Puasa sebenarnya satu latihan (tarbiyah)
dalam hidup muslim. Ia seperti sebuah institusi (madrasah) latihan yang
bertujuan membentuk disiplin para peserta. Bukan sekadar untuk diamalkan ketika
berkursus sahaja, tetapi untuk dibawa ke dalam kehidupan sebenar selepas
kursus. Demikian juga haji dan umrah. Seseorang yang sedang berada dalam
ibadah-ibadah ini disuruh mematuhi pantang larang (taboo) tertentu. Maka
seseorang yang berpuasa, ataupun berada dalam ihram haji dan umrah tidak boleh
bertengkar dalam perkara yang sia-sia, tidak boleh mencerca, tidak boleh
mengucapkan perkataan yang buruk dan lain-lain.
Mendisiplin Diri
Walaupun perkara-perkara itu sememang tidak sepatut dilakukan dalam semua keadaan, namun oleh kerana ramai manusia yang gagal mematuhi arahan Allah tersebut, maka setiap tahun dalam bulan Ramadan muslim dimasukkan ke dalam pusat latihan (tarbiyah) Ramadan untuk mereka kembali menghayati disiplin tersebut. Ia satu program latihan ilahi (tarbiyah rabbaniyyah/divine training). Demikian juga bagi mereka yang menunaikan haji dan umrah. Namun, tempoh Ramadan lebih panjang dari haji dan umrah. Satu latihan Ilahi selama sebulan bagi membolehkan muslim berdisplin dalam menjalani kehidupan sebelas bulan yang lain. Muslim diajar dalam tempoh latihan ini untuk menjaga tindakannya demi memelihara pahala ibadahnya. Jika dia gagal, dia akan kehilangan pahala dan kehalusan jiwa mendekati Allah.
Sabda Nabi s.a.w bersabda:
“Setiap amalan anak Adam baginya kecuali puasa, maka sesungguhnya ia bagi‐Ku dan Aku yang membalasnya dan puasa merupakan perisai, apabila seseorang kamu berpuasa maka janganlah ia bercakap yang cela, bertempik dan sekalipun dimaki oleh seseorang atau diperanginya maka hendaklah berkata: Sesungguhnya aku berpuasa, demi yang jiwa Muhammad ditangannya maka bau mulut orang yang berpuasa terlebih harum di sisi Allah dari bau kasturi. Bagi orang yang berpuasa mempunyai dua kegembiraan. Apabila berbuka dia merasa gembira dengan berbukanya dan apabila bertemu Allah dia merasa gembira dengan puasanya.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Kehilangan Pahala
Kehilangan pahala adalah sesuatu yang amat merugikan. Jika kita faham betapa berertinya pahala bagi seorang insan yang akan bertemu Tuhan, kita akan dapat menilai besarnya erti pahala. Pahala membawa ke syurga, sementara dosa membawa ke neraka. Jika puasa itu diandaikan sebagai satu pekerjaan dan pahala sebagai gajinya, maka perlanggaran pantang larang itu sebagai pengurangan atau pemotongan gaji. Namun pahala lebih bererti dari gaji dalam kehidupan duniawi ini. Ramai orang yang beramal dalam dunia ini pulang kepada Allah pada Hari Kiamat kelak dalam keadaan muflis kerana kehabisan pahala amalan disebabkan dosa-dosanya kepada orang lain.
Nabi s.a.w bersabda:
“Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?” Jawab mereka: “Orang yang muflis dalam kalangan kami ialah sesiapa yang tiada dirham dan tiada harta.” Sabda baginda: “Orang yang muflis dalam umatku ialah sesiapa yang datang pada Hari Kiamat nanti bersama solat, puasa, zakat, juga dia pernah memaki seseorang, menuduh seseorang, memakan harta seseorang, menumpah darah seseorang dan memukul seseorang. Lalu diberikan kepada orang ini dan itu pahalanya. Jika pahala-pahalanya habis sebelum sempat dilangsaikan kesalahannya, maka diambil dosa-dosa mereka dicampakkan ke atasnya lantas dicampakkan dia ke dalam neraka.”
(Riwayat Muslim).
Pelihara Lidah
Lidah adalah punca terbesar kita kehilangan pahala. Puasa jika dapat mendidik lidah kita dari mencerca, dusta, menuduh dan memaki hamun orang lain, maka itu satu kejayaan yang besar. Manusia yang beradab tidak mengeluarkan kata-kata kesat dari mulutnya. Dia mungkin tegas, pedas dan tajam penghujahannya, tetapi tidak dusta, kesat dan buruk perkataan. Muslim yang baik tidak menzalimi orang dengan lidah dan anggotanya, samada pada bulan Ramadan, ataupun selain Ramadan. Lebih buruk lagi jika ada yang memakai ‘jenama ustaz’ memaki orang dalam ceramahnya. Apatah lagi dalam masjid ataupun di bulan Ramadan. Sangat hina dan jelek sekali. Dalam riwayat al-Tabarani dari al-Mu’jam al-Kabir bahawa Nabi s.a.w pernah hadir dalam suatu majlis orang Ansar. Padanya ada seorang lelaki yang terkenal dengan suka memaki hamun. Nabi s.a.w pun bersabda:
Pelihara Lidah
Lidah adalah punca terbesar kita kehilangan pahala. Puasa jika dapat mendidik lidah kita dari mencerca, dusta, menuduh dan memaki hamun orang lain, maka itu satu kejayaan yang besar. Manusia yang beradab tidak mengeluarkan kata-kata kesat dari mulutnya. Dia mungkin tegas, pedas dan tajam penghujahannya, tetapi tidak dusta, kesat dan buruk perkataan. Muslim yang baik tidak menzalimi orang dengan lidah dan anggotanya, samada pada bulan Ramadan, ataupun selain Ramadan. Lebih buruk lagi jika ada yang memakai ‘jenama ustaz’ memaki orang dalam ceramahnya. Apatah lagi dalam masjid ataupun di bulan Ramadan. Sangat hina dan jelek sekali. Dalam riwayat al-Tabarani dari al-Mu’jam al-Kabir bahawa Nabi s.a.w pernah hadir dalam suatu majlis orang Ansar. Padanya ada seorang lelaki yang terkenal dengan suka memaki hamun. Nabi s.a.w pun bersabda:
“Memaki orang muslim itu perbuatan fasik dan memeranginya perbuatan kufur.”
Ramadan mendidik kita menjaga perkataan. Ini termasuklah antara pasangan suami isteri. Ada orang yang memelihara lidahnya dari memaki orang lain, tetapi tidak kepada isterinya. Padahal kepada isteri lebih patut dijaga perkataan kerana dia seorang muslimah dan ada perintah-perintah khusus dalam al-Quran dan as-Sunnah untuk menjaga hubungan dengannya. Maka peliharalah pahala kita dalam Ramadan dan luar Ramadan!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan