Dalam menjalani kehidupan dunia sebagai
manusia pastinya telah, pernah, dan akan berhadapan dengan pelbagai bentuk
ujian, cabaran, masalah, kesulitan, atau kegagalan. Itulah hakikat manusia yang
hidupnya pasti berhadapan dengan pelbagai ujian dan cabaran.
Bahkan Allah s.w.t sendiri menjelaskan
hal ini melalui firmanNya dalam AlQuran:
أَفَحَسِبْتُمْ
أَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثًا وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لَا تُرْجَعُونَ
Maksudnya; “Maka apakah kamu mengira bahawa
sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main dan bahawa kamu tidak akan
dikembalikan kepada Kami?”
al-Mukminun:115.
Dan dalam ayat yang lain Allah s.w.t
menerangkan;
أَحَسِبَ
النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ وَلَقَدْ
فَتَنَّا الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا
وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ.
Maksudnya; “Apakah manusia itu
mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: “Kami Telah beriman”, sedang
mereka tidak diuji lagi? Dan Sesungguhnya kami Telah menguji orang-orang yang
sebelum mereka, Maka Sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan
Sesungguhnya dia mengetahui orang-orang yang dusta”.
Sabda Rasulullah sa.w;
Maksudnya; Sesungguhnya manusia yang
paling berat menerima ujian ialah para Nabi.
Daripada ayat dan hadis di atas, dapat
difahami hakikat kehidupan dunia ini adalah sebagai ujian, ia bertujuan untuk
menilai diri seseorang sama ada baik atau sebaliknya.
Apabila kita menyedari inilah hakikat
kehidupan, maka kita tidak seharusnya berputus asa atau kecewa apabila kita
menerima kegagalan atau tidak dapat mencapai apa yang kita inginkan walaupun
kita telah berusaha.
Pegangan akidah menetapkan bahawa Allah
s.w.t sahaja yang berkuasa untuk menentukan sesuatu perkara sedangkan manusia
hanya berusaha. Penetapan kejayaan bukan ditangan manusia, kerana sekiranya
kejayaan itu ditangan manusia sudah pasti tidak ada orang yang gagal di dunia.
Ujian yang dihadapi berbeza antara
seorang manusia dengan manusia yang lain. Ada yang diuji dengan kegagalan dalam
sesuatu perkara, ada yang diuji dengan penindasan dan masalah, ada yang diuji
dengan kebaikan, kekayaan, kemiskinan dan bahkan ada juga yang diuji dengan
kesalahan, dosa-dosa, dan sebagainya.
Allah s.w.t melarang kita dari berputus
asa. Allah swt menyatakan dengan jelas dalam Al-Quran bahawa sifat putus asa
bukanlah sifat seorang Muslim. Seorang Muslim adalah seorang yang tidak mengenal
erti putus asa dan sentiasa berusaha bersungguh-sungguh dalam apa jua perkara.
Allah swt telah menjelaskan hal ini dalam menceritakan kisah Nabi Yaakub dan
anak-anaknya:
يَا
بَنِيَّ اذْهَبُوا فَتَحَسَّسُوا مِنْ يُوسُفَ وَأَخِيهِ وَلَا تَيْأَسُوا مِنْ
رَوْحِ اللَّهِ إِنَّهُ لَا يَيْأَسُ مِنْ رَوْحِ اللَّهِ إِلَّا الْقَوْمُ
الْكَافِرُونَ
Maksudnya; “Wahai anak-anakku! Pergilah dan
intiplah khabar berita mengenai Yusof dan saudaranya, Dan janganlah kamu putus
asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari
Rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir”.
Yusuf:87.
Bahkan sehingga orang yang berdosa
sekalipun tidak dibenarkan berputus asa sama sekali kerana keampunan Allah
s.w.t itu sangat luas. Allah swt menjelaskan hal ini dalam sebuah ayat yang
sugguh indah maknanya:
قُلْ
يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَى أَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِنْ
رَحْمَةِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا إِنَّهُ هُوَ
الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai
hamba-hambaku yang telah melampaui batas terhadap diri sendiri (dengan
perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah berputus asa dari rahmat Allah, kerana
sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya dialah jua yang Maha
Pengampun; lagi Maha Mengasihani”.
Al-Zumar:39
Jika kita pernah gagal, ini tidak
bermakna kita akan gagal selama-lamanya. Persoalan yang penting bukanlah
bagaimana kita akan gagal tetapi persoalannya adalah bagaimana kita akan
mengendalikan dan berhadapan dengan kegagalan tersebut.
Bagi mengelakkan perasaan kecewa dan
putus asa atas kegagalan yang dialami:
· Sentiasa ingat bahawa setiap
ujian yang menimpa adalah untuk menuntut kita untuk menjadi yang lebih baik.
· Sesuatu yang penting dalam urusan
kita ialah usaha yang kita lakukan, bukan hasil usaha kerana hanya Allah SWT yang menentukan hasil usaha yang kita lakukan. Walaupun kita tidak berjaya kita
tetap mendapat ganjaran pahala dari Allah SWT.
· Sentiasa berdoa memohon
pertolongan Allah SWT dalam segenap hal dan bertawakal kepada Allah SWT.
· Bersabar dan sentiasa memikirkan
peluang dan apa yang boleh dilakukan untuk memperbaiki keadaan tersebut dan
bukannya dengan bereaksi dengan emosi dan hawa nafsu.
· Berfikiran positif, merasai
setiap kegagalan ada hikmahnya disebaliknya.
· Sekiranya doa yang kita mohon
masih belum dimakbulkan, sentiasa bersangka baik kepada Allah SWT dan
sentiasa terus berdoa dan menghampirkan diri kepada Allah SWT kerana Allah SWT lebih tahu apa yang lebih baik untuk hambanya.
Justeru, Jangan putus asa;
1. Kerana
Allah SWT sentiasa bersama dengan kita;
إِذْ
يَقُولُ لِصَاحِبِهِ لَا تَحْزَنْ إِنَّ اللَّهَ مَعَنَا فَأَنْزَلَ اللَّهُ
سَكِينَتَهُ عَلَيْهِ
Maksudnya; Tatkala Rasulullah berkata
kepada sahabatnya ( Abu Bakar ) Janganlah kamu bersedih kerana Allah bersama
kita, lalu Allah SWT memberikan ketenangan kepadanya.
2. Kerana
Allah SWT hampir dengan kita dan mendengar rintihan hambanya serta gembira
dengan hamba yang kembali kepadanya;
وَإِذَا
سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا
دَعَانِ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ
Maksudnya; Dan apabila hamba-hamba-Ku
bertanya kepadamu tentang aku, Maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat.
Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, Maka
hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman
kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.
3. Kerana Allah SWT sayang kepada
hamba-hambaya yang kembali kepadanya;
إِنَّ
اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ
Maksudnya; Sesungguhnya Allah sayang kepada
orang-orang yang bertaubat dan menyucikan dirinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan