by: Hilal
Asyraf
http://www.langitilahi.com/
Ramadhan semakin menghampiri.
Apakah ada antara kita yang mendengar
‘loceng-loceng’ yang menyatakannya?
Ramadhan semakin menghampiri, semakin
mendekat, tetapi apakah persediaan kita? Ramai antara kita tidak peduli.
Seakan-akan Ramadhan itu bukan sesuatu yang penting buat kita. Mengapa?
Kerana kita telah di’doktrin’ oleh
suasana yang silap dalam melayani Ramadhan Yang Mulia.
Ramadhan Sebagai Bulan Susah Payah.
Didoktrin di dalam kehidupan kita,
bahawa Ramadhan adalah bulan bersusah payah. Bulan kepenatan dan keletihan.
Bulan di mana manusia perlu berlapar dan dahaga seakan tidak wujudnya makanan.
Bulan yang dilihat sebagai tidak produktif, bulan yang melemahkan dan tidak
punya apa-apa keistimewaan dari segi material.
Kita melalui Ramadhan, hanya dengan satu
pancaran harapan – Lepas Ramadhan, akan datang Syawal.
Ya. Dengan itulah kita melalui Ramadhan.
Menunggu untuk ‘dibebaskan’ dari segala keletihan dan kepenatan.
Jika perasan, kita didoktrin sedemikian.
Kerana itu, kehadiran Ramadhan bukan
satu keistimewaan buat kebanyakan kita. Bukan sesuatu yang dinanti-nantikan
buat kita. Tetapi adalah satu bebanan. Satu kesukaran. Satu kepayahan buat kita.
Sedangkan Itulah Bulan Yang Dirayakan.
Ramai yang tidak tahu, bahawa apa yang
kita namakan sebagai ‘AidulFitri’ itu hakikatnya dirayakan sehari sahaja, yakni
pada 1hb Syawal. Dan tidaklah pula ianya dirayakan pada 2hb Syawal, 3hb Syawal
dan sehingga 30hb Syawal. Tidak. Hakikatnya, hari raya itu sehari sahaja. 2hb
Syawal dan seterusnya, kita telah disunatkan untuk berpuasa 6 hari di bulan
Syawal.
Syawal hakikatnya bukan hari raya utama
ummat Islam. Yang utamanya adalah ‘AidulAdha’, kerana ia dirayakan selama empat
hari. 10hb, 11hb, 12hb, dan 13hb Zulhijjah. Haram berpuasa pada keempat-empat
hari tersebut.
Ya. Sehari sahaja ‘AidulFitri’
hakikatnya. Namun masyarakat kita sakan merayakannya hingga ke hari 30hb
Syawal. Bagai nak runtuh dunia kita rayakannya. Sedangkan, apakah itu
‘AidilFitri’? Maksudnya adalah Perayaan Fitrah. Mengapa dinamakan sedemikian?
Kerana ia adalah untuk merayakan mereka
yang berjaya melalui tarbiyah, memproses diri di dalam Ramadhan Al-Mubarak.
Yang membersihkan diri dan mensucikan diri mereka di dalam bulan itu. Yang
mempertingkatkan diri serta menaikkan lagi kualiti hati mereka di dalam bulan
itu.
Bukan kepada mereka yang pada 15hb
Ramadhan, sudah sibuk hendak menyambut Syawal!
Yang diraikan hakikatnya adalah
Ramadhan. AidulFitri meraikan itu. Kita hakikatnya bukan meraikan AidilFitri.
Kerana AidilFitri itu hakikatnya tidak punya apa-apa, melainkan sekiranya kita
melalui Ramadhan dengan jayanya!
Mentaliti Yang Perlu Diubah.
Maka Ramadhan itu perlu kita tekankan
pada diri dan keluarga, bahawa ianya adalah Bulan Rahmat, Bulan Keampunan,
Bulan Peningkatan diri. Bulan di dalamnya wujud pelbagai fadhilat dan
kelebihan. Bulan yang Allah SWT sediakan agar ummat Islam kembali mengecas
keimanan masing-masing, memperkuatkan diri masing-masing.
Bulan yang hakikatnya merupakan
‘perayaan jiwa-jiwa’ kerana ianya memberikan makanan kepada mereka. Bulan untuk
memperbanyakkan kebaikan, agar jiwa yang jauh menjadi kembali rapat kepada
Tuhan.
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:
“Semua amalan anak Adam digandakan
kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya hingga tujuh ratus kali ganda,
Allah Azza Wajalla berkata: Melainkan puasa, kerana ia untuk-Ku dan Aku sendiri
yang membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanannya kerana-Ku. Bagi
orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan; kegembiraan semasa berbuka
dan kegembiraan semasa menemui Tuhannya, dan bau busuk (dari mulut orang yang
berpuasa) kerana berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau Musk.”
(Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)
“Sesungguhnya dalam syurga terdapat
sebuah pintu yang dikenali dengan nama Rayyan, di mana memasuki daripadanya
orang orang yang berpuasa pada hari kiamat dan yang lain tidak berhak.
Dikatakan mana orang yang berpuasa? Lantas mereka bangun dan masuk melaluinya.
Apabila selesai ditutup dan tiada yang lain berhak memasukinya.”
(Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)
“Apabila datangnya Ramadhan, maka dibuka
pintu-pintu syurga, dan ditutup pintu-pintu neraka, dan diikat syaitan-syaitan.”
(Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)
“Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan,
dengan penuh keimanan dan berkira-kira(menghitung nak memperbanyakkan
amalannya), maka akan diampunkan untuknya dosa-dosanya yang pernah dilakukan.”
(Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)
Ya. Ramadhan inilah hakikatnya yang
patut kita nampak sebagai ‘habuan’, ‘hadiah’, ‘anugerah’. Allah SWT
memberikannya kepada kita. Dalam setahun, Allah SWT berikan kita sebulan untuk
mempertingkatkan diri kita, memperkuatkan diri kita, dalam suasana yang
kondusif, bersama ‘tambahan-tambahan’ yang mengiurkan.
Penutup: Maka Apakah Jiwa-jiwa Masih
Tidak Mahu Memperdulikan?
Maka apakah jiwa-jiwa yang da’if lagi
lemah, banyak kekurangan dan dosa ini, masih tidak mahu memperdulikan panggilan
Tuhannya?
Apakah hamba yang hina ini, mahu
melemparkan hadiah pemberian Tuhannya?
Sesungguhnya inilah dia hamba-hamba yang
celaka.
Marilah kita muhasabah semula.
Jangan jadi hamba yang sombong dengan
Dia.
Ramadhan menghampiri, dan kita masih
tidak peduli.
Jangan.
Mari peduli. Persiapkan diri. Jadikan
Ramadhan kali ini yang paling bermakna sekali!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan