Ditulis
oleh Super User. Posted in Utusan
Malaysia
Kemajuan
dan tamadun yang tinggi merupakan sesuatu yang dicita-citakan oleh semua
bangsa. Pembinaan tamadun atau peradaban bangsa tidak boleh berlaku secara
sekelip mata dan ia merupakan suatu proses yang memakan masa.
Mengekalkannya juga bukan tugas yang mudah. Kekuatan dari aspek pertahanan
negara, ekonomi dan politik merupakan asas dan elemen utama untuk membina
dan mengisi peradaban itu sendiri. Bangsa yang terjajah walaupun menikmati
kemajuan secara fizikal masih tidak boleh dianggap sebagai bangsa yang
berperadaban kerana kedaulatan serta maruah bangsa dan negara adalah prasyarat
dalam pembentukan sesebuah negara.
Peradaban
dan tamadun merupakan nikmat sekaligus amanah yang perlu dipelihara,
dipertahankan dan dikekalkan tanpa noktah masa. Di sinilah letaknya peranan
akhlak yang sewajarnya menjadi teras kepada pembinaan tamadun, yang juga
menjadi kubu pertahanan kepada pembangunan fizikal walaupun ia hanya dapat
dilihat dan disentuh oleh mata hati.
Gaya
hidup moden sebahagian daripada tanda bertamadunnya sesebuah bangsa atau
negara. Namun, jika akhlak tidak dijadikan sebagai amalan dan darah daging,
maka kemajuan fizikal boleh rosak dan mereput dari dalam. Ibarat sebuah rumah
kediaman yang didiami oleh sebuah keluarga, jika semua ahli keluarga tidak
mempunyai akhlak yang baik, perasaan saling kasih-mengasihi sesama mereka dan
masing-masing dengan hal sendiri, maka semua penghuni tidak akan dapat
menikmati kehidupan berkeluarga yang aman dan harmoni. Sekalipun rumah yang
didiami besar, mewah dan indah, ia hanya mampu menjadi tempat berlindung tetapi
tidak dapat memberi rasa bahagia kepada para penghuninya. Malah, mungkin akan
ada ahli keluarga yang keluar dari rumah berkenaan untuk mendapatkan suasana
hidup yang lebih bermakna.
Rasuah,
pecah amanah, penipuan adalah contoh-contoh perilaku yang berupaya
merosakkan isi kepada tamadun. Kita perlu belajar daripada pengalaman lepas,
bagaimana empayar Melaka yang sangat maju dan terbilang itu boleh jatuh tanpa
mengambil masa yang lama. Sedangkan kubu pertahanan dan tembok yang melindungi
kota Melaka amat kukuh dan ampuh. Malah dikhabarkan juga tahap persenjataan dan
kekuatan tentera kesultanan Melayu Melaka juga bukan calang-calang hebatnya.
Kekuatan
dari aspek fizikal sebenarnya masih tidak boleh dibandingkan dengan kesetiaan
rakyat dengan sepenuh hati terhadap pemimpin dan juga negaranya. Dan itulah
yang berlaku pada empayar Melaka lebih lima abad yang lalu. Bukan disebabkan
rapuhnya tembok dan kubu pertahanan kota Melaka, tetapi adalah disebabkan
wujudnya petualang dan pengkhianat bangsa seperti Si Kitul, Raja Mendaliar dan
Laksamana Khoja Hassan yang sanggup bersekongkol dalam menabur fitnah dan
mengadu-domba. Walaupun tragedi malang ini terbalas dengan hukuman bunuh
terhadap mereka, tetapi ia belum cukup untuk membayar kerugian yang terpaksa diterima
oleh bangsa dan kesultanan Melayu secara keseluruhannya. Pengkhianatan ini
menyebabkan harga diri bangsa Melayu menjadi murah, kedudukan mereka
direndahkan dengan penjajahan yang berlaku sehingga beratus-ratus tahun
lamanya.
Faktor
yang sama juga adalah antara penyebab kepada keruntuhan kerajaan Turki
Uthmaniyah walaupun tidak dinafikan terdapat faktor-faktor lain yang
menyebabkan keruntuhan tersebut berlaku. Pemimpin yang sangat leka pada hal-hal
keduniaan dan pemabuk, pegawai dan pembesar yang gilakan kuasa dan sanggup
melakukan apa sahaja untuk menjaga kepentingan peribadi termasuk menyelewengkan
kuasa dan rasuah, merupakan contoh-contoh anasir atau agen yang menyebabkan
kebobrokan negara berlaku dari dalam.
Yang
lebih malang lagi mereka tidak menjaga sistem ketenteraan dan pertahanan mereka
dengan serius. Pemilihan dalam barisan pimpinan ketenteraan tidak disaring
mengikut tradisi yang mengutamakan potensi dan kualiti, tetapi lebih kepada
pertimbangan dan budi bicara. Kronisme yang berlaku di peringkat yang lebih
rendah juga lebih merapuhkan kubu pertahanan. Antaranya memberi kenaikan
pangkat kepada anak-anak pegawai atasan yang secara langsung menafikan individu
lain yang lebih layak dan memiliki disiplin dan kemahiran ketenteraan yang
tinggi.
Bukan
itu sahaja, hiburan dan arak lebih mendapat tempat dan sebaliknya,
masjid-masjid menjadi lengang tanpa majlis-majlis ilmu, dakwah dan kerohanian.
Malah, mereka lebih memberi tempat kepada perkara-perkara yang khurafat dan
orang-orang agama bersikap tidak komited terhadap ajaran al Quran dan Sunah.
Akhlak
adalah salah satu komponen yang terkandung dalam agama Islam selain akidah dan
syariah. Peranan akhlak amat penting sehinggakan antara tujuan undang-undang
digubal adalah untuk menjaga akhlak manusia. Tetapi, undang-undang hanya akan
menjadi sia-sia dan tidak boleh bergerak dan berfungsi sekiranya ia terbelenggu
oleh salah laku dan korupsi manusia yang diamanahkan.
Sebagai
agama yang sempurna dan melihat akhlak sebagai sebahagian daripada nyawa bagi
kelangsungan kehidupan manusia secara teratur dan harmoni, maka agama Islam
telah meletakkan adab dan juga akhlak dalam setiap dimensi kehidupan manusia.
Bermula
dengan akhlak hamba dengan Penciptanya, kemudian akhlak manusia dengan diri
sendiri, ibu bapa dan ahli keluarga, sehinggalah kepada akhlak terhadap
negara dan persekitaran individu, agama Islam telah mengajar manusia bagaimana
untuk hidup secara berakhlak. Malah, agama Islam turut mengajar umatnya untuk
menunaikan hak selain manusia seperti binatang, pokok dan bahagian-bahagian
bumi ini sebagai sebahagian daripada akhlak dan adab Islamiah.
Jika
setiap individu memahami fungsi akhlak dalam kehidupan dan mengamalkannya,
nescaya setiap orang akan dapat hidup dengan aman dan setiap pekerjaan dapat
dilaksanakan dengan lancar. Seterusnya, pembangunan kebendaan dapat dibina
dengan penuh integriti.
Individu
yang berakhlak juga bukan sahaja tidak akan menjadi punca kegelisahan orang
lain tetapi dengan akhlak yang baik juga turut menggambarkan jati diri yang
kukuh. Inilah pengajaran yang diperlihatkan oleh Sultan Abdul Hamid II yang
tegas menolak tawaran pihak Yahudi yang berjanji untuk memberikan wang
sebanyak 150 juta pound sterling emas sekiranya baginda bersetuju dengan
permohonan pihak Yahudi untuk membentuk negara mereka di Palestin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan