Diriwayatkan
bahawa surah Al-Maaidah ayat 3 diturunkan selepas waktu asar iaitu pada hari
Jumaat di padang Arafah pada musim haji Wida’. Pada masa itu Rasulullah s.a.w.
berada di atas unta. Ketika ayat ini turun Rasulullah s.a.w. tidak begitu jelas
penerimaannya untuk mengingati isi dan makna yang terkandung dalam ayat
tersebut. Kemudian Rasulullah s.a.w. bersandar pada unta beliau, dan unta
beliaupun duduk perlahan-lahan. Setelah itu turun malaikat Jibril dan berkata:
“Wahai Muhammad, sesungguhnya pada hari ini telah disempurnakan urusan agamamu,
maka terputuslah apa yang diperintahkan oleh Allah S.W.T. dan demikian juga apa
yang terlarang oleh-Nya. Oleh itu kamu kumpulkan para sahabatmu dan beritahu
kepada mereka bahawa hari ini adalah hari terakhir aku bertemu dengan kamu.”
Setelah
malaikat Jibril pergi maka Rasulullah s.a.w. berangkat ke Madinah. Rasulullah
s.a.w. lalu mengumpulkan para sahabat baginda dan menceritakan apa yang telah
diberitahu oleh malaikat Jibril. Apabila para sahabat r.a. mendengar hal yang
demikian maka merekapun gembira sambil berkata:
“Agama kita
telah sempurna. Agama kila telah sempurna.”
Apabila Abu
Bakar r.a. mendengar keterangan Rasulullah s.a.w. itu, maka ia tidak dapat
menahan kesedihannya. Abu Bakar r.a. pulang ke rumah lalu mengunci pintu dan menangis
sekuat-kuatnya. Abu Bakar r.a. menangis dari pagi hingga ke malam. Kisah
tentang Abu Bakar r.a. menangis telah sampai kepada para sahabat yang lain.
Maka berkumpullah para sahabat r.a. di depan rumah Abu Bakar r.a. dan bertanya:
“Wahai Abu
Bakar, apakah yang telah membuat kamu menangis sehingga begini sekali
keadaanmu? Seharusnya kamu merasa gembira sebab agama kita telah sempurna.”
Mendengarkan
pertanyaan dari para sahabat r.a. maka Abu Bakar r.a. pun berkata, “Wahai para
sahabatku, kamu semua tidak tahu tentang musibah yang menimpa kamu, tidakkah
kamu tahu bahawa apabila sesuatu perkara itu telah sempurna maka akan
kelihatanlah akan kekurangannya. Dengan turunnya ayat tersebut bahawa ia
menunjukkan perpisahan kita dengan Rasulullah s.a.w. Hasan dan Husin menjadi
yatim dan para isteri Rasulullah menjadi janda.” Setelah mereka mendengar
penjelasan dari Abu Bakar r.a. maka sedarlah mereka akan kebenaran kata-kata
Abu Bakar r.a., lalu mereka menangis dengan sekuat-kuatnya. Tangisan mereka
telah didengar oleh para sahabat yang lain, maka mereka pun terus memberitahu
Rasulullah s.a.w. tentang kejadian yang mereka saksikan itu.
Berkata salah
seorang dari para sahabat r.a.,
“Ya Rasulullah,
kami baru kembali dari rumah Abu Bakar dan kami dapati ramai orang menangis
dengan suara yang kuat di depan rumah beliau.” Apabila Rasulullah s.a.w.
mendengar keterangan dari para sahabat, maka berubahlah muka Rasulullah s.a.w.
dan dengan bergegas beliau menuju ke rumah Abu Bakar r.a.
Sebaik
Rasulullah s.a.w. sampai di rumah Abu Bakar r.a., Rasulullah s.a.w. melihat
kesemua mereka menangis dan bertanya,
“Wahai para
sahabatku, kenapakah kamu semua menangis?.” Kemudian Ali r.a. berkata,
“Ya Rasulullah,
Abu Bakar mengatakan dengan turunnya ayat ini membawa tanda bahawa waktu
wafatmu telah dekat. Adakah ini benar ya Rasulullah?.”
Lalu Rasulullah
s.a.w. berkata:
“Semua yang
dikatakan oleh Abu Bakar adalah benar, dan sesungguhnya waktu untuk aku
meninggalkan kamu semua telah dekat”.
Sebaik sahaja
Abu Bakar r.a. mendengar pengakuan Rasulullah s.a.w., maka iapun menangis
sekuat tenaganya sehingga ia jatuh pengsan, sementara Ali r.a. pula mengeletar
seluruh tubuhnya, para sahabat yang lain pula menangis sekuat yang mereka
mampu. Sehinggakan gunung-ganang, semua malaikat yang ada di langit,
cacing-cacing, semua binatang baik yang ada di darat maupun yang ada di laut
semua menangis. Kemudian Rasulullah s.a.w. bersalam dengan para sahabat r.a.
satu demi satu dan berwasiat pada mereka.
Pada satu hari,
baginda s.a.w. menyuruh Bilal r.a. azan untuk mengerjakan solat. Para Muhajirin
dan Ansar pun berkumpullah di masjid Rasulullah s.a.w. Kemudian Rasulullah
s.a.w. menunaikan solah dua rakaat bersama semua yang hadir. Setelah selesai
solat, baginda s.a.w. bangun dan naik ke atas mimbar dan berkata:
“Alhamdulillah,
wahai para muslimin. Sesungguhnya aku adalah seorang nabi yang diutus dan
mengajak orang ke jalan Allah dengan izin-Nya. Dan aku ini adalah sebagai
saudara kandung kamu, yang kasih sayang pada kamu semua seperti seorang ayah.
Oleh itu, kalau ada sesiapa ada hak untuk menuntut, maka hendaklah ia bangun
dan membalasi aku sebelum aku dituntut di hari kiamat.”
Rasulullah
s.a.w. berkata sebanyak tiga kali, lalu bangunlah seorang lelaki bernama
Ukasyah bin Muhshan dan berkata:
“Demi ayahku
dan ibuku ya Rasulullah, kalau kamu tidak mengumumkan kepada kami berkali-kali
sudah tentu aku tidak mahu mengemukakan ini.”
Lalu ‘Ukasyah
r.a. berkata lagi:
“Sesungguhnya
dalam perang Badar aku bersamamu ya Rasulullah. Pada masa itu aku mengikuti
unta kamu dari belakang. Setelah dekat, akupun turun menghampiri kamu dengan
tujuan supaya aku dapat mencium paha kamu, tetapi kamu telah mengambil tongkat
dan memukul unta kamu untuk berjalan cepat, yang mana pada masa itu akupun kamu
pukul pada tulang rusukku. Aku hendak tanya sama ada kamu sengaja memukul aku
atau hendak memukul unta tersebut.”
Rasulullah
s.a.w. berkata:
“Wahai
‘Ukasyah, Rasulullah sengaja memukul kamu.” Kemudian Rasulullah s.a.w. berkata
kepada Bilal r.a.,
“Wahai Bilal,
kamu pergi ke rumah Fatimah dan ambilkan tongkatku ke mari.” Bilal r.a. keluar
dari masjid menuju ke rumah Fatimah r.a. sambil meletakkan tangannya di atas
kepala dengan berkata,
“Rasulullah
s.a.w. telah menyediakan dirinya untuk dibalas [di qishash].”
Setelah Bilal
r.a. sampai di rumah Fatimah r.a. maka Bilal r.a. pun memberi salam dan
mengetuk pintu. Kemudian Fatimah r.a. menyahut dengan berkata:
“Siapakah di
pintu?.” Bilal r.a. menjawab:
“Aku Bilal, aku
telah diperintahkan oleh Rasulullah untuk mengambil tongkat baginda”. Kemudian
Fatimah r.a. berkata:
“Wahai Bilal,
untuk apa ayahku minta tongkatnya.” Berkata Bilal r.a.:
“Wahai Fatimah,
Rasulullah telah menyediakan dirinya untuk diqishash.” Bertanya Fatimah r.a.
lagi:
“Wahai Bilal,
siapakah manusia yang sampai hatinya untuk menqishash Rasulullah?” Bilal r.a.
tidak menjawab pertanyaan Fatimah r.a. Setelah Fatimah r.a. memberikan tongkat
tersebut, maka Bilal r.a.pun membawa tongkat itu kepada Rasulullah s.a.w.
Setelah Rasulullah s.a.w. menerima tongkat tersebut dari Bilal r.a. maka
beliaupun menyerahkan kepada ‘Ukasyah r.a.
Melihatkan hal
yang demikian maka Abu Bakar r.a. dan Umar r.a. tampil ke depan sambil berkata:
“Wahai
‘Ukasyah, janganlah kamu qishash Rasulullah tetapi kamu qishashlah kami
berdua.” Apabila Rasulullah s.a.w. mendengar kata-kata Abu Bakar r.a. dan Umar
r.a. maka dengan segera beliau berkata:
“Wahai Abu
Bakar, Umar duduklah kamu berdua, sesungguhnya Allah S.W.T. telah menetapkan
tempatnya untuk kamu berdua.” Kemudian Ali r.a. bangun, lalu berkata, “Wahai
‘Ukasyah! Aku adalah orang yang sentiasa berada di samping Rasulullah oleh itu
kamu pukullah aku dan janganlah kamu menqishash Rasulullah”. Lalu Rasulullah
s.a.w. berkata,
“Wahai Ali
duduklah kamu, sesungguhnya Allah S.W.T. telah menetapkan tempatmu dan
mengetahui isi hatimu.” Setelah itu Hasan r.a. dan Husin r.a. bangun dengan
berkata:
“Wahai
‘Ukasyah, bukankah kamu tidak tahu bahawa kami ini adalah cucu Rasulullah, kamu
qishashlah kami sama jika kamu ingin menqishash Rasulullah” Mendengar kata-kata
cucunya Rasulullah s.a.w. pun berkata,
“Wahai buah
hatiku duduklah kamu berdua.” Berkata Rasulullah s.a.w.
“Wahai ‘Ukasyah
pukullah aku kalau kamu hendak memukul.”
Kemudian ‘Ukasyah
r.a. berkata:
“Ya Rasulullah,
anda telah memukul aku sewaktu aku tidak memakai baju.” Maka Rasulullah
s.a.w.pun membuka baju. Setelah Rasulullah s.a.w. membuka baju maka menangislah
semua yang hadir. Setelah ‘Ukasyah r.a. melihat tubuh Rasulullah s.a.w. maka
iapun mencium beliau dan berkata,
“Aku tebus kamu
dengan jiwaku ya Rasulullah, siapakah yang sanggup memukul kamu. Aku melakukan
begini adalah sebab aku ingin menyentuh badan kamu yang dimuliakan oleh Allah
S.W.T. dengan badanku. Dan Allah S.W.T. menjaga aku dari neraka dengan
kehormatanmu” Kemudian Rasulullah s.a.w. berkata,
“Dengarlah kamu
sekalian, sekiranya kamu hendak melihat ahli syurga, inilah orangnya.” Kemudian
semua para jemaah bersalam-salaman atas kegembiraan mereka terhadap peristiwa
yang sangat genting itu. Setelah itu para jemaahpun berkata,
“Wahai
‘Ukasyah, inilah keuntungan yang paling besar bagimu, engkau telah memperolehi
darjat yang tinggi dan bertemankan Rasulullah di dalam syurga.”
Ibnu Mas’ud
r.a. berkata: Ketika ajal Rasulullah s.a.w. sudah dekat, baginda mengumpul kami
di rumah Siti Aisyah r.a. Kemudian baginda s.a.w. memandang kami sambil
berlinangan air mata dan bersabda:
“Marhaban
bikum, semoga Allah S.W.T. memanjangkan umur kamu semua, semoga Allah S.W.T.
menyayangi, menolong dan memberikan petunjuk kepada kamu. Aku berwasiat kepada
kamu, agar bertakwa kepada Allah S.W.T. Sesungguhnya aku adalah sebagai pemberi
peringatan untuk kamu. Janganlah kamu berlaku sombong terhadap Allah S.W.T.”
Allah S.W.T.
berfirman:
“Kebahagiaan
dan kenikmatan di akhirat. Kami jadikan untuk orang-orang yang tidak ingin
menyombongkan dirinya dan membuat kerosakan di muka bumi. Dan kesudahan syurga
itu bagi orang-orang yang bertakwa.”
Kemudian kami bertanya:
“Bilakah ajal
kamu ya Rasulullah? Baginda s.a.w. menjawab: Ajalku telah hampir, dan akan
pindah ke hadhrat Allah S.W.T., ke Sidratul Muntaha dan ke Jannatul Makwa serta
ke Arasy.”
Kami bertanya
lagi:
“Siapakah yang
akan memandikan kamu ya Rasulullah? Rasulullah s.a.w. menjawab: “Kalau telah
sampai ajalku maka hendaklah Ali yang memandikanku, Fadhl bin Abbas hendaklah
menuangkan air dan Usamah bin Zaid hendaklah menolong keduanya. Setelah itu
kamu kafanilah aku dengan pakaianku sendiri apabila kamu semua menghendaki,
atau kafanilah aku dengan kain Yaman yang putih.”
Kami bertanya:
“Siapakah yang
akan mensolatkan baginda di antara kami?” Kami menangis dan Rasulullah s.a.w.
pun turut menangis. Kemudian baginda s.a.w. bersabda:
“Tenanglah,
semoga Allah S.W.T. mengampuni kamu semua. Apabila kamu semua telah memandikan
dan mengafaniku, maka letaklah aku di atas tempat tidurku, di dalam rumahku
ini, di tepi liang kuburku. Setelah itu kamu semua keluarlah sebentar
meninggalkan aku. Maka yang pertama-tama mensolatkan aku adalah sahabatku
Jibril. Kemudian Mikail, kemudian Israfil kemudian Izrail berserta bala
tenteranya. Kemudian masuklah kamu dengan sebaik-baiknya. Dan hendaklah yang
mula solat adalah kaum lelaki dari pihak keluargaku, kemudian yang wanita-wanitanya,
dan kemudian kamu semua.”
Setelah itu
para sahabat r.a. menangis dengan nada yang keras dan berkata,
“Ya Rasulullah
kamu adalah seorang Rasul yang diutus kepada kami dan untuk semua, yang mana
selama ini anda memberi kekuatan dalam penemuan kami dan sebagai penguasa yang
menguruskan perkara kami. Apabila kamu sudah tiada nanti kepada siapakah akan
kami tanya setiap persoalan yang timbul nanti?” Kemudian Rasulullah s.a.w.
berkata,
“Dengarlah para
sahabatku, aku tinggalkan kepada kamu semua jalan yang benar dan jalan yang
terang, dan telah aku tinggalkan kepada kamu semua dua penasihat yang satu
daripadanya pandai bicara dan yang satu lagi diam sahaja. Yang pandai bicara
itu ialah Al-Quran dan yang diam itu ialah maut. Apabila ada sesuatu persoalan
yang rumit di antara kamu, maka hendaklah kamu semua kembali kepada Al-Quran
dan Hadis-ku dan sekiranya hati kamu itu berkeras maka lembutkan dia dengan
mengambil pelajaran dari mati.”
Setelah
Rasulullah s.a.w. berkata demikian, maka sakit Rasulullah s.a.w.pun bermula.
Dalam bulan Safar Rasulullah s.a.w. sakit selama 18 hari dan sering diziarahi
oleh para sahabat r.a. Dalam sebuah kitab diterangkan bahawa Rasulullah s.a.w.
diutus pada hari Isnin dan wafat pada hari Isnin. Pada hari Isnin penyakit
Rasulullah s.a.w. bertambah berat, setelah Bilal r.a. menyelesaikan azan subuh,
maka Bilal r.a.pun pergi ke rumah Rasulullah s.a.w. kemudian memberi salam:
“Assalamualaikum
ya Rasulullah?” Kemudian ia berkata lagi
“Assolah
yarhamukallah.” Lalu dijawab oleh Fatimah r.a.,
“Rasulullah
masih sibuk dengan urusan beliau.” Setelah Bilal r.a. mendengar penjelasan dari
Fatimah r.a. maka Bilal r.a. pun kembali ke masjid tanpa memahami kata-kata
Fatimah r.a. itu. Apabila waktu subuh hampir hendak lupus, lalu Bilal r.a.
pergi sekali lagi ke rumah Rasulullah s.a.w. dan memberi salam seperti
permulaan tadi, kali ini salam Bilal r.a. telah di dengar oleh Rasulullah
s.a.w. dan Rasulullah s.a.w. berkata, “Masuklah wahai Bilal, sesungguhnya
penyakitku ini semakin berat, oleh itu kamu suruhlah Abu Bakar mengimamkan
solat subuh berjemaah dengan mereka yang hadir.” Setelah mendengar kata-kata Rasulullah
s.a.w. maka Bilal r.a.pun berjalan menuju ke masjid sambil meletakkan tangan di
atas kepala dengan berkata:
“Aduh musibah.
Aduhai, alangkah baiknya bila aku tidak dilahirkan ibuku?”
Setelah Bilal
r.a. sampai di masjid maka Bilal r.a.pun memberitahu Abu Bakar r.a. tentang apa
yang telah Rasulullah s.a.w. pesankan kepadanya. Ketika Abu Bakar r.a. melihat
ke tempat Rasulullah s.a.w. yang kosong, sebagai seorang lelaki yang lemah
lembut, ia tidak dapat menahan perasaannya lagi, lalu ia menjerit dan akhirnya
ia pengsan. Melihatkan peristiwa ini maka riuh rendah tangisan sahabat r.a.
dalam masjid, sehingga Rasulullah s.a.w. bertanya kepada Fatimah r.a.;
“Wahai Fatimah
apakah yang telah berlaku?.” Siti Fatimah r.a. menjawab:
“Orang-orang
menjadi bising dan bingung kerana Rasulullah tidak ada bersama mereka.”
Kemudian Rasulullah s.a.w. memanggil Ali r.a. dan Fadhl bin Abas r.a., lalu
Rasulullah s.a.w. bersandar kepada kedua mereka dan terus pergi ke masjid.
Setelah Rasulullah s.a.w. sampai di masjid maka Rasulullah s.a.w.pun bersolat
subuh bersama dengan para jemaah.
Pagi itu,
walaupun langit telah mulai menguning, burung-burung gurun enggan mengepakkan
sayap. Setelah selesai solat subuh maka Rasulullah s.a.w. melihat kepada orang
ramai dan berkhutbah:
“Wahai kaum
muslimin, kamu semua sentiasa dalam pertolongan dan pemeliharaan Allah S.W.T.,
oleh itu hendaklah kamu semua bertakwa kepada Allah S.W.T. dan mengerjakan
segala perintahnya. Sesungguhnya aku akan meninggalkan dunia ini dan kamu
semua, dan hari ini adalah hari pertama aku di akhirat dan hari terakhir aku di
dunia.” Dengan suara terbatas Rasulullah s.a.w. bersabda,
“Ku wariskan
dua perkara pada kalian, Al Quran dan sunnahku. Barangsiapa mencintai sunnahku,
bererti mencintai aku dan kelak orang-orang yang mencintaiku, akan masuk syurga
bersama-sama aku.” Pesanan ringkas itu diakhiri dengan pandangan mata
Rasulullah s.a.w. yang tenang dan penuh minat menatap sahabatnya satu persatu.
Abu Bakar r.a. menatap mata itu dengan berkaca-kaca, Umar r.a. dadanya naik
turun menahan nafas dan tangisnya. Usman r.a. menghela nafas panjang dan Ali
r.a. menundukkan kepalanya dalam-dalam. Isyarat itu telah datang, saatnya sudah
tiba. “Rasulullah s.a.w. akan meninggalkan kita semua.” Keluh hati semua
sahabat r.a. kala itu. Manusia tercinta itu, hampir selesai menunaikan tugasnya
di dunia. Tanda-tanda itu semakin kuat. Tatkala Ali r.a. dan Fadhal r.a. dengan
cergas menangkap Rasulullah s.a.w. yang berkeadaan lemah dan goyah ketika turun
dari mimbar, kalau mampu, seluruh sahabat r.a. yang hadir pasti akan menahan
detik-detik dari terus berlalu.
Setelah itu
Rasulullah s.a.w. pun pulang ke rumah baginda. Matahari kian tinggi, tapi pintu
rumah Rasulullah s.a.w. masih tertutup. Sedang di dalamnya, Rasulullah s.a.w.
sedang terbaring lemah dengan keningnya yang berkeringat dan membasahi pelepah
kurma yang menjadi alas tidurnya.
Kemudian Allah
S.W.T. mewahyukan kepada malaikat lzrail, “Wahai lzrail, pergilah kamu kepada
kekasihku dengan sebaik-baik rupa, dan apabila kamu hendak mencabut ruhnya maka
hendaklah kamu melakukan dengan cara yang paling lembut sekali. Apabila kamu
pergi ke rumahnya maka minta izinlah terlebih dahulu, kalau ia izinkan kamu
masuk, maka masuklah kamu ke rumahnya dan kalau ia tidak mengizinkan kamu masuk
maka hendaklah kamu kembali padaKu.”
Setelah
malaikat lzrail mendapat perintah dari Allah S.W.T. maka malaikal lzrailpun
turun dengan menyerupai seorang Arab Badwi. Setelah malaikat lzrail sampai di
depan rumah Rasulullah s.a.w. maka iapun memberi salam,
“Assalamualaikum
wahai ahli rumah kenabian, sumber wahyu dan risalah!” Fatimah r.a. tidak
mengizinkannya masuk,
“Wahai Abdullah
(Hamba Allah), maaflah, ayahku sedang sakit,” kata Fatimah r.a. yang
membalikkan badan dan menutup pintu. Kemudian Fatimah r.a. kembali menemani
ayahnya yang ternyata sudah membuka mata. Kemudian malaikat lzrail berkata lagi
seperti dipermulaannya, dan kali ini seruan malaikat itu telah didengari oleh
Rasulullah s.a.w. Baginda s.a.w. bertanya pada Fatimah r.a.,
“Siapakah itu
wahai anakku?”
Fatimah r.a.
menjawab: “Seorang lelaki memanggil ayahanda, saya katakan kepadanya yang
ayahanda dalam keadaan sakit. Ia memanggil dengan suara yang menggetarkan
sukma.” Rasulullah s.a.w. lantas berkata;
“Wahai Fatimah,
tahukah kamu siapakah orang itu?.” Jawab Fatimah r.a.,
“Tidak
ayahanda.”
“Dia adalah
malaikat lzrail, malaikat yang akan memutuskan segala macam nafsu syahwat, yang
memisahkan perkumpulan-perkumpulan dan yang memusnahkan semua rumah serta
meramaikan kubur.” Fatimah r.a. tidak dapat menahan air matanya lagi. Setelah
mengetahui bahawa saat perpisahan dengan ayahandanya akan bermula, dia menangis
sepuas-puasnya. Apabila Rasulullah s.a.w. mendengar tangisan Fatimah r.a. maka
Baginda SAWpun berkata:
“Janganlah kamu
menangis wahai Fatimah, engkaulah orang yang pertama dalam keluargaku akan
bertemu dengan daku.”
Kemudian
Rasulullah s.a.w.pun mengizinkan malaikat lzrail masuk. Maka malaikat lzrail
pun masuk dengan mengucap,
“Assalamuaalaikum
ya Rasulullah.” Rasulullah s.a.w. menjawab:
“Wa alaikas
saalamu, wahai lzrail engkau datang menziarahi aku atau untuk mencabut ruhku?”
Maka berkata malaikat lzrail:
“Kedatangan aku
adalah untuk menziarahimu dan untuk mencabut ruhmu, itupun kalau dikau izinkan,
kalau dikau tidak izinkan maka aku akan kembali.” Rasulullah s.a.w. bertanya:
“Wahai Malaikulmaut,
di mana engkau tinggalkan kecintaanku Jibril?
“Aku tinggalkan
ia di langit dunia?” Jawab malaikat Izrail. Baru sahaja malaikat Izrail selesai
bicara, tiba-tiba malaikat Jibril datang dan duduk di samping Rasulullah s.a.w.
Maka bersabdalah Rasulullah s.a.w.:
“Wahai Jibril,
tidakkah engkau mengetahui bahawa ajalku telah dekat?” Jibril menjawab: “Ya,
wahai kekasih Allah.”
Rasulullah
s.a.w. bertanya lagi:
“Wahai Jibril,
beritahu kepadaku kemuliaan yang menggembirakan aku di sisi Allah S.W.T.” Berkata
malaikat Jibril,
“Sesungguhnya
semua pintu langit telah di buka, para malaikat bersusun rapi menanti ruhmu di
langit. Kesemua pintu-pintu syurga telah dibuka, dan kesemua bidadari sudah
berhias menanti kehadiran ruhmu.” Berkata Rasulullah s.a.w.:
“Alhamdulillah,
sekarang kamu katakan pula tentang umatku di hari kiamat nanti.”
Berkata Jibril:
“Allah S.W.T. telah berfirman yang bermaksud, Sesungguhnya Aku telah melarang
semua para nabi masuk ke dalam syurga sebelum dikau masuk terlebih dahulu, dan
Aku juga melarang semua umat memasuki syurga sebelum umatmu memasuki syurga.”
Berkata Rasulullah s.a.w.:
“Sekarang aku
telah puas hati dan telah hilang rasa susahku.”
Kemudian
Rasulullah s.a.w. berkata:
“Wahai lzrail,
mendekatlah kamu kepadaku.” Setelah itu malaikat lzrailpun memulai tugasnya.
Perlahan roh Rasulullah s.a.w. ditarik. Nampak seluruh tubuh Rasulullah s.a.w.
bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang. Apabila roh baginda s.a.w. sampai
ke pusat, dengan perlahan Rasulullah s.a.w. mengaduh
“Jibril, betapa
sakit sakaratul maut ini.” Fatimah r.a. terpejam, Ali r.a. yang di sampingnya
menunduk semakin mendalam dan Jibril mengalihkan pandangannya dari Rasulullah
s.a.w. Melihatkan telatah Jibril itu maka Rasulullah s.a.w.pun berkata: “Wahai
Jibril, apakah kamu tidak suka melihat wajahku?” Jibril berkata:
“Wahai kekasih
Allah, siapakah orang yang sanggup melihat wajahmu dikala kamu dalam sakaratul
maut?”
Sebentar
kemudian terdengar Rasulullah s.a.w. merintih kerana sakit yang tidak
tertahankan lagi.
“Ya Allah,
dahsyat sungguh maut ini, timpakan saja semua siksa maut ini kepadaku, jangan
pada umatku.” Badan Rasulullah s.a.w. mulai dingin, kaki dan dadanya sudah
tidak bergerak lagi. Bibirnya bergetar seakan hendak membisikkan sesuatu, Ali
r.a. segera mendekatkan telinganya.
“Uushiikum bis
shalati, wa maa malakat aimanuku, peliharalah solat dan peliharalah orang-orang
lemah di antaramu.” Di luar pintu tangis mulai terdengar bersahutan, sahabat
r.a. saling berpelukan. Fatimah r.a. menutupkan tangan di wajahnya, dan Ali
r.a. kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah s.a.w. yang mulai
kebiruan. Ali r.a. berkata:
“Sesungguhnya
Rasulullah ketika menjelang saat-saat terakhir, telah mengerakkan kedua bibir
beliau sebanyak dua kali, dan aku meletakkan telinga, aku dengan Rasulullah
berkata:
“Umatku,
umatku.” Akhirnya roh yang mulia itupun meninggalkan jasad Rasulullah s.a.w.
Rasulullah s.a.w. wafat pada hari Isnin 13 Rabiul Awal.
Berkata Anas
r.a.:
“Ketika aku
lalu di depan pintu Aishah, ku dengar dia sedang menangis sambil mengatakan:
“Wahai orang
yang tidak pernah memakai sutera. Wahai orang yang keluar dari dunia dari perut
yang tidak pernah kenyang dari gandum. Wahai orang yang telah memilih tikar
daripada singgahsana. Wahai orang yang jarang tidur di waktu malam kerana takut
Neraka Sa’iir”
Telah bersabda
Rasulullah s.a.w. bahawa:
“Malaikat
Jibril telah berkata kepadaku; “Wahai Muhammad, sesungguhnya Allah S.W.T. telah
menciptakan sebuah laut di belakang gunung Qaf, dan di laut itu terdapat ikan
yang selalu membaca selawat untukmu, kalau sesiapa yang mengambil seekor ikan
dari laut tersebut maka akan lumpuhlah kedua belah tangannya dan ikan tersebut
akan menjadi batu.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan