1.
Allah swt mengharamkan riba dan arak dengan cara yang serupa iaitu ada 4
peringkat pengharaman riba dan juga arak. Setelah pengharaman arak
sempurna, maka masyarakat Islam terus membuang arak-arak yang ada di rumah
mereka. Tidak perlu tunggu apa-apa arahan tambahan lagi. Begitulah sikap
orang beriman.
2.
Pada akhir zaman ini kita cuma ada al Quran dan as Sunnah. Pentafsiran para
ulama terhadap isu-isu tertentu adalah pelbagai. Apa yang pasti mereka sepakat
dalam perkara yang jelas halal dan haramnya. Cuma dalam perkara yang tidak
disebut dalam kedua sumber dengan jelas ini para ulama ada pelbagai pendapat.
3.
Ini disebut perbezaan pendapat (khilaf), dan Nabi saw menerusi hadisnya yang
shahih yang direkodkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim menyebut:
Apabila
seorang hakim hendak menjatuhkan hukuman lalu berijtihad dan betul ijtihadnya
nescaya mendapat dua pahala, apabila salah ijtihadnya mendapat satu pahala.
4.
Dalam mendepani situasi banyak pendapat dalam perkara ijtihad ini, Imam Suyuti
dalam bukunya al-Ashbah
wa an-Nazair menyebut:
Jangan
dibantah hukum yang berlaku khilaf di kalangan ulama’. Sesungguhnya perkara
yang perlu dibantah adalah perkara yang sepakat di kalangan para ulama tentang
pengharamannya.
5.
Dalam artikel bertajuk, Islam
Membenarkan Matawang Selain Emas dan Perak, jelas kepada kita ulama’ memang
ada perbezaan pendapat mengenai keharusan matawang selain emas dan perak. Ini
menunjukkan isu matawang adalah isu ijtihad, dan ulama dapat berbeza pendapat
antara satu dengan yang lain.
6.
Dalam artikel tersebut juga, ulama’ semasa menerima pakai pendapat ulama’ yang
menerima matawang selain emas dan perak. Tuan puan sila baca
keputusan-keputusan fatwa Majma’ Fiqh Sedunia dan Majlis Shariah
Accounting and Auditing Organisation for Islamic Financial Institutions
(AAOIFI) untuk mengetahui dengan terperinci hujah mereka.
7.
Ya, ada pihak yang tidak mahu menerima keputusan fatwa ini dan menyatakan
matawang selain emas dan perak tetap haram. Maka, memandangkan isu matawang ini
adalah isu ijtihad maka tiadalah saya mahu menghalang mereka yang berpegang
dengan pendapat ini.
8.
Cuma sekiranya memang mahu berpegang dengan pendapat matawang mesti emas dan
perak sahaja dan duit kertas pada hari ini haram, maka ketahuilah haramlah
penggunaan wang kertas ke atas mereka yang berpegang dengan pendapat tersebut.
9.
Maka haramlah mereka semua untuk berjual beli gula, garam, susu, petrol, nasi
dan keperluan lainnya. Haram juga berjual beli emas, perak, memberi zakat dan
sedekah, memberi duit bulanan kepada ibubapa di kampung dengan duit kertas.
Haram juga mereka menerima laba dan keuntungan seperti upah, gaji, komisyen,
bonus, dividen, untung bisnes dengan dengan duit kertas.
10.
Kita telah mempermainkan Islam kalau kita kata duit kertas itu haram tapi masih
bermuamalat dengan duit kertas dalam urusan seharian. Umpamanya macam kita
menerima arak dalam hamper dari klien misalnya, kita tahu arak itu haram dan
kita tukar arak itu untuk mendapatkan beras (barter trading).
11.
Sama juga dengan isu perbankan Islam. Kalau berpegang dengan pendapat yang
menyatakan model semasa perbankan Islam ini haram, maka haram lah mereka yang
berpegang dengan pendapat tersebut. Haram bagi mereka ini menyimpan duit dan
mendapatkan pembiayaan dengan bank-bank Islam. Pada masa yang sama pendapat
tersebut tidak sama sekali menjadikan bank konvensional itu halal.
12.
Pilihan di tangan kita semua. Saya memilih wang kertas dan perbankan Islam hari
ini adalah halal berdasarkan pendapat-pendapat ulama yang ada. Tuan puan dapat
memilih sebaliknya kerana saya tidak dapat memaksa mana-mana pihak menerima
pendapat yang mana.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan