RAMADAN al-Mubarak menggamit lagi. Bulan yang penuh dengan keberkatan, kelebihan, keampunan dan juga keistimewaannya amatlah patut dan munasabah untuk kita memahami dan mengetahui berkenaan kelebihan puasa dan orang yang berpuasa di bulan Ramadan.
Puasa pada bahasa iaitu
menahan dan pada istilahnya pula menahan daripada makan, minum dan jimak
daripada subuh hingga ke maghrib beserta dengan niat. (Qamus Al-Fiqhi oleh
Sa’di Abu Jaib Hal 218).
Dalam Feqh Manhajji
menyebut puasa dari segi syarak pula ialah menahan diri daripada sebarang
perkara yang membatalkannya, bermula dari terbit fajar sehingga matahari
terbenam dengan niat puasa.
Walaupun begitu terdapat
banyak lagi definasi berkenaan dengan puasa berdasarkan kepada pendapat fuqaha
dalam semua mazhab. Tetapi pengertian yang mereka kemukakan adalah hampir sama.
Puasa Ramadan mula
difardukan pada bulan Syaaban pada tahun kedua Hijrah. Sebelum itu, amalan
puasa telah biasa dilakukan biasa di kalangan umat terdahulu dan ahli kitab
yang sezaman dengan Nabi Muhammad s.a.w.
Akan tetapi kewajipan
puasa pada bulan Ramadan belum disyariatkan lagi ketika itu. Persamaan antara
mereka dengan umat terdahulu adalah dari segi pensyariataan puasa itu sahaja.
Kemudian umat Nabi Muhammad secara khusus difardukan puasa pada bulan Ramadan.
Ia merupakan satu rukun
daripada Islam yang lima dan diketahui oleh umum. Oleh itu sesiapa yang
mengingkari kewajipannya ia boleh menjadi kafir dan hendaklah disuruh bertaubat
sebagaimana orang murtad. Jika terus ingkar dan enggan bertaubat dia hendaklah
dijatuhi hukuman sebagai orang yang murtad.
Hal yang demikian
sekiranya dia bukan baru memeluk agama Islam dan tidak tinggal berjauhan
daripada ulama. Mereka yang tidak berpuasa tanpa mengingkari wajibnya ibadat
tersebut dia hanya jadi fasik. Pemerintah wajib memenjarakannya dan
menghalangnya daripada makan dan minum pada waktu siang supaya ia berpuasa
sekali pun zahirnya sahaja mengikut apa yang dinyatakan di dalam kitab al-Feqh
al-Manhaji.
Berkenaan dengan rukun
puasa pula iaitu menahan daripada dua syahwat, perut dan faraj. Atau menahan
daripada segala perkara yang membatalkan puasa. Malikiyah dan Syafiiyah menambah
dengan satu rukun yang lain iaitu niat pada waktu malam. (Al-Fiqhu Al-Islami Wa
Adillatuhu 3/1616).
Seterusnya dibincangkan
fadilat dan kelebihan puasa dan orang yang berpuasa:
*Imam Ahmad dan Muhammad
bin Nasar al- Baihaqi meriwayatkan daripada Abi Hurairah sabda Nabi s.a.w,
“Dikurniakan kepada umatku pada bulan Ramadan lima kelebihan yang tidak
dikurniakan mana-mana umat sebelum mereka : bau mulut orang yang berpuasa lebih
harum di sisi Allah dari bau kasturi, malaikat mengampunkan mereka sehingga berbuka,
Allah hiasi setiap hari syurganya, kemudian berfirman hampir-hampirlah hambaku
yang soleh yang merasai kesukaran tetapi terus menuju kepadamu, diikat padanya
syaitan dan diampun bagi mereka pada akhir malam”.
*Imam Bukhari, Muslim
dan Ahmad meriwayatkan hadis daripada Sahal bin Sa’d. Sabda Rasulullah s.a.w:
“Sesunggunya dalam syurga terdapat satu pintu yang dikenali dengan ar-Raiyyan
di mana yang berhak memasukinya hanya orang yang berpuasa. Apabila selesai
masuk nescaya ditutupnya”.
*Mengikut riwayat
an-Nasai sama seperti di atas kecuali ditambah sabda Nabi: Sesiapa yang masuk
di dalamnya nescaya dapat meminum siapa yang minum nescaya tidak dahaga
selama-lamanya.
*Mengikut riwayat Imam
Ahmad dan an-Nasai daripada Abi Hurairah r.a sabda Rasulullah s.a.w: “Puasa
merupakan perisai”. Dan daripada Usman bin Abi al-As,
“Puasa merupakan perisai
daripada neraka seperti perisai seseorang daripada kamu pada masa peperangan
selama mana ia tidak mengoyaknya dengan berdusta atau mengumpat”.
*Al-Baihaqi meriwayatkan
daripada Usman bin Abi al-As, puasa merupakan perisai daripada azab Allah.
*Imam Ahmad, Muslim dan
an-Nasai meriwayatkan daripada Abi Hurairah dan Abi Sa’id Sesungguhnya Allah
berfirman: Sesungguhnya puasa bagiku dan Aku yang membalasnya dan sesungguhnya
bagi orang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan apabila ia berbuka nescaya
bergembira dan apabila bertemu Allah nescaya ia gembira. Demi jiwa Muhammad
ditangan-Nya bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada
bau kasturi.
*Ibn Majah dan al-Hakim
meriwayatkan daripada Ibn Umar bahawa Nabi s.a.w bersabda: “Sesungguhnya orang
yang berpuasa ketika berbuka mempunyai doa yang tidak ditolak”.
*Al-Dailami meriwayatkan
daripada Ibn Umar katanya: “Diam orang puasa merupakan tasbih, tidurnya adalah
ibadat, doanya mustajab dan amalannya digandakan”.
*Ibn Majah meriwayatkan
daripada Ibn Jabir, Ahmad, at-Tabarani dan al- Baihaqi daripada Abi Umamah
bahawa Nabi bersabda: “Sesungguhnya bagi Allah ketika berbuka puasa mempunyai
mereka yang dibebaskan daripada neraka yang demikian itu pada setiap malam”.
*Al-Baihaqi meriwayatkan
daripada Abi Hurairah bahawa Nabi s.a.w bersabda: “Puasa merupakan separuh
kesabaran dan atas tiap sesuatu mempunyai zakat dan zakat bagi tubuh badan
adalah puasa”.
*Imam Ahmad, al-Tirmidzi
dan al-Baihaqi meriwayatkan daripada Ummi Imarah: “Sesungguhnya orang yang
berpuasa apabila makan sentiasalah malaikat berselawat ke atasnya sehingga
selesai makanannya”.
Sebenarnya banyak lagi
kelebihan puasa dan Ramadan seperti mendapat syafaat dan dijauhkan daripada
neraka. Justeru marilah sama-sama kita mengambil kesempatan dengan kunjungan
Ramadan al-Mubarak dengan berpuasa dan beramal.
SUNTINGAN
DARI GURUKU
Selamat
berpuasa dan semoga diterima Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan