Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Khamis, 26 Julai 2012

C 106 Menghayati sunnah bersahur

Puasa bukan satu penyeksaan. Islam mahu muslim berpuasa, tapi dalam masa yang sama Islam tidak mahu menjadikan bukan Ramadan bulan yang mengujudkan suasana longlai dan lemah umat Islam. Sebaliknya, ia bulan keinsafan yang cuba menjadikan muslim merasai kesusahan mereka yang tiada mempunyai makanan dan betapa besarnya erti mendapat makanan. Di samping puasa merupakan ibadah yang dalamnya ada amalan-amalan yang mana muslim di suruh mencontohi Nabi mereka s.a.w. 

Antara sunnah utama puasa ialah bersahur. Makan di penghujung malam, sebelum menjelang waktu subuh bukan satu kebiasaan kebanyakan manusia. Namun, atas titah perintah agama muslim melakukannya menunaikan sunnah Nabi s.a.w dan padanya ada hikmah yang pelbagai untuk seseorang yang berpuasa. Ini termasuk memberikan kekuatan untuknya pada siang hari, juga melatihnya bangun di waktu sebelum fajar untuk beribadah kepada Allah. Ini disebut dalam al-Quran: (maksudnya)

“Pada waktu sahur mereka memohon keampunan.”
(Surah Ali ‘Imran: 17).  

Dalam hadis pula Nabi s.a.w menyebut: “Tuhan kita Yang Maha Berkat dan Agung turun setiap malam ke langit dunia, ketika hanya tinggal sepertiga malam yang akhir. Lalu berfirman: “Sesiapa yang berdoa kepadaKu, akan Aku perkenankan untuknya. Sesiapa yang meminta kepadaKu, akan aku berikanNya. Sesiapa yang memohon keampunan kepadaKu, akan Aku ampunkannya.” 
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Maka bersahur itu membawa kita bangun pada waktu doa dimustajabkan dan keampunan diberikan. Moga ia menjadi kebiasaan yang berterusan dalam hidup. Maka tidak hairan jika Nabi s.a.w berpesan: 

“Bersahurlah, sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan.” 
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim). 

Keberkatan sesuatu yang sangat penting dalam hidup. Kehidupan ini jika hanya bergantung kepada nilai-nilai kebendaan semata akan menemui pelbagai kusut masainya. Keberkatan membawa cahaya kehidupan untuk insan mendapat limpah kurniaan Tuhan melebihi kadar kebendaan ataupun kehidupan materialistik yang dirasainya. Sahur antara punca lahirnya keberkatan. Bagaimana? Allah Maha Pemberi dengan cara yang dikehendakiNYA di luar dari andaian kebanyakan kita.


Bila Sahur?


Ada orang yang bersahur terlalu awal sedang waktu subuh masih beberapa jam lagi. Ini tidak menepati amalan Nabi s.a.w. Baginda Nabi s.a.w melewatkan bersahur sehingga tinggal baki beberapa minit sebelum masuk waktu subuh. Kata Zaid bin Thabit: “Kami bersahur bersama Rasulullah, kemudian terus pergi untuk bersolat (Subuh)”. Anas bin Malik bertanya beliau:

“Berapa lama antara sahur azan dan sahur tersebut?” Jawab Zaid: “Kadar 50 ayat (al-Quran).”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).


Waktu sahur pula berterusan sehingga masuk waktu Subuh. Selagi tidak masuk waktu Subuh seseorang masih boleh bersahur. Masuknya Subuh adalah waktu imsak (bermula puasa) yang sebenar, bukan beberapa minit sebelum itu. Ini dijelaskan oleh Nabi s.a.w dalam hadis baginda. Kata isteri baginda ‘Aishah r.aha: “Sesungguh Bilal azan pada waktu malam (azan pertama Subuh, sebelum masuk waktu). Maka Rasulullah s.a.w pun bersabda:

“Makan dan minumlah sehingga Ibn Ummi Maktum azan, kerana beliau tidak akan azan melainkan setelah masuk waktu fajar (subuh).”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dalam hadis Muslim pula, baginda bersabda: 

“Jangan kamu tersilap disebabkan azan Bilal, ataupun warna putih sehinggalah kelihatan waktu fajar (sebenar).”


Hal ini selaras dengan kenyataan al-Quran: (maksudnya):

“Makan dan minumlah kamu sehingga ternyata benang putih dari benang hitam dari waktu fajar, kemudian sempurnakanlah puasa sehingga waktu malam.”
(Surah al-Baqarah: 187).



Dengan Apa Bersahur?

Tujuan sahur bukan menyibukkan diri dengan hidangan. Makanan sahur memadai sesuatu yang memberikan kekuatan kepada orang yang akan berpuasa esok harinya. Kesempatan sahur patut diambil untuk berdoa dan beristighfar setelah makan dan minum apa yang dapat memberi kekuatan pada esok harinya. Sebab itu dalam hadis disebutkan tamar sebagai pilihan sahur disebabkan kandungan tamar yang baik untuk tenaga orang yang berpuasa. Sabda Nabi s.a.w:

Sebaik-baik sahur orang mukmin ialah tamar.”
(Riwayat Abu Daud, Ibn Hibban dan al-Baihaqi, sanadnya sahih).

Jika tiada tamar, seseorang boleh sahaja bersahur dengan apa yang memberikan kekuatan untuk berpuasa pada hari tersebut. Mungkin juga ada orang yang tidak gemar tamar, ataupun tidak sesuai tamar untuk kesihatannya, maka agama itu luas untuk diamalkan. Apa yang tidak dapat diamalkan secara literal, boleh dihayati secara maksud ataupun kehendak (maqsad) syarak di sebalik sesuatu galakkan ataupun perintah.

Bagaimanakah memustajabkan doa Ramadan?

Doa! Semua insan inginkan agar doanya mustajab. Hidup tanpa doa adalah satu kemusnahan. Banyak perkara yang kita perlu mohon kepada Allah swt. Bukan sahaja nikmat atau cita-cita yang diidamkan pada masa hadapan, namun kita juga perlu memohon agar tidak dihilangkan nikmat dan cita yang telah dicapai. Insan sentiasa memerlukan Tuhan dalam hidupnya. Kehidupan ini jauh lebih besar dari kudrat seorang insan untuk dia mengawalnya. Betapa ramai para penguasa yang merasai diri mereka hebat, tetapi akhirnya tumbang dan tewas. Betapa canggih dan teguh kapal ‘Titanic’ yang bina, namun tenggelam selepas beberapa hari belayar. Siapakah yang menguasai alam?! Allah, Allah dan Allah. Awal dan akhir. Zahir dan batin.


Peranan Jiwa

Semakin dekat insan dengan Allah swt, semakin mustajab doanya. Kemustajaban doa sangat berkait dengan kekusyukan jiwa hamba yang berdoa. Semakin tertumpu perasaannya kepada kebesaran Allah swt, semakin pantas doanya dimustajabkan. Sebenarnya, bukannya susah untuk berdoa, tetapi yang susah ialah mencari jiwa yang khusyuk yang menyebabkan doa mustajab. Ramai orang tersalah sangka dalam hal ini. Mereka hanya tertumpu kepada waktu, ungkapan dan tempat berdoa tetapi melupai perkara asas iaitu kekhusyukan diri insan yang berdoa itu. Maka jangan hairan jika ada insan yang tidak dimustajabkan doanya sekalipun dia berada di Mekah, ataupun berada pada bulan Ramadan. Walaupun unsur tempat yang mustajab ataupun waktu mustajab telah dipenuhi, namun dia gagal memenuhi perkara yang asasi iaitu jiwa yang khusyuk yang benar-benar memohon dengan penuh erti seorang hamba. Tumpuan perasaan kepada Tuhan dengan penuh kerendahan diri dan harapan. Jika unsur itu dipenuhi, kemudian diikuti dengan tempat ataupun waktu yang mustajab maka doa menjadi amat mustajab.
   
Setelah kita memahami hal ini, maka kita cuba memahami bahawa Allah swt menjanjikan untuk memustajabkan doa mereka yang berpuasa. Ini kerana, puasa pada bulan Ramadan dapat membentuk jiwa yang khusyuk. Ramadan pula waktu yang Allah swt sayang disebabkan bulan pilihanNYA dan suasana hamba-hambaNYA taat kepadaNYA. Maka Allah setelah menyebut tentang kewajiban berpuasa pada bulan Ramadan, maka Allah ikuti dengan janjiNYA di mana DIA berfirman: (maksudnya):

"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka mendapat petunjuk."
(Surah al-Baqarah: 186).


Kesucian Nurani

Setiap manusia yang hidup pada waktu ini akan memasuki Ramadan. Muslim dan juga bukan muslim. Mereka yang berpuasa dan juga mereka yang bermaksiat. Apakah setiap orang dimustajabkan doa mereka pada bulan Ramadan? Sudah pasti bukan demikian fahaman yang betul. Doa dimustajabkan apabila insan itu berpuasa. Puasa itu mendatangkan pahala. Puasa itu juga mendidik rohani agar tunduk kepada kehendak Allah. Puasa menyuburkan keikhlasan dalam jiwa. Lantas puasa membentuk kekhusyukan yang luar biasa. Dengan itu doa orang yang berpuasa dimustajabkan. 
   
Sesiapa yang berpuasa dalam ertikata yang sebenar akan dapat merasai perbezaan jiwanya. Lebih mendalam dia menghayati puasanya pada hati, lidah dan tingkah, maka bertambahlah kekhusyukan jiwanya. Bertambah pula sayang Allah swt kepadanya. Apabila dia berbuka puasa, dia telah menyempurnakan arahan Allah swt. Sayang Allah swt melimpah kepadanya. Maka Nabi s.a.w bersabda: 

"Berdoa ketika berbuka." 
Ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w.:

“Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu, doa yang tidak ditolak ketika dia berbuka.”
 
(Riwayat Ibn Majah, al-Hakim dalam al-Mustadrak, al-Baihaqi dll. Sanadnya pada nilaian hasan dan ke atas. Ahmad Syakir dalam ‘Umdah al-Tafsir menilainya sahih). 
   
Al-Munawi menukilkan satu pendapat yang menyebut: “Dikhususkan untuk umat ini mengenai doa dalam firman Allah: (maksudnya) 

“Berdoalah kepadaKU nescaya AKU mustajabkan untuk kamu.” 
(Al-Ghafir: 60). 

Itu asalnya untuk para nabi. Kemudian diberikan kepada umat ini apa yang diberikan kepada para nabi a.s. Namun, urusan umat ini bercampur baur disebabkan nafsu menguasai jantung hati mereka maka iapun terhijablah. Maka, puasa itu mencegah nafsu. Apabila seseorang meninggalkan syahwatnya, maka bersihlah jantung hatinya serta bersinarlah cahaya maka dimustajabkan doa. Maka hadis ini dan yang seumpamanya hanya untuk sesiapa yang telah menunaikan hak puasa dengan sebenarnya. Dia memelihara lidah, jiwa dan perbuatannya.” 

(Al-Munawi, Faidh al-Qadir 2/634, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).
   
Justeru, Ramadan bulan diberkati. Puasa pula menjadikan kita bersih jiwa dan nurani. Gabungan keberkatan bulan dan kebersihan jiwa menjadikan doa kita mustajab. Jika sekadar bulan yang diberkati sedangkan jiwa kita tetap kotor, maka janji Allah ini mungkin tidak untuk kita.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan