Apa yang membakar lagi semangat dan meneguhkan lagi
pendirian saya ini (pembiayaan bank Islam haram) adalah apabila mendengar
penceramah pertama dipersidangan tersebut Dr. Umar Vadillio dengan lantangnya menyatakan bahawa perbankan islamik itu
"double" haram. Diikuti pula oleh Sheikh Imran Hosein yang bersependapat sedemikian. Pada hari kedua pula Dr. Aziuddin dari KUIS pula menyatakan perbankan islam
"triple" haram. Di sini saya ingin berkongsi maklumat dan mengajak
rakan-rakan merenung kembali berfikir sama ada islamikkah perbankan islamik itu
dengan amalan-amalan perniagaan yang mereka lakukan dan juga mengapa
tokoh-tokoh dipersidangan riba ini menyatakan sedemikian.
Perbankan Islam Menghalalkan Apa Yang Haram.
Dr. Umar Vadillio
dengan lantangnya menyatakan perbankan islam adalah dua kali (double) haram dan
patut ditutup, kerana apa? Kerana menurut beliau perbankan Islam telah
menghalalkan apa yang haram iaitu mengenakan riba dan mengaburinya dengan
proses jual beli. Apa yang perbankan islam lakukan adalah menukarkan nama
sahaja ke atas urus niaga tetapi sebenarnya ianya adalah aktiviti yang sama
iaitu riba dan penindasan.
Saya ingin menarik
perhatian rakan-rakan sekalian kepada satu hadis Nabi SAW yang
menyatakan bahawa di akhir zaman di mana pengaruh dajjal telah bermaharaja
lela, apa yang kelihatan amat berbeza dari realiti sebenar, baginda
mengumpamakannya dengan air sungai yang sejuk dan juga api, apa yang kelihatan
sejuk seperti air sungai adalah api yang panas dan sebaliknya, jadi mungkin apa
yang dilihat suatu yang positif dari perbankan islam ini adalah sebenarnya api
yang sedang membakar umat Islam yang terpengaruh dengannya? Tidak cukup hanya
dengan mata fizikal dan ilmu dunia sahaja untuk melihat realiti sebenar di
akhir zaman ini, perlu ada usaha lain untuk melihatnya.
“Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.”
Surah Al Imran 3:92
Nilai wang yang
semakin menyusut disebabkan wang yang dikeluarkan tanpa sandaran.
Perbankan Islam Juga "Mencipta" Wang Tanpa
Sandaran.
Sebelum ke
persidangan riba yang lepas saya menganggap bahawa hanya wang deposit penyimpan
di dalam perbankan islamik sahaja yang akan dipinjamkan kepada peminjam,
contohnya jika jumlah keseluruhan deposit penyimpan adalah 1 juta ringgit, maka
hanya sejumah itu sahaja yang akan digunakan untuk membiayai pembelian untuk
peminjam, akan tetapi apabila mendengar penjelasan dari pembentangan kertas
kerja oleh beberapa panel dipersidangan ini, maka tiadalah lagi keraguan akan
ketidak islamiknya perbankan islam itu pada diri saya. Di dalam buku terbaru
Real Money karangan Prof Ahamed Kameel Mydin Meera dari UIA juga jelas
membangkitkan perihal aktiviti perbankan islam ini yang mana jelas bersekongkol
dengan perbankan konvensional merosakkan keseluruhan masyarakat, hanya
sebahagian kecil sahaja yang mendapat manafaat darinya iaitu pekerja dan
pemegang saham bank tersebut (dan juga kerajaan dari cukai yang
diperolehi).
Asas perbankan
konvensional dan islamik adalah sama iaitu mencipta wang baru menerusi
pinjaman melalui sistem pecahan simpanan (fractional reserve sistem), perbezaannya adalah perbankan Islam
menggunakan wang yang baru dicipta itu tadi untuk tujuan yang kononnya
berlandaskan "shariah," majoritinya adalah melalui konsep ijarah yang
mana pinjaman diberikan menerusi proses membelikan sesuatu aset bagi pihak
peminjam dan menjualkannya kembali dengan harga yang berlipat kali ganda.
Lihat contoh berikut,
katakan terdapat 2 rumah yang sama harganya katakanlah RM300,000 dibiayai
dengan pinjaman dan pembiayaan, iaitu satu secara konvensional dan satu lagi
secara "islamik" untuk tempoh 20 tahun, katakanlah kadar faedah
adalah 6% yang mana digunakan terus oleh bank konvensional tetapi bagi
perbankan islamik ianya juga akan digunakan sebagai asas perkiraan harga rumah
yang akan dijual semula kepada peminjam. Kedua-dua bank islamik dan
konvensional akan "mencipta" wang sebanyak RM300,000 melalui
kira-kira perakaunan menggunakan sistem pecahan simpanan (fractional reserve
system) dan wang yang baru dicipta ini bukanlah deposit dari penyimpan. Bank
konvensional akan meminjamkan wang tersebut manakala islamik bank pula akan
membeli rumah dan menjualkannya semula kepada peminjam.
Bayaran bulanan bagi
kedua-duanya adalah RM2,149.29 (untuk memudahkan perkiraan, selalunya bayaran
bulanan perbankan islamik lebih mahal dari konvensional) untuk selama 20 tahun.
Perbankan Islam akan meletakkan RM515,830.59 sebagai harga jualan rumah
tersebut kepada peminjam. Perbezaan sebanyak RM215,830.59 dikira sebagai bunga
bagi perbankan konvensional dan keuntungan bagi perbankan islamik. Kedua-dua
bank mencipta RM300,000 dengan hanya kira-kira perakunan akan tetapi keuntungan
bagi pihak perbankan islamik telah pun tersedia. Supaya anda lebih memahaminya
lagi mari kita lihat baki pinjaman selepas 10 tahun.
Menerusi perbankan
konvensional baki selepas 10 tahun adalah sebanyak RM193,594.77 manakala bagi
pembiayaan islamik pula adalah RM257,914.80. Di sini dapat dilihat akan
perbezaan baki yang mana bagi perbankan islamik lebih banyak dari perbankan
konvensional sebanyak RM64,320.03. Dan jika peminjam mahu menjelaskan
pembiayaan tersebut pada masa tersebut, peminjam perbankan terpaksa membayar
harga yang lebih kecuali mendapat ihsan diskaun dari pihak bank. Mungkin sebab
itu jugalah hampir kesemua perbankan konvensional berlumba-lumba membuka
bahagian perbankan islamik kerana mereka tahu ianya lebih memberi dan menjamin
keuntungan. Mungkin ada yang berkata sekurang-kurangnya jika BLR naik peminjam
perbankan islamik akan terjamin, ini tidak seperti yang disangkakan sebenarnya
kerana keuntungan perbankan islamik sudah pun terjamin jika kita lihat dari
perkiraan di atas. Perbankan islamik sebenarnya lebih menjaga kebajikan mereka
sendiri berbanding peminjam dan ini yang gagal dilihat oleh kebanyakan
masyarakat.
Masaalah terbesar
sekarang ini sebenarnya lebih terletak kepada bagaimana wang pembiayaan itu
yang "dicipta" "out
of thin air" iaitu atas angin dan tidak berdasarkan
suatu yang punyai nilai, hanya bersandarkan kepada janji peminjam
untuk membayar balik. Jika RM1000 dipinjamkan pada kadar 10% setahun,
selepas setahun RM100 yang dikenakan dianggap riba, bagaimana pula dengan
RM1000 yang dicipta tanpa bersandarkan suatu yang bernilai dan secara
automatiknya memberikan kuasa membeli tanpa risiko 10 kali lebih banyak dari
riba itu sendiri, bukankah itu riba yang lebih besar? Ini yang
wajib difikirkan semula oleh seluruh masyarakat lebih-lebih lagi oleh cerdik
pandai islam yang menyokong perbankan islamik itu sendiri.
Pada pendapat saya,
syariahnya perbankan islam itu hanya dilihat dari sudut hubungan antara pelabur
dan juga pihak bank sahaja, manakala kebajikan pihak peminjam mahupun
masyarakat sama ada sedikit ataupun tidak langsung diambil kira. Tidak kiralah
sama ada bank islam membeli rumah dan menjualnya semula dengan harga yang lebih
tinggi kepada peminjam ataupun bank konvensional meletakkan pembayaran pinjaman
beserta faedah, dalam kedua-dua kes jumlah wang yang terpaksa
dipulangkan kembali kepada bank oleh peminjam akan sentiasa tidak mencukupi kerana
ianya melebihi jumlah wang yang dikeluarkan pada asalnya. Akibat dari ini
masyarakat terpaksa bersaing sesama sendiri untuk mengumpul sejumlah wang yang
mungkin bagi membayar balik pinjaman, contohnya jika 100 ribu dipinjamkan dan
110 ribu terpaksa dipulangkan, dari mana datangnya 10 ribu itu tadi? Ianya
tidak wujud kecuali lebih banyak lagi pinjaman diberikan yang mana melaluinya
wang baru akan dicipta. Apa terjadi apabila masyarakat terpaksa bersaing untuk
mengaut sebanyak mana wang yang mungkin untuk membayar balik hutang yang
berganda banyaknya dari jumlah asal? Masyarakat akan menjadi lebih pentingkan
diri sendiri, kedua ibu bapa terpaksa keluar bekerja, anak-anak semakin terabai
dan pelbagai lagi masalah sosial. Pastinya anda seorang yang buta matanya jika
tidak nampak keadaan ini berlaku kepada masyarakat kita hari ini? Bandingkan
kemajuan masyarakat islam Malaysia khasnya dan sedunia amnya selama berbelas
tahun perbankan islamik ini bertapak, adakah masyarakat islam semakin maju? Ya
semakin maju meninggalkan Islam dan bukan sebaliknya.
Bagaimana pula dengan
inflasi yang mengurangkan kuasa membeli masyarakat dengan penciptaan wang tanpa
sandaran yang dilakukan oleh perbankan islamik ini? Bukankah itu satu
penganiayaan dan penindasan kepada semua golongan masyarakat baik Islam atau
tidak dan golongan manakah yang paling teruk merasakan bahana inflasi itu?
Tidak lain tidak bukan mereka yang kurang bernasib baik terutamanya golongan
miskin. Bagi yang berjawatan, berpangkat, punyai kerja tetap dan naik gaji saban
tahun, itu tidak jadi masaalah. Sebab itulah boleh saya katakan kebanyakan
mereka yang beriya-iya menyokong perbankan islamik ini adalah muslim dari
golongan sebegini. Mereka tidak dapat melihat kesan sebenar tindakan institusi
perbankan baik islamik atau konvensional ini kepada keseluruhan masyarakat.
Maaf saya katakan mereka ini seolah-olah sudah dibutakan oleh keselesaan mereka
sendiri.
Perbankan Itu Bukanlah Satu Perniagaan
Jika kita lihat pada
pandangan kebanyakan masyarakat moden hari ini, rata-rata menganggap sistem
perbankan itu adalah satu perniagaan tetapi tidak pada pendapat saya, ini
adalah kerana dari penjelasan di atas tadi secara jelas ianya adalah institusi
riba yang di"halal"kan, oleh siapa? Oleh pemerintah hasil dari benih
yang disemai oleh penjajah British sebelum memberi kemerdekaan fizikal,
walaupun penjajahan kolonial itu telah lama berlalu namun sebenarnya negara dan
rakyat masih dijajah secara halus, baik dari segi ekonomi dan juga jajahan
minda. Walaupun ada contoh yang menyatakan terdapat individu Islam yang
bertindak sebagai bank pada awal zaman kebangkitan Islam, persoalan yang patut
difikirkan adalah adakah ketika itu wang kertas yang digunakan, dan juga adakah
penciptaan wang baru menerusi kira-kira perakaunan diamalkan? Sudah tentunya
tidak, jadi tidak bolehlah contoh tersebut diberikan untuk asas melabelkan bank
sebagai satu perniagaan.
Rumah terbengkalai
yang menjadi beban kepada pinjaman bank
Perniagaan melibatkan
risiko antara semua pihak, ini amat penting kerana dari sudut Islam itu
sendiri, apa jua tindak-tanduk kita di dunia ini mestilah menjaga kepentingan
semua umat manusia baik secara langsung atau tidak dan inilah asas kepada
tujuan ibadah dan juga perundangan islam. Adakah wujud risiko di dalam sistem
perbankan? Apabila disebut risiko di dalam perniagaan bank ini, selalunya
dirujuk risiko antara pihak bank dan juga pihak pelabur, pihak pelabur
menanggung risiko akan keupayaan bank untuk memastikan keuntungan dari
pelaburan mereka, bagaimana pula dengan risiko kepada peminjam? Ambil
contoh projek perumahan terbengkalai yang risikonya hanya ditanggung
oleh peminjam. Walaupun pemaju gulung tikar, bank akan tetap cuba memaksa
si peminjam agar melunaskan wang yang telah pihak bank keluarkan (walaupun ia
tidak wujud secara nyata, hanya kira-kira akaun sahaja). Jadi nampaknya tiada
risiko bagi pihak bank dalam hubungannya dengan peminjam. Maka apabila risiko
hanya ditanggung oleh satu pihak, kekayaan hanya akan mengalir ke satu arah
sahaja. Pihak bank akan semakin kaya dan peminjam akan semakin miskin dan ini
bukanlah perniagaan, buktinya lihatlah betapa gahnya bangunan milik institusi
perbankan pada hari ini.
Salah satu sifat riba
adalah terciptanya keupayaan membeli (purchasing power) atau
nilai tanpa mengambil apa jua risiko, maka apabila bank mendapat keuntungan
dengan peminjam membayar balik walaupun barang tidak sampai ke peminjam
contohnya kes rumah terbengkalai, ternyatalah bank mendapat
keupayaan membeli (keuntungan) atau nilai tanpa risiko, maka ianya adalah riba.
Jadi proses contohnya rumah dibelikan oleh bank islam dan dijual semula pada
peminjam hanyalah helah semata-mata, tujuannya tetap sama dengan bank
konvensional iaitu mendapatkan "purchasing
power" atau nilai tanpa mempunyai risiko ataupun risikonya
dikurangkan seminimum mungkin. Hanya Allah SW sahaja yang boleh mencipta
sesuatu dari sesuatu yang tidak wujud (create
something out of nothing), bank mencipta wang menerusi kira-kira perakaunan
iaitu menerusi pinjaman, bank tanpa mereka sedari (atau mungkin sedar) juga
telah bertindak sebagai tuhan.
Tanpa sedar
kebanyakan manusia yang meminjam di bank baik konvensional atau islamik menjadi
hamba kepada mereka, manusia sepatutnya menjadi hamba hanya kepada Allah SW.
Sistem ekonomi ini adalah perhambaan baru yang tidak kelihatan di kalangan
masyarakat, pertamanya kerana sejak dari awal lagi ianya dianggap suatu yang
normal (norma kehidupan), kedua kerana melalui sistem ekonomi ini banyak
kesenangan dan kemewahan (nikmat dunia) dapat dikecapi dengan cepat contohnya
tanpa perlu menunggu lama mengumpul wang manusia boleh mendapatkan barangan
diluar kemampuan tunai dan ketiganya kerana tiada atau kurang pendedahan
maklumat mengenai sistem perbankan itu sendiri.
Manusia yang
diperhambakan ini rata-rata terpaksa bekerja dengan lebih keras untuk
mengeluarkan produk atau perkhidmatan, akan tetapi mereka yang bekerja keras
itu tadi bukanlah sebenarnya penerima utama usaha mereka tadi tetapi sebaliknya
pihak yang punyai keistimewaan memberikan pinjaman, pihak yang mencipta wang
tanpa sandaran iaitu pihak bank. Amat malang sekali perkataan islamik pada bank
tidak menggambarkan semangat islam sebenarnya berteraskan keadilan kepada semua
umat manusia. Selama berbelas tahun perbankan Islam bertapak di negara kita adakah
kualiti kehidupan masyarakat khasnya umat Islam semakin baik terutamanya iman?
Kehidupan umat manusia akhir zaman hari ini kebanyakannya telah terjerumus ke arah
mengejar materialistik, ini jelas kelihatan dengan kecenderungan untuk mengejar
wang dan harta, persaingan mendapatkan pekerjaan ataupun keuntungan dalam
perniagaan, semua ini pula menjurus kepada masyarakat yang semakin tidak
bermoral, semakin nipis iman, semakin kurang masa untuk keluarga, saudara-mara
dan masyarakat yang mana ini pula menghasilkan generasi baru yang semakin
hilang nilai moral, lebih terpengaruh dengan gejala luar dan sebagainya.
Ramai yang memberi
alasan bagaimana bank boleh berfungsi jika mereka tidak mengambil keuntungan
dari usaha mereka? Bagaimana hendak membayar gaji pekerja dan juga memberi
pulangan kepada penyimpan? Untuk menjawabnya saya ajukan soalan, adakah bayaran
yang dikenakan oleh bank setampil dengan usaha yang mereka lakukan? Adakah
dengan hanya mencipta wang menerusi kira-kira akaun mereka berhak mengenakan bayaran
berganda dari pinjaman yang diberikan? Pada pendapat saya perkhidmatan
kesihatan yang sepatutnya diswastakan sepenuhnya dan khidmat bank dikendalikan
oleh kerajaan dengan mengenakan bayaran perkhidmatan yang paling minimum.
Hampir kesemua penyakit masyarakat moden hari ini datangnya dari stress, dan
boleh dikatakan hampir ke semua stress ini datangnya dari hal berkenaan dengan
wang baik secara langsung atau tidak, jadi sekiranya punca stress ini
diminimakan bukankah punca penyakit dapat dikurangkan? Ini menghasilkan
masyarakat yang lebih sihat. Apabila manusia bebas dan tidak diperhambakan maka
akan lahirlah generasi yang lebih cemerlang. Kebebasan adalah asas kepada
kreativiti dan kreativiti pula asas kepada penghasilan idea dan produk baru
yang mana akan kembali semula memberi manafaat kepada manusia itu sendiri.
Melalui sistem
perbankan ini juga kekayaan dengan mudahnya berpindah dari pihak yang mempunyai
keistimewaan atau kuasa untuk mencipta wang tanpa perlu membanting tulang.
Lihat senario ini, apabila peminjam tidak mampu membayar balik pinjaman
contohnya pinjaman rumah, apa tindakan yang akan pihak bank lakukan? Mereka
akan mendapatkan perintah mahkamah untuk merampas rumah tersebut. Bank yang
pada asalnya mencipta wang hanya melalui kira-kira akaun akhirnya menjadi
pemilik harta yang sebenar, bukan lagi wang yang bersandarkan hutang. Apabila
rumah itu dilelong, bank kemudiannya akan punyai wang nyata iaitu tidak dicipta
melalui hutang. Amat malang lagi jika rumah yang dilelong tidak cukup membiayai
baki hutang, jika peminjam punyai tanah, tanah itu juga akan berpindah milik
kepada bank akhirnya. Ini bermakna bank dengan hanya menaip data kira-kira di dalam
sistem akaun bank lama kelamaan akan menjadi "raja" yang berkuasa.
Menerusi mekanisma perbankan inilah kekayaan berpindah secara bathil, penipuan
menerusi muslihat yang tidak kelihatan oleh pemikiran yang tenggelam dengan
hiburan muzik, filem, permainan video, facebook dan sebagainya.
Kesan buruk sistem
perbankan moden hari ini tidak dapat dilihat hanya dari sudut yang sempit,
hanya kerana memiliki pekerjaan yang tetap, gaji yang melayakkan untuk mendapat
pinjaman, manusia merasakan tiada salahnya membayar sejumlah wang setiap bulan
sebagai balasan kepada perbankan Islam yang telah membelikan rumah atau kereta
bagi pihak mereka dan menjualkannya semula dengan harga yang lebih tinggi.
Kesan buruknya harus dilihat dari sudut keseluruhan masyarakat. Pertamanya
apabila kita meminjam dari bank, nilai wang akan semakin cair, dan ini yang
dinamakan inflasi, keduanya jumlah wang yang terpaksa dipulangkan kembali
kepada bank sentiasa melebihi jumlah wang yang telah dikeluarkan maka wujudlah
persaingan, di dalam sistem kewangan sekarang ini hidup manusia ibarat
permainan kerusi musik, apabila musik berhenti (ekonomi jatuh) pasti akan ada
yang kecundang (bankrap). Sebab itulah Allah sw mengishtiharkan perang terhadap
riba kerana kesannya adalah kepada keseluruham masyarakat dan bukan kepada satu
individu sehaja.
Kemiskinan,
segalanya berkemungkinan membawa kepada kekufuran.
(Baihaqi dan
Tabarani)
Lihatlah kesan buruk
yang diberikan oleh inflasi, jika beberapa tahun dahulu si miskin boleh membeli
sebungkus nasi lemak dengan 50 sen, sekarang terpaksa membayarnya dengan
seringgit, bukankah ini satu penindasan, dan rata-rata si miskin adalah mereka
yang paling teraniaya di dalam sistem ekonomi moden ini kerana kurangnya upaya
mereka untuk meminta gaji yang lebih tinggi (tiada kelayakan sijil, ijazah
dll.) apatah lagi mendapatkan pinjaman dari bank (contohnya tiada slip gaji
atau penyata bank). Si miskin ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, sudahlah
sedikit wang yang ada pada mereka nilainya semakin menurun, mereka juga
tersepit antara persaingan pelanggan-pelanggan bank yang bersaing untuk mengaut
wang sebanyak mungkin untuk membayar balik pinjaman kerana jumlah wang yang ada
dalam kitaran sentiasa kurang dari wang yang terpaksa dibayar balik kepada
bank. Apabila mereka sedar mereka semakin kalah dan semakin miskin, maka jalan
akhirnya adalah mendapatkan wang tersebut secara paksa iaitu mencuri. Secara
tidak langsung masyarakat sendiri yang mencipta pencuri, lihatlah kebanyakan
kawasan perumahan sekarang ini terpaksa dikawal, siapa yang harus disalahkan
jika bukan diri sendiri? Fikir-fikirkanlah pula rumah yang terpaksa dikawal itu
adakah rumah yang dibeli secara tunai atau secara pinjaman? Tiada bezanya
dengan penjara, cuba anda fikir-fikirkan, penjara dihuni oleh pencuri dan
diluar penjara adalah orang yang dicuri atau teraniaya, di dalam kawasan
perumahan berpagar dan dikawal, di dalamnya juga adalah "pencuri" dan
di luar pula adalah golongan yang teraniaya. "Pencuri" yang saya
maksudkan adalah mereka yang bersubahat bersama-sama dengan pihak bank
menurunkan nilai wang kepada seluruh masyarakat dan yang paling menerima
kesannya adalah si miskin menerusi penciptaan wang melalui pinjaman (fractional reserve system) dan juga
menyebabkan persaingan di dalam masyarakat berlumba merebut wang yang tidak
pernah cukup dalam masyarakat, jadi siapa pencuri yang lebih besar sebenarnya?
Hanya riba' sahaja
dosa yang Allah SW mengishtiharkan perang terhadapnya dan perumpamaan besarnya
dosa riba walaupun yang paling kecil adalah umpama berzina dengan ibu sendiri,
kerana apa? Kerana ianya melibatkan seluruh masyarakat dan bukan hanya bank dan
peminjam sahaja. Jadi melihat kepada kesan buruk secara halus kepada masyarakat
yang dilakukan oleh perbankan Islam ini maka tiada bezanya dengan perbankan
konvensional yang mengamalkan riba secara terbuka.
Tiada yang percuma di
dunia ini, setiap nikmat yang dinikmati ada harga yang terpaksa dibayar, salah
satu falsafah fizik kuantum adalah manusia itu sendiri mencipta realiti
kehidupannya, malangnya rata-rata umat manusia tanpa sedar mencipta realiti
kehidupan mereka itu dan menyalahkan insan lain apabila musibah berlaku kepada
mereka, contohnya pencuri yang jelas kelihatan sedangkan mereka tanpa sedar dan
secara halus mencuri nilai dari manusia lain dengan membantu menambahkan
inflasi dan juga persaingan. Etika sebenar ekonomi Islam adalah
kekayaan beralih dari golongan kaya kepada golongan miskin melalui zakat dan
sedekah akan tetapi menerusi sistem ekonomi moden yang berasaskan riba
ini jelas menyebabkan keadaan sebaliknya, dan ini jelas juga berlaku dalam
perbankan islamik.
Tidak guna
mengemukakan masaalah tanpa cuba memberikan jalan penyelesaiannya, di dalam
dunia moden yang telah diselimuti oleh riba ini teramat sukar untuk kita semua
lari darinya, inilah yang digambarkan oleh hadis Nabi SAW akan
debu atau wap riba yang akan menimpa seluruh umat manusia. Pada pendapat saya
langkah pertamanya adalah seluruh umat Islam wajib berusaha untuk kembali
kepada penggunaan wang sunnah, iaitu wang yang punyai nilai sebenar (intrinsic value) seperti logam bernilai
atau komoditi atau paling tidak pun wang kertas itu sendiri disandarkan dengan
suatu yang bernilai. Penggunaan wang contohnya emas ini adalah untuk urusan
harian dan bukan untuk simpanan semata-mata seperti yang dilakukan oleh
masyarakat hari hari ini yang mana tentulah mereka yang bernasib baik dan
mempunyai wang sahaja yang mampu membelinya. Apa guna menyimpan emas jika tiap
ketika kita takut akan kehilangannya, bukankah berusaha mencapai keadilan
ekonomi kepada seluruh masyarakat itu lebih patut diutamakan, barulah tidur
malam lebih lena walaupun tingkap terbuka luas. Keduanya pula adalah
mengembalikan kuasa mencipta wang kepada masyarakat dan bukan kepada sesetengah
pihak sahaja iaitu bank, contohnya jika petani menanam padi, beras yang
dihasilkan boleh menjadi wang baru sama ada ianya ditukarkan dengan emas atau
wang yang disandarkan dengan emas keluaran bank yang dikendalikan oleh kerajaan
atau sebagai kemasukan debit di dalam akaun kewangannya yang mana ianya akan
digunakan oleh petani itu tadi untuk membeli barangan lain contohnya ayam dari
penternak pula.
Persoalan seterusnya
adalah adakah kerajaan yang memimpin kita pada hari ini berminat untuk
melakukan perubahan ke arah keadilan sosial ini? Pada pendapat saya mereka
tidak berminat untuk melakukannya, kerana apa? Kerana saya tidak nampak
pemimpin yang ada sekarang ini "nawaitu" adalah lillahitaala.
Rata-rata insan yang saya jumpa dan beriya-iya menyokong kepimpinan sekarang
ini juga adalah mereka yang mendapat kesenangan dunia dengan
sokongan mereka terhadap pemimpin mereka. Hanya pemimpin yang takutkan Allah SWT
sahaja yang mampu melakukannya dan bukan pemimpin yang takutkan isteri. Jika
untuk memimpin isteri menjadi lebih soleh contohnya dengan bertudung pun tidak
mampu, janganlah pula kita nak harapkan pemimpin sebegini untuk melakukan suatu
yang lebih besar lagi ke arah menyelamatkan ummah. Hanya sistem khilafah sahaja
jalan penyelesaiannya. Demokrasi? Samalah juga dengan sistem perbankan ciptaan
barat yang penuh penipuan, tiada demokrasi di zaman moden ini sebenarnya, yang
ada hanyalah manipulasi menerusi kawalan minda dengan pengawalan media,
pendidikan dan sebagainya.
Adakah Perubahan Boleh Dijalankan Dengan Mendadak?
Tiada tamadun yang
terbina dalam masa setahun dua akan tetapi yang pasti semuanya bermula dari
minda, dari kesedaran akan kebathilan dan juga keinginan yang kuat untuk
berubah, moga in sya allah adalah hendaknya generasi baru yang akan sedar dan
mampu melihat dengan mata keimanan dan apabila mereka ini bangkit menjadi
pemimpin satu hari nanti in sya allah akan mampu mengubah dengan tangannya.
Jadi buat masa ini apa yang boleh dilakukan? Tidak mampu dengan tangan maka
dengan bersuara dan menyatakan ketidak setujuan dengannya, dan inilah yang cuba
saya lakukan dengan artikel saya ini disamping berusaha untuk memberi
kesedaran. Harap rakan-rakan juga berusaha bersama menjadi agen perubahan
dengan menjadi penyebar ilmu, paling tidak pun ungkitkan perbincangan mengenai
perkara ini kepada rakan-rakan yang lain bila ada kelapangan untuk berbual,
bukankah tindakan anda itu ibarat menanam saham akhirat berbanding dengan borak
kosong.
