Tips dan petua agar rezeki yang berkat datang mencurah-curah. Sama-samalah kita mengamalkannya secara istiqamah. In Sha ALLAH.
1. Menyempatkan diri beribadah
ALLAH SUBHANAHU WA TAALA tidak sia-siakan pengabdian diri hambaNya, seperti firmanNya dalam hadis qudsi:
“Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembahKu maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu.
(Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim daripada Abu Hurairah ra)
2. Memperbanyakan istighfar
Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA yang menjadi sebab ALLAH SUBHANAHU WA TAALA jatuh kasih dan kasihan kepada hambaNya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba. Sabda RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM yang bermaksud:
“Barangsiapa memperbanyak istighfar maka ALLAH akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.”
(Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim daripada Abdullah bin Abbas ra)
3. Tinggalkan perbuatan dosa
Istighfar tidak laku di sisi ALLAH SUBHANAHU WA TAALA jika masih buat dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM yang bermaksud :
“Dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.”
(Riwayat at-Tirmizi)
4. Sentiasa ingat kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA
Banyak ingat ALLAH SUBHANAHU WA TAALA buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya ALLAH SUBHANAHU WA TAALA beri kepada orang beriman. FirmanNya:
“(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati ALLAH. Ingatlah, hanya dengan mengingati ALLAH hati menjadi tenteram.”
(Surah 13, AR RA'D: ayat 28)
5.Berbakti dan mendoakan ibubapa
Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibubapanya dan menyambung tali kekeluargaan. RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM juga bersabda:
“Siapa berbakti kepada ibubapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan ALLAH akan memanjangkan umurnya.”
(Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani,al-Asybahani dan al-Hakim)
Mendoakan ibubapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM :
“Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (ALLAH) daripadanya.”
(Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)
6. Berbuat baik dan menolong orang yang lemah
Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM:
“Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu.”
(Riwayat Bukhari)
7. Tunaikan hajat orang lain
Menunaikan hajat orang menjadi sebab ALLAH SUBHANAHU WA TAALA lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM :
“Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka ALLAH akan menunaikan hajatnya…”
(Riwayat Muslim)
8. Banyak berselawat
Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat. Wallahu a’lam.
9. Buat kebajikan banyak-banyak
Ibnu Abbas berkata : “Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”
10. Berpagi-pagi
Menurut RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM, berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.
11 . Menjalin silaturrahim
RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM bersabda:
“Barangsiapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya.”
(Riwayat Bukhari)
12. Melazimi kekal berwuduk
Seorang Arab desa menemui RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh ALLAH SUBHANAHU WA TAALA. RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM bersabda:
“Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya ALLAH akan memurahkan rezeki.”
(Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)
13. Bersedekah
Sedekah mengundang rahmat ALLAH SUBHANAHU WA TAALA dan menjadi sebab ALLAH SUBHANAHU WA TAALA buka pintu rezeki. RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM bersabda kepada Zubair bin al-Awwam:
“Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh ALLAH AZZA WAJALLA kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya ALLAH membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya ALLAH menyedikitkan baginya.”
(Riwayat ad- Daruquthni daripada Anas ra)
14. Melazimi solat malam (tahajud)
Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA.
15. Melazimi solat Dhuha
Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman ALLAH SUBHANAHU WA TAALA dalam hadis qudsi:
“Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.”
(Riwayat al-Hakim dan Thabrani)
16. Bersyukur kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA
Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat daripada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA. Lawannya adalah kufur nikmat. ALLAH SUBHANAHU WA TAALA berfirman:
“Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmatKu kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azabKu amat keras.”
(Surah 14, IBRAHIM: ayat 7)
FirmanNya lagi:
“… dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.”
(Surah 3, ALI IMRAN: ayat 145)
17. Mengamalkan zikir dan bacaan ayat al Quran tertentu
Zikir dari ayat-ayat al Quran atau asma’ul husna selain menenangkan, menjernihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.
Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab ALLAH SUBHANAHU WA TAALA lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki. Salah satu nama ALLAH SUBHANAHU WA TAALA, al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca “Ya ALLAH ya Fattah” berulang-ulang, diiringi doa: “Ya ALLAH, bukalah hati kami untuk mengenaliMu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya `Alim.” Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi’ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu a’lam.
18. Berdoa
Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA, penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dariNya. Dalam al Quran, ALLAH SUBHANAHU WA TAALA suruh kita meminta kepadaNya, nescaya Dia akan perkenankan.
19. Berikhtiar sehabisnya
Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa ALLAH SUBHANAHU WA TAALA berikan dunia kepada orang yang dicintaiNya dan yang tidak dicintaiNya, tapi agama hanya ALLAH SUBHANAHU WA TAALA beri kepada orang yang dicintaiNya saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim). Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, hendak tenang dibacanya al Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak anak dalam rahim lagi, hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang baik dan halal, hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi baik, hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.
20. Bertawakal
Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA.
FirmanNya: “Barangsiapa bertawakal kepada ALLAH, nescaya ALLAH mencukupkan (keperluannya).”
(Surah 65, ATH THALAAQ : 3)
RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM bersabda:
“Seandainya kamu bertawakal kepada ALLAH dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.”
(Riwayat Ahmad, at- Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim daripada Umar bin al-Khattab ra)
Kesemua yang disebut di atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa. Dengan takwa, ALLAH SUBHANAHU WA TAALA akan beri “jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan), dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.” (At-Talaq: 2-3) Pendek kata, bagi orang Islam, untuk murah rezeki dalam ertikata yang sebenarnya, kuncinya adalah buat amalan-amalan takwa. Amalan-amalan ini menjadi sebab jatuhnya kasih sayang ALLAH SUBHANAHU WA TAALA, lalu ALLAH SUBHANAHU WA TAALA limpahi hambaNya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberianNya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan