Untuk percambahan fikiran
Jadikan amalan hidup seharian kita sebagai
ibadah. Buat apa yang ALLAH SUBHANAHU WA TAALA suruh dan tinggalkan apa yang dilarangnya.
Semoga apa yang kita lakukan seharian di dunia
ini, sebagai satu ibadah. In Shaa ALLAH.
Hari ini ramai rakyat
Malaysia yang tidak bekerja termasuklah saya sendiri. Peluang itu saya ambil
untuk menulis. Tajuk yang saya pilih hari ini ialah Pintu Syurga Terbuka Luas.
Sebenarnya saya ingin bincang sikit berkenaan kepelbagaian amalan yang perlu
kita ambil dan lakukan.
Salah satu persepsi yang
perlu diperbetulkan di Malaysia ialah masyarakat sering memandang amal untuk
dapat pahala dalam skop yang sempit. Sempit bagimana? Begini, kalau kita tengok
orang masih menganggap nak buat baik mesti terikat dengan beberapa benda
sahaja. Masjid, anak yatim, al Quran, solat, puasa, haji dan umrah.
Saya rasa Pemikiran
masyarakat kita masih membataskan kebaikan dan amalan kepada beberapa perkara
di atas. Saya amat terkejut bila seorang yang saya agak hormati dan telah lama
bertugas dalam pentadbiran agama berkata: Kalau kita nak pahala yang banyak
ialah sewaktu kita pergi ke Mekah kita hadiahkan al Quran ke Masjidil Haram. OOO
gitu ke? Kata saya dalam hati. Saya tak dapat jawab sebab saya beliau sedang
berucap. Itu salah satu contoh saja.
Satu contoh lagi, saya
sering menjumpai orang yang sedang membawa naskah surah yasin yang hendak
didermakan kepada masjid sempena kematian ahli keluarga mereka, sedangkan
masjid itu telah mempunyai ribuan surah yasin dan jemaahnya tak sampai 50
orang. Sewaktu sebuah masjid di sebuah kampung mahu menggantikan tongkat yang
dipegang oleh imam pada hari jumaat, ribuan ringgit didermakan secara terus
sedangkan kutipan derma biasa masjid itu amat daif. Mereka merasakan itulah
pahala jariah yang besar kerana imam memegangnya sewaktu baca khutbah.
Sebenarnya banyak lagi contoh-contoh lain yang saya boleh utarakan tetapi takut
terlalu panjang pula tulisan ini.
Sebenarnya amalan ibadat
amat luas skopnya, yang kaya boleh mencari pahala dengan hartanya, yang
bertenaga boleh mencari pahala dengan tenaganya, yang berilmu boleh mencari
pahala dengan ilmunya dan begitulah seterusnya. Tajuk ini akan saya sentuh lagi
di lain masa kerana amat luas skopnya tapi hari ni saya nak beri penekanan
kepada satu benda. Dakwah melalui blog atau web.
Kalau kita lihat, golongan
yang banyak menulis blog yang berguna ialah golongan agama sahaja. Kalau adapun
golongan bukan berpendidikan agama, mereka akan cuba bercakap pasal agama juga.
Mana perginya doktor, engineer, pegawai, business man dll. Mungkin golongan ini
akan menjawab, kami tak pandai agama, kalau kami tulis nanti melalut pulak.
Betul, awak seorang doktor kalau tulis pasal agama mesti melalut tapi mengapa
awak tidak menulis berkaitan kedoktoran.
Mengapa awak membataskan
sumbangan kepada tajuk kerohanian sahaja? Atau awak boleh menyumbang artikel
anda dalam laman blog berasaskan agama. Situasi ini masih amat menyedihkan.
Begitu juga orang kaya yang ingin menderma, mengapa tidak mendermakan wang anda
untuk membina web yang canggih, yang menjadi rujukan masyarakat. Web yang
mengandungi maklumat agama, kedoktoran, kaunseling, panduan keselamatan dll.
Laman web seperti ini hampir tiada di dalam bahasa Melayu.
Kesedaran ini amat meluas di
dalam masyarakat Arab. Berbagai laman web yang besar-besar diasaskan oleh
dermawan-dermawan yang memahami Islam yang dinamik. Tengok saja laman web Dr
Yusuf Qardawi, web Islam online dan terlalu banyak untuk disenaraikan. Dalam
laman Islam online ada doktor-doktor pakar yang sedia memberi nasihat secara
online mengikut jadual tertentu.
Selain itu dermawan Arab
juga sanggup membeli hakcipta buku-buku untuk mereka berikan peluang download
percuma dalam internet. Macam-macam buku yang dulunya amat sukar untuk
diperolehi tetapi kini berada di hujung jari penyelidik. Maklumat mengenai
kesihatan, perniagaan, pendidikan dan semua bidang dapat diambil dengan mudah.
Mengapa bahan ilmiah terlalu
mudah didapati dalam laman web bahasa Arab dan hampir tiada dalam bahasa
Melayu. Bagaimana perkara ini boleh terjadi? Tidak lain dan tidak bukan kerana
mereka menganggap pintu syurga terbuka luas sedangkan orang Melayu menganggap
pintu syurga itu terlalu sempit.
Rujukan :
http://wacanailmuan.blogspot.com/
Alhamdulillah, Tahniah kepada anda kerana mengujudkan 1 blog yang lengkap Dan amat bermanafaat.
BalasPadam