Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Khamis, 26 Julai 2012

C 107 Puasa bukan budaya bangsa

Sebanyak 89 kali al-Quran memanggil dengan seruan ‘Ya ayyuha al-lazina amanuu’ ataupun ‘Wahai mereka yang beriman’. Panggil itu tidak menyebut nama khusus, tetapi menyebut nilai yang dimiliki oleh pihak yang diseru. Apabila Allah memanggil ‘wahai mereka yang beriman’ bererti sesiapa sahaja yang merasai dia tergolong dalam kumpulan tersebut terpanggil untuk mendengar arahan dan mematuhinya. Sama keadaannya apabila kita memakai pakaian berwarna tertentu, lalu ada orang memanggil ‘wahai semua yang memakai baju putih!, umpamanya. Sudah pasti kita akan menoleh kepada yang memanggil dan melihat diri kita semula apakah kita yang dimaksudkan itu. Setelah kita sedar bahawa kita memang memakai putih dan kita termasuk dalam seruan itu maka kita pasti akan memberikan perhatian. Apatahlagi jika panggilan itu dari pihak yang berjasa kepada hidup kita, yang kita sanjungi dan hormati. Cuma menjadi masalah jika kita tidak sedar bahawa kita ini memakai baju putih. Ataupun, kita sedar bahawa baju kita tidak putih, maka seruan itu menjadi tiada berkaitan dengan kita.


Panggilan Iman

Apabila Allah menyeru dalam al-Quran dengan panggilan ‘Wahai mereka yang beriman!’ maka kita pun memerhatikan semula diri kita. Apakah kita ini termasuk dalam kalangan tersebut ataupun tidak. Setelah kita pasti bahawa kita termasuk, maka kita pun menunggu arahan yang seterusnya. Melainkan jika kita merasakan yang kita tidak termasuk. Ataupun, jika terlupa bahawa kita ini tergolong dalam golongan itu. Jika sampai terlupa, mungkin sudah terhakis banyak ciri tersebut.

Antara yang Allah seru dengan panggilan “Wahai mereka yang beriman” ialah dalam arahan berpuasa pada Bulan Ramadan. Firman Allah: (maksudnya) : 

“Wahai mereka yang beriman! diwajibkan ke atas kamu puasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa.” 
(Surah al-Baqarah 183). 
Inilah titik tolak puasa setiap mukmin.

Setiap mukmin berpuasa kerana panggilan ini. Mereka berpuasa kerana merasakan panggilan itu membabitkan diri mereka. Mereka termasuk dalam seruan tersebut. Tidak kerana orangramai berpuasa, tidak kerana ia suatu budaya yang diamalkan (practised culture) yang sudah menjadi kebiasaan yang dilakukan tanpa sedar tentang hakikat dan nilai. Ia tidak sama seperti membuat ketupat dan rendang menjelang hariraya. Itu budaya sesuatu bangsa yang diamalkan secara turun temurun tanpa perlu berfikir sebabnya. Ia sekadar memeriah suasana hariraya bagi masyarakat Melayu. Sementara masyarakat lain mempunyai budaya yang pula. Namun puasa tidak demikian. Ia bukan budaya, tetapi ia satu arahan ibadah dari Maha Agung. Jika ditakdirkan kita berada di suatu tempat ataupun zaman yang tiada siapa pun yang berpuasa, kita tetap akan berpuasa selagi mana kita mengiktiraf bahawa kita ini beriman kepada Allah.


Rentas Budaya

Jenis makanan dan hidangan semasa berbuka puasa mungkin ada kaitan dengan budaya sesuatu bangsa. Selepas sunat memakan rutab ataupun tamar, setiap bangsa mempunyai makanan mereka yang tersendiri. Di sudut menu makan, orang Melayu mungkin lain dari orang Cina dan India, Arab dan selainnya. Demikian juga bangsa-bangsa yang lain. Namun arahan, peraturan dan ibadah sepanjang Ramadan itu tidak berpaksikan budaya bangsa, ia merentasi setiap budaya dan setiap bangsa. Ia untuk manusia yang berpaksikan Tuhan sekelian alam (Allahcentric)

Kemudian, betapa bahagianya kita apabila merasakan seruan langit yang terkandung dalam Kitab Allah al-Quran membabitkan diri kita. Betapa bangga untuk merasakan apabila Allah memanggil ‘wahai mereka yang beriman’ diri kita ini termasuk dalam panggil itu. Bayangkan, betapalah ruginya mereka yang dipinggirkan dari senarai panggilan yang mulia. Setiap orang berbangga apabila ada pihak tertinggi lagi mulia memasukkan namanya dalam senarai yang dipuji. Betapa kita merasa rendah diri dan kecewa jika ketika orang tersenarai dalam panggilan yang dipuji, kita tidak dimasukkan. Demikian dalam menyahut seruan berpuasa ini, ia satu kebahagiaan. Ia menjadi satu ke‘izzah’an (kemuliaan) sebagai hamba Allah yang mukmin.


Di samping itu, seruan tersebut juga telah menghubung kita dengan seluruh manusia lain yang memakai sifat yang sama iaitu ‘iman’. Di mana sahaja manusia yang kita temui, tanpa mengira budaya, bangsa, tempat dan keturunan akan berpuasa seperti kita. Mereka menyahut seruan yang sama. Seruan yang tidak bercirikan keturunan, bangsa, tempat dan budaya, sebaliknya hanya atas sifat yang sama iaitu iman. Ia merentasi segala sempadan keturunan, budaya dan tempat. Maka dengan itu menjelang Ramadan di mana sahaja kita berada, kita melihat mereka yang sama dengan kita di sudut keimanan kepada Allah menyahut seruan ini. Dengan persamaan ciri, ia dapat menautkan cinta dan kasih sesama mukmin. Pergi berada di mana sahaja di bumi ini, jika ada yang mukmin nescaya kita ada dapati dia berpuasa seperti kita. Maka kasih kita pun tertumpah kepadanya tanpa kita membataskan keturunan, budaya dan tempat! 



  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan