SYEIKH Abdul Kadir Abdul
Mutalib dalam buku tasauf Penawar Bagi Hati menjelaskan mengenai sepuluh celaan Allah kepada manusia
akibat dari kelakuan dan tabiat manusia sendiri ketika menempuh kehidupan
seharian.
Sepuluh celaan itu berdasarkan sepuluh
sikap yang lazim dilakukan manusia iaitu:
1. Gelojoh
ketika makan
Dalam erti kata lain, seseorang yang kuat dan tidak bersopan ketika makan. Sikap ini juga meliputi
maksud makan terlalu kenyang, menyediakan makanan dalam jumlah yang berlebihan, yang akhirnya membawa
kepada pembaziran.
2. Banyak bercakap
Allah mencela manusia yang suka bercakap perkara yang sia-sia, fitnah menfitnah, umpat keji dan kata
mengata kerana semua jenis
percakapan itu menjurus kepada permusuhan
dan perbalahan sesama manusia.
3. Suka marah-marah
Kemarahan boleh membuat seseorang itu bertindak di luar batas kemanusiaan.
Perbuatan marah akan diikuti dengan maki
hamun, mengherdik dan perkelahian yang
boleh mengakibatkan kecederaan
atau pembunuhan.
4. Hasad dengki
Seseorang yang bersifat dengki sanggup
melakukan apa saja dalam bentuk kejahatan atau jenayah. Perbuatan menipu dan
sanggup memusnah hidup orang lain adalah antara sifat keji yang lahir dari perasaan
hasad dengki. Rasulullah bersabda: ‘Dengki
itu memakan segala kebaikan’ (riwayat
Muslim).
5. Kedekut
Rezeki yang Allah kurniakan lebih suka disimpan hingga bertimbun banyaknya. Sifat
kedekut menghijab (menutup) seseorang dari membelanjakan
sebahagian dari hartanya ke jalan kebaikan termasuk
menderma, membuat kebajikan ke jalan Allah dan membantu orang yang memerlukan.
6. Bermegah-megah
Ia termasuk sikap suka status atau
jawatan, gelaran dan menerima sanjungan.
7. Cintakan dunia
Terlalu menghambakan diri kepada perkara
duniawi hingga melupakan tuntutan
ukhrawi. Rasulullah bersabda: “Bekerjalah
kamu di dunia seolah-olah kamu akan hidup seribu tahun, dan beramallah kamu
untuk akhirat seolah-olah kamu akan mati esok hari.”
(riwayat Bukhari dan Muslim).
8. Ego atau sombong
Sifat membuat seseorang merasakan dirinya mempunyai kelebihan
dalam banyak perkara dari orang lain hingga
mereka lupa bahawa hanya Allah saja yang bersifat maha besar.
9. Ujub dan suka bangga diri
Perbuatan ini ada unsur megah dan sombong dengan
kelebihan dan kepandaian yang
dikurniakan Allah. Rasa bersyukur tidak ada lagi dalam diri kerana telah
diselaputi perasaan ego.
10. Gemarkan pujian atau riak
Manusia jenis ini suka meminta dipuji dalam setiap perkara yang dilakukan.
Sikap baiknya, jasa dan baktinya mahu dikenang sampai bila-bila. Ini jelas
membayangkan bahawa sikap baiknya selama ini, tidak diiringi dengan kejujuran
dan keikhlasan.
Sepuluh sikap yang dicela Allah ini,
jika diamalkan, akan termasuk dalam kategori melakukan dosa besar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan