Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Rabu, 11 Julai 2012

B 1 MELENGKAPKAN BUDI PEKERTI MULIA ANAK SEMENJAK KECIL

Ketahuilah bahawa jalan untuk mendidik anak-anak kecil dan melatih mereka dengan budi pekerti yang terpuji adalah di antara perkara-perkara yang terpenting dan amat perlu.

Anak-anak itu adalah amanat di tangan kedua ibu bapa. Hatinya yang suci laksana mutiara yang berharga, indah, bersih dari segala gurisan dan bentuk. Ia akan menerima apa saja yang dibuat kepadanya dan condong kepada apa yang ditarik kepadanya. Tegasnya jika dibiasakan anak-anak itu dengan perbuatan-perbuatan baik yang diajarkan kepadanya, ia akan besar dalam keadaan itu, sehingga berbahagialah kehidupannya dunia akhirat. Kedua ibu bapa, guru, pendidik dan semua orang yang turut mengasuhnya akan bersyarikat dalam mendapat pahala dari Allah Ta’ala. Sebaliknya, jika anak-anak itu dibiasakan dengan perbuatan-perbuatan yang jahat dan dicuaikan pendidikannya seperti kehidupan binatang yang terbiar, tentu sekali ia akan menjadi celaka dan binasa, dan dosanya juga turut terpikul ke atas punak walinya atau penanggungjawabnya.

Dalam hal ini, Allah Ta’ala telah berfirman:

Wahai orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka.” (at Tahrim: 6)

Kalau ayah bersungguh-sungguh untuk melindungi anaknya dari api dunia, maka melindunginya dari api akhirat lebih penting dan utama lagi. Cara melindungi anak itu ialah dengan memberinya pendidikan dan pengajaran yang baik, dan membiasakannya dengan segala akhlak dan budi pekerti yang terpuji, memeliharanya dari pergaulan dengan kawan-kawan jahat. Ayah tidak usah selalu membiasakan anak-anak dengan kesenangan yang berlebih-lebihan, ataupun mengikutkan kemahuan anak-anak dalam serba-serbi kemewahan dan perhiasan diri, kelak anak-anak itu akan menghabiskan umurnya berkecimpung dalam menuntut kemewahan dan kesenangan bila ia dewasa kelak, yang mana ini akan menarik mereka kepada kebinasaan yang berterus-terusan.
Yang paling perlu sekali, ialah ibu bapa harus memerhatikan pendidikan anak-anak sejak mula pertumbuhannya. Mereka tiada mengupah orang untuk mengasuh atau menyusukan anak, kecuali seorang perempuan yang saleh, baik urusan agamanya, makan hanya yang halal saja.

Apabila dilihat ada tanda tamyiz (kepandaian) pada anak itu, maka hendaklah ia memperketatkan lagi pengawasan terhadapnya. Permulaannya tanda-tanda tamyiz ialah tumbuhnya sifat malu pada diri. Sebab jika ia sudah pandai malu dan segan meninggalkan sebahagian dari kelakuan-kelakuan yang tertentu, maka itulah tanda-tanda terbitnya cahaya pemikiran di dalam akalnya. Dan ini juga adalah gejala-gejala baik yang menunjukkan bahwa akhlak anak itu telah lurus dan hatinya telah bersih. Anak yang pemalu tidak seharusnya dibiarkan begitu saja, malah hendaklah ia dibantu dengan menambah lagi pendidikan dalam sikap malunya dan tamyiznya.
Sifat yang mula-mula akan menonjol pada anak-anak ialah kegelojohan dengan makanan. Ia harus dididik dengan cara-cara dan adab sopan menghadapi makanan, iaitu:
(1)    Jangan mengambil makanan, melainkan dengan tangan kanan saja.
(2)    Membaca Bismillah bila menyuap makanan
(3)    Mengambil makanan yang ada di hadapannya saja.
(4)    Jangan tergesa-gesa mengambil makanan sebelum orang lain  mengambilnya
(5)    Jangan meliarkan pandangan kepada makanan, ataupun meneliti muka orang  
         yang sedang makan.
(6)    Jangan terlalu cepat bila memakan
(7)    Mengunyah makanan baik-baik sebelum ditelan
(8)    Jangan terlalu cepat menyuap makanan
(9)    Jangan sampai mengotorkan tangan dan pakaian dengan makanan itu.
(10)  Membiasakan makan roti tanpa lauk-pauk pada setengah-setengah waktu, supaya  
         seleranya tidak memandang wajib adanya lauk-pauk dalam makanan.

Ibu bapa harus mengingatkan kepada anak-anak, bahawa banyak makan itu adalah sifat yang tercela, dan mengumpamakan orang yang makan banyak itu seperti binatang. Jika terdapat seorang anak yang suka makan banyak, hendaklah ia dicela di hadapan anak-anaknya yang lain. Dan ia memuji pula anak yang pandai menjaga adab dalam menghadapi makanan, dan anak yang makannya sedikit.

Ibu bapa harus membiasakan anak-anak supaya suka mendahulukan orang lain dalam hidangan makanan, dan mendidiknya supaya jangan menajamkan pandangan kepada hidangan makanan, dan supaya selalu bersikap puas dengan makanan yang ada saja, yakni tidak terlalu cerewet.

Ibu bapa harus tidak menggalakkan anak-anak lelaki memakai pakaian yang berwarna-warni, ataupun memakai pakaian sutera dan menyatakan kepada mereka, bahwa pakaian berwarna-warni atau sutera itu adalah pakaian kaum wanita, ataupun pakaian orang pondan. Orang lelaki harus merasa malu bila memakai pakaian serupa itu. Hal ini hendaklah diingatkan kepada anak-anak itu berulang kali. Setiap kali mereka melihat seorang anak lelaki memakai pakaian sutera ataupun pakaian yang berwarna-warni maka hendaklah ia mengingkari dan mencelanya.

Hendaklah ibu bapa memelihara anaknya daripada bercampur gaul dengan budak-budak yang telah dibiasakan dengan kehidupan bersenang-lenang dan bermewah-mewahan atau memakai pakaian yang indah-indah. Ibu bapa juga harus melindungi anak-anaknya dari orang yang memperdengarkan kepadanya sesuatu yang amat disukai oleh anak itu. Sebab apabila anak itu tidak dikawal sejak dari mula, niscaya ia akan dikuasai oleh berbagai-bagai sifat yang rendah, seperti buruk budi pekerti, pendusta, pendengki, pencuri, pencaci, suka meminta dengan paksaan, suka menjaga tepi kain orang, banyak ketawa, banyak tipu daya dan suka membuat sesuatu yang tidak berguna. Maka seharusnya anak itu diberikan perlindungan dari segala sifat-sifat yang tersebut di atas tadi; iaitu dengan jalan mendidiknya dari permulaan pertumbuhannya.

Kemudian anak itu hendaklah di hantar ke sekolah, supaya ia belajar al-Quran dan Hadis-hadis Rasulullah s.a.w., mendengar cerita-cerita para salihin dan sejarah kehidupan mereka, agar tertanam di dalam hatinya kecintaan terhadap orang-orang yang mulia itu. Hendaklah ia dijaga supaya tidak membaca atau mendengar syair-syair yang melukiskan gambaran asyik-ma’syuk dan orang-orang bercinta-cintaan, kerana yang demikian itu akan menumbuhkan benih-benih kerosakan di dalam dirinya.

Seterusnya bila terlihat pada anak itu semacam budi pekerti yang indah dan kelakuan yang terpuji, maka hendaklah anak itu dimuliakan dan dibalas dengan sesuatu yang boleh menggembirakan hatinya dan dipuji kelakuannya yang baik itu di hadapan orang ramai. Tetapi jika ia terlanjur sesekali dalam setengah-setengah perkara, maka hendaklah berpura-pura terlupa atau tidak ternampak akan kelakuannya yang salah itu. Dan jangan sekali-kali memalukan anak itu atau membuka rahsianya, dan janganlah menampakkan keadaannya bahwa orang lain ada yang berani melakukan sepertinya. Terutama sekali bila anak itu telah mencuba untuk menutup keaibannya, dan bersunguh-sungguh cuba menyembunyikan kekhilafannya. Sebab membuka rahsianya mungkin akan menimbulkan perasaan tindak balas dari anak itu, sehingga ia menjadi berani mengulangi kelakuan yang salah itu, meskipun diancam untuk didedahkan kesalahan itu kepada orang ramai.

Tetapi sekiranya ia mengulangi lagi perbuatan salah itu bagi kali kedua maka sebaliknya hendaklah ia ditegur secara rahsia dan menyatakan bahwa perkara yang dibuatnya itu tidak patut dibuat oleh seseorang sepertinya. Kemudian hendaklah ia diingatkan sekali agar jangan kembali melakukan perkara seperti itu lagi, nanti apabila diketahui oleh orang ramai, kelak kelakuannya akan memalukan dirinya.

Bila menegur anak janganlah terlalu banyak mencelanya pada setiap waktu, sebab yang demikian akan menyebabkan telinga si anak menjadi tebal, tidak mengendahkan segala celaan itu, malah ia akan terus berani membuat kesalahan dan segala nasihat yang dihamburkan kepadanya tidak akan meninggalkan apa-apa kesan di dalam hatinya.

Haruslah seseorang ayah itu bijak mengendalikan cara-cara berbicara dengan anaknya. Ia tidak menegur atau memarah anaknya melainkan pada masa-masa yang tertentu. Bagi ibu pula harus pandai juga memainkan peranannya, iaitu dengan mengingatkan si anak supaya bersifat segan kepada ayah dan menegahnya supaya menjauhi segala kelakuan yang buruk.

Anak mestilah dilarang dari tabiat suka tidur pada siang hari, sebab yang demikian akan menghidupkan tabiat malas dalam dirinya. Tetapi jangan ditahan anak tidur pada malam hari hanya biarlah tempat tidurnya dari tilam yang kasar supaya segala anggota badannya menjadi keras dan kuat, dan tubuhnya tidak gemuk, akhirnya ia menjadi manja dengan keadaan segala macam yang kasar seperti tempat tidur yang kasar dan pakaian yang kasar.

Seterusnya seorang mestilah dilarang dari berbuat sesuatu secara rahsia, sebab tidak ada sesuatu yang dilakukannya secara rahsia, melainkan ia yakin bahwa perkara itu tak baik diketahui oleh ibu bapanya. Jika sekiranya ia di larang, niscaya ia tidak akan membiasakan dirinya berbuat sesuatu yang tak baik.

Pada siang hari, hendaklah ia dibiasakan berjalan-jalan, bergerak badan dan berolahraga, supaya badannya tidak dikuasai oleh sifat malas.

Juga hendaklah anak itu dibiasakan agar tidak mendedahkan kepala tangan dan kakinya tidak terlalu cepat berjalan, tidak suka membanggakan diri ke atas rakan-rakannya dalam soal makanan dan pakaian, tetapi hendaklah ia membiasakan merendah diri dan menghormati sekalian orang yang bergaul dengannya, serta berlemah-lembut bila berbicara kepada mereka.

Juga hendaklah anak itu dilarang mengambil balik sesuatu barang yang telah diberikan kepada anak-anak yang lain. Dan hendaklah diajarkan kepadanya bahwa sifat mulia diri itu boleh didapati dengan memberi bukan mengambil. Menerima sesuatu dari orang lain itu adalah tercela, terhina dan rendah darjat dan sifat itu adalah kebiasaan anjing yang selalu mengibas-ngibaskan ekornya menunggu sesuatu suap dan terasa gelojoh kepada makan yang ditunggunya itu.

Seterusnya hendaklah diajarkan kepada anak-anak itu, supaya jangan terlalu mencintai emas dan perak serta menunjukkan sikap tamak terhadap barang-barang itu. Dan dilarang mereka dari keduanya lebih dari ditakutkan tentang ular dan kala jengking. Sebab bahaya mencintai emas dan perak itu lebih dasyat daripada bahaya racun terhadap anak-anak masih muda itu, bahkan sama bahayanya terhadap orang-orang dewasa juga.

Selanjutnya anak-anak itu harus jangan dibiasakan berludah ketika di dalam sesuatu majlis atau membuang hingus atau menguap di hadapan orang ramai. Jangan mereka membelakangi orang bila duduk,  jangan meletak kaki atas kaki, jangan bertopang dagu, jangan menyandarkan kepala di atas lengan, kerana yang demikian itu adalah sifat orang pemalas.

Hendaklah anak-anak itu diajarkan cara-cara duduk dalam majlis-majlis, dilarang banyak bicara dan diingatkan kepadanya bahwa banyak bicara itu menandakan buruknya budi pekerti  dan itu adalah kelakuan anak-anak yang jahat.

Hendaklah anak-anak itu dilarang dari tabiat suka bersumpah sama ada benar atau pun bohong, supaya mereka tiada terbiasa dengan bersumpah sejak kecil lagi. Dibiasakan supaya selalu mendengar baik-baik tutur bicara orang lain yang lebih dari tua dari mereka. Hendaklah ia bangun untuk menghormati orang yang lebih tua, dan meluaskan tempat duduk baginya seraya duduk menghadapinya pula. Dilarang berbicara kotor ataupun bual kosong. Dilarang melaknat dan memaki serta dihalangi daripada bercampur gaul dengan orang-orang yang suka melaknat dan memaki, sebab tabiat itu tidak syak lagi akan menjangkitinya, dan akhirnya ia tergolong pula ke dalam teman-teman yang jahat, padahal pokok pendidikan bagi anak-anak ialah menjauhi mereka daripada teman-teman yang jahat.

Sewajarnyalah sesudah anak-anak itu kembali ke sekolah diizinkan supaya mereka bermain-main permainan yang baik, agar mereka boleh berehat dari penat lelah belajar di sekolah. Sebab melarang anak-anak dari bermain serta memaksanya terus belajar tanpa rehat akan mematikan hatinya dan melenyapkan kecerdasannya serta mengeruhkan kehidupannya. Akhirnya mereka akan mencuba dengan berbagai-bagai tipu daya untuk melepaskan diri dari belajar sama sekali.

Sewajarnyalah juga diajarkan kepada anak-anak itu, supaya selalu mentaati kedua ibu bapa dan mematuhi perintah guru atau pendidik dan seterusnya terhadap semua orang yang lebih tua daripada mereka, sama ada dari golongan kaum kerabat sendiri mahupun orang luar. Hendaklah ia memandang kepada mereka dengan pandangan penuh penghormatan dan ta’zaim, dan meninggalkan permainan di hadapan mereka sekalian.

Apabila sampai saja kepada umur mumaiyiz (pandai), maka sudah wajib mereka dijaga tentang soal taharah (kesucian) dan sembahyang, supaya tidak dicuaikan. Diperintahkan mereka berpuasa pada sebahagian Ramadhan. Diajarkan mana-mana yang perlu dari batasan-batasan syara’. Diingatkan juga supaya jangan berani, mencuri memakan yang haram, berbuat khianat, berdusta, melakukan perkara-perkara keji dan sebagainya.


Apabila pendidikan anak yang kecil diusahakan seperti yang disebutkan di atas tadi, nescaya apabila ia menjadi dewasa, ia akan kenal akan mengetahui semua rahsia-rahsia kelakuan yang diajarkan kepadanya sewaktu kecil itu.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan