SABAR adalah satu sifat manusia.
Ia bererti menahan dan menanggung diri daripada perkara yang tidak disukai
Allah kepada yang disukai atau menahan dan menanggung diri daripada yang
disukai nafsu kepada yang disukai Allah.
Berpandukan
kepada pengertian itu, sabar adalah satu istilah yang mengandungi pelbagai
makna dan nama.
Contohnya menahan diri di medan perang disebut berani (as-saja’ah), lawannya bacul (al-jubn), manakala menahan diri daripada suatu keinginan nafsu Arabnya disebut ‘dabtun nafs’ dan lawannya ‘al-batr’.
Sabar
adalah senjata terpenting manusia, lebih-lebih lagi diri manusia sentiasa
menghadapi pelbagai ujian. Dengan sifat ini membolehkan manusia mengatasi ujian
dan mencapai kejayaan.
Banyak
nas yang memerintah kita bersifat sabar, antaranya bermaksud: “Hai orang-orang
beriman, bersabarlah dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap sedia (di
perbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beruntung.”
(Ali-Imran:200)
Cendekiawan membahagikan sifat
sabar kepada beberapa jenis, iaitu:
1. Sabar terhadap kesusahan dan bala bencana yang
menimpa pada manusia biasa, bahkan di kalangan nabi.
Antara
yang dirumuskan al-Quran ialah sabar dalam bentuk ini termasuklah bersabar
dengan kefakiran atau kelaparan, bersabar terhadap kesakitan, ketika peperangan
dan ketakutan, kerana kehilangan wang, kehilangan jiwa dan harta benda.
2. Sabar
terhadap keinginan nafsu yang menjadi urusan syaitan. Antaranya sabar
atas tarikan dan runtunan nafsu yang rendah dan hina, termasuk bersabar dari
menurut perasaan marah.
3. Sabar
terhadap kemewahan. Ini termasuk bersabar terhadap kenikmatan orang lain,
seperti orang kafir dan golongan yang menzalimi orang lain yang pada
lahirnya mereka mendapat nikmat tetapi pada batinnya adalah azab.
4. Sabar
terhadap ketaatan yang sememangnya banyak halangan. Nafsu itu
tabiatnya liar dan tidak suka kepada pengabdian, malah malas pula untuk
melaksanakan amal ketaatan.
Kesabaran ini memerlukan tiga
peringkat:
Sebelum dapat melaksanakan sesuatu ketaatan, perlulah
memperbaiki niat dan ikhlas, sabar daripada riak yang merosakkan dan sabar
untuk menguatkan keazaman.
Ketika
mengerjakan ketaatan, hendaklah sentiasa berjaga dan berwaspada daripada faktor
yang boleh melemahkannya.
Selepas
mengerjakannya hendaklah bersifat sabar daripada melakukan suatu yang
membatalkan amal ketaatannya.
Sabar
terhadap kesusahan berdakwah ke jalan Allah. Dakwah ke jalan Allah adalah suatu
usaha mulia dan suci. Ia adalah warisan daripada rasul dan nabi, mempunyai
halangan dari musuh kebenaran dan kebaikan.
Harus diingat, dakwah kepada jalan Allah dan agama-Nya sangat bertentangan dengan keinginan dan hawa nafsu, dengan adat dan tradisi, keseronokan dan kerehatan, pangkat dan kedudukan, bahkan kekayaan dan kekuasaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan