“Barangsiapa
memakan riba maka dia akan kekal di neraka.” Pernyataan ini sering kita
dengar dari sebahagian dai. Mereka berhujjah dengan kalimat terakhir dari surah
Al-Baqarah ayat 275, yang ertinya: “dan barangsiapa kembali maka mereka itulah
penghuni-penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.”
(TQS. Al-Baqarah 275).
Mereka memahami kata “kembali” di sana dengan
pengertian “kembali memakan riba atau bermu’amalah dengan
riba. Kesimpulannya, hukuman bagi pemakan riba adalah hidup di neraka
selama-lamanya tak ubahnya seperti hukuman bagi orang-orang kafir yang tidak
memeluk Aqidah Islam.
Pemahaman di atas diamini oleh seorang mufassir
dari kalangan Mu’tazilah, yakni Imam Az-Zamakhsyari. Ketika selesai
mengutip ayat ini, beliau menegaskan: “ini merupakan dalil yang jelas mengenai
kekalnya orang fasiq (di neraka)”[1]. Padahal, sebagian besar ulama, khususnya
ahlus sunnah,[2] menolak pendapat ini kerana banyaknya dalil yang menunjukkan
bahawa siapa saja yang berislam, tidak menyekutukan Allah, maka dia tidak akan
kekal di neraka.
Pemahaman bahawa pemakan riba kekal di neraka
sebenarnya tidaklah tepat. Mari kita lihat penjelasan Asy-Syaikh Atha’
Abu Rasytah[3] hafidzahullah mengenai potongan ayat ini di dalam kitab
tafsir beliau. Beliau menyatakan:
“{dan barangsiapa kembali} iaitu barangsiapa yang
kembali ke masa di mana ia berkata: jual-beli sama dengan riba, iaitu kembali
menghalalkannya {maka mereka itu penghuni-penghuni neraka, mereka kekal di
dalamnya} kerana dengan ia kembali menghalalkan riba bererti dia telah kafir
dan murtad dari Islam. Dan orang kafir itu kekal di dalam neraka”.[4]
Kutipan singkat tersebut memberi penjelasan yang
telah mencukupi. Bahawa menurut Abu Rasytah hafidzahullah, yang
dimaksud dengan kembali dalam ayat itu bukanlah kembali memakan riba, melainkan
kembali berpendirian bahawa jual-beli sama dengan riba. Sementara itu,
menyamakan jual-beli dengan riba jelas merupakan kukufuran, yakni pengingkaran
terhadap hukum Allah yang tak diragukan keabsahannya(qath’i).
Kesamaan antara jual-beli dan riba yang mereka
maksud adalah bahawa menurut mereka keduanya sama-sama sah dipraktikkan,
sama-sama boleh alias sama-sama halal. Pernyataan ini langsung disanggah oleh
Allah (ertinya) :
”Padahal Allah (sebelumnya) telah
menghalalkan jual-beli dan mengharamkan riba.”
Ertinya, pernyataan mereka bahawa jual-beli sama
dengan riba merupakan suatu bentuk menentangan, pelecehan dan pengingkaran terhadap
ketetapan Allah yang telah mereka dengar secara jelas sebelumnya. Di sinilah
letak kekufuran orang yang mengatakan bahawa jual-beli sama dengan riba. Sebab,
dia telah mengingkari hukum Allah yang bersifat qath’i (pasti).
Ibnu Katsir menyatakan: “maksudnya: mereka dihukum
seperti itu disebabkan kerana penentangan mereka terhadap ketetapan-ketetapan
Allah di dalam SyariatNya. Perkataan mereka itu bukan bermaksud mengqiyaskan
riba dengan jual-beli, sebab orang-orang musyrik tidak mengakui legaliti hukum
asal jual-beli yang disyariatkan oleh Allah di dalam al Quran. Seandainya
(perkataan mereka) ini merupakan qiyas nescaya mereka akan mengatakan:
“Sesungguhnya riba itu sama saja dengan jual-beli,” tetapi mereka berkata:
“sesungguhnya jual-beli sama saja dengan riba.” Ertinya: jual-beli itu serupa
dengan riba, lantas mengapa Dia mengharamkan yang ini lalu membolehkan yang
itu? Inilah penentangan mereka terhadap syariat”.[5]
Pendapat Syeikh Atha Abu Rusytah itu bukan pendapat
yang menyendiri. Para mufassir telah menjelaskan hal yang serupa dengan
penjelasan beliau. Berikut adalah kutipan dari beberapa mufassir:
Asy-Syaukani menyatakan: “{dan barang siapa yang kembali}
kepada perbuatan makan riba dan bermuamalah dengannya {maka mereka itu
penghuni-penghuni neraka mereka kekal di dalamnya}”.. dan ada yang menyatakan
bahawa pengertian {dan barangsiapa yang kembali} adalah kembali kepada pendapat
bahawa {sesungguhnya jual beli sama dengan riba} sehingga dia dianggap kufur
kerananya, dengan (kekufuran) itu dia kekal (di neraka). Jika menggunakan
asumsi penafsiran yang pertama, maka kekekalan yang dimaksud merupakan metafor,
dalam erti hiperbolik (mubalaghah), sebagaimana perkataan orang Arab:
“seorang raja yang kekal,” maksudnya: berumur panjang. Pengalihan kepada takwil
ini hukumnya wajib berdasarkan hadits-hadits mutawatir mengenai keluarnya
orang-orang yang bertauhid dari neraka”.[6]
Al-Qurthubi menyatakan: “{dan barangsiapa kembali},
maksudnya melakukan riba sampai meninggal. Ini merupakan pendapat Sufyan. Ulama
selain beliau menyatakan: barangsiapa kembali berkata bahawa jual-beli sama
dengan riba maka dia telah kafir. Ibu ‘Athiyyah menyatakan: jika ayat itu kita
asumsikan tertuju kepada orang yang kafir (kepada keharaman riba) maka
kekekalan yang dimaksud merupakan kekekalan dalam makna sebenarnya (hakiki),
namun jika ayat itu kita asumsikan bicara mengenai seorang muslim yang
bermaksiat, maka kekekalan itu bermakna metafor dengan membawa pengertian
hiperbolik (melebih-lebihkan).”[7]
Ibnul Jauzi menyatakan: “Firman Allah (ertinya): {dan
barangsiapa kembali}, berkata Ibnu Jabir: barangsiapa kembali kepada riba
kerana menghalalkannya dengan alasan {sesungguhnya jual-beli sama saja dengan
riba}”.[8]
Al-Baghawi dalam tafsirnya menyatakan: “{dan barangsiapa
kembali} menghalalkan makan riba setelah pengharamannya.”[9]
Ibnu ‘Athiyyah menyatakan: “Firman Allah Taala (ertinya):
{dan barangsiapa kembali} maksudnya kembali mengerjakan riba dan mengatakan
{sesungguhnya jual-beli sama dengan riba}. Jika ayat itu kita asumsikan tertuju
kepada orang yang kafir (kepada keharaman riba) maka kekekalan yang dimaksud
merupakan kekekalan dalam makna sebenarnya (hakiki), namun jika ayat itu kita
asumsikan bicara mengenai seorang muslim yang bermaksiat, maka kekekalan itu
bermakna metafor dengan pengertian hiperbolik (melebih-lebihkan). sebagaimana
perkataan orang Arab: “seorang raja yang kekal” (malikun kholidun),
untuk menyatakan kelestarian segala sesuatu yang tidak kekal secara
hakiki.”[10]
As-Suyuthi menyatakan: “maksudnya kembali kepada riba
setelah diharamkan, lalu mereka menghalalkannya dengan perkataan mereka
“sesungguhnya jual-beli sama saja dengan riba” {maka mereka itu
penghuni-penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya} maksudnya mereka tidak mati.”[11]
Al-Baidhowi menyatakan: “{barangsiapa kembali} kembali
menghalalkan riba, mengingat konteks pembicaraannya mengenai hal ini {maka
mereka adalah penghuni-penghuni neraka mereka kekal di dalamnya} kerana mereka
mengingkari keharamannya”.[12]
Kesimpulan
Ayat tersebut tidak mengancam seorang mukmin yang
melakukan perbuatan maksiat berupa memakan riba. Namun, ayat tersebut tertuju
kepada mereka yang menolak hukum keharaman riba. Mereka dianggap orang kafir.
Jika sebelumnya beriman, maka dengan pengingkarannya terhadap keharaman riba
itu bererti dia telah keluar dari Islam. Adapun seorang beriman yang percaya
sepenuhnya bahawa Allah mengharamkan riba, namun kerana sebab tertentu dia
terjerumus ke dalam mu’amalah ribawi, maka dia dianggap sebagai seorang yang
bermaksiat, dia dihukum kerana dosanya, namun tidak kekal di neraka. Meski
demikian, memakan riba tetap merupakan dosa besar yang kita berlindung kepada
Allah dari dosa yang demikian itu. Wallahu a’lam bish-showab
[1] Lihat Al-Kassyaaf ‘an haqaaiqi
ghawaamidhit tanziil wa ‘uyuunil aqaawiil fii wujuuhit ta’wiil
[2] Lihat hasyiyah (catatan pinggir) al-Kasysyyaaf
[3] Beliau adalah pimpinan Hizbut Tahrir yang
sekarang
[4] Atha’ Abu Rasytah, at-taisiir fii
Ushulit tafsiir (Beirut: Darul Ummah, 2006), 308
[5] Lihat: tafsirul Qur’anil ‘Adziim
[6] Lihat: Fathul Qadiir
[7] dalam al-Jami’ liahkamil Qur’an
[8] dalam Zaadul Masiir
[9] Dalam Ma’aalimut tanziil
[10] Dalam Muharrirul Wajiiz
[11] dalam ad-Durrul Mantsur
[12] Dalam Anwaarut tanziil
Tiada ulasan:
Catat Ulasan