Saya juga telah pun
bertaubat tidak akan lagi meminjam dari bank dan meminimakan sebanyak mungkin
wang yang disimpan di dalam bank kerana wang yang disimpan itu juga akan digunakan
oleh pihak bank sebagai syarat simpanan (reserve requirement) untuk memberi
pinjaman baru, ini secara tidak langsung bersubahat dengan pihak bank mencipta
wang baru dan menambahkan lagi inflasi, beban yang kembali kepada diri saya
sendiri dan juga kepada seluruh masyarakat. Mungkin akan ada yang merungut
bagaimana nak hidup di zaman moden ini jika tidak meminjam? Saya sudahpun
memberi contoh menyewa dan kemudiannya membeli secara tunai rumah dalam artikel
saya yang lepas. Bagaimana dengan kenderaan? Nampaknya terpaksalah
bersusah-susah dahulu dengan pengangkutan awam sebelum bersenang-senang
kemudian akan tetapi dengan cara generasi baru yang rata-rata dibesarkan dengan
kesenangan mudah (contohnya mainan semuanya tersedia dialam kotak dan tidak
seperti generasi dahulu yang membuat mainan sendiri) dan kehidupan yang
diselimuti kemewahan, maka tepuk dada, guna frontal
lobe dan tanyalah iman.
Hidup di dunia ini
ibarat kita berjalan kaki pulang ke rumah, perjalanan yang jauh dan sukar
dengan panas terik dan hujan lebat. Sedang kita berjalan itu ada insan yang
mahu memberi kemudahan menumpangkan kita dengan kenderaannya akan tetapi dengan
syarat iaitu sebahagian dari kawasan rumah kita mesti diserahkan kepadanya.
Kerana tidak sanggup bersusah payah maka kita pun bersetuju, lepas beberapa
ketika tuan punya kenderaan sampai ke destinasi akan tetapi kita masih belum
sampai dan kembali semula berjalan, keadaan yang sama berulang kembali dengan
ada insan lain yang mahu menumpangkan. Lama kelamaan kerana kita mahukan
kesenangan dan tidak mahu bersusah-payah, akhirnya rumah kita akan tergadai.
Perbuatan berjalan kaki itu adalah kehidupan kita di dunia ini, rumah yang
dimaksudkan itu adalah syurga yang telah dijanjikan oleh Allah SW bagi mereka
yang kekal mengikut perintahNya dan insan yang memberi tumpang itu adalah
syaitan yang memperdayakan manusia.
“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati dan bahawasanya pada
hari kiamat sahajalah Akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang
dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya dia telah
berjaya dan (ingatlah bahawa) kehidupan
di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat
kebesarannya) tidak lain hanyalah
kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.”
Surah Al Imran 3:185.
Ketahuilah bahawa
(yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang
berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan
(yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara
kamu (dengan kelebihan, kekuatan dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba
membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah
seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan
penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu
bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya
berupa kuning; Akhirnya ia menjadi hancur bersepai dan (hendaklah diketahui
lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (disediakan bagi golongan yang
hanya mengutamakan kehidupan dunia itu) dan (ada pula) keampunan besar serta
keredhaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat)
dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah
kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.
Telah pun saya
jelaskan sebaik mungkin dan terpulanglah kepada rakan-rakan sekalian untuk
menilai, nilaikanlah ianya ikut akal dan bukan ikut rasa. Saya hanyalah
penyampai yang mencuba sebaik-baiknya untuk berpesan-pesan dengan kebenaran dan
berpesan-pesan dengan kesabaran, apa yang saya harapkan adalah agar rakan-rakan
dapat melihat perkara ini dari sudut keseluruhan kesan kepada masyarakat dan
tidak hanya faedah kesenangan dunia kepada diri sendiri sahaja. Apabila saya
melihat masyarakat kita semakin hari semakin rosak akhlaknya dan semakin nipis
imannya, saya banyak berfikir mengapa dan hasil kajian dan penelitian, sistem
kewangan dan perbankan baik islamik atau tidak inilah salah satu punca utamanya
dan saya tidak mampu menahan diri dari lantang bersuara. Ribuan ampun dan maaf
jika artikel saya ini mengguris hati sesetengah pihak, lumrah ubat itu pahit
dan manis itu racun maka fikirkanlah. Moga kesedaran akan sampai jua akhirnya,
in sya allah. Jadi Islamikkah perbankan islamik? Terpulanglah pada anda kembali
untuk menentukannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan