Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Jumaat, 28 Jun 2013

Bab 254 Kitab Perkara-perkara Yang Terlarang Melakukannya Haramnya Mengumpat dan Perintah Menjaga Lisan




Allah Taala berfirman:

Yang Bermaksud : "Janganlah sebahagian di antara engkau semua itu mengumpat sebahagian yang lainnya. Sukakah seseorang di antara engkau semua makan daging saudaranya dalam keadaaan ia sudah mati, maka tentu engkau semua membenci. Takutlah kepada Allah, sesungguhnya Allah adalab Maha Menerima taubat lagi Penyayang." 
(al-Hujurat: 12)

Allah Taala berfirman lagi:

Yang Bermaksud : "Dan janganlah engkau turut apa yang engkau tidak mengetahui, sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati itu semua akan diberi pertanyaan apa saja yang telah dilakukan olehnya."
(al-lsra': 36)

Allah Taala juga berfirman:

Yang Bermaksud : "Tidaklah seseorang itu mengucapkan sesuatu ucapan, melainkan di sisinya ada malaikat Raqib pencatat kebaikan dan 'Atid pencatat keburukan." 
(Qaf: 18)

Ketahuilah bahawasanya setiap seorang mukallaf yakni akil baligh itu sayugianya menjaga lisannya dari segala macam perkataan, melainkan perkataan yang di dalamnya tampak nyata adanya kemaslahatan. Apabila sama nilainya antara berbicara dan tidak berbicara menurut pandangan kemaslahatan, maka sunnahnya ialah menahan mulut dari berkata-kata itu, sebab kadang-kadang perkataan yang mubah  yakni boleh dan tidak haram itu dapat menyeret kepada keharaman atau kemakruhan. Hal ini banyak dalam adat kebiasaannya, sedangkan keselamatan itu tidak dapat diimbangi nilainya oleh sesuatu apapun.

1508. Daripada Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w., sabdanya:
Yang Bermaksud : "Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, maka hendaklah ia berkata yang baik atau kalau tidak dapat berkata yang baik, hendaklah ia berdiam diri saja."
(Muttafaq 'alaih)

Hadis ini secara terang sekali menjelaskan bahawasanya sayugianya seseorang itu tidak berbicara, melainkan jikalau pembicaraannya itu berupa suatu kebaikan yakni pembicaraan yang tampak nyata adanya kemaslahatan di dalamnya. Oleh sebab itu, jikalau ia sangsi tentang akan timbulnya kemaslahatan dalam pembicaraannya tadi, maka janganlah berbicara.

1509. Daripada Abu Musa r.a., katanya: 

Yang Bermaksud : "Saya berkata: "Ya Rasulullah, manakah kaum Muslimin itu yang lebih utama?" Beliau s.a.w. menjawab: "Iaitu yang orang-orang Islam lain merasa selamat daripada gangguan lisannya yakni pembicaraannya serta dari tangannya." 
(Muttafaq 'alaih)

1510. Daripada Sahl bin Sa'ad r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:

Yang Bermaksud : "Barangsiapa yang dapat memberikan jaminan kepadaku tentang kebaikannya apa yang ada di antara kedua tulang rahangnya yakni mulut serta antara kedua kakinya yakni kemaluannya, maka saya memberikan jaminan syurga untuknya."
(Muttafaq 'alaih)

1511. Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya ia mendengar Nabi s.a.w. bersabda:

Yang Bermaksud : "Sesungguhnya seseorang hamba itu nescayalah berbicara dengan suatu perkataan yang tidak ia fikirkan baik atau buruknya, maka dengan sebab perkataannya itu ia dapat tergelincir ke neraka yang jaraknya lebih jauh daripada jarak antara sudut timur dan sudut barat." 
(Muttafaq 'alaih)

Makna yatabayyanu ialah memikirkan apakah perkataannya itu baik atau tidak.

1512. Daripada Abu Hurairah r.a. pula dari Nabi s.a.w., sabdanya: 

Yang Bermaksud : "Sesungguhnya seseorang hamba itu nescayalah mengatakan suatu perkataan dari apa-apa yang diredhai oleh Allah Taala yang ia sendiri tidak banyak mengambil perhatian dengan kata-katanya, lalu Allah mengangkatnya dengan beberapa darjat. Dan sesungguhnya seseorang hamba itu nescayalah mengatakan suatu perkataan dari apa-apa yang menyebabkan kemurkaan Allah Taala yang ia sendiri tidak banyak mengambil perhatian dengan kata-katanya, lalu orang itu terjatuh dalam neraka Jahanam sebab kata-katanya tadi." 
(Riwayat Bukhari)

1513. Daripada Abu Abdur Rahman iaitu Bilal bin al-Harits al-Muzani r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda:

Yang Bermaksud : "Sesungguhnya seseorang itu nescayalah berkata dengan suatu perkataan dari apa-apa yang diredhai oleh Allah Taala, ia tidak mengira bahawa perkataan itu akan mencapai suatu tingkat yang dapat dicapainya, lalu Allah mencatat untuknya bahawa ia akan memperoleh keredhaanNya sampai pada hari ia menemuiNya yakni hari kematiannya atau pada hari kiamat nanti. Dan sesungguhnya seseorang itu nescayalah berkata dengan suatu perkataan dari apa-apa yang menjadikan kemurkaan Allah, ia tidak mengira bahawa perkataan itu akan mencapai suatu tingkat yang dapat dicapainya, lalu Allah mencatatkan untuknya bahawa ia akan memperoleh kemurkaanNya sampai pada hari ia menemuiNya."
Diriwayatkan oleh Malik dalam kitab Al-Muwaththa' dan juga oleh Imam Termidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan shahih.

1514. Daripada Sufian bin Abdullah r.a., katanya: 

Yang Bermaksud : "Saya berkata: "Ya Rasulullah, beritahukanlah kepada saya sesuatu perkara yang saya wajib tetap berpegangan dengannya itu!" Beliau s.a.w. menjawab: "Katakanlah: "Tuhanku adalah Allah," kemudian berbuat luruslah." Saya bertanya lagi: "Ya Rasulullah, apakah yang paling Tuan takutkan atas diri saya?" Beliau s.a.w. lalu mengambil lisannya, kemudian bersabda: "Ini."
Diriwayatkan oleh Imam Termidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan shahih.

1515. Daripada Ibnu Umar radhiallahu 'anhuma, katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda: 

Yang Bermaksud : "Janganlah engkau semua memperbanyak kata, selain untuk berzikir kepada Allah Taala, sebab sesungguhnya banyaknya pembicaraan kerasnya hati dan sesungguhnya sejauh-jauh manusia dari Allah ialah yang berhati keras," yakni enggan menerima petunjuk baik. 
(Riwayat Termidzi)

1516. Daripada Abu Hurairah r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:

Yang Bermaksud : "Barangsiapa yang dijaga oleh Allah akan keburukannya yang ada di antara kedua rahangnya yakni mulut dan keburukannya apa yang ada di antara kedua kakinya yakni kemaluan, maka dapatlah ia masuk syurga."
Diriwayatkan oleh Imam Termidzi dan ia mengatakan bahwa ini adalah Hadis hasan shahih

1517. Daripada 'Utbah bin 'Amir r.a. katanya: 

Yang Bermaksud : "Saya berkata: "Ya Rasulullah, apakah yang menyebabkan keselamatan itu?" Beliau s.a.w. bersabda: "Tahanlah lidahmu yakni hati-hatilah dalam berbicara, hendaklah rumahmu itu dapat merasakan luas padamu maksudnya: lakukanlah sesuatu yang dapat menyebabkan engkau suka tetap berada di rumah seperti melakukan ketaatan kepada Allah Taala dan Iain-Iain dan menangislah atas kesalahan yang engkau kerjakan."
Diriwayatkan oleh Imam Termidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan.

1518. Daripada Abu Said al-Khudri r.a. dari Nabi s.a.w., sabdanya: 

Yang Bermaksud : "Jikalau anak Adam yakni manusia itu berpagi-pagi, maka sesungguhnya semua anggota itu memberikan sikap tunduk kepada lidah maksudnya: menasihati agar berhati-hati. Anggota-anggota itu berkata: "Takutlah engkau kepada Allah dalam urusan kita semua ini, sebab keselamatan kita ini tergantung daripada kelakuanmu. Jikalau engkau lurus, maka kitapun lurus, sedang jikalau engkau bengkok, maka kitapun bengkok pula."
(Riwayat Termidzi)

Makna tukaffirul lisan ialah menunjukkan sikap tunduk dan patuh kepada lidah

1519. Dari Mu'az r.a., katanya: 

Yang Bermaksud : "Saya berkata: "Ya Rasulullah, beritahukanlah kepada saya dengan sesuatu amalan yang dapat menyebabkan saya masuk syurga dan menjauhkan saya dari neraka." Beliau s.a.w. bersabda: "Nescayalah engkau itu menanyakan sesuatu persoalan yang agung yakni penting, tetapi sesungguhnya hal itu adalah mudah bagi orang yang dipermudahkan oleh Allah. Iaitu supaya engkau menyembah kepada Allah, tidak menyekutukan sesuatu denganNya, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa dalam bulan Ramadan dan mengerjakan ibadah haji di Baitullah." Selanjutnya beliau s.a.w. bersabda: "Sukakah engkau saya tunjukkan pada pintu-pintu kebaikan? Puasa adalah perisai dari berbuat kemaksiatan, sedekah itu dapat melenyapkan kesalahan yakni dosa sebagaimana air memadamkan api dan pula solat seseorang di tengah malam." Seterusnya Rasulullah s.a.w. membaca ayat yang ertinya: "Lambung-lambung mereka meninggalkan tempat-tempat tidur yakni mereka tidak tidur," sehingga sampai pada firmanNya yang ertinya: "Apa yang mereka kerjakan."

Selanjutnya beliau s.a.w. bersabda lagi:

"Sukakah engkau saya beritahu tentang pokok perkara yakni Agama Islam ini, tiangnya dan pula puncak punggungnya?" Saya menjawab: "Baiklah, ya Rasulullah." Beliau s.a.w. lalu bersabda: "Pokoknya ialah Islam, tiangnya ialah solat, sedang puncak punggungnya ialah jihad." Seterusnya beliau s.a.w. bersabda pula: "Sukakah engkau saya beritahu tentang pangkal yang mengemudikan semua itu?" Saya menjawab: "Baiklah, ya Rasulullah." Beliau s.a.w. kemudian mengambil lisannya lalu bersabda: "Tahanlah ini atas dirimu yakni berhati-hatilah mengemudikan lidah itu." Saya berkata: "Ya Rasulullah, apakah kita ini pasti akan dituntut yakni diterapi hukuman dengan apa yang kita bicarakan itu?" Beliau s.a.w. menjawab: "Kehilangan engkau ibumu Ini merupakan kata kebiasaan bagi bangsa Arab, semacam kita mengatakan: Celaka engkau ini, tidakkah para manusia itu dimasukkan dalam neraka dengan tersungkur di atas muka-mukanya itu, melainkan hanya kerana hasil perkataannya?"

Diriwayatkan oleh Imam Termidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan shahih. Uraian tentang Hadis ini sudah ada di muka. Keterangan: Dalam Riadhus Shalihin belum ada Hadis ini di muka.

1520. Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda: 

Yang Bermaksud : "Adakah engkau semua mengetahui, apakah mengumpat itu?" Para sahabat menjawab: "Allah dan RasulNya adalah lebih mengetahui." Beliau s.a.w. bersabda: "Iaitu engkau menyebutkan sesuatu yang ada dalam diri saudaramu dengan apa-apa yang tidak disukai olehnya." Beliau s.a.w. ditanya: "Bagaimanakah pendapat Tuan, jikalau dalam diri saudara saya itu memang benar-benar ada apa yang dikatakan itu?" Beliau s.a.w. menjawab: "Jikalau benar-benar ada dalam dirinya apa yang engkau ucapkan itu, maka sungguh-sungguh engkau telah mengumpatnya dan jikalau tidak ada dalam dirinya apa yang engkau ucapkan itu, maka sungguh-sungguh engkau telah membuat-buat kedustaan pada dirinya." 
(Riwayat Muslim)

1521. Daripada Abu Bakrah r.a. bahwasanya Rasulullah s.a.w. bersabda dalam khutbahnya pada hari Nahar yakni hari raya Kurban, di Mina dalam melakukan haji wada' ibadat haji terakhir bagi beliau s.a.w. sebagai mohon diri:

Yang Bermaksud : "Sesungguhnya darah-darahmu, harta-hartamu dan kehormatan-kehormatanmu semua itu adalah haram dilanggar sebagaimana kesucian harimu itu 'Idul Adha dalam bulanmu ini dan dalam negerimu ini. Ingatlah, tidakkah saya telah menyampaikan." 
(Muttafaq 'alaih)

1522. Dari Aisyah radhiallahu 'anha, katanya: 

Yang Bermaksud : "Saya berkata kepada Nabi s.a.w.: "Cukuplah bagi Tuan Shafiyah itu demikian, demikian" Shafiyah adalah isterinya Rasulullah s.a.w. pula, sebagaimana halnya Aisyah. Sebahagian para perawi Hadis ini mengatakan: Yang dimaksudkan Aisyah itu ialah bahawa Shafiyah itu pendek. Beliau s.a.w. lalu bersabda: "Benar-benar engkau telah mengucapkan sesuatu perkataan yang apabila perkataan tadi itu dicampur dengan air laut, tentu dapat mencampurinya" yakni mengubah air laut itu menjadi berubah rasa dan baunya. Aisyah berkata: "Saya pernah pula menceritakan perihal seseorang kepada beliau s.a.w., lalu beliau berkata: "Saya tidak suka menceritakan hal-ehwal seseorang yang buruk sebab sesungguhnya sayapun mempunyai demikian, demikian" yakni setiap orang tentu ada celanya sendiri.”
Diriwayatkan oleh Imam Termidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan shahih.

Makna muzajtahu yakni engkau campurkan dengan percampuran yang dapat menyebabkan perubahan dalam rasa atau baunya, kerana sangat bacinnya bau perkataan tadi dan sangat sekali buruknya. Hadis ini termasuk salah satu ancaman yang terkeras untuk melarang mengumpat atau ghibah.

Allah Taala berfirman yang ertinya:

Yang Bermaksud : "Muhammad itu tidaklah mengatakan menurut hawa nafsu kemauannya sendiri. Itu hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya."
(an-Najrn: 3-4)

1523. Daripada Anas r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda: 

Yang Bermaksud : "Ketika saya dimi'rajkan, saya berjalan melalui suatu kaum yang mempunyai kuku-kuku dari tembaga yang dengan kuku-kuku tadi mereka menggaruk-garukkan muka serta dada-dada mereka sendiri. Saya bertanya: "Siapakah mereka itu, hai Jibril?" Jibril menjawab: "Itulah orang-orang yang makan daging sesama manusia yakni mengumpat dan menjatuhkan kehormatan mereka." 
(Riwayat Abu Daud)

1524. Daripada Abu Hurairah r.a. pula bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda:

Yang Bermaksud : "Setiap Muslim atas sesama Muslim itu haramlah darahnya, kehormatannya serta hartanya yakni haram dilanggar." 

(Riwayat Muslim)




Tiada ulasan:

Catat Ulasan