PERINGKAT-PERINGKAT ISTERI
1.
Isteri Siddiqin
Isteri yang tidak akan meminta apa-apa dari suaminya sekalipun yang perlu (dharuri). Apa yang disediakan suaminya, dia terima dengan penuh malu dan bersyukur. Kalau ada, adalah. Kalau tidak ada, dia bersabar. Tapi meminta tidak. Apatah lagi yang tidak perlu, kalau diberipun dia tolak bahkan adakalanya yang perlupun dia tolak dengan baik, dia lebih suka menolong suaminya. Itulah golongan yang bersifat orang yang Siddiqin. Golongan ini payah hendak dicari terutama di akhir zaman ini, macam hendak mencari belerang merah atau gagak putih. Ini adalah perempuan luar biasa.
2.
Isteri Muqarrobin
Isteri yang tidak meminta dari suaminya kecuali yang perlu sahaja. Yang tidak perlu dia tidak akan memintanya bahkan kalau suaminya memberi yang tidak perlu dia tolak dengan baik. Tapi kalau yang diperlukan pun tidak ada, dia tetap sabar. Namun dia tidak akan mendesak suaminya. Dia tetap bersabar dengan keadaan itu. Itulah golongan Muqarrobin. Golongan ini juga susah hendak dicari di zaman kebendaan ini, di zaman orang memburu dunia, di zaman orang memandang dunia adalah segala-galanya.
3.
Isteri Solehin
Isteri yang meminta kepada suaminya yang perlu dan juga sekali-sekala meminta juga yang tidak perlu seperti ingin sedikit kehidupan yang selesa sama ada dari segi makan minum, tempat tinggal, kenderaan. Namun kalau suaminya tidak memberi, dia tetap sabar dan tidak pula menjadi masalah. Itulah dia golongan orang yang soleh.
4.
Isteri Fasik
Isteri yang selalu sahaja meminta-minta bukan sahaja yang perlu, yang tidak perlupun dia suka meminta-minta juga. Kalau diberipun tidak pernah puas-puas, tidak pernah rasa cukup, sudah mewahpun tidak rasa cukup. Kalau tidak diberi menjadi masalah, dia merungut-rungut, marah-marah, sakit hati, merajuk hingga menjadi masalah dalam rumah tangga. Inilah dia golongan yang fasik. Isteri ini selalu sahaja derhaka dengan suami, apatah lagi dengan Tuhan.
Sikap, tindakannya,
percakapannya selalu sahaja menyusahkan suaminya, membuat suaminya selalu serba
salah dibuatnya. Berbagai-bagai kehendak diberi, berbagai-bagai kemahuannya
terpaksa ditunaikan. Adakala pakaian terpaksa ditukar sebulan atau dua bulan
sekali, asyik pergi shopping sahaja. Namun demikian tidak juga puas dan tidak
juga merasa cukup. Macam-macam yang dia hendak. Akhirnya krisis rumahtangga
tidak pernah berhenti, sentiasa bergolak, sentiasa bergelombang macam air laut
yang tidak pernah berhenti-henti daripada bergelombang dan bergelora. Lama-lama
kelamaan bercerai juga. Kalaupun tidak bercerai kerana hendak menjaga air muka
atau hendak menjaga nama baik atau tidak mahu anak porak peranda, tapi apalah
ertinya rumahtangga yang begitu rupa. Di manalah keindahannya lagi. Apalah
bahagianya kalau gelombang dan gelora krisis tidak pernah rehat dan tenang.
Apalah akan jadi kepada anak-anak melihat ibu bapa sentiasa macam kucing dengan
anjing.
Semoga Allah swt menyatukan
hati-hati kita, menjadikan kita saling mencintai kerana Dia; sebagaimana dalam
hadits yang diriwayatkan oleh Tirmidzi Rasululllah saw bersabda:
“Di sekitar Arsy ada
menara-menara dari cahaya. Di dalamnya ada orang-orang yang pakaiannya dari
cahaya dan wajah-wajah mereka bercahaya. Mereka bukan para nabi atau syuhadah.
Para nabi dan syuhadah iri kepada mereka. Ketika ditanya para sahabat,
Rasulullah menjawab, “Mereka adalah orang-orang yang saling mencintai kerana
Allah swt, saling bersahabat kerana Allah swt dan saling kunjung kerana Allah
swt.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan