1. Penguasa bercemeti2. Perempuan bertelanjang daripada Abu Hurairah ra katanya: RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM bersabda yang bermaksud :
"Ada dua golongan yang akan menjadi penghuni neraka yang belum lagi aku melihat mereka.
Pertama, golongan (penguasa) yang mempunyai cemeti-cemeti bagaikan ekor lembu yang digunakan untuk memukul orang.
Kedua, perempuan yang berpakaian tetapi bertelanjang, berlenggang-lenggok waktu berjalan, menghayun-hayun bahu. Kepala mereka (sanggul di atas kepala mereka) bagaikan bonggol (goh) unta yang senget.
Kedua-dua golongan ini tidak akan masuk syurga dan tidak akan dapat mencium bau wanginya. Sesungguhnya bau wangi syurga itu sudah tercium dari perjalanan yang sangat jauh daripadanya."
(Riwayat Muslim)
Ulasan Kebenaran sabdaan RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM ini dapat kita lihat daripada realiti masyarakat yang ada pada hari ini. Ada golongan yang suka memukul orang dengan cemeti tanpa soal-siasat, bertindak kepada manusia dengan hukum rimba. Dan ramai perempuan yang berpakaian tetapi bertelanjang. Maksudnya, kalau kita hendak kata berpakaian pun boleh, kerana masih ada secarik kain di atas badan, dan kalau kita hendak katakan bertelanjang pun boleh, kerana walaupun berpakaian tetapi hanya dengan secarik kain sahaja, maka samalah dengan bertelanjang. Ataupun ia berpakaian dengan pakaian yang sangat tipis sehingga menampakkan warna kulit dan mencorakkan bentuk aurat. Mereka berjalan sambil menghayun-hayunkan badan dengan sanggul yang besar, seperti goh unta. Kedua-dua golongan ini tidak akan masuk ke dalam syurga dan tidak akan dapat mencium bau wanginya, walaupun semerbak wanginya telah tercium dari jarak perjalanan 500 tahun sebelum sampai kepadanya. Hadis kelima belas dalam buku Empat Puluh Hadis Tentang Peristiwa Akhir Zaman susunan Abu Ali Al-Banjariyah An-Nadwi, terbitan Khazanah Banjariyah, Maahad Tarbiah Islamiyah, Pokok Sena, Kedah Darulaman, tahun 1991, m.s. 42 dan 43.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan