Sepertimana yang diberitakan kepada kita
oleh akhbar Berita Harian, hari ini terdapat segolongan wanita yang menolak
perkahwinan. Antaranya memandang perkahwinan sebagai satu bebanan yang menyekat
kebebasan. Bila berkahwin, kuasa mutlak dalam menentukan hidup berubah dan
terpikul pula dengan kerja-kerja mengurus rumahtangga dan anak-anak.
Justeru itu ramai yang lebih rela jadi
andartu walaupun pada hakikatnya, ianya tidak dapat memberi kebahagiaan pada
jiwa. Ada juga yang tidak berkahwin disebabkan terlalu memilih calon yang
sekufu dan ada yang tidak sempat memikirkan perkahwinan kerana terlalu sibuk
dengan tugas-tugas dan karier kerjanya.
Sebelum ini saya ada memberi pandangan
bagaimana hendak menyelesaikan masalah andartu. Kali ini saya akan dedahkan
pula tentang kerugian wanita yang tidak mahu berkahwin; tetapi bukan kepada
wanita yang tidak berkahwin kerana tiada jodoh. Kalau sudah tidak ada
jodoh, wanita tersebut tidak boleh dipersalahkan kerana sudah takdir menentukan
demikian. Masalahnya sekarang, terdapat wanita yang ada peluang berkahwin
tetapi menolak dengan alasan-alasan seperti mana yang saya sebutkan di atas
tadi.
Perkembangan tentang wanita yang tidak
gemar berkahwin bukan sahaja berlaku di dalam masyarakat bukan Islam tetapi
juga berlaku di kalangan masyarakat Islam. Sikap demikian bukan sahaja
bertentangan dengan kehendak ajaran Islam yang menggalakkan perkahwinan
tetapi juga bertentangan dengan fitrah semulajadi manusia yang hidupnya
memerlukan pasangan. Bahkan sunnatullah kejadian manusia, ada lelaki dan ada
wanita yang saling memerlukan antara satu sama lain. Ibarat talian elektrik
yang memerlukan positif dan negatif untuk melahirkan cahaya.
Di Malaysia, walaupun terdapat di
dalam masyarakat Islam sikap memilih hidup membujang tetapi tidak begitu
berleluasa seperti di barat. Sungguhpun demikian pada pandangan Islam, orang
yang tidak berkahwin dianggap jelek. Menyerupai para pendita Kristian. Golongan
ini juga tidak akan mendapat kesempurnaan dalam agama dan mengalami kerugian di
dunia dan di akhirat.
Keburukan tidak berkahwin khususnya
bagi kaum wanita, adalah lebih banyak berbanding dengan lelaki. Kerana umumnya
bagi kaum wanita, pintu syurga lebih banyak bermula dan berada di sekitar
rumahtangga, suami dan anak-anak. bagi kaum wanita, untuk mendapat maqam
salehah dan menjadi ahli syurga di akhirat adalah amat mudah. Ini adalah
berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w.:
“Sekiranya seorang wanita dapat
melakukan empat perkara iaitu sembahyang lima waktu, puasa di bulan Ramadhan,
menjaga maruah dan taat kepada suami maka masuklah syurga mana-mana yang ia
kehendaki.”
Sekiranya seorang wanita itu tidak
berkahwin, ia tidak akan dapat mencapai kesempurnaan pada maqam yang keempat.
Walau sehebat mana sekalipun ia bersembahyang, berpuasa dan menjaga maruah,
wanita yang tidak berkahwin tidak akan mendapat kelebihan pada mentaati suami.
Sedangkan kelebihan mentaati suami mengatasi segala-galanya bagi seorang
wanita, sehinggakan redha Allah s.w.t. pun bergantung kepada redha suami.
Selain daripada itu di antara
kelebihan wanita yang berkahwin bahawa ia akan diberi pahala seperti pahala
jihad fisabilillah di kala mengandung. Apabila ia menyusukan anak maka setiap
titik air susu akan diberi satu kebajikan. Berjaga malam kerana mengurus anak
akan diberi pahala seperti membebaskan 70 orang hamba. Wanita yang berpeluh
kerana terkena bahang api ketika memasak untuk keluarganya akan dibebaskan
daripada neraka. Bagi wanita yang mencuci pakaian suaminya akan diberi 1000
pahala dan diampuni 2000 dosa. Lebih istimewa lagi ialah bagi wanita yang
tinggal di rumah kerana mengurus anak-anak akan dapat tinggal bersama-sama Rasulullah s.a.w di syurga kelak.
Bahkan wanita yang rela dijimak oleh
suami juga akan mendapat pahala dan lebih hebat lagi bagi wanita yang mati
kerana bersalin akan mendapat pahala seperti pahala syahid. Semua
kelebihan-kelebihan ini tidak akan dapat diperolehi bagi wanita yang menolak
perkahwinan. Malah di dunia akan selalu berada di dalam fitnah dan di akhirat
menjadi golongan yang rugi. Oleh itu wanita dianjurkan berkahwin apabila
telah menemui pasangan yang sekufu. Yang dimaksudkan sekufu yang utama ialah
dari segi iman, walaupun lelaki tersebut telah berkahwin. Sabda Rasulullah s.a.w:
“Apabila datang kepada kamu lelaki yang
beragama dan berakhlak maka kahwinlah dia, kalau tidak akan timbul fitnah dan
kebinasaan.”
Para sahabat bertanya, “Bagaimana
kalau ia telah berkahwin?” Jawab Baginda s.a.w,
“Kahwinilah juga ia (diulang sebanyak tiga kali).”
Begitulah besarnya pahala bagi wanita
yang berkahwin. Tidak perlu bersusah-payah untuk keluar rumah seperti kaum
lelaki atau berslogan seperti kebanyakan wanita hari ini. Hanya dengan duduk di
rumah sebagai seorang isteri dan ibu sudah memperolehi banyak pahala. Kalau
suami redha dengan perlakuan seorang isteri itu maka akan terus masuk syurga
tanpa melalui kesukaran. Nikmat ini tidak akan dapat diperolehi oleh wanita
yang menolak perkahwinan kerana dia telah menolak untuk menjadi calon wanita
salehah yang berada di bawah naungan suami.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan