Ringkasan dari Hadis Muaz dengan
Rasulullah SAW tentang Israk dan Mikraj:
1-Apabila amal soleh melalui langit pertama, Malaikat akan menilai
agar amal soleh tersebut suci
dari nilai-nilai Ghibah atau mengumpat.
2-Apabila amal soleh tersebut berjaya
melalui langit pertama, maka Malaikat di langit kedua telah ditugaskan agar amalan tersebut suci dari nilai-nilai Matlamat dunia,
jika amalan tersebut suci dan selamat dari sifat-sifat matlamat dunia, maka
dibenarkan meneruskan perjalanan dan akan naik ke langit ketiga.
3-Semasa amal soleh tersebut melalui
langit ketiga, Malaikat akan menilai dan menapis
amalan tersebut agar suci dari
sifat bangga diri.
4-Apabila amalan tersebut tidak
memilki unsur-unsur bangga diri, maka amalan tersebut akan dibenarkan melangkah
ke langit keempat, semasa amalan
soleh melalui langit keempat, Allah SWT mengarahkan agar amalan tersebut
dinilai agar suci
daripada nilai-nilai hasad.
5-Apabila amalan tersebut berjaya
melepasi langit keempat, amalan soleh akan melalui langit kelima, semasa dilangit kelima
, amal soleh akan dinilai agar suci
daripada sifat Ujub atau berbangga dengan kelebihan diri sendiri.
6-Apabila amal soleh telah berjaya
melepasi langit kelima, amal tersebut akan melalui langit keenam, semasa amal
soleh melalui langit keenam, Malaikat yang bertugas di langit keenam akan menilai agar amal soleh
tersebut mengandungi
sifat kasihan belas kepada orang lain, tidak menzalimi orang lain dalam semua
perkara.
7-Apabila amal soleh telah berjaya
melepasi langit keenam, maka amal soleh tersebut akan diarak oleh ribuan para
malaikat sehingga mengeluarkan bunyi seperti lebah dan apabila sampai di langit
ketujuh, Malaikat yang menjaga langit
ketujuh akan menilai agar amal
soleh tersebut suci daripada
sifat Riak, iaitu amal soleh yang tidak disertakan dengan harapan agar
amalannya diiktiraf oleh manusia serta disanjung dan diagung-agungkan.
8-Apabila amal soleh telah berjaya
melepasi langit ketujuh, amal soleh tersebut akan diiringi oleh ribuan para
Malaikat. Apabila amal soleh tersebut telah berada di hadapan Allah SWT.
Malaikat berkata kepada Allah SWT dengan kata mereka : Ya Allah inilah amal
yang terbaik yang telah melepasi segala tapisan, tetapi Allah SWT berfirman : Sesungguhnya masih ada lagi tapisan
yang perlu dilakukan kerana Aku lebih mengetahui sesuatu amalan yang terbaik ” Maka Allah SWT akan menilai agar amal soleh tersebut dilakukan
adalah benar-benar Ikhlas demi Allah SWT”, setelah amal soleh tersebut
benar-benar dilakukan kerana Ikhlas kepada Allah SWT, Maka Allah SWT bersetuju
memberi pahala dan dimasukkan ke dalam Syurga.
Nota: Setiap amal soleh yang tidak
melepasi tapisan-tapisan para Malaikat, amal soleh tersebut akan dihumban ke
muka pemilik amal soleh tersebut.
Sumber Rujukan:
Imam Abdullah bin Al Mubarak lah.a
telah meriwayatkan di dalam kitab Al Zuhd dengan sanad beliau daripada seorang
lelaki (iaitu Khalid bin Maadan) yang pernah berkata kepada Muaz bin Jabal:
“Wahai Muaz! Ceritakanlah kepadaku sebuah hadis yang pernah engkau dengar
daripada Rasulullah s.a.w.”
Berkata Rawi hadis tersebut (Khalid
bin Maadan) lalu Muaz menangis sehingga aku sangka ia tidak dapat berhenti
tetapi akhirnya Muaz berhenti daripada tangisannya kemudian lalu Muaz berkata.
Aku mendengar Rasulullah s.a.w pernah bersabda kepadaku: Wahai Muaz! Sebenarnya
aku mahu menceritakan kepada kamu sebuah hadis jikalau engkau mampu memeliharanya
pasti ia akan memberi manfaat akan dikau di sisi Allah tetapi jika engkau
mensia-siakannya dan tidak memeliharanya maka akan terputuslah hujjahmu di
hadapan Tuhan pada hari kiamat nanti.
Wahai Muaz! Sesungguhnya Allah s.w.t
telah menjadikan 7 orang malaikat sebelum ia menciptakan langit dan bumi
kemudian lalu ditentukannya pada setiap langit seorang malaikat daripada mereka
untuk menjaga pintu langit tersebut. Lalu naiklah malaikat Hafazhah membawa
amalan seseorang hamba yang dilakukannya mulai dari pagi sampai ke petang.
Amalan tersebut mempunyai nur bagaikan cahaya matahari, sehingga apabila
malaikat Hafazhah yang membawa amalan hamba itu sampai ke langit yang pertama.
Mereka menganggap bahawa amalan itu
baik dan sangat banyak lalu bekata malaikat penjaga langit pertama itu bagi
malaikat Hafazhah: “Pukulkan dengan amalan ini akan muka orang yang
mengerjakannya. Akulah malaikat penjaga ghibah (mengumpat). Allah telah
menyuruhku supaya aku tidak membiarkan amalan
orang yang mengumpat orang lain itu
dapat melalui aku untuk terus naik ke atas.”
Kemudian datang pula malaikat Hafazhah
membawa amalan seseorang hamba. Mereka menganggap bahawa amalan itu sangat baik
dan sangat banyak (Malaikat itu berjaya melintasi langit yang pertama) sehingga
mereka sampai ke langit yang kedua lalu berkata malaikat penjaga langit yang
kedua itu:”Berhenti kamu di sini dan pukulkan dengan amalan ini akan muka orang
yang mengerjakannya kerana ia menghendaki dengan amalannya akan mendapat
keuntungan dunia. Allah telah menyuruhku supaya aku tidak membiarkan amalan
orang seperti ini melintasi aku untuk terus naik ke atas. Selain daripada itu
ia juga suka membesarkan diri
di dalam majlis perjumpaan. Akulah malaikat penjaga kebesaran.”
Kemudian naik pula malaikat Hafazhah
membawa amal seseorang hamba yang penuh dengan sinaran dan cahaya daripada
pahala sedekah, solat, puasa. Para malaikat Hafazhah merasa hairan melihat
keindahan amalan tersebut lalu mereka membawa amalan itu (melintasi langit
pertama dan kedua) sehingga sampai ke pintu langit yang ketiga maka berkata
malaikat penjaga langit ketiga itu:”Berhenti kamu di sini dan pukulkan dengan
amalan ini akan muka orang yang mengerjakannya. Akulah malaikat takkabur. Allah
menyuruhku supaya tidak membiarkan amalan
orang yang takkabur dapat melintasiku. Orang itu sangat suka membesarkan
diri di dalam majlis orang ramai.”
Kemudian naik pula malaikat Hafazhah
membawa amal seseorang hamba. Amal itu bersinar-sinar seperti bersinarnya
bintang yang berkelip-kelip. Baginya suara tasbih, solat, puasa, haji dan
umrah. Para malaikat Hafazhah berjaya membawa amalan itu sehingga sampai ke
langit pintu yang keempat maka berkata malaikat penjaga langit keempat itu:
“Berhenti kamu di sini dan pukulkan dengan amalan ini akan muka orang yang
mengerjakannya, belakang dan juga perutnya. Akulah malaikat ujub (bangga dengan
diri sendiri). Allah menyuruhku supaya tidak membiarkan amalan orang yang ujub dapat
melintasiku. Ia beramal adalah dengan dorongan perasaan ujub terhadap
dirinya.”
Kemudian naik pula malaikat Hafazhah
membawa amal seseorang hamba sehingga mereka berjaya sampai ke pintu langit
yang kelima seolah-olah amalan itu pengantin yang dihantar (disambut) ke rumah
suaminya (maksudnya amalannya itu berseri-seri) lalu berkata malaikat penjaga
langit yang kelima: “Berhenti kamu dan pukulkan dengan amal ini akan muka orang
yang mengerjakannya dan campakkanlah di atas tengkoknya. Akulah malaikat hasad
ia sangat hasud kepada orang yang belajar ilmu dan beramal seperti amalannya.
Ia hasut akan orang lain yang melakukan sebarang kelebihan di dalam ibadat, ia
juga mencela mereka. Allah menyuruhku supaya aku tidak membiarkan amalan orang yang hasud ini
melintasi aku.”
Kemudian naik pula malaikat Hafazhah
membawa amalan seseorang hamba. Baginya cahaya seperti bulan purnama daripada
solat, zakat, umrah, jihad dan puasa. Malaikat Hafazhah berjaya membawa
amalannya sehingga sampai ke langit yang keenam lalu berkata malaikat penjaga
langit tersebut: “Berhentilah kamu dan pukulkan amalan ini akan muka orang yang
mengerjakannya kerana ia tidak
belas kasihan kepada hamba-hamba Allah yang terkena bala dan kesusahan bahkan ia merasa gembira dengan
demikian. Akulah malaikat rahmat. Allah menyuruhku supaya tidak membiarkan
amalan orang yang seperti ini dapat melintasi aku.”
Kemudian naiklah pula malaikat
Hafazhah membawa amalan seseorang hamba. Amalan itu ialah solat, puasa,
nafkhah, jihad dan warak. Baginya bunyi (maksudnya bunyi zikir) seperti bunyi
lebah dan baginya cahaya seperti cahaya matahari dan naiklah bersama dengan
amalan itu 3000 orang malaikat. Mereka telah berjaya membawanya sehingga sampai
ke pintu langit yang ketujuh maka berkata malaikat penjaga pintu langit
tersebut:
“Berhentilah kamu dan pukulkan dengan amalan ini akan muka orang yang mengerjakannya bahkan pukulkan pula akan seluruh anggota badannya dan tutupkan ke atas hatinya. Akulah malaikat sum’ah (ingin masyhur). aku akan menghalang amalan orang yang riak dari sampai kepada Tuhanku. Ia beramal bukan kerana mencari keredhaan Allah tetapi bertujuan supaya mendapat tempat yang tinggi di hati para fukaha dan supaya disebut di kalangan para ulama dan supaya masyhur namanya di merata tempat. Allah menyuruhku supaya tidak membiarkan amalan orang yang riak itu melintasi aku, kerana setiap amalan yang tidak ikhlas adalah riak dan Allah tidak akan menerima amalan orang yang riak.”
Kemudian naik pula malaikat Hafazhah
dengan amalan seseorang hamba. Amalan itu berupa solat, zakat, puasa, haji,
umrah, akhlak mulia, banyak berdiam (daripada yang tidak berguna) dan banyak
berzikir. Amalan hamba ini diusung oleh para malaikat penjaga tujuh petala
langit sehingga mereka melintasi segala halangan dan sampai kepada Allah. Para
malaikat itu berhenti di hadapan Allah swt dan bersaksi dengan keikhlasan dan
kebaikan amalan tersebut lalu Allah swt berfirman kepada para malaikatnya:
“Kamu adalah yang bertugas menjaga
amalan hambaKu ini dan sebenarnya aku lebih mengetahui dengan segala isi
hatinya dan aku lebih mengetahui apa yang dimaksudkan oleh hambaKu ini dengan
amalannya. Dia tidak ikhlas kepadaKu dengan amalannya. Dia menipu orang lain,
menipu kamu (malaikat Hafazah) tetapi tidak boleh menipu aku. Aku adalah Maha
Mengetahui”.
“Aku melihat segala isi hati dan tidak
akan terlindung bagiKu apa sahaja yang terlindung. PengetahuanKu atas apa yang
telah terjadi adalah sama dengan pengetahuanKu atas apa yang bakal terjadi”.
“PengetahuanKu atas orang yang
terdahulu adalah sama dengan pengetahuanKu atas orang-orang yang datang
kemudian. Kalau begitu bagaimana hambaKu ini menipu aku dengan amalnya ini?”
“Ia sebenarnya tidak menghendaki akan aku dengan amalan tersebut. Ia hanya menghendaki sesuatu yang lain daripadaKu. Oleh kerana itu maka aku turunkan ke atasnya akan laknatKu.”
Dan ketujuh-tujuh malaikat berserta 3000 malaikat yang mengiringinya pun berkata, “Ya Tuhan, dengan demikian tetaplah laknatMu dan laknat kami sekelian bagi mereka.”
Dan semua yang di langit turut berkata, “Tetaplah laknat Allah kepadanya dan laknat orang yang melaknat”.
Sayidina Muaz (yang meriwayatkan hadis
ini) kemudian menangis teresak-esak dan berkata, “Ya Rasulullah, bagaimana aku
boleh selamat dan apa yang diceritakan ini?”
Sabda Rasulullah saw., “Hai Muaz,
ikutilah Nabimu dalam soal keyakinan”.
Muaz bertanya kembali, “Ya, tuan ini
Rasulullah sedangkan saya ini hanya si Muaz bin Jabal (hamba Allah bukan
Rasul), bagaimana saya boleh selamat dan boleh lepas dan bahaya tersebut?”
Bersabda Rasullullah, “Ya begitulah, kalau dalam amalanmu ada kelalaian maka tahanlah lidahmu jangan sampai memburukkan orang lain. Ingatlah dirimu sendiri pun penuh dengan aib maka janganlah mengangkat diri dan menekan orang lain”.
“Jangan riak dengan amal supaya amal itu diketahui orang. Jangan termasuk orang yang
mementingkan dunia dengan melupakan akhirat. Kamu jangan berbisik berdua ketika di sebelahmu ada orang lain
yang tidak diajak berbisik. Jangan
takabbur pada orang lain nanti
luput amalanmu dunia dan akhirat dan jangan
berkata kasar dalam suatu majlis
dengan maksud supaya orang takut kepadamu. Jangan
mengungkit-ungkit apabila membuat kebaikan, jangan
merobekkan (pecah belah) peribadi orang lain dengan mulutmu kelak engkau akan dirobek-robek oleh
anjing-anjing api neraka jahanam”.
Sebagaimana firman Allah yang
bermaksud, “Di neraka itu ada anjing-anjing perobek badan manusia”.
Muaz berkata, “Ya Rasulullah, siapa
yang tahan menanggung penderitaan semacam itu?”
Jawab Rasulullah SAW., “Muaz, yang kami ceritakan itu
akan mudah bagi mereka yang dimudahkan oleh Allah SWT. Cukuplah untuk menghindar semua
itu, kamu menyayangi orang lain
sebagaimana kamu mengasihi dirimu sendiri dan benci apa yang berlaku kepada
orang lain apa-apa yang dibenci oleh dirimu sendiri. Kalau begitu kamu akan
selamat dan dirimu pasti akan terhindar”.
Wallahu’alam….
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
“Sesungguhnya Allah S.W.T tidak memandang kepada rupa paras dan harta benda kamu tetapi Allah hanya memandang kepada niat hati dan amalan-amalan kamu.”
(Riwayat Muslim)
Katakanlah: “Wahai hamba-hambaKu yang
telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan
maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya
Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun,
lagi Maha Mengasihani.
(Surah Az-Zumar: 53)
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya
sudah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran daripada
Tuhan kamu dan yang menjadi penawar bagi penyakit batin (hati) yang ada dalam
dada kamu dan menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan serta membawa rahmat
bagi orang beriman.”
(Surah Yunus: ayat 57).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan