Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:
“Dan katakan kepada perempuan-perempuan
yang beriman, supaya mereka menahan sebahagian penglihatan, memelihara
kehormatannya dan tiada memperlihatkan perhiasannya (tubuhnya) selain dari yang
nyata (mesti terbuka terdiri dari bahagian badannya yang sangat perlu dalam
pekerjaan sehari-hari, seperti mukanya dan tapak tangan). Dan hendaklah mereka
sampaikan kudungnya ke leher (tutup kepalanya sampai ke leher dan dadanya), dan
tiada memperlihatkan perhiasannya (tubuhnya), kecuali kepada suaminya, bapanya,
bapa suaminya, anak-anaknya, anak-anak suaminya, saudara-saudaranya,anak-anak
saudara lelaki, anak-anak saudara perempuannya, sesama perempuan Islam, hamba
sahaya kepunyaannya, laki-laki yang menjalankan kewajubannya tetapi tidak
mempunyai keinginan (terhadap perempuan – umpanya pelayan-pelayan lelaki yang
sudah tua dan tiada lagi mempunyai keinginan kepada perempuan) dan kanak-kanak
yang belum mempunyai pengertian kepada aurat perempuan. Dan janganlah mereka
pukulkan kakinya, supaya diketahui orang perhiasannya yang tersembunyi
(misalannya melangkah dengan cara yang menyebabkan betisnya terbuka atau
perhiasan seperti gelang/rantai kakinya nampak). Dan taubatlah kamu semuanya
kepada Allah s.w.t, Hai orang-orang yang beriman, supaya kamu beruntung.
(surah An-Nur ayat 31)
Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:
Belum sampaikah lagi masanya bagi
orang-orang yang beriman untuk khusyuk (taat) hati mereka mematuhi peringatan
dan pengajaran (suruhan dan larangan) Allah serta (taat) mematuhi kebenaran
(Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka
menjadi seperti orang-orang yang telah diberi kitab sebelum mereka (Yahudi dan
Nasrani), setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut (jauh dari zaman
nabi mereka) maka hati mereka menjadi keras (dari mengikuti perintah/ajaran
nabi mereka) dan banyak di antaranya orang-orang fasik.
(surah Al-Hadid ayat 16)
Bila ayat menutup aurat turun sahaja
semua wanita ketika itu tidak kira dari golongan Ansar mahupun Muhajirin dengan
segera menutup aurat masing-masing. Yang ada di pasar, yang ada di rumah, yang
sedang dalam perjalanan capai apa sahaja untuk menutup aurat masing-masing
dengan SEGERA dan bukannya NANTI DULU. Yang tidak mendapat apa-apa mereka
segera memalingkan muka menghadap dinding supaya tiada lelaki terpandang wajah
mereka. Itulah kekuatan iman yang ada pada wanita-wanita ketika itu. Tetapi
kini segala-galanya telah berubah makin jauh kita dari zaman Rasulullah s.a.w. makin kita jauh dari amalan agama.
Dalam ayat yang sama juga Allah s.w.t. menegur kita supaya tidak menjadi
seperti ahli kitab sebelum kita (Yahudi dan Nasrani) di mana semakin mereka
jauh dari zaman nabi mereka maka semakin kurang mengamalkan agama. Itulah
keadaan kita ketika ini.
Saudari-saudari seagama dengan kita
bukan tidak tahu kewajiban menutup aurat, tetapi oleh kerana kelemahan iman
serta sikap acuh tak acuh membuatkan mereka lalai. Perkataan yang biasa kita
dengar dari saudari-saudari kita ialah “belum sampai seruan”. Seruan apa
yang ditunggunya atau seruan dari siapa yang sedang mereka tunggu?
Bukankah Allah s.w.t. telah seru untuk menutup aurat sejak 14
abad dahulu lagi. Tetapi kenapa masih tak tutup-tutup lagi?
Lihat lagi ayat di atas Allah s.w.t. berfirma “Katakan kepada orang-orang perempuan
yang beriman” Allah s.w.t. dengan khusus gunakan
perkataan “beriman” dan bukannya “wahai manusia” kerana segala perintah hanya
boleh didukung oleh orang-orang yang beriman sahaja.
Dalam ayat keduapun sama yang ditujukan
ayat-ayat ini adalah kepada orang-orang yang beriman. Kita kata kami beriman
dengan Allah s.w.t, Rasul-rasulNya dan, Kitab-kitabNya tetapi apa yang kita
ucapkan dan buat adalah sungguh bertentangan. Allah s.w.t. telah menggariskan peraturan dan rasul
telah mengajarkannya dan peraturan itu telah termaktub di dalam kalamNya.
Tetapi kenapa masih leka? Kita bimbang kalau-kalau kita dibungkus dengan kain
putih sebelum kita sempat menutup aurat.
Maka wahai saudari-saudari seagamaku
(YANG BERIMAN), sebelum terlewat rebutlah peluang yang ada jangan tunggu esok
amalkan sekarang juga. Bimbang “Esok tiada bagi mu”. Gembirakanlah Allah s.w.t. dan rasulNya dengan mengikut perintah mereka supaya
dikala kamu dirundung malang Allah s.w.t. dan rasulNya dapat menggembirakan kamu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan