NABI Ayub, anak Nabi Ishak dilimpahi kekayaan harta benda, malah
mempunyai banyak binatang ternakan seperti lembu, kambing, kuda, keldai dan
unta. Kekayaan itu membuatkan kehidupannya senang.
Beliau juga mempunyai keturunan yang besar kerana ramai anak,
baik lelaki mahu pun perempuan. Seorang daripada anaknya menjadi nabi, iaitu
Basyar.
Walaupun kaya dan mempunyai segala kemewahan, Nabi Ayub tidak lupa membuat kebajikan kepada
golongan fakir, miskin dan anak yatim.
Beliau tidak sombong, malah tetamu yang
mengunjungi rumahnya disambut dengan baik.
Harta dan keturunan yang besar tidak sedikit pun menjadikannya
bongkak dan hamba kepada kekayaan. Sebaliknya, dengan kekayaan itu keimanan dan
ketakwaannya kepada Allah semakin luhur.
Melihatkan keadaan Nabi Ayub itu, iblis berusaha menggunakan
segala tipu helah untuk menggugat keimanannya.
Justeru Nabi Ayub diuji dengan pelbagai cubaan. Pertama diuji
melalui kekayaan dan harta bendanya. Kemewahan dengan kekayaan yang dinikmati,
semakin hari menjadi susut dan seterusnya semua kekayaan itu habis.
Ayub akhirnya menjadi miskin dalam sekelip mata. Walaupun
menghadapi ujian getir itu keimanan kepada Allah tidak langsung terjejas.
Beliau sabar menghadapi dugaan dengan hatinya tidak ketinggalan mengingati
Allah.
Pendirian Nabi Ayub ternyata tidak mudah diubah. Justeru, diuji
sekali lagi dengan kematian anaknya, namun beliau masih bersabar dan pada masa sama
memupuk ketakwaan pada Allah.
Mengenai pelbagai ujian itu, Allah berfirman, maksudnya: “Dan
sesungguhnya akan Kami berikan cubaan kepadamu dengan sedikit ketakutan,
kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan
buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira bagi orang yang sabar, iaitu orang
yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan, ‘sesungguhnya kami milik Allah
dan kepada-Nya kami kembali’.”
Nabi Ayub memang tetap dengan pendiriannya, tidak tewas dengan
tipu helah iblis. Selepas itu, Nabi Ayub diserang penyakit kulit yang luar
biasa. Beliau menderita kerana penyakit itu selama tujuh tahun.
Walaupun begitu lama menanggung sengsara penyakit itu, beliau
tidak pernah gelisah. Beliau tabah menghadapi dugaan. Walaupun badannya semakin
kurus, hingga menakutkan mata memandang, beliau masih mampu mengingati Allah.
Disebabkan penyakit Nabi Ayub itu sungguh dahsyat tiada orang
sanggup melihatnya, melainkan isterinya yang sabar menemani dan merawatnya.
Iblis tidak senang apabila menyaksikan kesabaran dan kesetiaan isteri Nabi
Ayub.
Isterinya digoda supaya tidak melayaninya lagi. Tipu daya iblis
itu sebenarnya diketahui Nabi Ayub dari awal lagi lalu diberitahu kepada isterinya.
Nabi Ayub berkata kepada isterinya: “Jika aku sembuh, engkau
pasti aku pukul 100 kali.” Kemudian Nabi Ayub berdoa kepada Allah seperti
digambarkan melalui al-Quran: “Ingatlah ketika Ayub menyeru kepada Tuhannya: Ya
tuhanku! Aku mendapat penyakit dan cubaan daripada syaitan.”
Doa Nabi Ayub dimakbul Allah dan penyakit yang dideritainya
selama tujuh tahun sembuh. Dalam al-Quran diceritakan: “Cecah kakimu, inilah
air yang sejuk untuk mandi dan minum. Dan Kami anugerahkan dia dengan
mengumpulkan kembali keluarganya dan Kami tambahkan kepada mereka sebanyak
mereka pula sebagai rahmat dari Kami dan pengajaran bagi orang yang mempunyai
fikiran.”
Mengenai nazarnya, Nabi Ayub mengingatkan isterinya yang
terpedaya dengan iblis bahawa beliau akan memukul isterinya itu 100 kali jika
beliau sembuh. Justeru, apabila benar-benar sembuh dan sihat, Nabi Ayub
bertekad untuk melaksanakan nazar itu.
Allah menurunkan wahyu kepada Nabi Ayub mengenai cara melakukan
nazar itu. Firman Allah, bermaksud: “Dan ambillah dengan tanganmu seikat rumput
(100 batang), lalu pukullah dengan itu dan janganlah kamu melanggar sumpah.
Sesungguhnya Kami dapati dia (Ayub) seorang yang sabar, dialah
sebaik hamba kerana dia sesungguhnya amat taat kepada Tuhannya.”
Nabi Ayub menggunakan rumput yang diikat itu untuk memukul
isterinya dengan sekali libasan. Walaupun sekali pukulan, ia dikira 100 kali
kerana rumput yang diikat itu mengandungi 100 helai daun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan