Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Khamis, 27 Jun 2013

Bab 248 Zikir Di Waktu Pagi Dan Petang



Allah Taala berfirman:

Yang Bermaksud : "Dan berzikirlah kepada Tuhanmu dalam hatimu dengan rasa rendah diri dan takut dan tidak pula dengan ucapan yang keras-keras, iaitu pada waktu pagi dan petang dan janganlah engkau termasuk dalam golongan orang-orang yang lalai." 
(al-A'raf: 205)

Ahli lughah berkata: "Al-Aashal adalah jama'nya lafaz ashil, iaitu waktu antara Asar dan Maghrib yakni waktu petang hari.

Allah Taala berfirman lagi:

Yang Bermaksud : "Dan memaha sucikanlah dengan mengucapkan puji-pujian kepada Tuhanmu sebelum terbitnya matahari dan sebelum terbenamnya." 
(Thaha: 130)

Yang Bermaksud : "Dan maha sucikanlah dengan mengucapkan puji-pujian pada Tuhanmu di waktu petang dan pagi." 
(Ghafir: 55)

Ahli lughah berkata: Al'asyiy ialah waktu antara tergelincirnya matahari sampai terbenamnya.

Allah Taala berfirman pula:

Yang Bermaksud : "Cahaya itu ada di dalam rumah-rumah yang Allah mengizinkan kalau ditinggikan bangunannya dan dimuliakan rumah-rumah Allah itu serta NamaNya disebut-sebutkan di dalamnya, iaitu tempat untuk memaha sucikan padaNya di waktu pagi dan petang. Beberapa orang lelaki yang tidak lalai kerana perniagaan dan jual-beli dari berzikir kepada Allah." sampai habisnya ayat. (an-Nur: 36)

Allah Taala berfirman lagi:

Yang Bermaksud : "Sesungguhnya Kami (Allah) telah menundukkan gunung-gunung itu untuk bertasbih bersama Daud di waktu petang dan pagi." 
(Shad: 18)

1448. Daripada Abu Hurairah r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:

Yang Bermaksud : "Barangsiapa yang mengucapkan ketika pagi dan petang: Subhanallah wa bihamdi, seratus kali, maka tidak akan datang seseorangpun esok pada hari kiamat yang keadaannya lebih utama dari apa yang dikerjakannya, kecuali seseorang yang mengucapkan seperti apa yang diucapkan olehnya itu atau menambahkan dari ucapannya tadi." 
(Riwayat Muslim)

1449. Daripada Abu Hurairah r.a. pula, katanya: 

Yang Bermaksud : "Ada seorang lelaki datang kepada Nabi s.a.w. lalu berkata: "Ya Rasulullah, ada sesuatu yang saya bertemu dengannya, iaitu seekor kala, lalu menyengat pada saya tadi malam." Beliau s.a.w. bersabda: "Andaikata engkau mengucapkan ketika engkau berada di waktu petang, iaitu: "A'udzu bikalimatilahit tammati min syarri ma khalaq Saya mohon perlindungan dengan kalimat-kalimat Allah yang sempurna dari apa saja yang diciptakan olehNya, nescayalah binatang itu tidak akan membahayakan padamu." 
(Riwayat Muslim)

1450. Daripada Abu Hurairah r.a. pula dari Nabi s.a.w. bahawasanya beliau s.a.w. di waktu pagi mengucapkan yang ertinya: Ya Allah, dengan kurniaMu kita berpagi-pagi dan dengan kurniaMu pula kita berpetang-petang. Dengan pertolonganMu kita hidup dan dengan takdirMu kita mati dan kepadaMulah tempat kita kembali." Selanjutnya jikalau di waktu petang beliau s.a.w. mengucapkan yang ertinya: Ya Allah, dengan kurniaMu kita berpetang-petang, dengan pertolonganMu kita hidup dan dengan takdirMu kita mati dan kepadaMulah tempat kita kembali."
Diriwayatkan oleh Imam-imam Abu Daud dan Termidzi dan Termidzi mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan.

1451. Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Abu Bakar as-Shiddiq r.a. berkata: "Ya Rasulullah, perintahkanlah kepada saya untuk mengucapkan beberapa kalimat yang perlu saya bunyikan di waktu saya berpagi-pagi atau berpetang-petang!" Beliau s.a.w. bersabda: "Ucapkanlah yang ertinya: "Ya Allah, yang Maha Menciptakan semua langit dan bumi, Maha Mengetahui yang ghaib dan yang terang, tuhan segala sesuatu serta yang Maha Merajainya. Saya menyaksikan bahawasanya tiada Tuhan melainkan Engkau. Saya mohon perlindungan dari kejahatan diri saya sendiri dan dari kejahatan syaitan serta apa yang yang menyebabkan kemusyrikin kepada Allah." Selanjutnya Nabi s.a.w. bersabda: "Ucapkanlah itu jikalau engkau berpagi-pagi, berpetang-petang dan ketika engkau mengambil tempat tidurmu yakni hendak tidur."
Diriwayatkan oleh Imam-imam Abu Daud dan Termidzi dan Termidzi mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan shahih.

1452. Daripada Ibnu Mas'ud r.a., katanya: 

"Nabi s.a.w. itu apabila berpetang-petang mengucapkan yang ertinya: kita berpetang-petang dan segenap kerajaan pada waktu petang inipun kepunyaan Allah, segenap puji-pujian bagi Allah, tiada Tuhan melainkan Allah yang Maha Esa, tiada sekutu bagiNya."
Yang merawikan Hadis ini berkata: "Saya mengira beliau s.a.w. mengucapkan sehabis yang di atas itu bacaan-bacaan yang ertinya: Bagi Allah segenap kerajaan dan bagiNya pula segenap puji-pujian dan Allah adalah Maha Kuasa atas segala sesuatu. Ya Tuhan, saya mohon kepadaMu akan kebaikannya apa yang ada pada malam ini dan kebaikannya apa yang ada pada malam yang berikutnya dan saya mohon perlindungan padaMu akan kejahatannya apa yang ada pada malam ini dan kejahatannya apa yang ada pada malam sesudahnya. Ya Tuhan, saya mohon perlindungan kepadaMu daripada kemalasan dan buruknya usia tua. Saya juga mohon perlindungan kepadaMu dari siksa dalam neraka dan siksa dalam kubur."

Jikalau di waktu pagi, beliau s.a.w. mengucapkan sedemikian itu pula dengan kata-kata yang ertinya: 

"Kita berpagi-pagi dan segenap kerajaan pada waktu pagi inipun kepunyaan Allah."
(Riwayat Muslim)

1453. Daripada Abdullah bin Khubaib, dengan dhammahnya kha' mu'jamah, r.a. katanya: "Nabi s.a.w. bersabda kepada saya: 

Yang Bermaksud : "Bacalah Qul huwallahu ahad dan dua buah surat Ta'awwudz yakni Qul a'udzu birabbil falaq dan Qul a'udzu birabbin nas, ketika engkau berpetang-petang dan ketika engkau berpagi-pagi, maka yang sedemikian itu dapat mencukupi untukmu dari segala sesuatu."
Diriwayatkan oleh Imam-imam Abu Daud dan Termidzi dan Termidzi mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan shahih.

1454. Daripada Usman bin Affan r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:

Yang Bermaksud : "Tiada seorang hambapun yang pada pagi setiap hari dan petang setiap malam, mengucapkan: "Bismillahil ladzi la yadhurru ma'asmihi syai-un fil-ardhi wa la fissama-i wa huwas sami'ul 'alim. Dengan nama Allah yang segala sesuatu tidak akan dapat membahayakan dengan menyebut namaNya itu, baik yang ada di bumi ataupun yang ada di langit dan Allah adalah Maha Mendengar lagi Mengetahui, sebanyak tiga kali, melainkan ia tidak akan terkena bahaya oleh sesuatu apapun."

Diriwayatkan oleh Imam-imam Abu Daud dan Termidzi dan Termidzi mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan shahih.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan