Mazlan Zainol
Daripada
Abu Hurairah, RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM bersabda,yang
bermaksud:
“Tahukah
kamu, siapakah gerangan orang yang muflis itu?”
Lalu
jawab sahabat: “Pada pandangan kami, orang yang muflis itu ialah mereka yang
tidak mempunyai wang dan harta?”
Lantas
Baginda bersabda:
“Sesungguhnya orang yang muflis di kalangan umatku ialah mereka
yang datang pada hari kiamat dengan membawa pahala solat, puasa dan zakat. Dia
juga (dalam masa yang sama) datang dengan membawa dosa menghina, menyakiti
orang, memakan harta orang lain, menumpahkan darah (membunuh), dan memukul
orang.
“Lalu diberi segala kebajikan itu kepadanya dan ini adalah
kebajikan-kebajikannya. Maka jika telah habis pahala kebajikannya sebelum dapat
dibayar kepada orang yang menuntutnya (orang yang dihina, disakiti dan
dizaliminya ketika di dunia dulu), maka dosa-dosanya itu akan dilemparkan
kepadanya, lalu dia kemudiannya dicampakkan ke dalam api neraka.”
(Hadis
riwayat Muslim)
Berdasarkan
hadis itu, dapat kita fahami bahawa golongan yang menjadi muflis pada
akhirat adalah berasal daripada orang yang memiliki pahala yang banyak.
Bagaimanapun, semua pahala ibadat mereka itu habis kerana digunakan
sebagai bayaran ganti rugi kepada insan yang pernah disakiti, dikhianati,
dihina, dibunuh atau dizaliminya.
Alangkah
ruginya golongan muflis ini. Ganjaran pahala yang mereka kumpul dengan
mengerjakan bermacam ibadat, akhirnya menjadi barang tukaran kerana denda yang
perlu mereka bayar disebabkan kesalahan mereka terhadap orang lain. Meskipun
kita malu jika isytiharkan muflis di dunia ini, namun kita masih lagi beruntung
kalau dibandingkan dengan situasi muflis di akhirat.
Jika
muflis di dunia, masih ada lagi orang yang bersimpati dan dapat membantu kita.
Tetapi bagaimana pula hal keadaan kita apabila muflis di akhirat? Siapakah yang
akan bersimpati? Siapakah yang bakal menolong kita dan siapakah pula yang akan
menyelamatkan kita dari azab seksaan neraka ALLAH SUBHANAHU WA TAALA? Kuat
beribadah dan memiliki pahala yang banyak tidak menjamin terpeliharanya
seseorang itu daripada azab ALLAH SUBHANAHU WA TAALA jika pada masa sama
dia masih melakukan penganiayaan, penindasan dan kezaliman kepada insan lain.
Firman ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA bermaksud:
“Pada hari itu Kami akan tutup mulut mereka dan tangan mereka
memberitahu Kami (mengenai kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula
menjadi saksi terhadap apa yang sudah mereka perbuatkan (ketika hidup di
dunia)?”
(Surah
Yaasin, ayat 65).
Selain
itu, kita juga diingatkan agar bertanggungjawab terhadap amanah keluarga iaitu
isteri dan anak-anak. Dibimbangi di akhirat kelak, mereka akan menuntut segala
pertanggungjawaban yang tidak kita tunaikan kepada mereka. Tanggungjawab
memberi mereka ilmu, pendidikan, perlindungan, makanan, kesihatan dan
sebagainya akan dipersoalkan kepada kita sama ada terlaksana atau terabai.
Jika
kita perhatikan realiti hari ini, berapa ramai ibu bapa yang selalu solat
berjemaah di masjid, mendengar ceramah, menghadiri kelas pengajian agama dan
melakukan pelbagai amal kebajikan, sedangkan anak mereka terbiar tanpa mendapat
pendidikan agama sempurna, terbabit dengan jenayah, gejala sosial, maksiat dan
kegiatan kemungkaran?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan