Puasa sama, pahala berbeza
Ramadan adalah bulan
ibadah. Suasana Ramadan itu sebenarnya berada dalam jiwa setiap yang beribadah.
Tahap perasaannya tidak sama, berdasarkan tidak samanya kadar ibadah kita. Di
samping setiap yang beribadah tidak sama nilainya di sisi Allah swt, walaupun
mungkin sama pada jenis dan bilangannya. Seseorang yang bersolat lapan
rakaat terawih bersama sahabat-sahabat tidaklah semestinya setiap mereka
mendapat ganjaran pahala yang sama. Ini kerana di antara mereka sudah pasti ada
perbezaan pada kadar khusyuk, ikhlas dan kesusahan yang dialami dalam
menunaikan ibadah itu.
Seorang peniaga yang
meninggalkan perniagaan kerana ingin bersolat tentu tidak sama pahala mereka
yang memang mempunyai masa lapang untuk bersolat. Begitulah juga
perbezaan-perbezaan yang lain. Allah Maha Mengetahui keadaan hamba-hambaNYA.
Pahala Atas Kesusahan
Hal ini disebut oleh para
ulama Usul seperti al-Imam ‘Izzu al-Din ‘Abd al-Salam (meninggal 660H) dalam Qawa’id
al-Ahkam. Beliau menjelaskan perbezaan pahala dua amalan yang serupa itu
bukanlah perbezaan pahala amalan itu sendiri, sebaliknya tambahan pahala itu
diperolehi disebabkan kesusahan yang ditanggung. Beliau membuat contoh
seseorang yang mandi wajib pada musim sejuk dan seorang yang mandi wajib pada
musim panas. Dari segi mandi, keduanya mendapat pahala yang sama disebabkan
sifat mandi itu dari sudut syarat, rukun dan sunahnya itu sama. Namun yang
mandi pada musim sejuk mendapat pahala lebih disebabkan beban yang lebih berat yang
terpaksa ditanggung.
Bukannya perbezaan pahala
itu pada mandi tersebut, tetapi kepada beban sampingan yang terpaksa
ditanggung. Demikianlah kata beliau mengenai mereka yang pergi ke masjid, haji,
jihad dan seumpamanya. Pahala diberikan bukan kerana perbezaan tujuan, tetapi
kerana perbezaan jalan yang terpaksa ditempuh.
Demikianlah Puasa..
Begitulah puasa, walaupun
dari segi puasa, tujuan sama. Juga syarat, rukun dan sunahnya yang dilaksanakan
itu sama. Namun, pahala berbeza bukan disebabkan perbezaan pahala puasa, tetapi
perbezaan bebanan yang ditanggung oleh seseorang yang melaksanakan
tanggungjawab tersebut. Maka, kita hendaklah tahu bahawa setiap kesusahan yang
ditanggung oleh pengamal ibadah itu, ada hitungan pahala di sisi Allah. Tiada
siapa yang pernah Allah rugikan amalan baiknya. Ini seperti mana yang Allah
tegaskan dalam al-Quran: (maksudnya)
“dan sabarlah, kerana
sesungguhnya Allah tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat
kebaikan”.
(Surah Hud, ayat 115)
Keadilan Allah swt dalam
hal ini menjadikan setiap hamba itu mendapat ruangan rahmat yang tersendiri.
Seorang yang berpuasa dengan penuh kepayahan disebabkan tugasan harian yang
berat, tentu mendapat pahala yang lebih dari seorang yang duduk berehat di
pejabat yang selesa, ataupun dalam rumah yang berhawa dingin. Seorang yang
bersusah payah mendapatkan sesuap makanan untuk berbuka puasa, ataupun menjamu
orang berbuka puasa tentu mendapat pahala tambahan melebihi mereka yang mewah
harta dalam berbuka puasa ataupun menjamu orang berbuka puasa.
Demikian seorang yang
berpuasa dalam suasana penuh cabaran seperti cabaran di tempat kerja yang di
kelilingi mereka yang tidak berpuasa ataupun di negeri yang suasana amat
mencabar untuk berpuasa. Berpuasa pada hari yang panas lebih beban dari
berpuasa pada hari yang sejuk. Maka, pahala tambahan atas bebanan puasa juga
ada diperolehi pada yang berkenaan. Seseorang yang dicabar perasaannya oleh
pihak tertentu pada hari dia berpuasa, tetapi dia sabar demi menjaga puasa
tentu mendapat pahala yang lebih disbanding mereka yang puasa dalam keadaan
tenang dan selesa. Kesemua hal tersebut ada hitungannya di sisi Allah. Maka
seseorang hamba Allah hendaklah tahu bahawa Allah tidak pernah mensia-siakan
apa sahaja pengorbanan keranaNYA.
Cabaran dalam berpuasa yang
ditempuhi dengan jaya akan menjadikan jiwa insan yang berpuasa itu lebih
khusyuk dan tinggi nilai spritualnya. Puasa dalam keadaan tiada rasa dan lapar
dan ujian juga ada nilai spiritualnya, namun tentu tidak sama dengan yang mengharungi
ujian Allah dalam melaksanakan ibadah tersebut. Setiap individu menerima
tingkatan spiritualnya yang tersendiri. Maka, tiada siapa yang tahu siapakah
yang lebih tinggi kedudukan puasanya di sisi Allah. Hanya Allah Yang Maha Tahu
tentang kedudukan hamba-hambaNYA.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan