Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Selasa, 2 Januari 2018

S 95 : CIRI-CIRI BOLEH MENGUATKAN UKHWAH DAN KASIH SAYANG

Terdapat banyak jalan untuk mengukuhkan ikatan ukhuwah, dan sekiranya umat Islam berpegang dengannya dan melaksanakan di dalam kehidupan mereka nescaya akan bertambah kuatlah persaudaraan sesama kita. Ciri-ciri tersebut adalah seperti berikut:

1. Nyatakan rasa kasihmu pada saudaramu. Sabda Nabi SAW yang bermaksud,

"Jika seseorang itu kasih akan saudaranya, beritahulah kepadanya."
(Hadis Riwayat Abu Daud dan Tarmidzi).

2. Minta supaya saudaramu mendoakanmu sebelum berpisah. Persahabatan dalam Islam adalah persahabatan kerana ALLAH SUBHANAHU WA TAALA. Bertemu dan berpisah semata-mata kerana ALLAH SUBHANAHU WA TAALA untuk menjalankan kewajipan dakwah untuk amar makruf nahi mungkar. Doa di antara dua sahabat yang berkasih sayang dan menjalin ukhwah Islamiah adalah makbul di sisi ALLAH SUBHANAHU WA TAALA. Daripada Abu Hurairah ra bahawasanya Nabi SAW. bersabda yang bermaksud :

"Doa seorang sahabat kepada sahabatnya yang lain kerana Allah dalam tempat yang berjauhan diterima oleh ALLAH SUBHANAHU WA TAALA."
(Hadis Riwayat Muslim)

Saidina Umar al-Khattab ra berkata, "Saya minta izin kepada baginda SAW untuk mengerjakan umrah." Baginda SAW membenarkan dan berpesan,

"Jangan lupa bila berdoa untuk kami bersama."
(Hadis Riwayat Abu Daud dan Termizi)

3. Bermanis muka dan senyum ketika bertemu. Daripada Abu Dzar ra, dia berkata, Rasulullah SAW bersabda,

“Senyummu di hadapan saudaramu (sesama muslim) adalah (bernilai) sedekah bagimu.”
(Hadis Riwayat. Tirmidzi dan Ibnu Hibban).

Daripada Jarir bin Abdillah ra dia berkata, “Sejak aku masuk Islam, Rasulullah SAW tidak pernah menolak aku untuk duduk bersama baginda. Dan tidaklah baginda melihatku kecuali baginda tersenyum kepadaku.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

4. Segeralah bersalam apabila bertemu. Anas B. Malik radhiyallahu ‘anhu berkata:

قَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ الرَّجُلُ مِنَّا يَلْقَى أَخَاهُ أَوْ صَدِيقَهُ أَيَنْحَنِي لَهُ قَالَ لَا قَالَ أَفَيَلْتَزِمُهُ وَيُقَبِّلُهُ قَالَ لَا قَالَ أَفَيَأْخُذُ بِيَدِهِ وَيُصَافِحُهُ قَالَ نَعَمْ

“Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah, “Wahai Rasulullah, adakah kami boleh saling menundukkan (atau membongkokkan) badan apabila salah seorang dari kami bertemu dengan saudaranya atau sahabatnya?” Rasulullah menjawab, “Tidak.” Lelaki tersebut bertanya lagi, “Adakah boleh mendakapnya (memeluknya) dan menciumnya?” Rasulullah menjawab, “Tidak.” Lelaki itu bertanya lagi, “Adakah boleh mengambil tangannya dan bersalaman dengannya?” Rasulullah menjawab, “Ya.”
(Sunan at-Tirmidzi, no. 2728. Dinilai hasan oleh at-Tirmidzi dan al-Albani)

5. Selalu menziarahi saudaranya dari masa ke semasa (satu tempuh yang tidak terlalu kerap dan tidak terlalu lama). Rasulullah SAW. bersabda maksudnya :

"Tidaklah seorang mukmin menjengok saudaranya kecuali Allah akan mengutus 70,000 malaikat untuknya yang akan berselawat kepadanya di waktu siang pada bila-bila masa sahaja hingga petang dan di waktu malam pada bila-bila masa sahaja hingga subuh."
(Hadis Riwayat Ahmad dari Ali bin Abi Thalib k.w, Al-Musnad no. 754, Syaikh Ahmad Syakir berkata, "Sanadnya sahih")

Dalam riwayat yang lain Nabi SAW. bersabda yang bermaksud,

"Ziarahilah saudaramu untuk menambahkan kasih sayang."

6. Memberi ucapan tahniah kepada saudaranya dan menyukakan hatinya.
"Siapa yang menemui saudaranya dengan apa-apa yang menyukakan, nescaya Allah Azzawajalla akan menyukakannya pada hari kiamat."

7. Memberi hadiah kepada saudaranya ketika-ketika yang munasabah. Sabda Nabi SAW yang bermaksud,

"Hendaklah kamu memberi hadiah, ia boleh membangkitkan kasih sayang dan menghapuskan rasa dendam di hati."
(Hadis Riwayat Dailami dari Anas)

8.Laksanakan tanggungjawab persaudaraan dengan sempurna. Daripada Abu Hurairah ra Rasulullah SAW bersada yang maksudnya,

"Siapa yang melapangkan satu kesusahan orang yang beriman daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah akan melapangkan orang itu satu kerumitan dari kerumitan akhirat. Dan siapa yang memudahkan orang yang susah, Allah akan memudahkannya di dunia dan di akhirat. Siapa yang menutup keaiban orang Islam, Allah akan menutup keaibannya di dunia dan di akhirat. Dan Allah sentiasa menolong hamba itu selagi hamba itu mahu menolong saudaranya."

(Hadis Riwayat Muslim)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan