As Salam
Kepada pembaca budiman.
Mohon saudara saudari memastikan kesahihan sesuatu artikel terutama yang melibatkan ibadah dan kefahaman berkaitan agama Islam. Pastikan ianya berpandukan al Quran dan As Sunnah yang shahih bersama-sama dengan dalilnya.
Sekarang di zaman IT ini terlalu banyak maklumat yang kita baca, Dah bercampur aduk. Kita bimbang apa yang kita faham dan amalkan bertentangan dengan al Quran dan As Sunnah.
Bimbang teramat sangat. Mohon saudara saudari rujuk kepada alim ulama dan para ustaz mahupun ustazah di tempat saudara saudari jika timbul kekeliruan.
MOHON APA YANG DIBACA DALAM BLOG INI YANG BERTENTANGAN DENGAN AL QURAN DAN AS SUNNAH, SILA SAUDARA SAUDARI MAKLUMKAN.
Saya akan nyatakan atau buang artikel berkaitan al Quran (tiada rujukan surah) dan As Sunnah yang tiada dalil dan kesahihannya yakni tanpa bahan rujukan. Saya juga akan cuba membuat nota tambahan sekiranya ada kekeliruan dalam satu-satu artikel.
Terima kasih kerana sudi berkongsi Ilmu.
SUMBER DARI INTERNET - LANGKAH PENAPISAN PENGAMBILANNYA
Pengenalan
Sejak kebelakangan
ini, minat terhadap ilmu agama semakin meluas di kalangan orang ramai baik di
internet mahupun di luar internet. Di mana-mana sahaja orang mula berbicara
mengenai ilmu agama. Ini adalah satu perkembangan yang baik dan menunjukkan
bahawa akan datang, Islam akan menjadi gah semula dan tidak lagi
diperkotak-katikkan. In Sya Allah
yang Maha Tinggi.
Zaman ini, kita adalah perintis kepada
kecemerlangan Islam akan datang. Maka perlulah kita memastikan ilmu agama yang
dipelajari adalah benar-benar bersih dari kekotoran mereka yang tidak
bertanggungjawab, baik dari orang bukan Islam, munafik dan daripada orang Islam
itu sendiri supaya generasi akan datang lebih berilmu dan hebat semangatnya
sesuai dengan fitnah-fitnah yang bakal berlaku akhir zaman.
Internet mempunyai ‘sumber ilmu yang tidak terbatas’ dan pemantauan terhadapnya adalah
hampir mustahil. Jadi seeloknya, perlu ada satu piawaian atau penapisan sebelum
kita mengambil sumber-sumber dari internet ini. Malah boleh juga mengggunakan
kaedah ini sebelum mengambil apa-apa ilmu agama dari sesiapa dan di mana
sahaja.
(Maksud ‘sumber ilmu yang tidak terbatas’ itu adalah ; sesiapa sahaja boleh
meletakkan atau menulis apa sahaja yang difikirkannya sama ada benar atau
tidak, ataupun ilmiah atau jahil)
Itulah tujuan risalah
ini dan ia dikhususkan kepada pengambilan sumber agama, iaitu penapisan sesuatu
pengajian seperti tafsir al Quran, hadis, doa-doa, artikel-artikel dan
lain-lain yang seumpamanya yang bercanggah dengan syariat Islam itu sendiri.
PERBINCANGAN
Umum mengetahui,
sumber syariat Islam adalah dari al Quran dan as Sunnah. Walaupun ijmak, qiyas
dan ijtihad digunakan, namun ia tetap bersumber dari al Quran dan as Sunnah.
Begitu juga sekiranya kita ingin mengambil sumber agama dari internet, ia
hendaklah bersumber dari al Quran dan as Sunnah. Persoalannya, bagaimana kita
hendak mengetahui ianya dari sumber yang tulin?
1.
Memastikan Sumber Itu Dari Akidah yang Benar
Firman
ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA yang bermaksud :
“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa
suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah
kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal
atas perbuatanmu itu.”
(Surah 49 AL HUJURAAT : 6)
Tidak boleh kita
mengambil sumber agama dari orang bukan Islam, kerana musuh Islam sentiasa
mencari jalan untuk mempertikaikan dan mencari-cari kesalahan agama Islam. Cara
mengenalinya dengan melihat ‘muqaddimah’ laman web tersebut. Contoh mudah, dari
blog ini sendiri.
Pertama
: Kami
meletakkan (Surah 22 AL HAJJ :78)
menerangkan keimanan kepada para Nabi dan Rasul dan menyatakan keIslaman.
Tetapi ini tidak mencukupi.
Kedua
: Kami
meletakkan asas ikutan kami adalah NABI MUHAMMAD SALLAHU ‘ALAIHI WASALLAM dan
membenarkan kerasulannya (Surah 33 AL
AHZAB : 21).
Ketiga
: Meletakkan
hadis mutawatir, bahawa barangsiapa yang menipu menggunakan nama NABI MUHAMMAD
SALLAHU ‘ALAIHI WASALLAM diancam ke neraka. Ia adalah ikrar bahawa hadis di
dalam blog ini adalah dipercayai.
Keempat
: Kemudian
kami meletakkan pengenalan diri dengan dimulakan puji-pujian hanya kepada ALLAH SUBHANAHU WA
TAALA yang Maha Agung dan mengakui tiada tuhan
selain ALLAH, kerasulan NABI MUHAMMAD SALLAHU ‘ALAIHI WASALLAM serta tidak
mengingkari para sahabat radiyallahu anhum (ra).
Maka jika anda mahu
berdakwah, menulis mengenai Islam atau mengenai sesuatu yang berkaitan dengan
agama melalui internet (blog dan sebagainya), hendaklah melengkapi
sekurang-kurangnya perkara ‘keempat’ di atas. Iaitu, lafaz kalimah tauhid yang
menerangkan akidah anda. Ini
adalah perkara paling utama.
Antara laman web yang
tidak dibenarkan mengambil sumbernya kerana bertentangan dengan akidah adalah;
Contoh 1 : Pengajian Sahih Muslim – Dilihat seperti ia menjelaskan
mengenai hadis, tetapi sila lihat muka depan laman web ini (Answering Islam).
Sebenarnya apa yang diperjelaskan melalui laman itu ternyata satu usaha menolak
dan mempertikaikan sumber kitab hadis yang utama. Penjelasannya hanya
berdasarkan kejahilan dan penolakan kepada kebenaran.
Contoh 2 : Jemaah Al Quran – Dilihat muka depan laman web ini
seperti ia memperjuangkan agama Islam dan cuba membawa umat Islam kembali
kepada al Quran. Tapi sayangnya, penafsirannya hanya mengikut logik akal
semata-mata dan penuh dengan sangka-sangka. Sila lihat laman ‘page’ ini (Keluar
Dari Kejumudan), di mana beliau mencela kesahihan sahih Bukhari dan seluruh
kitab hadis sahih yang lain.
Telah disepakati oleh
para ulama bahawa hadis di dalam sahih Bukhari telah lengkap segala sanadnya
dan diiktiraf kesahihannya secara ilmiah, bukan sangka-sangka. Begitu pula
kitab-kitab hadis sahih yang ada sekarang telah lengkap pentahkikan dan
pentakhrijannya.
Maka sesiapa yang
menolak hadis sahih, sama seperti menolak para sahabat ra. Menolak para sahabat
sama seperti menolak RASULULLAH
ﷺ. Menolak RASULULLAH ﷺ sama seperti menolak
al Quran. Menolak al Quran sama seperti mengingkari ALLAH SUBHANAHU WA TAALA
yang Maha Agung.
Orang-orang seperti
ini diancam kekal di dalam neraka, sebagaimana dalam firmanNya yang bermaksud :
“Dan barangsiapa yang menderhakai ALLAH dan RasulNya dan melanggar ketentuan-ketentuanNya,
nescaya ALLAH memasukkannya ke dalam api neraka sedang ia kekal di dalamnya; dan baginya
siksa yang menghinakan.”
(Surah 4, AN NISAA' : ayat 14)
Manakala, mereka yang
taat pada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA dan Rasulnya, iaitu mengikuti apa yang
disampaikan melalui al Quran dan as Sunnah;
Firman
ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA yang bermaksud :
“Barangsiapa taat kepada ALLAH dan RasulNya, nescaya Allah memasukkannya ke dalam syurga yang mengalir di dalamnya sungai-sungai,
sedang mereka kekal di dalamnya; dan itulah kemenangan yang besar.”
(Surah 4, AN NISAA' : ayat 13)
Ini adalah contoh
laman web yang tidak meletakkan prinsip atau pegangannya atau akidahnya yang
sebenar dan ternyata di dalamnya penuh kepura-puraan dan sangka-sangka. Ini
terkecuali sekiranya laman web itu memang seorang yang dikenali atau mahsyur,
seperti laman web Ustaz
Zaharuddin, Dr. Mohd Asri (Dr. Maza) dan lain-lainnya.
Namun kami berharap,
langkah ini diikuti oleh semua pendakwah internet bagi membezakan antara satu
sama lain (yang benar dan batil) dan sebagai langkah berjaga-jaga serta
pengambilan dari sumber yang salah dapat dikurangkan.
PERHATIAN
: Ini
bukanlah pendapat saya sewenang-wenangnya, sila lihat tafsir al Quran,
kitab-kitab hadis, kitab-kitab ulama dahulu dan sekarang. Sila baca ‘muqaddimah’
mereka. Semuanya bermula dengan ikrar tauhid selepas puji-pujian kepada ALLAH SUBHANAHU WA
TAALA yang Maha Agung.
Malah al Quran
sendiri dimulakan dengan puji-pujian kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA yang Maha
Pemurah lagi Maha Penyayang seterusnya penafian kepada kekuasaan lain kecuali,
hanya ALLAH SUBHANAHU WA TAALA yang Maha Memelihara dan Mentadbir seluruh alam
semesta.
(Rujuk Surah 1 AL FAATIHAH : 1-2)
2.
Mengelakkan Mengambil Sumber Tanpa Rujukan
Firman
ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA yang bermaksud :
“Dan siapa di antara mereka
yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu baginya
azab yang besar.”
(Surah 24 AN NUUR : 11)
a. Al Quran
Setiap ayat al Quran
hendaklah diletakkan nama surah, nombor surah dan ayat, supaya mudah untuk
diperiksa kembali. Tidak boleh,
hanya menulis ;
‘Allah
berfirman bahawa lelaki dan wanita mencuri hendaklah dipotong tangannya.’
Kesalahannya adalah
tidak meletakkan rujukan surah tersebut. Sekiranya tidak diletakkan rujukan
surah, boleh mendatangkan kekeliruan sama ada ia dari al Quran atau hadis
qudsi. Contoh hadis qudsi;
‘...Allah Taala
berfirman, Aku membahagikan solat itu antaraKu dengan hambaKu kepada dua
bahagian.’
Kedua-duanya ditulis ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA berfirman, tetapi satu dari al Quran dan satu lagi dari
hadis. Ini boleh mengelirukan ramai orang. Jadi laman web yang terdapat tulisan
sebegini mesti dielakkan.
b. Hadis
Setiap hadis yang
dikeluarkan hendaklah, sekurang-kurangnya menulis status hadis tersebut sama ada
sahih, hasan, daif, palsu dan sebagainya serta dimanakah hadis itu diambil
berserta periwayatannya. Contoh;
Contoh
hadis 1 : Daripada
Anas ra : "Sekali pandang muka orang alim adalah
lebih aku sukainya daripada ibadah enam puluh tahun; puasanya dan
qiamulailnya."
(MAUDHU’
/ Hadis PALSU, [0035]
Jilid ke-2, bab Mengenai Keutamaan Ilmu - HImpunan Hadis-Hadis Maudhu [Edaran
: Al-Hidayah Publishers]
Contoh
hadis 2 : Daripada
Abu Bakar ra : RASULULLAH ﷺ
bersabda,
"Dajjal akan keluar dari belahan bumi
sebelah timur yang disebut Khurasan. Dia diikuti oleh beberapa kaum. Wajah
mereka terlihat seolah seperti perisai yang menutupi."
([2237] Sahih. At-Tirmidzi
dan Sahih Ibnu Majah)
Sekiranya hanya
ditulis, ‘NABI SAW bersabda bahawa sabar itu separuh dari iman’, tanpa
meletakkan seperti contoh di atas, maka haram baginya mengambil, menggunakannya
dan menyebarkannya. Malah perkataan ‘sabar separuh dari iman’ itu juga tidak
diketahui asalnya, yang sahih adalah;
Di
dalam Sahih Bukhari hadis bernombor 19 : Daripada Salim bin Abdullah ra : RASULULLAH ﷺ
bersabda,
"Sesungguhnya malu itu separuh dari iman."
c. Artikel atau
Tulisan lainnya
c.1. Tidak
bertentangan dengan al Quran dan As Sunnah.
Contoh; lihat artikel
ini (RakanMasjid.com / Sayyidah / Scribd).
Di antaranya si penulis berkata,
‘Hingga pada suatu
malam, dia bermimpi dan
bertanya kepada Tuhan, "Ya Allah, mengapa perempuan mudah menangis?"
Dalam mimpinya dia merasa seolah-olah mendengar jawapannya...’
Perkataan ini
benar-benar bertentangan dengan akidah seperti firmanNya yang
bermaksud :
“Dan tidak mungkin bagi seorang manusiapun bahawa ALLAH berkata-kata dengan dia kecuali dengan perantaraan wahyu atau di belakang tabir atau dengan mengutus
seorang utusan (malaikat) lalu diwahyukan kepadanya dengan seizinNya apa yang
Dia kehendaki. Sesungguhnya Dia Maha Tinggi lagi Maha Bijaksana.”
(Surah 42, ASY-SYUURA : 51)
Perkara itu hanya
khusus kepada para Nabi dan Rasul sahaja, dan adalah mustahil sama sekali dan
tidak mungkin mana-mana manusia (selepas kewafatan RASULULLAH ﷺ) mengatakan bermimpi
mendengar tuhan berkata-kata dengannya kecuali orang-orang yang sesat dan terencat
akalnya (Sila lihat Artikel - Tipu Daya Iblis Zaman Ini). Maka sumber seperti
ini dilarang menyebarkannya.
c.2. Membuat notakaki
atau penjelasan mengenai sesuatu tulisan atau menjelaskan sumbernya.
Contoh 1 : Hirabah
atau pemberontakan adalah sekumpulan orang yang bersenjata di negara Islam
keluar untuk mengadakan kekacauan, rusuhan, pertumpahan darah, merosakkan
tanaman.... (Bersumber dari
Fiqh Sunnah Jilid 5 halaman 167).
Contoh
2 : Artikel Tujuan Menuntut Ilmu - Menegakkan agama Islam bermaksud..... Ia
merangkumi pembangunan diri, keluarga, masyarakat dan negara serta meliputi
aspek jasmani, rohani, emosi dan intelek berdasarkan
prinsip Islam berpandukan al Quran dan As-Sunnah. (Rujukan
: Krisis Dalam Pendidikan Islam - Dr. S.S Husain dan Dr. S.A Ashraf )
Notakaki adalah
sangat penting kerana ia merupakan sumber rujukan mengenai apa yang
diperkatakan. Ia juga boleh digunakan sebagai dalil dan pemahaman kepada
maksud-maksud tertentu. Sumber tulisan seperti ini (yang tiada sumber
rujukannya) tidak layak dijadikan hujah, hanya sekadar bacaan santai.
3.
Menghindari Laman Web yang Menghina Ulama
Berikut adalah firman
ALLAH SUBHANAHU WA TAALA yang Maha Agung mengenai pembersihan nama Ummul
Mukminin ‘Aisyah r.ha. Namun, ini juga merupakan pengajaran kepada para
mukminin dan mukminat supaya bersangka baik.
(Rujuk tafsir Ibn
Katsir halaman 270 juz 16-19)
Firman
ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA yang bermaksud :
“Mengapa di waktu kamu mendengar berita
bohong itu orang-orang mukminin dan mukminat tidak bersangka baik terhadap diri mereka sendiri, dan (mengapa tidak) berkata:
"Ini adalah suatu berita bohong yang nyata" (kerana tidak
mendatangkan bukti).”
(Surah 12, AN-NUUR : 24)
Firman
ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA yang bermaksud :
“(Ingatlah) di waktu kamu menerima berita
bohong itu dari mulut ke mulut dan kamu katakan dengan mulut mu apa yang tidak
kamu ketahui sedikit juga, dan kamu
menganggapnya suatu yang ringan saja. Padahal dia pada sisi ALLAH adalah
besar.”
(Surah 24, AN-NUUR : 15)
Banyak laman web yang
menghina para ulama baik dari ulama salaf, khalaf dan ulama masakini. Amat
mendukacitakan kerana mereka mengkritik tanpa ilmiah dan hanya terikut-ikut
rentak orang-orang yang tidak diketahui latarbelakangnya. Saya tidak meletakkan
contoh di sini, memadai dengan tajuk di atas.
Sekiranya terdapat
laman web yang menghina para sahabat ra, dan para ulama lainnya seharusnya
dielakkan dan jangan mengambil
apa-apa sumber yang terdapat dalam laman web tersebut, kerana mereka tidak lain
hanya mengikut nafsu semata dan taksub malah mengkafirkan orang yang tidak
sealiran dengan mereka.
Termasuk dalam
kategori ini adalah laman web yang mengandungi unsur-unsur fitnah kepada para
ulama, pemimpin atau mana-mana individu. Larangan ini jelas di dalam al Quran
dan hadis;
Firman
ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA yang bermaksud :
“Kamu katakan dengan mulut mu apa yang
tidak kamu ketahui sedikit juga, dan kamu menganggapnya suatu yang ringan saja. Padahal dia pada sisi ALLAH adalah
besar.”
(Surah 24, AN-NUUR : 15)
Daripada Hudzaifah ra : RASULULLAH ﷺ bersabda,
“Tidak dapat masuk syurga,
orang-orang yang menyiar-nyiarkan berita untuk mengacau (merusuh).”
([0082] Sahih Muslim)
Firman
ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA yang bermaksud :
Yang sering menghalangi amalan-amalan
kebajikan, yang melanggar hukum-hukum agama, lagi yang amat berdosa,
Yang jahat kejam, yang selain itu tidak
tentu pula bapanya (tidak diketahui latarbelakangnya).”
(Surah 68, AL QALAM : 10-13)
PENUTUP
Tidaklah risalah ini
bertujuan menghina mana-mana usaha dakwah dari laman-laman web yang ada, ia
sekadar salah satu cara untuk mengelakkan dari mengikut secara membuta-tuli apa
yang ditulis oleh orang-orang yang sengaja memperlekehkan Islam ataupun orang yang
tidak sengaja (kerana jahil).
“Sesungguhnya ALLAH mengetahui
yang tersembunyi di langit dan di bumi. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui segala
isi hati.”
(Surah 35, FAATHIR : 38)
Moga risalah ini
dapat dipanjangkan kepada para sahabat-sahabat yang lain dan semoga ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA yang Maha Agung menghindarkan kita dari ilmu yang tidak
bermanfaat.
Firman
ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA yang bermaksud :
“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada
kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar ;
merekalah orang-orang yang beruntung.”
(Surah 3, ALI 'IMRAN : 104)
Rujukan :
Al Quran dan
terjemahan, Tafsir Ibnu Katsir, Tafsir Ibnu Abbas
Kitab Hadis-Hadis
Sahih dan Al-Jamiush Shaghir
Manahij
Al-Muhaddithin [Faisal Ahmad Shah, Mohd Khafidz Soroni, Rosni Wazir]
The History Of
Quranic Text [Prof. M.M Al-A’zami]
Bagaimana Berinteraksi Dengan Al-Sunnah –
Cetakan kedua 1996 [Dr. Yusuf Al-Qaradawi]
Alhamdulillah.
BalasPadamComplete and full with information for muslim in the world, Congratulation for you. Subhanallah, saya minta izin pada awak untuk guna sebahagian dari ilmu ini untuk saya sebarkan pada sahabat-sahabat muslimin dan muslimat saya, harap awak benarkan supaya ianya menjadi saham untuk awak dan saya bila bertemu Allah S.W.T. di masa hadapan, InsyaAllah.
BalasPadamSemoga mendapat keredaan Allah SWT atas apa yang kita lakukan...
BalasPadam