Dikutip dari kitab Sirah Nabawiyah karya asy-Syahid asy-Syeikh Dr. Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buthy.
Israk ialah perjalanan Nabi Saw. dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsha di al-Quds Palestin.
Mikraj ialah kenaikan Rasulullah Saw. menembus beberapa lapisan langit tertinggi sampai batas yang tidak dapat dijangkau oleh ilmu semua makhluk, malaikat, manusia dan jin. Semua itu ditempuh dalam sehari semalam.
Terjadi silang pendapat tentang sejarah terjadinya mukjizat ini. Apakah pada tahun ke-10 kenabian ataukah sesudahnya? Menurut riwayat Ibnu Sa’d di dalam Thabaqatnya peristiwa ini terjadi 18 bulan sebelum hijrah.
Jumhur kaum muslim sepakat bahawa perjalanan ini dilakukan Rasulullah saw. dengan jasad dan ruh. Kerana itu, ia merupakan salah satu mukjizatnya yang mengagumkan yang dikurniakan Allah kepadanya. Kisah perjalanan ini disebutkan oleh Imam Bukhari dan Muslim secara lengkap di dalam shahihnya.
Disebutkan bahawa dalam perjalanan ini Rasulullah saw. menunggang Buraq, yakni satu jenis binatang yang sedikit lebih besar dari keldai dan lebih kecil sedikit dari unta. Binatang ini berjalan dengan langkah sejauh mata memandang.
Disebutkan pula bahawa Nabi saw. memasuki Masjidil Aqsha lalu solat dua rakaat di dalamnya. Kemudian Jibril datang kepadanya seraya membawa segelas khamr dan segelas susu. Nabi saw. memilih susu. Setelah itu Jibril As. berkomentar: “Engkau telah memilih fitrah (kesucian).”
Dalam perjalanan ini Rasulullah saw. naik ke langit pertama, kedua, ketiga, dan seterusnya sampai ke Sidratul Muntaha. Di sinilah kemudian Allah mewahyukan kepadanya apa yang telah diwahyukan. Di antaranya adalah kewajipan solat lima waktu atas kaum muslim, di mana pada awalnya sebanyak lima puluh kali sehari semalam.
Keesokan harinya Rasulullah saw. menyampaikan apa yang disaksikan kepada penduduk Mekah. Tetapi oleh kaum musyrik berita ini didustakan dan ditertawakan. Sehingga sebahagian mereka menentang Rasulullah Saw. untuk menggambarkan Baitul Maqdis, jika benar ia telah pergi dan melakukan solat di dalamnya. Padahal ketika menziarahinya, tidak pernah terlintas dalam pikiran Rasulullah Saw. untuk menghafal bentuknya dan menghitung tiang-tiangnya. Kemudian Allah Swt. memperlihatkan bentuk dan gambar Baitul Maqdis di hadapan Rasulullah Saw. sehingga dengan mudah beliau menjelaskannya secara rinci.
Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa Rasulullah Saw. bersabda: “Ketika kaum Quraisy mendustakan aku, aku berdiri di Hijr Isma’il, lalu Allah memperlihatkan Baitul Maqdis kepadaku. Kemudian aku kabarkan kepada mereka tentang tiang-tiangnya dari apa yang aku lihat.”
Berita ini oleh sebahagian kaum musyrik disampaikan kepada Abu Bakar dengan harapan dia akan menolaknya. Tetapi ternyata Abu Bakar menjawab dengan tegas: “Jika memang benar Muhammad yang mengatakannya, maka dia telah berkata benar dan sungguh aku membenarkan lebih dari itu.”
Pada pagi harinya di malam Israk itu Jibril As. datang kepada Rasulullah Saw. mengajarkan tata cara solat dan menjelaskan waktu-waktunya. Sebelum disyariatkannya solat lima waktu, Rasulullah Saw. melakukan solat dua rakaat di pagi hari dan dua rakaat di petang hari sebagaimana dilakukan oleh Nabi Ibrahim As
Tiada ulasan:
Catat Ulasan