Sabda RASULULLAH SAW yang
bermaksud :
“Orang yang paling menyesal pada hari
Kiamat ialah lelaki yang ada peluang menuntut ilmu di dunia tetapi ia tidak
mengambil kesempatan menuntutnya, dan lelaki yang mengajar ilmu kepada orang
lain; lalu yang belajar darinya mendapat faedah dari ilmu itu sedangkan ia
sendiri tidak mendapat apa-apa.”
PENJELASANNYA
Hadis ini menggalakkan umat Muslimin
supaya menggunakan segala kesempatan hidup di dunia untuk mempelajari ilmu-ilmu pengetahuan
yang berguna kepada kehidupan keagamaan dan keduniaannya. Dengan ilmu pengetahuan yang betul,
dapat dilakukan amalan-amalan ibadah yang betul. Amalan ibadah tanpa ilmu
pengetahuan yang betul boleh menjerumuskan seseorang ke dalam bidaah dan
kekeliruan yang merosakkan agamanya.
Disamping itu ilmu pengetahuan boleh membuka ufuk pemikiran dan
mendalamkan kesedaran dan keinsafan yang menguatkan keyakinan dan tauhidnya
terhadap ALLAH SUBHANAHU WA TAALA, dan dengan demikian akan
meningkatkan darjatnya di sisi ALLAH SUBHANAHU WA TAALA di hari Kiamat kelak.
Hadis ini juga menggariskan satu panduan
yang penting iaitu tujuan belajar ialah beramal sama ada ia seorang pelajar
atau seorang guru, kerana amalan itu merupakan nilai ilmu dan nilai seseorang
yang berilmu.
Kata pepatah Arab, “Ilmu tanpa amal laksana pokok
tanpa buah,” alangkah ruginya
seseorang guru yang tidak mendapat apa-apa guna dari ilmunya sedangkan orang
yang belajar darinya memungut keuntungan-keuntungan yang abadi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan