَالَّذِينَ كَفَرُوا يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ الطَّاغُوتِ
فَقَاتِلُوا أَوْلِيَاءَ الشَّيْطَانِ إِنَّ كَيْدَ الشَّيْطَانِ كَانَ ضَعِيفً
“Orang-orang yang
beriman dan berperang di jalan Allah dan orang-orang yang kafir berjalan di
jalan thaghut, sebab itu perangilah kawan-kawan syaitan itu kerana tipu daya
syaitan itu adalah lemah.”
[surah an-Nisa’, ayat 76]
Sekarang, ‘tabir’ yang melindungi wajah
sebenar wang kertas semakin terungkai. Dunia mula mengetahui apa ada di sebalik
wang kertas. Wang kertas tidak mempunyai nilai intrinsik seperti mana wang
sebenar (contohnya emas, perak, sebakul barangan dan lain-lain).
Nilai yang dicetak di atas wang kertas
kini ditentukan oleh kerajaan yang mengeluarkannya dan kuasa pasaran (market
forces). Ini bermakna nilainya bergantung kepada permintaan dan
manipulasi pihak yang mengeluarkannya. Ia hanyalah ‘janji’ untuk
membayar dan pihak yang mengeluarkannya tidak semesti menunaikan ‘janji’ itu.
Atas inilah, sebagai contoh, pada wang kertas Ringgit Malaysia yang kita
gunakan sekarang, tercetak ayat, “wang kertas ini sah diperlakukan dengan
nilai….”
Sejarah membuktikan bahawa dalam
peperangan, mata wang sesebuah Negara dilanda krisis akan hancur lalu wang
kertas dilambakkan seperti bukit di satu tempat dan dimansuhkan dengan cara
membakarnya hingga hangus. Di Malaysia, sebahagian besar generasi
sebelum merdeka masih lagi mengingati istilah ‘duit pisang’ atau ‘duit Jepun’
yang menyaksikan berguni duit kertas tidak mampu untuk membeli secawan beras. Ungkapan
‘duit tak laku’ bukanlah sesuatu yang asing buat orang lama yang pernah melalui
pengalaman buruk itu.
Selain wang kertas, wang fiat juga
merujuk kepada wang dalam bentuk angka dalam akaun, hutang-hutang yang
dikeluarkan oleh bank atau institusi kewangan dan kad plastic digital. Wang ini
tidak disokong oleh apa-apa aset yang nyata. Nilainya mudah dimainkan oleh
speculator matawang yang berniat jahat, tamak dan tidak berperikemanusian.
Krisis ekonomi Asia pada 1997 adalah contoh yang paling dekat
dengan kita. Spekulasi dan manipulasi menyebabkan berlaku susut nilai matawang
atau lebih buruk, matawang itu langsung tidak bernilai. Keadaan yang dinamakan
‘money meltdown’ ini sudahpun berlaku dalam tahun-tahun kebelakangan (kejatuhan
Dolar Amerika pada 1973 dan 1980). Keadaan ini pasti akan berulang.
Krisis ekonomi dunia diramal menjadi lebih teruk berbanding pada tahun 1929.
Sistem ekonomi kapitalis, bank dan
institusi kewangan dengan cara tidak bertanggungjawab telah mencipta wang fiat
dengan banyak di pasaran sehingga menyebabkan inflasi. Wang itu dicipta melalui
kepelbagaian deposit, memberi hutang dan mengenakan faedah. Setiap wang fiat
yang didepositkan ke dalam bank akan mencambahkan tiga wang fiat lagi yang boleh
diberikan kepada individu dan syarikat perniagaan. Ekonomi ini adalah ekonomi
palsu yang tidak berasaskan kepada pengeluaran sebenar.
Sesetengah kerajaan mencetak wang
sewenang-wenang tanpa bersandarkan kepada pengeluaran sebenar dalam Negara bagi
kepentingan pemerintah dan pengekalan kuasa.
Apabila semakin banyak wang dicetak,
nilai wang fiat akan berkurangan dan menyebabkan inflasi. Kuasa beli rakyat
pula akan berkurangan. Satu wang fiat tidak memungkinkan kita membeli
barangan yang sama kita beli seperti sepuluh tahun yang lalu. Ini
menjadikan nilai wang kertas fiat hanya terletak pada barangan yang kita beli
hari ini. Sebagai contoh, tiga puluh tahun lalu, seseorang yang bergaji RM 1000
sebulan mampu memiliki kereta import berjenama dan sebuah banglo. Hari ini,
gaji sebanyak RM 20 000 sebulan belum tentu menjanjikan kereta import dan
banglo. Harga barangan menjadi terlalu tinggi iaitu meningkat berkali ganda
berbanding peningkatan dalam pendapatan.
Orang sekarang berkerja siang dan malam
serta melakukan bermacam-macam jenis pekerjaan, tetapi masih berada di dalam
keadaan kekurangan. Harta pada hakikatnya dimiliki oleh bank atau institusi
kewangan. Hampir semua orang berhutang dengan bank atau institusi kewangan dan
pada bila-bila masa boleh menjadi papa kedana kerana hutang itu. Malah hutang
bank juga boleh diwarisi sehingga ke anak cucu.
Jelas wang kertas adalah wang yang tidak
adil dan tidak jujur. Apabila Amerika Syarikat meluluskan penubuhan FRD dan
Amerika Syarikat mengadakan perjanjian Bretton Woods pada 1944, seluruh ummah
sebenarnya sudah ditipu ‘hidup-hidup’. Inilah penipuan terbesar dalam sejarah
manusia.
Sumber : Milenia Muslim
Tiada ulasan:
Catat Ulasan