DARIPADA Abu Hurairah katanya, “Pada malam terjadinya Israk dan Mikraj di Baitulmaqdis, Baginda dihidangkan dua gelas minuman, masing-masing berisi arak dan susu. Selepas Baginda meneliti kedua gelas itu, maka Baginda mengambil gelas berisi susu.
Berkata Jibrail, “Segala puji bagi Allah yang membimbing anda memilih yang suci. Seandainya anda memilih arak, nescaya sesatlah umatmu.” (Riwayat Muslim) Susu dan arak adalah simbolik kepada dua nikmat yang berbeza. Satunya bersifat nikmat sementara dan satu lagi bersifat nikmat yang kekal (berkhasiat pada tubuh manusia). Seperti yang ditekankan Islam, arak adalah haram kerana ia memabukkan sekalipun padanya ada beberapa kebaikan yang lain tetapi yang nyata keburukannya mengatasi kebaikan.
Arak mampu membuatkan manusia hilang pertimbangan dan mengheret kepada berlakunya beberapa perkara buruk seperti maksiat, pembunuhan dan sebagainya. Oleh itu orang Islam ditegah sama sekali minum arak. Sebaliknya dengan minum susu, ia menjadi minuman yang bukan saja tidak memabukkan bahkan boleh mengubati penyakit.
Madu dan susu adalah minuman kegemaran Rasulullah. Ia juga adalah minuman istimewa di dalam syurga pada hari akhirat kelak di samping arak di mana umat Islam yang tinggal di dalamnya dihidangkan dengan pelbagai jenis makan dan minuman yang lazat, tidak memudaratkan malah belum pernah dirasai manusia ketika di dunia. Sesungguhnya keseronokan yang dinikmati di dunia itu bersifat sementara dan sedikit berbanding dengan nikmat di akhirat yang indah dan kekal abadi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan