Kebersihan adalah sesuatu
yang dituntut oleh Islam sepanjang masa. Ini khususnya apabila kita beribadah
kepada Allah swt. Juga apabila kita bertemu manusia lain. Islam
memerintahkan kita menjaga hubungan baik dengan Allah swt, demikian juga kita
menjaga hubungan baik sesama manusia. Kebersihan, wangian dan penampilan yang
baik sesuatu yang menunjukkan penghormatan dan penghargaan kita kepada pihak
yang ingin kita bertemu dengannya. Ini adalah tabiat manusia. Justeru itu,
semasa soat kita diwajibkan menjaga kebersihan dan menutup aurat, juga
disunatkan berwangian. Demikian ketika berjumpa dengan manusia. Pakaian yang
sesuai dan memakai wangian adalah sunnah dalam bermasyarakat. Mereka yang
mempunyai bau busuk dilarang datang ke tempat perhimpunan awam khususnya solat
berjemaah. Sebab itu tidak dibenarkan sesiapa yang memakan bawang putih ataupun
makanan yang lain yang mengeluarkan bau busuk dari pemakannya menghadiri solat
berjemaah. Ini kerana Islam ingin mengelakkan kita menyakitkan orang lain dan
menimbulkan kebencian sesama manusia.
Galakan Gosok Gigi
Islam menggalakkan bersugi
(gosok gigi) kerana ia mengelakkan bau busuk mulut seseorang. Bahkan, kalaulah
tidak menjadi beban kepada umat ini sudah pasti kita diwajibkan bersugi lima
kali sehari. Ini seperti sabda Nabi s.a.w:
“Jika tidak kerana
bimbangkan membebankan umatku nescaya akan aku perintahkan mereka bersugi
setiap kali waktu solat”
(Riwayat al-Bukhari dan
Muslim).
Apabila kita berpuasa, bau mulut kita menjadi kuat. Ini sesuatu yang sukar dielakkan. Allah swt tahu hakikat tersebut. Allah Maha Tahu bahawa bau tersebut terhasil kerana kita tidak makan dan minum sepanjang hari keranaNYA. Justeru itu, Nabi s.a.w bersabda:
“Bau busuk mulut orang yang
berpuasa itu lebih harum di sisi Allah daripada haruman kasturi”
(Riwayat al-Bukhari dan
Muslim).
Namun ini tidaklah bererti orang yang berpuasa itu disuruh untuk membiarkan orang lain mencium bau busuk mulutnya. Itu akan menyakiti orang lain. Apatah lagi di zaman kini yang mana kita bekerja di tempat awam, ataupun membabit ramai orang di sekeliling. Tambahan lagi, jika terdapat mereka yang bukan muslim, tentu akan menimbulkan rasa yang tidak selesa terhadap muslim yang berpuasa pada bulan Ramadan ataupun boleh menghilang gambaran keindahan Islam.
Maka pendapat yang menyuruh kita membiarkan bau busuk mulut semasa berpuasa tidak begitu kukuh dari segi sifat semulajadi ataupun neutraliti agama ini. Dengan menghormati perbezaan pendapat, namun realiti kehidupan yang mesra menolak pandangan tersebut. Ini ditambah dengan hadis-hadis yang seakan menggalakkan untuk seseorang yang berpuasa mengekalkan bau mulutnya itu adalah lemah dari segi riwayat. Tidak kukuh untuk disandarkan kepada Nabi s.a.w. seperti yang dinyatakan oleh al-Imam Al-Mubarakfuri dalam Tuhfat al-Ahwazi. Maka tidak boleh menjadi hujah. Apatah lagi bertentang dengan sifat Islam itu sendiri. Hadis-hadis yang menggalakkan kebersihan dan juga bersugi adalah umum merangkumi setiap waktu termasuk bulan Ramadan.
Bukan Hujah
Antara hadis yang tersangat
daif yang digunakan dalam bab ini ialah dikatakan Nabi s.a.w bersabda:
“Jika kamu berpuasa maka
bersugilah pada waktu pagi dan jangan bersugi pada waktu petang”.
Ia diriwayatkan oleh
al-Bazzar, at-Tabarani dan lain-lain.
Namun ia terlalu daif yang
tidak boleh dijadikan hujah. Di samping di sana ada hadis daif lain namun lebih
kuat ataupun kurang daif daripadanya iaitu diriwayatkan ‘Amir bin Rabi’ah
berkata:
“Aku melihat Rasulullah
bersugi sedangkan beliau berpuasa”
(Riwayat Ahmad, at-Tirmizi,
Abu Daud dll).
Apapun galakan bersugi bagi setiap waktu solat yang diriwayatkan dalam hadis yang sahih adalah asas dalam amalan muslim. Ertinya, bersugi sentiasa digalakkan tanpa mengira sama ada puasa ataupun tidak. Nabi s.a.w dalam hadis sahih yang lain menyatakan tujuan bersugi dengan menyebut:
“Bersugi itu membersihkan
mulut dan menjadikan Tuhan redha”
(Riwayat Ahmad, an-Nasai,
Ibn Hibban dll).
Justeru itu, jadikanlah puasa itu menzahirkan keindahan pekerti dalam perkataan dan perbuatan yang mengeratkan hubungan baik sesama masyarakat. Oleh itu jangan jadikan bau mulut kita menimbulkan keresahan orang lain terhadap mereka yang berpuasa. Berpuasa dan bersugilah!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan