Jenis-jenis Istiqamah.
Sebagaimana dibincangkan dalam siri
usrah rasa hati 30, perlunya istiqamah dalam melakukan ketaatan kerana
menunaikan ketaatan adalah satu kewajipan, oleh itu istiqamah dalam melakukan
ketaatan juga satu kewajipan.
Istiqamah dalam ketaatan meliputi tiga
bahagian utama iaitu;
1. Istiqamah hati
2. Istiqamah lisan.
3. Istiqamah amalan.
Istiqamah pada hati dan amalan merupakan
buah dan hasil dari istiqamah hati dalam ketaatan kepada Allah swt. Ketaatan
pada amalan tanpa ketaatan hati, amalan tiada nilai disisi Allah swt. Itulah
amalan orang munafik yang sentiasa berpura-pura dalam amalan mereka.
Hati adalah sumber kebaikan dan
keburukan seseorang. Bila hati penuh dengan ketaatan kepada Allah swt, maka
perilaku seseorang akan penuh dengan kebaikan. Sebaliknya, bila hati penuh
dengan syahwat dan hawa nafsu, maka yang akan muncul dalam perilaku adalah
keburukan dan kemaksiatan.
Keburukan dan kemaksiatan ini boleh
datang kerana hati seseorang dalam keadaan lalai dari zikir kepada Allah swt.
Ibnul Qayyim al-Jauziyah berkata,
“Apabila hati seseorang itu lalai dari
zikir kepada Allah, maka syaitan dengan serta merta akan masuk ke dalam hati
seseorang dan mempengaruhinya untuk berbuat keburukan. Masuknya syaitan ke
dalam hati yang lalai ini, lebih cepat daripada masuknya angin ke dalam sebuah
ruangan.”
Oleh kerana itu hati seorang mukmin
harus sentiasa dijaga dari pengaruh syaitan ini dengan sentiasa berada dalam
sikap taat kepada Allah SWT. Kekuatan inilah yang disebut dengan Istiqamah.
Imam al-Qurtubi berkata,
“Hati yang istiqamah adalah hati yang
sentiasa lurus dalam ketaatan kepada Allah, baik berupa keyakinan, perkataan,
maupun perbuatan, hati yang istiqamah adalah jalan menuju kejayaan di dunia dan
keselamatan dari azab akhirat. Hati yang istiqamah akan membuat seseorang dekat
dengan kebaikan, rezekinya akan diluaskan dan akan jauh dari hawa nafsu dan
syahwat. Dengan hati yang istiqamah, malaikat akan turun untuk memberikan
keteguhan dan keamanan serta ketenangan dari ketakutan terhadap azab kubur.
Hati yang istiqamah akan membuat amal diterima dan menghapus dosa.”
Ada banyak cara untuk memikili hati yang
istiqamah ini, antaranya;
Meletakkan cinta kepada Allah swt di
atas segala-galanya. Ini adalah persoalan yang tidak mudah dan memerlukan usaha
yang gigih kerana, dalam kehidupan sehari-hari kita sering mengalami
pertembungan antara kepentingan Allah swt dan kepentingan makhluk, Apabila
dalam kenyataannya kita lebih mendahulukan kepentingan makhluk, maka itu
pertanda bahawa kita belum meletakkan cinta Allah swt di atas segala-galanya.
Membesarkan perintah dan larangan Allah
swt. Membesarkan perintah dan larangan Allah harus dimulai dari membesarkan dan
mengagungkan pemilik perintah dan larangan tersebut, iaitu Allah swt.
Membesarkan perintah Allah swt di antaranya adalah dengan menjaga waktu solat,
melakukannya dengan khusyuk, memeriksa rukun dan kesempurnaannya serta
melakukannya secara berjamaah.
Sentiasa berzikir kepada Allah swt
kerana itulah perintah Allah swt dan Rasul-Nya sebagaimana yang disebutkan
dalam hadis qudsi Allah swt berfirman,
قَالَ
مَنْ ذَكَرَنِي فِي نَفْسِهِ ذَكَرْتُهُ فِي نَفْسِي وَمَنْ ذَكَرَنِي فِي مَلَإٍ
مِنْ النَّاسِ ذَكَرْتُهُ فِي مَلَإٍ أَكْثَرَ مِنْهُمْ وَأَطْيَبَ
Maksudnya;“Barangsiapa yang
mengingat-Ku di dalam dirinya, maka Aku akan mengingat-Nya dalam diri-Ku. Dan
barangsiapa yang mengingat-Ku dalam keramaian, maka Aku akan mengingat-Nya
dalam keramaian yang lebih baik darinya."
Mempelajari kisah orang-orang soleh
terdahulu supaya kita boleh mengambil pelajaran dari mereka. Bagaimana
kesabaran mereka ketika menghadapi ujian yang berat, kejujuran mereka dalam
bersikap, dan keteguhan mereka dalam mempertahankan keimanan. Sebagaimana
firman Allah swt,
لَقَدْ
كَانَ فِي قَصَصِهِمْ عِبْرَةٌ لِأُولِي الْأَلْبَابِ مَا كَانَ حَدِيثًا
يُفْتَرَى وَلَكِنْ تَصْدِيقَ الَّذِي بَيْنَ يَدَيْهِ وَتَفْصِيلَ كُلِّ شَيْءٍ
وَهُدًى وَرَحْمَةً لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ
Maksudnya; "Sesungguhnya pada
kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai
akal. al-Quran itu bukanlah cerita yang dibuat-buat, akan tetapi membenarkan
(kitab-kitab) yang sebelumnya dan menjelaskan segala sesuatu, dan sebagai
petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman."
(Yusuf: 111).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan