Tiap-tiap kali Nabi Zakaria masuk untuk menemui Maryam di Mihrab, ia dapati rezeki (buah-buahan yang luar biasa) di sisinya. Nabi Zakaria bertanya: “Wahai Maryam dari mana engkau dapati (buah-buahan) ini?” Maryam menjawab: “Dari Allah, Sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan tidak dikira”. Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya, katanya: “Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisi-Mu zuriat keturunan yang baik. Sesungguhnya Engkau sentiasa mendengar (menerima) doa permohonan”. Lalu ia diseru oleh malaikat sedang ia berdiri sembahyang di Mihrab, (katanya): “Bahawasanya Allah memberi khabar yang mengembirakanmu, dengan (mengurniakanmu seorang anak lelaki bernama) Yahya, yang akan beriman kepada kalimah dari Allah, dan akan menjadi ketua, dan juga akan menahan diri dari berkahwin, dan akan menjadi seorang Nabi dari orang-orang yang soleh”. Nabi Zakaria berkata: “Wahai Tuhanku! Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak, padahal sebenarnya aku telah tua dan isteriku pula mandul?”. Allah berfirman: “Demikianlah keadaannya, Allah melakukan apa yang dikehendaki-Nya”. Nabi Zakaria berkata lagi: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah bagiku satu tanda (yang menunjukkan isteriku mengandung)”. Allah berfirman: “Tandamu itu ialah engkau tidak akan dapat berkata-kata dengan orang ramai selama tiga hari (tiga malam) melainkan dengan isyarat sahaja; dan ingatlah kepada Tuhanmu (dengan berzikir) banyak-banyak, dan bertasbihlah memuji Allah (dengan mengerjakan sembahyang), pada waktu malam dan pada waktu pagi”. (ali-‘Imran: 37-41) <
Sheikh Sya’rawi berkata: “Selepas kita mengetahui penerimaan yang baik dan penumbuhan maka diceritakan di sini bagaimana ia dipelihara oleh Nabi Zakaria a.s”./div>
Iktibar dan fiqh ayat ke-37:
i. al-Maraghi berkata: “Allah SWT memelihara dan menumbuhkan sehingga keadaannya menjadi baik, sebagaimana Dia memelihara tumbuh-tumbuhan di atas tanah yang baik sesudah tanah itu disediakan untuk dialiri dan dibersihkan daripada tumbuh-tumbuhan perosak.
“Pendidikan ini meliputi pendidikan rohani dan jasmani, jasadnya membesar sehingga badan dan kekuatannya menjadi lebih baik. Sedangkan rohaninya pula berkembang dengan memiliki fikiran yang benar, jiwa yang baik dan mempunyai harga diri”.
ii. Mohamad Quraish Shihab berkata: “Hubungan yang rapat dan akrab antara Maryam dan Allah SWT menunjukkan ada rahsia yang tidak perlu diketahui oleh orang. Ini difahami dari jawapan Maryam yang hanya menjelaskan sumber rezeki itu, yakni Allah SWT dan tidak menjelaskan bagaimana beliau memperolehnya”.
iii. Hamka berkata: “Dua kata penting untuk kita jadikan dasar dalam pendidikan anak-anak dalam ayat ini ialah:
A) Keturunan ayah bondanya yang soleh.
B) Kedua: Perhatian kepada yang mengasuh dan mendidik. Mestilah pendidik yang baik kerana ia akan mewarisi setiap kebaikan yang telah disematkan sejak dari kecil lagi. Andainya pendidik itu kurang baik, maka pertumbuhan anak itu akan disemai dengan perlakuan yang tidak menyenangkan.
Iktibar dan fiqh ayat ke-38:
i. Al-Maraghi berkata: “Nabi Zakaria a.s berbicara dengan Maryam seperti yang tersebut di atas. Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya seperti ini.
“Selepas baginda melihat keadaan Maryam yang baik dan luas pengetahuannya tentang Allah SWT, baginda berharap akan mempunyai anak lelaki yang soleh sepertinya, yang merupakan pemberian dan kurnia dari sisi Allah SWT. Apabila melihat anak-anak yang baik, seseorang akan merindui mereka dan menjadi buah harapan agar mempunyai anak seperti mereka”.
ii. Hamka berkata: “Melihat Maryam yang membesar dengan sempurna maka dia pun ingin diberi keturunan yang baik pula serupa itu. Demikianlah selalu doanya ketika mengasuh Maryam begitu juga di dalam solat. Sesungguhnya solat itu doa dan doa itu solat”.
Iktibar dan fiqh ayat ke-39:
i. Ibn Jauzi berkata: “Maksud malaikat dengan dua pendapat:
A) Jibril a.s sahaja. Inilah pendapat al-Suddi.
B) Kumpulan malaikat. Inilah pendapat Ibn Jarir.
ii. Al-Maraghi berkata: “Malaikat menyampaikan khabar gembira ini kepada Nabi Zakaria a.s. Yahya yang dimaksudkan ialah bakal puteranya, sebagaimana tersebut dalam surah Maryam ayat 7. Perkataan Yahya ini adalah terjemahan daripada kata Yuhanas. Dalam Kitab Injil Matius disebut: “Dia ini dipanggil dengan nama Yuhanas Ma’madani” dan diberi gelar Ma’madani, kerana menjadi tumpuan orang ramai semasa kehidupannya. Perkataan ‘Yahya’ dalam bahasa Arab berasal dari perkataan hayat, yang bererti hidup. Jadi, kata ini memberikan kesan bahawa Yahya akan hidup dengan baik mewarisi keutamaan dan kenabian yang telah dimiliki oleh bapa (Zakaria AS) dan keluarga Ya’qub a.s.
iii. Hamka berkata: “Ketika Nabi Zakaria sedang sembahyang dengan penuh khusyuk di mihrab itu datanglah malaikat dan berkata: “Sesungguhnya Allah SWT telah menggembirakan kau dengan Yahya”. Ertinya Tuhan telah mengkabulkan permintaan engkau dengan mengurniakan seorang putera diberi nama Yahya.
Iktibar dan fiqh ayat ke-40:
i. Al-Maraghi berkata: “Allah SWT menjawab melalui perantaraan malaikat-Nya, Begitulah Allah SWT tetap melakukan apa yang dikehendaki-Nya”. Jika Dia menghendaki sesuatu, Dia akan menciptakan sebab yang biasa atau menciptakan sebab yang tidak biasa dikenal.
“Hal itu kerana tidak ada sesuatu yang dapat menghalang kehendak-Nya. Jadi, serahkan sahaja segala urusan kepada Allah SWT dan jangan ditanya caranya kerana engkau tidak akan sanggup mengetahui caranya”.
ii. Hamka berkata: “Di sini kita sebutkan salah satu penafsiran makna Kalimah iaitu bahawa kelahiran Nabi Isa a.s tidak dengan perantaraan bapa, melainkan semata-mata dari kehendak Allah SWT. Akan diakui kebenarannya oleh Yahya.
“Ini sesuai dengan kepercayaan orang Kristian bahawa kedatangan Yahya mendahului Isa a.s ialah melapangkan jalan bagi kedatangan Isa al-Masih. Abu Ubaidah, ahli tafsir yang terkenal menafsirkan kalimah yang diakui oleh Yahya itu ialah kitab dan wahyu”.
Iktibar dan fiqh ayat ke-41:
i. Al-Maraghi berkata: “Perbanyakkan mengingati Allah SWT pada hari kelapangan bagi menyatakan kesyukuran kepada-Nya dan bertasbihlah pada waktu pagi mahupun petang”.
ii. Mohamad Quraish Shihab berkata: “Allah SWT berfirman yang bermaksud: Tandanya bagimu, adalah engkau tidak dapat berbicara dengan manusia dalam persoalan duniawi, atau tidak dapat berbicara sama sekali selama tiga hari kecuali berbicara dengan isyarat yakni tanpa suara dan supaya lebih jelas tanda itu. Allah SWT tidak menjadikan lidahmu bisu atau menghilangkan suaramu sama sekali.
“Engkau tetap dapat bersuara bila yang engkau ucapkan adalah pujian kepada Allah SWT. Oleh yang demikian, bersyukurlah dan sebutlah nama Tuhanmu sebanyak mungkin dan bertasbihlah dengan menyucikan Tuhan-Mu dari segala kekurangan di waktu pagi dan petang”.
Berdasarkan ayat-ayat di atas jelas menunjukkan betapa berkuasa Allah SWT dalam melakukan apa sahaja. Menjadi tuntutan kepada kita untuk berdoa, solat dan berzikir kepada-Nya.
Inilah sifat para Nabi seperti nabi Allah Zakaria yang berteleku di tengah malam di mihrab dan munajat, merintih berdoa serta berzikir di mana akhirnya doa yang sekian lamanya dimakbulkan Allah SWT dengan kurniaan anak yang dinamakan dengan Yahya a.s. Semoga Allah SWT menjadikan kita mengikut sifat golongan solihin. Amin.
Nukilan Guruku
Tiada ulasan:
Catat Ulasan