Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Khamis, 2 Ogos 2012

E 33 SYAITAN SENTIASA MENGHASUT MANUSIA MELAKUKAN KEJAHATAN DAN DOSA

JANGAN SEKALIPUN LUPA TENTANG KEWUJUDAN SYAITAN YANG SENTIASA BERUSAHA UNTUK MEMESONGKAN KITA

Bukankah Aku telah memerintahkan kepadamu hai Bani Adam supaya kamu tidak menyembah syaitan? Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu. Dan hendaklah kamu menyembah-Ku. Inilah jalan yang lurus. Sesungguhnya syaitan itu telah menyesatkan sebahagian besar di antara kamu. Maka adakah kamu tidak memikirkan?
(Surah Ya Sin: 60-62)

Ingatlah bahawa kita mempunyai musuh yang bertujuan untuk membawa kita jauh daripada Allah, agama-Nya dan al-Quran. Dia tidak pernah berputus asa daripada rancangannya walaupun sedetik; sentiasa mencari kesempatan untuk menunaikan tugasnya. Dia boleh melihat kita daripada sudut yang kita tidak dapat melihatnya.  Dan dia mencuba pelbagai cara untuk memerangkap kita. Salah satu daripada sifatnya ialah secara bersembunyi. Taktik dan perangkapnya mungkin berbeza kepada seseorang. Taktik yang digunakan juga bergantung kepada masa, tempat dan situasi. Musuh kita yang dimaksudkan ialah syaitan, makhluk yang dihalau daripada pandangan Allah swt.

Berlawanan daripada apa yang majoriti manusia fikir, syaitan bukanlah makhluk khayalan. Sebahagian daripada ujian di atas muka bumi ini, seeorang itu perlu berjaga-jaga daripada syaitan. Ini kerana, selepas menderhaka kepada Allah swt, syaitan bersumpah untuk menyesatkan hamba-hamba Allah. Kedegilan syaitan ini dinyatakan didalam al-Quran sabagai berikut:

Sesungguhnya kami telah menciptakan kamu (Adam), lalu Kami bentuk tubuhnya lalu Kami katakan kepada para malaikat; “Bersujudlah kamu kepada Adam”; maka merekapun bersujud kecuali iblis. Dia tidak termasuk mereka yang bersujud. Allah berfirman: “Apakah yang menghalangimu untuk bersujud (kepada Adam) di waktu Aku menyuruhmu?” Menjawab iblis: “Saya lebih daripadanya: Engkau ciptakan saya dari api sedang dia Engkau ciptakan dari tanah.” Allah berfirman: “Turunlah kamu dari syurga itu: kerana kamu tidak sepatutnya menyombongkan diri di dalamnya, maka keluarlah, sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang hina.” Iblis menjawab: “Berilah saya tangguh sampai waktu mereka dibangkitkan.” Allah berfirman: “Sesungguhnya kamu termasuk mereka yang diberi tangguh.” Iblis menjawab: “Kerana Engkau telah menghukum saya tersesat, saya benar-benar akan (menghalang) mereka dari jalan Engkau yang lurus. Kemudian saya akan mendatangi mereka dari muka depan dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakkan mereka bersyukur (taat).” Allah berfirman: “Keluarlah kamu dari syurga itu sebagai terhina lagi terusir. Sesungguhnya barangsiapa di antara mereka mengikut kamu, benar-benar Aku mengisi neraka jahanam dengan kamu semuanya.”
(Surah al-A’raf: 11-18)

Sebagaimana yang dijelas dalam ayat di atas, syaitan adalah musuh manusia yang nyata. Dia akan terus menyesatkan kita dengan cara membangkitkan nafsu kita. Walau bagaimanapun, perkara yang penting yang perlu kita faham di sini, sebagaimana yang dinyatakan pada ayat di atas, matlamat utama syaitan ialah untuk mempengaruhi kita dan umat manusia yang lain mengikutnya. Syaitan yang terkutuk tidak akan berputus asa sehingga kita memasuki neraka. Oleh itu, ingatlah, kita semua perlu berhati-hati dengan syaitan dan tidak mengikut godaannya.

Perkara penting untuk diingati: Syaitan tidak mempunyai kuasa bebas tanpa Allah swt. Dia diciptakan oleh Allah swt dan dia berada di bawah kuasa Allah swt sepenuhnya. Dia juga ialah hamba Allah dan hanya boleh melakukan sesuatu dengan keizinan daripada Allah swt. Dia ditugaskan untuk membezakan manusia yang benar-benar beriman daripada mereka yang tidak beriman. Dia hanya boleh bertindak dengan izin Allah. Apabila masa yang diberikan kepadanya tamat, dia akan dihumban ke dalam neraka bersama mereka yang disesatkannya.

Allah swt berfirman:

“Sesungguhnya Aku pasti akan memenuhi neraka jahanam dengan jenis kamu dan dengan orang-orang yang mengikuti kamu di antara mereka kesemuanya.” (Surah Sâd: 85)

Oleh itu, ingatlah bahawa syaitan sebenarnya tidak mempunyai kuasa ke atas orang-orang yang beriman. Sebagaimana yang dinyatakan di dalam ayat berikutnya, dia hanya mempunyai kuasa ke atas mereka yang tidak beriman dengan ikhlas dan sebenarnya.

Iblis berkata: “Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya. Kecuali hamba-hamba Engkau yang mukhlis di antara mereka.”
(Surah al-Hijr: 39-40)

Syaitan tidak boleh menyesatkan manusia yang beriman kepada Allah swt. Memang benar, orang-orang yang beriman juga cenderung melakukan kesalahan, tetapi, mereka tidak pernah putus asa daripada mengharapkan rahmat daripada Allah swt, dan secepat mungkin meminta perlindungan kepada Allah swt dan bertaubat dengan seikhlasnya. Kita diberitahu di dalam al-Quran tentang mereka yang boleh disesatkan oleh syaitan:

Sesungguhnya syaitan itu tidak ada kekuasaannya atas orang-orang yang beriman dan bertawakkal kepada Tuhannya. Sesungguhnya kekuasaannya (syaitan) hanyalah atas orang-orang yang mengambilnya menjadi pemimpin dan atas orang-orang yang mempersekutukannya dengan Allah.
(Surah an-Nahl: 99-100)

Ingatlah, syaitan hendak kita menjadi angkuh, sombong dan derhaka kepada Allah swt seperti dirinya. Dia mengarahkan kita berbuat jahat, melakukan sesuatu yang dimurkai Allah swt dan berkata sesuatu tentang Allah swt tanpa ilmu. Dia cuba menghalang kita daripada memahami kebesaran dan kekuasaan Allah swt yang sebenarnya. Allah menerangkan tentang bahaya ini di dalam al-Quran seperti berikut:

Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu. Sesungguhnya syaitan itu hanya menyuruh kamu berbuat jahat dan keji, dan mengatakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui.
(Surah al-Baqara: 168-169)

Usaha utamanya ialah untuk menakutkan manusia dengan kemiskinan, iaitu matlamat yang boleh dicapai sekiranya dia boleh membuatkan manusia lupa tentang hari kiamat. Tidak sedar bahawa semuanya di bawah kawalan Allah swt, dan tiada siapa yang boleh menghalang sebarang kebaikan yang Allah swt kehendaki, orang-orang ini hidup tanpa sebarang perasaan bertanggungjawab dan mereka melakukan segala kesalahan kepada Allah swt.

Syaitan menjanjikan (menakut–nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat kejahatan (kikir), sedang Allah menjanjikan untukmu keampunan daripadaNya dan kurnia. Dan Allah Maha Luas (kurniaNya) lagi Maha Mengetahui.
(Surah al-Baqara: 268)

Taktik utama syaitan ialah melalui tipu daya. Allah swt menerangkan tentang tipu daya ini

“… dari kejahatan (bisikan) syaitan yang biasa bersembunyi, yang membisikan (kejahatan) ke dalam dada manusia.”
 (Surah an-Nas: 4-5)

Sebagaimana diterangkan oleh ayat ini, syaitan mendekati manusia secara senyap-senyap, melalaikan manusia dengan perkara remeh dan tidak penting dan menampakkan kesalahan yang dilakukan seolah-olah baik kepada mereka:

Maka mengapa mereka tidak memohon (kepada Allah) dengan tunduk merendahkan diri ketika datang siksaan Kami kepada mereka, bahkan hati mereka telah menjadi keras dan syaitanpun menampakkan kepada mereka kebagusan apa yang selalu mereka kerjakan.
(Surah al-An’am: 43)

Lebih penting lagi, mereka yang mempunyai hati yang keras dan berasa dirinya berada di dalam kebenaran, walaupun sebenarnya mereka telah terpesong, membawa diri mereka jauh daripada Al-Quran. Dengan membelakangi Allah swt, mereka lebih rapat dengan syaitan, mengikuti caranya, dan menjadi semakin biadab. Allah swt mengingatkan manusia:

Dan bacakanlah kepada mereka berita orang yang telah Kami berikan kepadanya ayat-ayat Kami (pengetahuan tentang isi al-Kitab), kemudian dia melepaskan diri dari ayat-ayat itu, lalu dia diikuti oleh syaitan (sampai dia tergoda) maka jadilah dia termasuk orang-orang yang sesat.
(Surah al-A’raf: 175)

Ingatlah bahawa syaitan akan menggunakan cara yang berbeza untuk manusia yang berbeza dan dia akan mensasarkan kelemahan kita untuk menyesatkan kita.
Sepanjang zaman, syaitan mendekati seseorang dengan taktik yang berbeza. Dia memastikan mereka yang telah jauh daripada agama supaya lebih jauh daripada agama dengan membuatkan mereka terpesona dengan kehidupan dunia. Dia membuatkan mereka lupa tentang akhirat dan oleh itu, dia berjaya menjauhkan mereka daripada agama sepanjang masa.
Dalam masa yang sama, dia tidak mengabaikan orang-orang beriman. Untuk menghalang orang-orang beriman daripada beribadat kepada Allah swt dengan ikhlas, dia berusaha supaya mereka berhenti daripada melakukan perbuatan yang disukai Allah swt. Dia berusaha mengurangkan kualiti (ibadah itu). Dengan menyembunyikan kebenaran tentang kejahatan mereka, dia memperdayakan mukmin dengan menundukkan mereka kepada sifat angkuh, pentingkan diri sendiri, lupa, cuai, bongkak dan panas baran.

Untuk melalaikan mereka, syaitan mendorong mereka membuat pelan jangka panjang di mana ia akan membuatkan minda mereka sibuk. Dia berusaha untuk menghalang minda mereka daripada mengingati Allah swt. Untuk tujuan ini, dia membuatkan manusia sibuk dengan masalah harian, atau memberikan pelbagai alasan kepada mereka atas kecuaian mereka mengingati Allah swt.
Mukmin yang patuh kepada Allah swt, yang mengingati-Nya siang dan malam, yang sentiasa sedar bahawa semua yang berlaku adalah di bawah kawalan-Nya, dan yang kembali kepada Allah swt dengan ikhlas, adalah kurang terdedah dengan pengaruh syaitan. Sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi Muhammad (sollalahualaihiwassalam), “Apabila sekumpulan manusia berkumpul untuk mengingati Allaah, rahmat (Allah) menyelubungi mereka, dan ketenangan akan turun kepada mereka”. Sedar akan hal ini, syaitan berusaha untuk membuatkan manusia lalai daripada mengingati Allah. Sesungguhnya, dia mempunyai pengaruh tertentu ke atas mereka yang tidak takutkan Allah:

Syaitan telah menguasai mereka lalu menjadikan mereka lupa mengingat Allah; mereka itu golongan syaitan. Ketahuilah bahawa sesungguhnya golongan syaitan itulah golongan yang merugi.
(Surah al-Mujadala: 19)

Jangan sesekali lupa bahawa syaitan yang menimbulkan kebencian dan permusuhan antara manusia. Sejak dahulu lagi, “provokasi syaitan” mendasari semua perang, konflik, pertikaian dan penipuan. Provokasi syaitan terhadap manusia telah dinyatakan didalam ayat berikut:

Tidakkah kamu lihat, bahawasanya Kami telah mengirim syaitan-syaitan itu kepada orang-orang kafir untuk menghasut mereka berbuat maksiat dengan bersungguh-sungguh?
(Surah Maryam: 83)

Orang-orang yang tidak beriman adalah manusia yang telah mengambil syaitan sebagai kawan mereka dan mereka mengikut caranya. Dengan cara pemikiran seperti itu, kepatuhan kepada syaitan dan kebencian dan permusuhan yang mereka ada di antara manusia tidak akan dapat dielakkan. Walau bagaimanapun, syaitan juga berusaha untuk membangkitkan kebencian di kalangan orang yang beriman. Dalam melakukannya, dia cuba untuk melemahkan niat orang-orang yang beriman dan menghalang mereka daripada mematuhi Allah. Allah telah memberi amaran kepada hamba-Nya daripada bahaya ini dan menunjukkan mereka cara untuk mengatasinya:

Dan katakanlah kepada hamba-hambaKu: Hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang lebih baik (benar). Sesungguhnya syaitan itu menimbulkan perselisihan di antara mereka. Sesunguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia.
(Surah al-Isra’: 53)

Jangan sesekali lupa bahawa setiap detik, syaitan akan cuba dengan senyap-senyap untuk memperdayakan kita. Bertentangan dengan persepsi umum, syaitan bukanlah makhluk yang sekejap ada, sekejap tiada, tetapi dia mengikuti kita ke mana sahaja kita pergi atau apa sahaja yang kita lakukan. Dia begitu tekun berusaha selama mana dia hidup.

Seseorang yang lupa tentang kewujudan syaitan cenderung untuk terpedaya dengan godaannya. Oleh itu, dia akan mudah tertipu dengan mempercayai bahawa godaan itu adalah fikirannya sendiri. Dia mungkin akan gagal untuk memahami bahawa suara hatinya itu adalah bisikan syaitan. Walau bagaimanapun, orang yang benar-benar beriman telah diberikan kebijaksanaan dan pandangan untuk membezakan bisikan syaitan dengan suara hati mereka. Allah swt telah memberitahu mereka bagaimana untuk melindungi diri mereka daripada bisikan dan hasutan syaitan.

Dan jika kamu ditimpa sesuatu godaan syaitan, maka berlindunglah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa bila mereka ditimpa was-was dari syaitan, mereka ingat kepada Allah, maka ketika itu juga mereka melihat kesalahan-kesalahannya.
(Surat al-A’raf: 200-201)

Jangan sesekali lupa yang syaitan akan berusaha untuk membuatkan kita lupa kebenaran yang kita perlu sentiasa ingat. Sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini, salah satu cara yang efektif yang selalu digunakan syaitan untuk menyesatkan manusia ialah dengan membuatkan mereka “lupa”.Strategi utama syaitan ialah untuk membuatkan manusia lupa tentang tanggungjawab mereka kepada Allah swt. Dia berusaha untuk menyekat manusia daripada melakukan amalan baik dengan membuatkan kita lupa bahawa Allah swt yang menguasai kita daripada segala sudut dan kita adalah subjek terhadap takdir-Nya dan kita akan mati dan perlu bertanggungjawab terhadap semua perbuatan kita di hadapan Allah swt nanti.

Syaitan tidak mahu manusia bersyukur kepada Allah swt. Oleh sebab itu, dia berusaha untuk membuatkan mereka lupa bahawa semua benda di sekeliling kita ialah nikmat daripada Allah swt. Dengan membuatkan kita terpesona dengan kehidupan dunia dan lupa tentang kehidupan akhirat, dia berusaha untuk memperdaya manusia. Dia bekerja keras untuk melupakan manusia bahawa terdapat hikmah terhadap semua yang berlaku terutamanya sesuatu yang tidak diduga. Realiti takdir dan meletakkan kepercayaan kita sepenuhnya kepada Allah swt adalah faktor-faktor utama yang dia mahu manusia lupa.

Di dalam al-Quran, Allah swt menarik perhatian kita beberapa kali kepada kenyataan bahawa dengan bisikan syaitan yang berulang-ulang kali, dia mampu untuk mempengaruhi fikiran manusia dan dengan demikian membuat mereka lupa:

Dan apabila kamu melihat orang-orang memperolokkan ayat-ayat Kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka membicarakan perbicaraan yang lain. Dan jika syaitan menjadikan kamu lupa (akan larangan ini) maka janganlah kamu duduk bersama orang-orang yang zalim itu sesudah teringat (akan larangan itu)
(Surah al-An’am: 68)

“…. Dan tidak adalah yang melupakan aku untuk menceritakannya kecuali syaitan dan ikan itu mengambil jalannya ke laut dengan cara yang aneh sekali.
(Surah al-Kahf: 63)

… Dan syaitan menjadikan dia lupa menerangkan (keadaan Yusuf) kepada tuannya. Kerana itu tetaplah dia (Yusuf) dalam penjara beberapa tahun lamanya.
(Surah Yusuf: 42)

Sebalik semua perbuatan syaitan, jangan sesekali lupa bahawa dia ialah makhluk yang berada sepenuhnya di bawah kuasa Allah swt dan dia tidak mempunyai kuasa mutlak terhadap hamba-hamba Allah swt.
Walau bagaimanapun, syaitan diciptakan oleh Allah swt. Oleh itu, secara sukarela atau tidak, dia perlu tunduk kepada Allah swt. Dia hanya mampu bertindak dengan keizinan daripada Allah swt. Sekiranya Allah swt tidak mengkehendakinya, dia tidak mampu melakukan sebarang perkara. Tidak kira apa yang syaitan lakukan, dia hanya mampu menyesatkan orang yang tidak beriman. Sebaliknya, usaha mereka terhadap orang-orang yang beriman hanya akan menguatkan lagi iman mereka:

… Agar Dia menjadikan apa yang dimasukkan oleh syaitan itu, sebagai cubaan bagi orang-orang yang di dalam hatinya ada penyakit dan yang kasar hatinya. Dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu benar-benar dalam permusuhan yang sangat. Dan agar orang-orang yang telah diberi ilmu, meyakini bahawasanya Al-Quran itulah yang hak dari Tuhanmu lalu mereka beriman dan tunduk hati mereka kepadanya dan sesungguhnya Allah adalah Pemberi Petunjuk bagi orang yang beriman kepada jalan yang lurus.
(Surah al-Hajj: 53-54)

Allah swt telah menyatakan kepada kita bahawa syaitan sebenarnya tidak mempunyai apa-apa kuasa. Hanya orang-orang yang tidak beriman yang boleh diperdayakannya. Kenyataan ini dijelaskan di dalam al-Quran:

Dan Sesungguhnya iblis telah dapat membuktikan kebenaran sangkaannya terhadap mereka lalu mreka mengikutinya, kecuali sebahagian orang-orang yang beriman. Dan tidak adalah kekuasaan iblis terhadap mereka, melainkan hanyalah agar Kami dapat membezakan siapa yang beriman kepada adanya kehidupan akhirat dari siapa yang ragu-ragu tentang itu. Dan Tuhanmu Maha Memelihara segala sesuatu.
(Surah Saba’: 20-21)

Sebaliknya, orang-orang beriman tidak mengendahkan godaan syaitan tetapi dengan cepat memohon perlindungan Allah swt sebagaimana yang diarahkan di dalam al-Quran:

Dan jika syaitan mengganggumu dengan suatu gangguan, maka mohonlah perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dia lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
(Surah Fussilat: 36)

Mereka sedar bahawa kegagalan untuk berlindung kepada Allah swt, yang mana mereka dapat menghalang perbuatan syaitan, boleh membuatkan mereka lemah terhadap godaan-godaannya. Ini ialah cara syaitan menjadi sahabat kepada pengikut-pengikutnya dan membawa mereka jauh daripada Allah swt dan menginngati-Nya.

Barangsiapa yang berpaling dari pengajaran Tuhan Yang Maha Pemurah (Al-Quran), Kami adakan baginya syaitan (yang menyesatkan) maka syaitan itulah yang menjadi teman yang selalu menyertainya.
(Surah az-Zukhruf: 36)

Daripada kenyataan di atas, ia jelas bahawa tiada alasan untuk manusia yang beriman untuk mempedulikan godaan syaitan. Tanpa sebarang keraguan, mereka perlu berhati-hati dengannya. Tetapi dalam masa yang sama, Allah swt juga memberi khabar gembira terhadap satu perkara yang penting:

Sesungguhnya hamba-hambaKu, kamu tidak dapat berkuasa atas mereka. Dan cukuplah Tuhanmu sebagai penjaga.
(Surah al-Isra’: 65)

Jangan sesekali lupa bahawa syaitan sangat licik; dia akan meninggalkan pengikut-pengikutnya pada Hari Kiamat. Pada saat-saat terakhir kehidupan kita di muka bumi ini, syaitan akan membiarkan pengikut-pengikutnya sambil memberitahu mereka bahawa dia telah memperdayakan mereka. Perkara ini dinyatakan di dalam al-Quran seperti berikut:
Dan berkatalah syaitan tatkala perkara (hisab) telah diselesaikan: “Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kepadamu janji yang benar, dan akupun telah menjanjikan kepadamu tetapi aku melanggarnya. Sekali-kali tidak ada kekuasaan bagiku terhadapmu, melainkan (sekadar) aku menyeru kamu lalu kamu mematuhi seruanku, oleh sebab itu janganlah kamu mencerca aku, akan tetapi cercalah dirimu sendiri. Aku sekali-kali tidak dapat menolongmu dan kamupun sekali-kali tidak dapat menolongku. Sesungguhnya aku tidak membenarkan perbuatanmu mempersekutukan aku (dengan Allah) sejak dahulu.” Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu mendapat siksaan yang pedih.
(Surah Ibrahim: 22)

Pengikut-pengikut syaitan yang licik ini akan menyedari kesalahan mereka pada Hari Kiamat. Mereka akan berasa keperitan kerana tidak bertanggungjawab terhadap Allah swt sepanjang kehidupan mereka dan tidak mengikut jalan-Nya. Walau bagaimanapun ia sudah terlambat untuk menebus segala kesalahan mereka:

Dan (ingatlah) hari (ketika itu) orang zalim menggigit dua tangannya, seraya berata: Aduhai kiranya dulu aku mengambil jalan bersama-sama Rasul. Kecelakaan besarlah bagiku; kiranya aku (dulu) tidak menjadikan sifulan itu teman akrab(ku). Sesungguhnya dia telah menyesatkan aku dari Al-Quran ketika Al-Quran itu telah datang kepadaku. Dan adalah syaitan itu tidak mahu menolong manusia.
(Surah al-Furqan: 27-29)

Jangan sekalipun lupa yang tempat kembali orang-orang yang tidak beriman di dunia adalah neraka.
Sehingga apabila orang-orang yang berpaling itu datang kepada Kami (di hari kiamat) dia berkata, “aduhai, semoga (jarak) antaraku dan kamu seperti jarak antara masyrik dan maghrib,” maka syaitan itu adalah sejahat-jahat teman (yang menyertai manusia)
(Surah az-Zukhruf: 38)

Pada hari itu, manusia akan akhirnya sedar bahawa syaitan ialah musuh mereka yang nyata. Walau bagaimanapun, sebagaimana yang dinyatakan di atas, ia sudah terlambat dan kesedaran mereka tentang perkara itu tidak akan menyelamatkan mereka daripada hukuman neraka yang kekal. Syaitan dan pengikut-pengikutnya akan pasti dipanggil untuk bertanggung jawab atas segala perbuatan yang mereka lakukan:

Demi Tuhanmu, sesungguhnya akan Kami bangkitkan mereka bersama syaitan, kemudian akan Kami datangkan mereka ke sekeliling jahanam dengan berlutut. (Surah Maryam: 68)

Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh bagimu, maka anggaplah ia musuhmu),kerana sesungguhnya syaitan-syaitan itu hanya mengajak golongan nya supaya mereka menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala.
(Surah Fatir: 6)

Seterusnya, jangan sesekali lupa bahawa kita mempunyai musuh yang mahu kita menderita kesakitan, kesusahan, dan juga merasai hukuman api neraka yang abadi. Dia memerhatikan kita  setiap masa, termasuklah sekarang, sedang kita membaca buku ini. Ingatlah, sekiranya kita beriman kepada Allah swt dengan sebenarnya, maka kita perlu memohon perlindungan Allah swt daripada bisikan dan godaan yang jahat. 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan