Bersyukur adalah antara sifat-sifat
mahmudah yang wajib ada pada setiap muslim mukmin dan muttaqin. Kerana sifat
syukur terangkum padanya erti pengakuan, pengiktirafan, tawadhuk dan merendah
diri. Hanya orang yang memperakui pihak lain, tawadhuk dan merendah diri sahaja
akan bersyukur dan berterima kasih.
Apa erti syukur? Syukur ialah berterima kasih,
menghargai, mengakui sesuatu pemberian dan menggunakan pada perkara yang
diredai oleh pemberi.
Kepada siapa seharusnya kita bersyukur
dan berterima kasih? Pastinya yang paling utama dan paling wajib ialah kita
bersyukur kepada Allah swt. Tuhan yang memberikan nikmat kepada kita tanpa
terhitung banyaknya.
Firman Allah swt;
وَإِنْ
تَعُدُّوا نِعْمَةَ اللَّهِ لَا تُحْصُوهَا إِنَّ اللَّهَ لَغَفُورٌ رَحِيمٌ
Maksudnya; "Dan jika kamu
menghitung-hitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak dapat menghitungnya
jumlahnya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
(An Nahl :18).
Sekiranya kita bersyukur sudah pasti
Allah akan menambahkan nikmat-Nya sebagaimana firman Allah swt;
وَإِذْ
تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ
إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ
Maksudnya; "Dan (ingatlah juga),
tatkala Tuhan kamu memberitahu kepada kamu, sekiranya kita bersyukur Aku akan
menambahkan (nikmat-Ku) kepada kamu tetapi sekiranya kamu mengingkari
(nikmat-Ku) maka sesungguhnya azab-Ku sungguh pedih.”
(Ibrahim:7).
Bersyukur adalah sebagai tanda kita
mengakui diri kita hamba Allah yang tunduk kepada kerajaan Allah swt yang maha
kaya yang memiliki segala sesuatu. Jika sebaliknya maka kita adalah seorang
hamba yang menderhakai Tuhannya yang telah mengurniakan kepadanya segala
kesenangan dan kenikmatan.
Suatu ketika Rasulullah pernah ditegur
oleh isterinya, Aisyah apabila melihat baginda berterusan bersolat sehingga
menyebabkan kaki baginda bengkak. Aisyah berkata: “Bukankah Allah telah mengampunkan
dosamu yang terdahulu dan yang akan datang? Baginda menjawab: “Salahkah aku
menjadi seorang hamba yang bersyukur?”
Rasulullah adalah contoh yang terbaik
bagi kita. Baginda mengajar kita bagaimana cara untuk bersyukur kepada Allah
swt. Iaitu segala nikmat yang telah kita terima mestilah dibalas dengan semakin
mendekatkan diri kepada Allah swt. Ramai orang yang semakin jauh daripada Allah
swt setelah menikmati kesenangan bahkan yang sangat menyedihkan ada di antara
mereka yang menafikan sama sekali kenikmatan yang diterimanya adalah kurniaan
daripada Allah swt.
Manusia yang lupa untuk bersyukur ini
seharusnya mengingati bencana yang telah menimpa ke atas Qarun, seorang yang
hidup pada zaman nabi Allah Musa iaitu orang yang terkaya di dunia tetapi tidak
bersyukur kepada Allah swt. Maka kerana itu, Allah swt membinasakan beliau
bersama-sama dengan segala harta kekayaannya supaya ianya menjadi peringatan
kepada manusia yang akan datang.
Luqman al-Hakim mengajar anaknya agar
sentiasa bersyukur kepada Allah swt.
Firman Allah swt;
وَلَقَدْ
آتَيْنَا لُقْمَانَ الْحِكْمَةَ أَنِ اشْكُرْ لِلَّهِ وَمَنْ يَشْكُرْ فَإِنَّمَا
يَشْكُرُ لِنَفْسِهِ وَمَنْ كَفَرَ فَإِنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ حَمِيدٌ
Maksudnya; "Dan sesungguhnya Kami
telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan
kepadanya): Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmatNya kepadamu).” Dan
sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya
sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal
kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji."
Luqman:12.
Pengajaran kisah tiga orang dari
kalangan Bani Israel.
Dari Abu Hurairah r.a.: Ia mendengar
Rasulullah s.a.w. bersabda: “Ada tiga orang dari Bani Israil yang
masing-masingnya berpenyakit kusta, botak dan buta. Tuhan hendak menguji, lalu
mengutus malaikat menemui mereka. Malaikat itu datang lebih dahulu kepada yang
berpenyakit kusta. Kata malaikat itu: “Apakah sesuatu yang paling engkau
sukai?” Jawabnya: “Warna yang bagus dan kulit yang bagus! Orang banyak telah
jijik melihat ku!” Malaikat itu mengusapnya. Lalu hilanglah penyakitnya.
Kemudian diberi warna yang bagus dan kulit yang bagus. Kata malaikat: “Apakah
harta yang paling engkau sukai? “Jawabnya: “Unta!” Lalu ia diberi unta yang
bunting sepuluh bulan. Kata malaikat: ” Engkau akan diberi keberkatan”,
Kemudian malaikat itu datang kepada
orang yang botak seraya berkata: “Apakah sesuatu yang paling engkau sukai?”
Katanya: “Rambut yang bagus dan botak ini hilang dari aku kerana orang banyak
telah jijik melihat ku”. Malaikat itu lalu mengusapnya maka hilanglah botaknya
dan ia diberi rambut yang bagus. Kata malaikat: “Apakah harta yang paling
engkau sukai’?” Katanya: “Lembu!” Malaikat itu lalu memberinya seekor lembu
yang bunting, seraya berkata: ” Engkau akan diberi keberkatan”.
Kemudian malaikat itu datang pula kepada
orang yang buta, seraya berkata: “Apakah sesuatu yang paling engkau sukai?”
Jawabnya: “Mudah-mudahan Tuhan mengembalikan penglihatan ku supaya dapat
melihat manusia”. Malaikat itu pun mengusapnya. Tuhan mengembalikan penglihatannya.
Kata malaikat: “Apakah harta yang paling engkau sukai?” Jawabnya: “Kambing!”
Malaikat itu lalu memberinya kambing yang bunting.
Sesudah itu beranaklah unta dan lembu,
dan kambing beranak pula. Maka orang-orang itu mempunyai lembah yang dipenuhi
unta, lembah yang dipenuhi lembu dan, lembah yang dipenuhi kambing. Kemudian
datanglah malaikat yang dahulu kepada orang yang tadinya berpenyakit kusta
dalam rupa dan keadaannya (yang menyedihkan), seraya katanya: “Saya ini seorang
laki-laki miskin yang telah melintasi bukit dalam perjalanan. Maka pada hari
ini tiadalah yang menyampaikan melainkan Tuhan. Kemudian saya datang kepada
engkau untuk meminta dengan nama Tuhan yang telah memberi engkau dengan warna
yang bagus dan harta berupa unta, agar engkau sudi mencukupkan belanja dalam
perjalananku”.
Kata orang itu: “Kewajiban-kewajiban
yang lain masih banyak!” Kata malaikat itu padanya: “Seakan-akan saya telah
mengenal engkau. Bukankah engkau dahulunya berpenyakit kusta dan orang banyak
jijik melihat engkau, lagi miskin, tetapi kemudian Tuhan memberi kebaikan dan
kekayaan kepada engkau?” Kata orang itu: “Harta ini saya warisi dari bapa dan nenek
saya”. Kata malaikat: “Kalau engkau dusta, Tuhan akan menjadikan engkau
sebagaimana keadaan engkau dahulunya!”
Dan kemudian malaikat itu datang kepada
orang yang dahulunya botak dengan rupa dan keadaan yang menyedihkan, lalu
dikatakannya pula sebagai perkataan kepada orang tadi. Orang itu pun menjawab
sebagai jawapan orang itu pula. Malaikat lalu berkata: “Kalau engkau dusta
Tuhan akan menjadikan engkau sebagaimana keadaan engkau dahulunya”.
Dan kemudian ia datang kepada orang yang
dahulunya buta dengan rupa yang menyedihkan, seraya berkata: “Saya ini seorang
laki-laki miskin dan telah melintasi bukit dalam perjalanan ku. Maka had ini
tiada yang akan menyampaikan melainkan Tuhan. Saya datang kepada engkau untuk
meminta dengan nama Tuhan yang telah memberi penglihatan dan kambing kepada
engkau untuk mencukupkan perbekalanku dalam perjalananku “.
Kata orang itu: “Saya dahulunya buta.
Tuhan lalu mengembalikan penglihatan saya. Dahulunya saya miskin dan Tuhan
telah mengayakan saya. Sebab itu ambillah sesukamu! Demi Allah! Hari ini saya
tiada akan mencegah engkau mengambilnya kerana Allah, berapa saja.” Kata
malaikat itu: “Peganglah harta engkau! Sesungguhnya kamu diuji. Tuhan telah
rela (merasa senang) kepada engkau dan marah kepada dua orang kawan engkau.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan